Kalam Perantau

Icon

Peristiwa Menarik Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Pilihanraya kecil kali ini menarik dan dikatakan memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada politik Terengganu tetapi juga kepada politik nasional menjelang pilihanraya umum ke-13. Selain pilihanraya kecil Kuala Terengganu (2009), beberapa siri pilihanraya kecil telah diadakan di Terengganu bermula di Kijal (1988), Telok Pasu (1989), Bukit Payong (1992) dan Kuala Berang (2004) tetapi gagal meninggalkan impak yang besar.

Bagi PRK P036 yang diadakan pada 17hb. Januari, 2009 lalu, saya berada sepenuh masa seminggu terakhir di Kuala Terengganu untuk melihat sendiri perkembangan pilihanraya kecil ini dari dekat. Tidak seperti pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini, saya hanya berada beberapa hari sahaja untuk melihat perkembangan.

Saya tidak berhasrat membincangkan keputusannya kerana semua sudah sedia maklum. Keputusannya memihak kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut (MAWE) dengan majoriti 2,631 undi setelah mendapat 32,883 undi mengatasi undi yang diperolehi oleh calon BN, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mendapat 20,252 undi.

Calon bebas, Azharuddin Mamat hanya mendapat 193 undi sahaja. Undi beliau jauh kurang dari apa yang diperolehi oleh, Maimun Yusof atau Tok Mun sebanyak 685 undi selaku calon bebas dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8hb. Mac lepas. 

Sebagaimana yang saya tulis dalam keluaran yang lepas, setakat ini belum ada calon bebas yang menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Sukar untuk dipastikan, apakah motif sebenar calon bebas bertanding kali ini!.

Tidak dapat dipastikan apakah yang mendorong Azharuddin, anak orang kuat UMNO DUN Ladang, yang pernah menjadi Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad bertanding pilihanraya kali ini.

Sebelum itu ada beberapa orang berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas tetapi tidak berbuat demikian. Malah media massa memberikan fokus istimewa kepada Maimun Yusof (89 tahun) yang dijadikan ikon calon bebas di parlimen tersebut sehingga ada calon yang berhasrat bertanding bebas yang pergi mencium tangan Tok Mun sebagai tanda memohon restu untuk bertanding.

Beberapa media massa kelihatan tidak professional dalam pilihanraya kali ini. Bukan sahaja berita tidak seimbang, tetapi banyak yang tersasar jauh. Sebagai contoh, beberapa media (tak perlu disebutkan nama) cuba menamakan tokoh tertentu dalam PAS sebagai calon yang mesti dipilih menjadi calon PAS.

Media cetak elektronik yang beria-ia membuat ramalan nujum Pak Belalang mengenai bakal calon PAS bagaikan terpukul apabila ramalan mereka tak menjadi. Malah saya diberitahu, ada akhbar yang telah sediakan biodata dan profail calon untuk disiarkan sebagai berita utama terkedu, bila nama YB MAWE diumumkan sebagai calon.

Saya diberitahu, BN kelam kabut membuat skrip baru apabila peluru yang disediakan untuk ‘menyerang’ ketiga-tiga bakal calon PAS, iaitu Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi (ADUN Batu Burok), Datuk Wan Abdul Mutallib Embong (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Datuk Mustafa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu) tidak mengena sasaran.

Bila akhbar beria-ia memfokuskan kepada ketiga-tiga bakal calon ini untuk dipilih mewakili PAS, Presiden PAS mengambil tindakan sebaliknya kerana tidak mahu terperangkap dengan strategi musuh. Di sinilah kebijaksanaan Presiden PAS dalam menamakan seseorang calon untuk mewakili PAS bila diberi mandat penuh oleh jawantakuasa PAS Pusat.

BN Silap Strategi, bukan silap calon?

Kesilapan BN menamakan Wan Ahmad Farid yang baru dilantik semula sebagai senator dan meletakkan jawatan beberapa hari selepas itu telah mempermainkan kehendak dan hasrat rakyat Terengganu.

Rakyat Terengganu tidak nampak dimana logiknya Wan Ahmad Farid meletakkan jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri untuk meneruskan kesinambungan legasi Datuk Razali Ismail.

UMNO Terengganu kehilangan dua kerusi Timbalan Menteri Kerajaan Pusat sekali gus. Disebabkan kedangkalan politik pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu, percaturan ini ibarat Lebai Malang yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Dalam masa yang sama, Nordiana Shafie, Ketua Puteri UMNO Terengganu kehilangan kerusi senator kerana mengekalkan Wan Ahmad Farid. Setelah Wan Ahmad farid meletak jawatan, adakah kerusi senator tersebut akan dikembalikan kepada Nordiana semula bagi menyambung penggal keduanya?

Tun Dr. Mahathir mengecam Abdullah Badawi akibat kekalahan ini kerana meletakkan calon yang terburuk dalam sejarah UMNO dan BN. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi dalam masa yang sama Tun Dr. Mahathir tidak pula menyalahkan Najib yang mengetuai jentera pilihanraya kecil tersebut.

Saya diberitahu keterlanjuran pegawai-pegawai keselamatan Timbalan Perdana Menteri mempamerkan kuasa dan keegoan mereka bila mengiringi Datuk Seri Najib melawat pusat-pusat mengundi membuatkan rakyat semakin benci kepada pemimpin UMNO dan BN turut memberikan saham kepada kekalan Wan Farid.  

Selain isu calon, beberapa peristiwa yang menarik dan belum pernah berlaku sebelum ini. Diantaranya adalah penukaran pegawai Pengurus Pilihanraya kerana kesilapan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim terhadap tanggungjawabnya untuk berkecuali dari memihak kepada mana-mama parti memalukan rakyat negeri Terengganu.

Pertukaran ini memberikan sokongan moral kepada PAS untuk memenangi pertandingan ini kerana mereka berjaya membongkar penyelewengan Pegawai Pengurus Pilihanraya kepada rakyat menyebabkan SPR lebih berhati-hati dalam tindakannya selepas itu.

Begitu juga dengan kehadiran polis yang begitu ramai, dikatakan melebihi 10,000 di Kuala Terengganu memberikan backfire kepada calon BN, Wan Ahmad Farid selaku Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri kerana polis adalah dibawah kekuasaan beliau.

Beliau dituduh menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politiknya sendiri. Beliau hanya meletakkan jawatan pada 5hb. Januari, sehari sebelum penamaan calon.

Rakyat Kuala Terengganu mengalami kesukaran bergerak beberapa minggu sebelum pilihanraya diadakan. Pilihanraya kecil Kuala Terengganu adalah peluang terbaik untuk mengajar Wan Ahmad Farid meninggalkan dunia kebangsawanan beliau jika masih berminat dalam kerjaya politik lagi selepas ini.

Pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini merupakan batu sempadan politik beliau, sama ada akan berkubur atau tidak selepas ini? Saya tidak nampak politik beliau akan berkubur semudah itu kerana hampir pasti Pak Lah akan memberikan suntikan ‘nyawa’ politik kepada beliau.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0133 (25 – 31hb Jan, 2009)

Filed under: Siasah, , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: