Kalam Perantau

Icon

Peristiwa Menarik Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Pilihanraya kecil kali ini menarik dan dikatakan memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada politik Terengganu tetapi juga kepada politik nasional menjelang pilihanraya umum ke-13. Selain pilihanraya kecil Kuala Terengganu (2009), beberapa siri pilihanraya kecil telah diadakan di Terengganu bermula di Kijal (1988), Telok Pasu (1989), Bukit Payong (1992) dan Kuala Berang (2004) tetapi gagal meninggalkan impak yang besar.

Bagi PRK P036 yang diadakan pada 17hb. Januari, 2009 lalu, saya berada sepenuh masa seminggu terakhir di Kuala Terengganu untuk melihat sendiri perkembangan pilihanraya kecil ini dari dekat. Tidak seperti pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini, saya hanya berada beberapa hari sahaja untuk melihat perkembangan.

Saya tidak berhasrat membincangkan keputusannya kerana semua sudah sedia maklum. Keputusannya memihak kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut (MAWE) dengan majoriti 2,631 undi setelah mendapat 32,883 undi mengatasi undi yang diperolehi oleh calon BN, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendapat 20,252 undi.

Calon bebas, Azharuddin Mamat hanya mendapat 193 undi sahaja. Undi beliau jauh kurang dari apa yang diperolehi oleh, Maimun Yusof atau Tok Mun sebanyak 685 undi selaku calon bebas dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8hb. Mac lepas. 

Sebagaimana yang saya tulis dalam keluaran yang lepas, setakat ini belum ada calon bebas yang menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Sukar untuk dipastikan, apakah motif sebenar calon bebas bertanding kali ini!.

Tidak dapat dipastikan apakah yang mendorong Azharuddin, anak orang kuat UMNO DUN Ladang, yang pernah menjadi Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad bertanding pilihanraya kali ini.

Sebelum itu ada beberapa orang berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas tetapi tidak berbuat demikian. Malah media massa memberikan fokus istimewa kepada Maimun Yusof (89 tahun) yang dijadikan ikon calon bebas di parlimen tersebut sehingga ada calon yang berhasrat bertanding bebas yang pergi mencium tangan Tok Mun sebagai tanda memohon restu untuk bertanding.

Beberapa media massa kelihatan tidak professional dalam pilihanraya kali ini. Bukan sahaja berita tidak seimbang, tetapi banyak yang tersasar jauh. Sebagai contoh, beberapa media (tak perlu disebutkan nama) cuba menamakan tokoh tertentu dalam PAS sebagai calon yang mesti dipilih menjadi calon PAS.

Media cetak elektronik yang beria-ia membuat ramalan nujum Pak Belalang mengenai bakal calon PAS bagaikan terpukul apabila ramalan mereka tak menjadi. Malah saya diberitahu, ada akhbar yang telah sediakan biodata dan profail calon untuk disiarkan sebagai berita utama terkedu, bila nama YB MAWE diumumkan sebagai calon.

Saya diberitahu, BN kelam kabut membuat skrip baru apabila peluru yang disediakan untuk ‘menyerang’ ketiga-tiga bakal calon PAS, iaitu Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi (ADUN Batu Burok), Datuk Wan Abdul Mutallib Embong (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Datuk Mustafa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu) tidak mengena sasaran.

Bila akhbar beria-ia memfokuskan kepada ketiga-tiga bakal calon ini untuk dipilih mewakili PAS, Presiden PAS mengambil tindakan sebaliknya kerana tidak mahu terperangkap dengan strategi musuh. Di sinilah kebijaksanaan Presiden PAS dalam menamakan seseorang calon untuk mewakili PAS bila diberi mandat penuh oleh jawantakuasa PAS Pusat.

BN Silap Strategi, bukan silap calon?

Kesilapan BN menamakan Wan Ahmad Farid yang baru dilantik semula sebagai senator dan meletakkan jawatan beberapa hari selepas itu telah mempermainkan kehendak dan hasrat rakyat Terengganu.

Rakyat Terengganu tidak nampak dimana logiknya Wan Ahmad Farid meletakkan jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri untuk meneruskan kesinambungan legasi Datuk Razali Ismail.

UMNO Terengganu kehilangan dua kerusi Timbalan Menteri Kerajaan Pusat sekali gus. Disebabkan kedangkalan politik pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu, percaturan ini ibarat Lebai Malang yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Dalam masa yang sama, Nordiana Shafie, Ketua Puteri UMNO Terengganu kehilangan kerusi senator kerana mengekalkan Wan Ahmad Farid. Setelah Wan Ahmad farid meletak jawatan, adakah kerusi senator tersebut akan dikembalikan kepada Nordiana semula bagi menyambung penggal keduanya?

Tun Dr. Mahathir mengecam Abdullah Badawi akibat kekalahan ini kerana meletakkan calon yang terburuk dalam sejarah UMNO dan BN. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi dalam masa yang sama Tun Dr. Mahathir tidak pula menyalahkan Najib yang mengetuai jentera pilihanraya kecil tersebut.

Saya diberitahu keterlanjuran pegawai-pegawai keselamatan Timbalan Perdana Menteri mempamerkan kuasa dan keegoan mereka bila mengiringi Datuk Seri Najib melawat pusat-pusat mengundi membuatkan rakyat semakin benci kepada pemimpin UMNO dan BN turut memberikan saham kepada kekalan Wan Farid.  

Selain isu calon, beberapa peristiwa yang menarik dan belum pernah berlaku sebelum ini. Diantaranya adalah penukaran pegawai Pengurus Pilihanraya kerana kesilapan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim terhadap tanggungjawabnya untuk berkecuali dari memihak kepada mana-mama parti memalukan rakyat negeri Terengganu.

Pertukaran ini memberikan sokongan moral kepada PAS untuk memenangi pertandingan ini kerana mereka berjaya membongkar penyelewengan Pegawai Pengurus Pilihanraya kepada rakyat menyebabkan SPR lebih berhati-hati dalam tindakannya selepas itu.

Begitu juga dengan kehadiran polis yang begitu ramai, dikatakan melebihi 10,000 di Kuala Terengganu memberikan backfire kepada calon BN, Wan Ahmad Farid selaku Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri kerana polis adalah dibawah kekuasaan beliau.

Beliau dituduh menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politiknya sendiri. Beliau hanya meletakkan jawatan pada 5hb. Januari, sehari sebelum penamaan calon.

Rakyat Kuala Terengganu mengalami kesukaran bergerak beberapa minggu sebelum pilihanraya diadakan. Pilihanraya kecil Kuala Terengganu adalah peluang terbaik untuk mengajar Wan Ahmad Farid meninggalkan dunia kebangsawanan beliau jika masih berminat dalam kerjaya politik lagi selepas ini.

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini merupakan batu sempadan politik beliau, sama ada akan berkubur atau tidak selepas ini? Saya tidak nampak politik beliau akan berkubur semudah itu kerana hampir pasti Pak Lah akan memberikan suntikan ‘nyawa’ politik kepada beliau.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0133 (25 – 31hb Jan, 2009)

Advertisements

Filed under: Siasah, , , ,

Wahid yang saya kenali…

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Minggu lepas saya tidak sempat menulis dalam edisi 131 Siasah yang menampilkan design dan format baru yang lebih segar dan merarik. Tahniah kepada semua warga kerja Siasah. Kalam Perantau yang dikendalikan oleh saya di muka surat 33 dah berakhir.   Kali ini kolum saya kena cari mukasurat baru pula.

Selasa, 6hb. Januari, 2008, saya berada di Kuala Terengganu untuk melihat sendiri proses penamaan calon pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datok Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran. 

Mengikut tinjauan saya, penyokong-penyokong BN yang berarak dari Sri Iman, kediaman Menteri Besar Terenggan ada sekitar 5,000 orang tetapi akhbar-akhbar tertentu melaporkan 25,000 hingga 30,000 orang. Manakala di pihak PAS dan Pakatan Rakyat pula saya jangka adalah sekitar 20,000 orang tetapi akhbar-akhbar melaporkan separuh dari jumlah tersebut. 

Dalam pilihanraya kecil yang diadakan pada 17hb. Januari, 2009 ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon  PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharuddin Mamat @ Adam.   

Ramai yang bterkejut kerana nama Wahid Endut diumumkan oleh Presiden PAS. Pertikaian calon dikalangan ahli PAS tidak berbangkit lagi setelah Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang menamakan Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS.

Semua pihak akur dengan pemilihan yang dianggap ‘menang-menang’ kepada semua pihak dalam parti.  Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali  menyebut pemilihan Mohd Abdul Wahid Endut, ADUN Wakaf Mempelam adalah tepat kerana merupakan seorang pemimpin berwibawa.

Beliau telah menjadi ADUN wakaf Mempelam sejak tahun 1990 hingga sekarang. Saya tidak terkejut dengan pemilihannya kerana beliau seorang pemimpin pelapis PAS Terengganu yang bukan sahaja disegani oleh kawan malah lawannya juga. Kata-kata beliau yang paling saya ingati adalah musuh jangan dicari, kalau musuh mari jangan lari.

Rakyat Kuala Terengganu menjadi penentu

Tiada kejadian tidak diingini berlakusemasa proses penamaan calon tempohari Kalau ada pun yang boleh dianggap kejutan, kemunculan calon bebas, anak kepada Dato’ Adam Taib, bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad

Dua lagi calon yang disebut-sebut akan bertanding, iaitu  Harun @ Abdul Rahman Mohamad (AKIM) dan Isma Arifath Hassanuddin (Bebas) tidak menyerahkan borang pencalonan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri.

Lebih mengejutkan lagi adalah calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Haron @ Abdul Rahman Mohamad bukan sahaja tidak bertanding tetapi menyeru semua penyokong-penyokong AKIM dan Pakatan Rakyat supaya memberikan sokongan penuh kepada calon PAS bagi menumbangkan calon BN pada pilihanraya parlimen Kuala Terengganu pada 17hb. Januari nanti.  

Secara kebetulan saya berkesempatan  bersama Anwar Ibrahim semasa beliau berada di Kuala Terengganu kerana dijemput makan tengahari oleh tuan rumah pada Rabu, 7hb. januari sebelum pulang ke Kuala Lumpur sebelah malamnya.

Khabarnya sambutan cukup luar biasa ke ceramah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Ustaz Hadi Awang dan Nik Aziz Nik Mat di Kuala Terengganu pada malam selepas penamaan calon. Seorang rakan lama yang hadir memberitahu kehadiran orang ramai ke ceramah berkenaan lebihkurang 50,000 orang. Tetapi saya yakin bukan semuanya pengundi Kuala Terengganu.

Kalau semua pengundi Kuala Terengganu yang hadir pada ceramah tersebut, nampaknya Wan Farid menghadapi masalah yang besar untuk memenangi kerusi berkenaan. Kawan saya ini memberitahu, orang-orang UMNO di sini menunggu kemunculan Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim, bekas Ketua UMNO Petaling Jaya Selatan yang memasuki UMNO pula datang berceramah di Kuala Terengganu.

Sekarang ini, sukar untuk ditentukan siapa yang menjadi pilihan sebenar rakyat Kuala Terengganu kali ini. Sejarah sebelum ini membuktikan calon parti kerajaan dan pembangkan berjaya memenangi kerusi berkenaan. Tetapi setakat ini belum ada lagi calon bebas yang berjaya menang dikerusi berkenaan. 

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu (2009) ini amat penting kepada kedua-dua pihak. Kerusi ini silih berganti antara parti kerajaan dan pembangkang. Kalau tidak silap ingatan saya, kerusi ini dipegang oleh Parti Negara (1959), UMNO/Perikatan (1964), PAS (1969), PAS/BN (1974), UMNO/BN (1978,1982 dan 1986), Parti Melayu Semangat 46 (1990), UMNO (1995), PAS/BA (1999), UMNO/BN (2004,2008). 

Saya diberitahu pengundi-pengundi Cina amat tidak berpuashati dengan prestasi kerajaan BN yang gagal memulihkan kelembapan ekonomi sekarang ini yang begitu menjejaskan perniagaan mereka. Sambutan pengundi-pengundi Cina terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khusunya DAP, PKR dan PAS amat memberangsangkan.

Jumlah mereka  sebanyak 11 peratus adalah sangat significant untuk menentukan siapa yang memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu. Sekiranya PAS dan pakatan rakyat berjaya  menarik sokongan lebih 30 peratus dari pengundi ini peluang PAS amat cerah.

Rasanyanya tidak ada masalah dalam pilihanraya kecil ini, mereka akan meberikan undi kepada PAS kerana mereka sudah tahu kerajaan tidak akan bertukar kalau setakat PAS memenangi kerusi Kuala Terengganu ini.

Walaubagaimanapun BN dilaporkan akan berhempas pulas dalam apa keadaan sekalipun akan mempertahankan kerusi Kuala Terengganu ini demi maruah mereka. Malah saya diberitahu oleh satu pihak BN telah merancang untuk menang 300 undi sahaja walaupun sebelum ini mereka yakin menang dengan maajoriti 3,000 undi.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0132 (18-24hb Januari, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 dan Tahun Baru 2009

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Isnin 29hb. December, 2008 bersamaan dengan 1 Muharram 1430, sekali lagi saya berkesempatan berada di bumi Terengganu. Hari tersebut adalah cuti umum sempena sambutan Maal Hijrah. Mulanya saya bercadang berada beberapa hari di Kuala Terengganu untuk berjumpa rakan dan kenalan di sini disamping mengikuti perkembangan mutakhir politik yang melanda negeri Terengganu, bahkan seluruh pelusuk negara.

Seorang sahabat lama semasa saya bertugas di syarikat telekomunikasi beria-ia hendak berjumpa. Sebagai rakan lama, saya tidak menghampakan harapannya. Begitu juga seorang lagi kenalan bekas wartawan akhbar harian di Kuala Terengganu.

Topik perbincangan tidak lari dari pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Kesimpulan perbincangan kedai kopi tersebut,  penyertaaan ramai calon bebas kali ini sekadar memeriahkan pilihanraya sahaja. Pertarungan sebenar masih diantara UMNO dengan PAS sahaja.

Selain itu, setelah berbincang agak panjang, kami bersependapat bahawa trend pengundian akan mengikut kategori.  Kategori yang pertama dan utama, adalah pengundi yang mengundi berdasarkan kepada prinsip perjuangan mereka.

Ahli-ahli dan penyokong-penyokong tegar UMNO dan PAS yang akan menyokong calon parti masing-masing. Dalam konteks Kuala Terengganu, kami merasakan ianya adalah seimbang sekitar 35 peratus sahaja.  

Kedua-dua parti dirasakan tiada masalah untuk mendapat undi dari penyokong tegar masing-masing tanpa memgambil kira sangat siapa yang dicalunkan oleh parti berkenaan.

Kategori kedua  adalah yang menentang siapa sahaja yang dicalunkan oleh parti masing-masing, baik PAS ataupun UMNO. Mereka ini boleh mengundi calon parti lawan atau mengambil sikap tidak mengundi bergantung kepada keadaan.

Tambahan pula  mereka dengan malu alah atau terhtang budi dengan calon parti lawan bagi menjadikannya tergolong bersama dalam kategori ketiga. Lebih-lebih lagi mereka mendapat habuan atau nikmat dari calon parti lawan, yang tergolong dalam kategori keempat. Kategori ini sebenarnya tidak ramai.

Kategori kelima adalah pengundi yang mengundi mengikut arahan ketua mereka, seperti golongan pegawai kerajaan yakni tentera, polis dan lain-lain. Selain pengundi kategori diatas, terdapat pengundi atas pagar yang mengundi ikut gelombang atau isu yang dimainkan.

Dalam pilihanraya kecil ini, pengundi tegar kepada kedua-dua parti UMNO dan PAS adalah sekitar 70 peratus sahaja. Pengundi yang akan membuat keputusaan disaat-saat akhir begitu besar, iaitu sekitar 30 peratus menyebabkan keputusan sebenar sukar diramal kedua-dua pihak.

Keputusan pilihanraya ini boleh membuktikan bahawa pengundi-pengundi Kuala Terengganu tidak terikat dengan mana-mana parti politik sama ada PAS ataupun UMNO. 

Malah sejarah telah membuktikan begitu sejak dari awal lagi. Pada pilihnraya umum 1964, calon parti Negara yang disokong oleh PAS, Dato’ Onn Jaafar menang di Kuala Terengganu.

Tetapi dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas Dato’ Onn meninggal dunia, UMNO/Perikatan pula yang menang. Malah dalam pilihanraya umum 1969, PAS  pula memenangi kerusi berkenaan.  

Dalam Pilihanraya umum 1974, kerusi berkenaan diberikan kepada PAS yang bertanding diatas tiket Barisan Nasional.  Tetapi bila PAS ditendang keluar Barisan Nasional, kerusi parlimen Kuala Terengganu kembali kepada UMNO semula sehingga ditewaskan oleh Parti Melayu Semngat 46 (PMS46) dalam pilihanraya umum 1990.

Pada pilihanraya umum 1995, UMNO/BN sekali lagi memenangi kerusi tersebut, tetapi tewas semula kepada PAS dalam pilihanraya umum 1999.

Sekali lagi UMNO/BN menguasai semula kerusi berkenaan pada pilihanraya umum 2004 dan 2008 lepas. Keputuisan pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini sememnangnya sukar diramal. UMNO dan PAS masing-masing mendakwa parlimen Kuala Tererngganu milik mereka.

Pertukaran Pegawai Kerajaan Terengganu member kesan kepada BN

Saya juga diberitahu bahawa kerajaan Terengganu membuat pertukaran besar-besaran pegawai kerajaan negeri atau Terengganu Civil Service (TCS). Difahamkan seramai 61 orang terlibat dalam pertukaran kali ini.

Malah saya diberitahu ramai yang tidak berpuashati  kerana berbagai-bagai sebab. Tidak terkecuali ianya bermotifkan politik kerana ramai sangat yang melompat jawatan sebagai membalas dendam melangkaui senioriti seseorang pegawai ketika UMNO/BN mengambil alih kerajaan negeri dari PAS.

Pertukaran kali ini adalah sebagai technical adjustment atau pembetulan teknikal  kedudukan dan senioriti pegawai-pegawai sebagaimana garis panduan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.  Bagi tidak melukakan hati mana-mana pihak, saya tidak berhasrat untuk memberikan sebarang contoh.

Undi pegawai-pegawai kerajaan ini adalah significant untuk memenangkan PAS atau UMNO dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu kali ini. Saya tidak tahu sejauhmana pegawai-pegawai kerajaan ini akan membuat undi protes kepada UMNO.

Mesej ini perlu dihantar kepada pemimpin-peminpin UMNO/BN khususnya kerajaan Pusat supaya hak-hak rakyat Terengganu seperti royalti dan pembangunan yang seimbang dengan Pantai Barat perlu ditunaikan segera.

Sepatutnya mereka tidak perlu risau untuk mengundi PAS dalam pilihanraya kecil kali ini kerana keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini tidak mengubah senario politik sedia ada, dimana kerajaan negeri dan kerajaan Pusat di kuasai oleh UMNO/BN.

Adakah dengan hijrahnya Kapten(B) Dato’ Zahar Hashim, bekas Ketua UMNO bersama 13 AJK Bahagian     Petaling jaya selatan (PJS) serta 28 Ketua cawangan menyertai PAS menjelang Sambutan maal Hijah baru-baru ini akan membawa tuah kepada PAS  dalam menghadapi pilihanraya kecil Terengganu pada 17hb. Januari, 2009 nanti.      

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Maal Hijrah 1430 dan Tahun Baru 2009 kepada semua peminat dan pembaca kolum ini.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0130 (4 – 10hb  Januari, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories