Wajarkah mahasiswa dibelenggu di kampus?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri 

SELALUNYA saya tidak ketinggalan mengikuti program Soal Jawab atau diskusi berhubung dengan mahasiswa di televisyen. Itu memang minat saya sejak dahulu walaupun telah lama meninggalkan kampus. Kali ini, saya terlepas program Soal Jawab Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ibrahim Abu Shah di TV3 baru-baru ini. 

Pasca program ini menarik minat ramai bekas-bekas aktivis kampus untuk memberikan respons. Beberapa aktivis kampus yang sedang bergelumang dengan PAS seperti Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah (bekas Setiausaha Agung, Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, PMUTM 85/86) dan Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS (bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, PMUKM 1987/88) tidak ketinggalan memberikan komentar masing-masing berhubung dengan isu mahasiswa.

Mengikut komen Ahmad Lutfi Othman dalam kolumnya di Harakah, “Malam itu Saifuddin memang bintang dan wira bagi gerakan pelajar. Beliau mencadangkan, selain guru, pensyarah patut diberi peluang bergiat aktif dalam parti, manakala mahasiswa dipertimbangkan untuk terbabit menjadi ahli parti politik”.

“Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberipeluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan, tambah beliau, wajar menerima mahasiswa sebagai rakan kepemimpinan, selain menghargai peranan pelajar sebagai sebahagian masyarakat sivil yang mempunyai tugas penting dalam sistem demokrasi.

Politik Kampus

Dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, beliau mungkin sedikit terhalang untuk melakukan reformasi bagi mengembalikan semula mahahasiswa sebagaimana yang dihatinya walaupun melakukan sedikit percubaan awal dengan membenarkan semula “sudut pidato” di kampus-kampus.

Menteri Pengajian Tinggi sendiri tidak bersependapat dengan timbalannya, Saifuddin Abdullah dalam hal pembabitan mahasiswa dalam politik. Saifuddin seolah-olah menjadi pemimpin “pembangkang” kepada menterinya sendiri, Mohamed Khaled Noordin!

Seperti biasa, tidak semua pentadbir utama kampus-kampus universiti bersetuju dengan pandangan beliau. Masih Naib Canselor yang sealiran atau bersependapat dengan Datuk Ibrahim Abu Shah, bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Agak ralat, saya juga tidak dapat hadir mendengar sendiri syarahan perdana bertajuk “university, kreativiti dan inovasi” teman lama, Datuk Professor Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seorang bekas aktivis pelajar Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1980an yang mempunyai idealism yang tinggi dalam memberikan kebebasan kepada perjuangan mahasiswa di kampus.

Sedikit sebanyak rasanya Zaini seperti juga Saifuddin masih berpegang kepada idealisme yang diperjuangkannya semasa di kampus dahulu bila dalam bukunya, “Mengangkasa Pengajian Tinggi”  mengungkapkan fenomena yang menyedihkan di universiti hari ini: “Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

Cuma saya ingin menyarankan kepada beliau, sebagai Naib Canselor UTM beliau bersedia membuka gelanggang UTM mengadakan debat, forum atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi.

Walaupun tidak setanding dengan Debat Agung Ekonomi yang pernah dianjurkan di universiti Malaya pada dekad 1980’an dahulu, di UTM setidak-tidaknya tidak kurang diadakan debat, forum atau diskusi berkaitan politik semasa dan sebagainya ketika saya bersama dengan beliau menjadi aktivis pelajar di UTM.

Saya bersetuju dengan pandangan Idris Ahmad, sepatutnya pendedahan politik kepada mahasiswa adalah perlu kerana ia sebagai medan mengasah bakat kepimpinan pada masa akan dating. Banyak kepimpinan mahasiswa telah melahirkan tokoh-tokoh politik dipihak pembangkang, kerajaan dan ahli akademik.

Perkara ini tidak boleh dinafikan kerana sejarah telah membuktikan terserlahnya mereka dalam kepimpinan politik adalah hasil perjuangan mereka di universiti melalui gelanggang Majlis Perwakilan Pelajar dan juga kegiatan persatuan-persatuan di universiti.    

Saya juga telah lama menulis bahawa walaupun seseorang itu aktivis mahasiswa seolah-olah menentang establishment semasa dikampus, tetapi apabila terlibat dalam politik nasional mereka masih boleh menjadi pendokong UMNO dan Barisan Nasional seperti Ahmad Shabery Cheek (mantan Presiden PMUM dan PMIUM), Datuk Fuad Zarkasyi (mantan Setiausaha Agung PMUM) dan Datuk Saifuddin Abdullah sendiri.

Dari universiti lain pun sama, sebagai contohnya, Abd Rahman Sheikh, bekas Timbalan Presiden PMUPM yang pernah dilabelkan dari kumpulan Islam (Persatuan Mahasiswa Islam) sekarang ini adalah AJK UMNO Bahagian Teluk Intan. 

Beberapa orang aktivis mahasiswa yang bertanding diatas tiket Islam Penyelamat Ummah (IPU) di UKM juga menjadi wakil rakyat UMNO seperti Ramli Hj Noh (ADUN Tepuh), Ismail Said (Ahli Parlimen Kuala Krau) dan lain-lain.

Bagi saya, Saifuddin Abdullah, seorang bekas aktivis pelajar Universiti Malaya yang sinonim dengan tuntutan agar belenggu kampus ditamatkan wajar menerima pelawaan mengetuai kaukus parlimen mengenai penyertaan mahasiswa dalam politik yang dicadangkan Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)demi mengembalikan semula kegemilangan gerakan mahasiswa.

Lebih menarik lagi, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO pun turut mendesak kerajaan agar memberikan kebebasan kepada mahasiswa dibenarkan berpolitik di kampus. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

About these ads

About kalamPerantau

Penulis buku " Politik Kampus Di Sebalik Tabir" adalah Mohd. Shuhaimi al Maniri atau Mohd Shuhaimi Embong . Dilahirkan di Kg Balau Kolam, K
This entry was posted in Siasah and tagged , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s