Kalam Perantau

Icon

2009 Tahun Pilihanraya kecil, Referendum rakyat untuk Najib

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tahun 2009 mungkin tahun pilihanraya kecil dan juga referendum rakyat untuk Dato’ Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil alih kuasa pemerintahan negara tanpa menerusi pilihanraya.

Belum sempat beliau bernafas setelah pilihanraya kecil Kuala Terengganu, dimana Najib tidak diberikan mandat oleh rakyat Terengganu (Kuala Terengganu). Malah rakyat Pulau Pinang (Permatang Pauh) juga menolaknya sebelum ini.

Kini Najib  akan berhadapan dengan rakyat Perak (Bukit Gantang), Kedah (Bukit Selambau) dan Selangor (Bukit Lanjang). Dengan adanya pilihanraya-pilihanraya kecil ini, Najib berpeluang membuktikan dirinya diterima oleh rakyat atau tidak.

Apakah orang Bukit akan memberikan kemenangan kepada Najib setel;ah orang Permatang (Permatang Pauh) dan Orang Kuala (Kuala Terengganu) menolaknya sebelum ini.

Semua kerusi ini diwakili oleh Pakatan Rakyat sebelum ini dengan majoriti yang agak selesa kecuali kerusi Kuala Terengganu diwakili oleh BN sebelum ini.

Bagi saya,  sepatutnya Abdullah Ahmad Badawi mengotakan janjinya untuk bersara sebagai Perdana Menteri dan peralihan kuasa pada tahun 2010.  Tarikh yang sesuai untuk beliau bersara mungkin pada 20hb. Oktober 2010 bukan selepas Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac, 2009  sebagaimana yang didesak oleh Najib Tun Razak dan sekutunya Muhyidin Yassin.

Beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri, dan masih boleh meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri selagi tidak meletak jawatan kerana rakyat telah memberikan mandat kepada beliau pada Mac, 2008.

Sebelum itu beliau juga telah mendapat mandat yang jelas daripada rakyat pada Mac, 2004 setelah kitra-kira 6 bulan dalam tempoh percubaan selepas Dr. Mahathir berundur pada bulan Oktober, 2003.

Ini berbeza dengan perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri jika peralihan kuasa diadakan pada Mac, 2009 ini. Bersediakah Najib mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh 6 bulan selepas itu sekitar bulan Oktober, 2009 walaupun tidak cukup tempoh 3 tahun bagi mengatasi kemelut politik yang melanda negara sekarang ini. 

EXCO Bukan Melayu lebih bermaruah?

Pilihanraya kecil Bukit Gantang terpaksa diadakan kerana wakilnya, Roslan Shaharum meninggal dunia. Begitu juga dengan Pilihanrayua kecil Kuala Terengganu kerana wakilnya, Datuk Razali Ismail meninggal.

Tetapi pilihanraya Permatang Pauh sebelum itu terpaksa diadakan kerana pengorbanan seorang isteri kepada suaminya. Pada saya tidak ada sebab yang lebih besar dari itu melainkan untuk membolehkan Datuk Seri Anwar memasuki semula Parlimen dan menjadi Ketua Pembangkang.

Saya mungkin bersetuju dengan pendapat, veteran politik PAS Mustafa Ali bahawa beliau tidak nampak sebab-sebab yang jelas ahli-ahli parlimen BN untuk melompat menyertai pembangkang dan menubuhkan kerajaan.

Tetapi untuk mengadakan sebuah kerajaan campuran antara parti-parti kerajaan dengan pembangkang tidak mustahil kerana pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Manakala dua lagi pilihanraya kecil diadakan kerana EXCO Kerajaan Kedah,  V. Arumugam, ADUN Bukit Selambau pula letak jawatan dan kini ADUN Bukit Lanjang, Elizabeth Wong yang juga EXCO Kerajaan Selangor pula dalam proses letak jawatan

Kali ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terpaksa mempercayai keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang memaklumkan bahawa berlaku kekosongan kerusi DUN Bukit Selambau, V Arumugam..

Belum sempat Tuanku Sultan Kedah berjumpa dengan V. Arumugam, yang juga exco Kerajaan Kedah, SPR dah istiharkan tarikh pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau serentak dengan pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, Perak pada 7 April, 2009.

Ini berbeza dengan keputusan SPR sebelum ini yang mengambilalih tugas mahkamah bila Speaker DUN Perak memaklumkan 2 kerusi DUN, iaitu DUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Changkat Jering, Othman Mohd Jailu telah dikosongkan oleh penyandangnya yang juga exco kerajaan Perak.   

Bagi saya, kedua-dua exco bukan Melayu ini, seorang India dan seorang lagi Cina lebih bermaruah berbanding dengan dua orang exco Melayu Perak yang berdolak dalik dalam perletakkan jawatannya walaupun menghadapi masalah moral yang hampir sama.

Manakala SPR pula tidak konsisten dalam keputusannya menyebabkan Pengerusi SPR  tidak mempunyai pendirian yang jelas. Malah bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid menyatakan bukan tugas SPR untuk mengesahkan sama ada surat itu sahih ataupun tidak.

Tugas SPR adalah menjalankan pilihanraya selepas dimaklukan kekosongan sesuatu kerusi oleh Speaker sama ada DUN atau parlimen. Keadaan kelam kabut dalam organisasi SPR sekarang ini kerana Pengerusi SPR dipercayai lebih bergantung kepada tok dalang dibelakangnya yang telah menetapkan skrip lebih awal untuk dilakukan oleh beliau.

Keadaan menjadi lebih parah bila tarikh  kedua-dua pilihanraya ini diadakan dipenghujung tempoh berakhirnya tempoh 60 hari yang dibenarkan oleh perlembagaan bagi mengisi kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan kerana dipercayai terikat dengan perhimpunan Agung UMNO pada 24 – 27hb. Mac, 2009.      

Tetapi disebabkan SPR didakwa terlalu terikat dengan UMNO menyebabkan tarikh yang dipilih untuk pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pun turut dipertikaikan oleh banyak pihak.

Sebenarnya, bagi mengelak imejnya menjadi terlalu negatif, SPR boleh mengadakan pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau setidak-tidanya seminggu sebelum persidangan UMNO bermula  (24hb. Mac)  kerana masa yang ada pada SPR adalah  panjang sejak awal bulan Februari, 2009 lagi.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah bil:0137 (22-28 Feb, 2009)

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , ,

Referendum Rakyat : Takdir Allah mengatasi Kuasa SPR dan Sultan

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tiba-tiba sahaja, Allah S.W.T memanggil hambanya Roslan Shaharum, Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang secara mengejut pada Isnin, 9hb. Februari, 2009.    

Ramai rakan-rakan dan kenalan dari Perak dan lain-lain tempat merasakan cukup seronok kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mempunyai alas an untuk tidak mengadakan pilihanraya kecil ekoran kekosongan kerusi berkenaan.      

Setelah referendum kepada kerajaan Pakatan Rakyat tidak menjadi kenyataan kerana Sultan sendiri telah bertindak menidakkan kuasa Dewan Undangan Negeri memutuskan undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Tindakan Sultan Perak seolah-olah bersekongkol dengan Barisan Nasional menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat setelah terikat dengan 28 kerusi BN dan 28 kerusi PR dengan 3 ADUN PR menjadi Bebas telah menyebabkan kemelut politik berlaku dengan terbentuknya 2 kerajaan.

Beberapa pengamal undang-undang bersependapat adalah lebih adil Sultan Azlan Shah membiarkan proses undang-undang berjalan dengan membenarkan Speaker memanggil sidang DUN Perak dengan segera dan mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar. 

Jika ini dilakukan oleh Sultan Perak, krisis politik tidak akan berlaku seperti yang disaksikan pada hari ini. Dalam masa yang sama kredebiliti baginda sebagai bekas Ketua Hakim Negara yang disanjungi tidak akan dipertikaikan. 

Pilihanraya kecil ini bakal diadakan dalam tempoh 60 hari ini akan menjadi referendum rakyat bukan lagi  kepada kerajaan Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya kepada Istana Perak berhubung dengan pergolakan politik yang berlaku sekarang.   

Jika kerusi ini dikekalkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat bermakna tindakan BN dan Istana tidak diterima oleh rakyat Perak. Bukan sahaja BN patut berundur dari kerajaan Perak, malah Sultan patut menarik balik watikah perlantikan Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar. 

Nizar calon PAS di Bukit Gantang?

Banyak pihak dalam Pakatan Rakyat  mencadangkan Ir. Nizar Jamaluddin yang dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak secara tidak berpelembagaan dicalonkan oleh PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat menentang calon BN dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang.   

Saya tidak pasti sama ada PAS akan bersetuju untuk memberikan peluang yang ada ini untuk Ir Nizar mendapat pengesahan dari rakyat memberikan peluang Pakatan Rakyat bagi  meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau mengikut pandangan Mursyidul Am PAS yang  tidak bersetuju Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Sebagaimana laporan BERNAMA, bagi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selagi Timbalan Pesuruhjaya PAS itu masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar adalah tidak sesuai dicalonkan untuk bertanding dikerusi parlimen tersebut. 

Sekiranya Ir. Nizar tidak dicalonkan di Parlimen Bukit Gantang, terdapat dua nama lain yang mungkin sesuai dipertimbangkan oleh PAS menjadi calon Pakatan Rakyat di sini.

Nama Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS yang tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia sentiasa bermain dibibir peminantnya untuk dijadikan calon bertanding dimana-mana kerusi parlimen. Untuk rekod, Mohamad Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri (sekarang Kubang Kerian) dan Kuala Kedah.

Dikalangan anak tempatan, saya diberitahu nama Ustaz Idris Ahmad, dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga mantan Setiausaha Majlis Syura Ulama dan mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak merupakan calon yang sesuai untuk  ditonjolkan  bertanding dikerusi parlimen Bukit Gantang.

Dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008 yang lepas, beliau bertanding di parlimen Jerlun, Kedah. Jika tidak salah ingatan saya, bekas Pensyarah ITM Melaka (sekarang UiTM) ini telah bertanding dalam satu pilihanraya kecil DUN Changkat Jering pada pertengahan tahun 90’an dulu tetapi tewas. Selepas itu pada pilihanraya umum 1999 beliau mencuba sekali lagi DUN berkneaan tetapi tidak bernasib baik. 

Sementara di pihak Barisan Nasional pula, nama Azim Mohd Zabidi, Bendahari UMNO Pusat belum tentu lagi diberikan peluang untuk bertanding semula di kerusi ini dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan.

Pada pilihan raya umum lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azim Mohd. Zabidi tewas kepada Roslan Shaharum, calon PAS dengan kekurangan undi sebanyak 1,566 undi. Beliau memperoleh 18,449 undi berbanding lawannya dari PAS yang meraih 20,015 undi dan calon bebas,M. Murganan dengan hanya mendapat 872 undi.

Sebelum ini kerusi parlimen Bukit Gantang ini diwakili oleh parti Gerakan. Apa pun perkiraannya, kerusi ini akan menghadapi persaingan sengit BN dan PR seperti di Kuala Terengganu kerana kerusi ini secara tradisinya diwakili oleh Barisan Nasional.   

Tidak dapat dipastikan lagi sama ada Gerakan berminat atau tidak untuk bertanding semula kerusi parlimen Bukit Gantang ini bagi menempatkan Presidennya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon untuk dilantik sebagai Menteri kerajaan Persekutuan kerana kouta Gerakan yang masih dikosongkan sehingga sekarang.

Sanggupkah UMNO membiarkan kerusi ini ditandingi oleh Gerakan semula? Sudah pasti tidak!

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0136 (15-21 Feb, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Referendum kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tak jadi?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Minggu ini saya terima banyak sms dari rakan-rakan yang bertanyakan berhubung dengan perkembangan yang berlaku di Perak. Pada saya apa yang berlaku di Perak adalah ulangan kepada apa yang berlaku kepada kerajaan Kelantan penggal 2004-2008 yang lepas. 

Sama ada secara kebetulan atau tidak, apa yang dialami oleh Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak hari ini telah dilalui oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dari tahun 2004 hingga 2008.     

Selepas keputusan pilihanraya umum ke-11 pada 21hb. Mac, 2004 Kerajaan PAS di Kelantan ibarat telur berada dihujung tanduk. Ketika itu PAS mendapat 24 kerusi dan UMNO pula 21 kerusi dengan majoriti 3 kerusi.   

Keadaan bertambah genting setelah calon UMNO Hanafi Mamat memenangi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada bulan Disember, 2005 menjadikan majoriti hanya dengan satu kerusi di mana PAS tinggal 23 kerusi dan UMNO pula meningkat kepada 22 kerusi. 

Selamatkan kerajaan PR di Perak

Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Perak dengan majoriti 3 kerusi sahaja pada awalnya, di mana PR hanya ada 31 kerusi (PAS – 6, PKR – 7 dan DAP – 18) berbanding dengan BN sebanyak 28 kerusi (UMNO – 27, MCA -1).  

Bila Datuk Nasaruddin Hashim, membuat kejutan menyertai PKR pada penghujung Januari lalu membuatkan UMNO/BN yang baru kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu menjadi tidak tentu arah dan hilang punca. 

Dengan penyertaan ADUN  Bota dari UMNO  ke dalam PKR menyebabkan kerajaan PR bertambah kukuh di mana PR meningkat kepada 32 dan BN tinggal 27 menjadikan majoriti sebanyak 5 kerusi.

Bagi mengelak lebih ramai wakil-wakil rakyat BN melompat menyertai PR,  tindakan drastik perlu dilakukan sebelum PR bertambah kukuh. Kerajaan PR Perak yang bagaikan telur dihujung tanduk terpaksa denganyang dengan melarikan dua orang exco PKR yang bermasalah supaya kerajaan PR terus berada dalam keadaan tidak stabil.

Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering yang juga exco Kerajaan Perak yang menghilangkan diri  sebelum menyertai UMNO bagi menggulingkan kerajaan Perak tidak berjaya kerana masih ada majoriti 1 kerusi bila Datuk Nasaruddin Hashim lebih awal menyelamatkan kerajaan Perak dengan menyertai PKR.

BN tidak berputus asa terus memperalatkan MCA pula untuk memujuk ADUN DAP untuk menyertai parti berkenaan bagi menumbangkan kerajaan PR yang dipimpin oleh Ir. Nizar. Sebelum undi tidak percaya berjaya dilakukan, Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menerima surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN Beherang dan Changkat Jering bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.

Suruhanjaya Pilihanraya kemudiannya tidak mengadakan pilihanraya kecil kerana dikatakan meragui kekosongan kerusi tersebut bila kedua-dua ADUN berkenaan menafikan meletak jawatan, keluar dari PKR dan menganggap diri mereka masih wakil rakyat dikawasan masing-masing.

Tindakan SPR menyebabkan UMNO dan BN memperhebatkan tindakan mereka membeli ADUN Pakatan Rakyat. Terbaharu ADUN Jelapang, Hee Yit Fong yang juga Timbalan Speaker DUN telah keluar dari DAP dan Nasaruddin Hashim akan berpatah balik semula kepada UMNO.

Bila pilihanraya kecil tidak dilaksanakan oleh SPR yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab setelah mendapat arahan kekosongan kerusi dari Speaker DUN Perak, rakyat Perak hilang peluang untuk menghantar referendum kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak.

Malah kalau satu kerusi di menangi PR dan satu lagi BN bermakna rakyat masih berbelah bahagi menerima kerajaan PR di Perak tetapi terus memberikan peluang kepada Ir Nizar membuktikan kemampuannya memimpin  kerajaan dan rakyat.

Jika kedua-dua kerusi tersebut dimenangi oleh BN, bermakna kerajaan Ir. Nizar tidak diterima oleh rakyat. Begitu juga sebaliknya, jika kerusi berkenaan terus di kekalkan PKR bermakna rakyat menerima kerajaan PR di Perak.

Saya tidak pasti sama ada kerajaan Ir Nizar di Perak mampu bertahan atau tidak dengan perkembangan terbaru ini sebagaimana kerajaan Tuan Guru Nik Aziz mampu bertahan dengan majoriti satu kerusi hingga habis penggal.

Bagi memulihkan reputasi kerajaannya, Ir. Nizar tidak mempunyai banyak pilihan melainkan membubarkan DUN perak berkenaan dengan segera. Sultan Perak perlu memberikan laluan kepada satu pilihanraya baru di Perak supaya tidak ada kerajaan pintu belakang di tubuhkan di negeri bekas Ketua Hakim Negara. 

Apa yang berlaku di Perak sekarang ini adalah perkara biasa yang dilakukan oleh UMNO sebelum ini. Kali terakhir tindakan UMNO membentuk kerajaan menerusi pintu belakang  dilakukan di Sabah pada tahun 1994 bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Pairin Kitingan dengan menculik ADUN PBS. 

Sebelum itu UMNO juga telah melakukan perkara yang sama di Terengganu pada tahun 1961 dimana mereka telah melakukan usul undi tidak percaya kepada kerajaan PAS di Dewan Undangan Negeri setelah mereka berjaya menculik ADUN PAS.

Sungguhpun begitu mereka gagal melakukan  tindakan yang sama pada tahun 2004 hingga 2008 di Kelantan.  Pada masa tersebut ADUN-ADUN PAS diburu dengan berbagai tawaran untuk melompat kepada UMNO bagi menamatkan riwayat kerajaan pimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi tidak berjaya kerana tidak ada yang sanggup menggadaikan perjuangan. 

Apa yang dikesalkan adalah menjelang persaraan Pak Lah demokrasi dicabuli sebegitu rupa. Apakah rakyat Malaysia mampu melihat demokrasi subur kembali dengan perginya Pak Lah.

Saya secara peribadi, berilah peluang Pak lah bersara dengan rekod yang bersih sebagai Bapa Pemulihan Demokrasi. 

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah  Bil:0135 (8-14hb Feb, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Aura MAWE dan PRU ke-13

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Saya menerima banyak panggilan, sms, emel dan ucapan tahniah dari rakan-rakan perantau yang kagum dengan keputusan rakyat Terengganu memberikan mesej perubahan dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sesetengah daripada mereka menyesal kerana tidak balik mengundi. Kalau balik mengundi tentu bertambah lagi majoriti. Bagi perantau sama ada yang pro BN atau PR, mereka tidak kisah untuk memberikan undi kepada PAS dalam pilihanraya kecil baru-baru ini kerana sebahagian besar dari mereka bermastautin di negeri-negeri maju yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.   

Malah ramai juga perantau dari Sabah dan Sarawak yang saya temui balik mengundi kali ini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat. Seorang dari perantau daripada Labuan memberitahyu saya, dia  sanggup membelanjakan lebih dua ribu ringgit tambang untuk balik mengundi.

Tetapi ramai juga perantau yang menyokong BN menyatakan mereka tidak berminat untuk balik mengundi kali ini kerana beberapa sebab. Pertamanya, sama ada menang atau kalah BN tidak menjejaskan kerajaan yang sedia memerintah.

Selain itu, jika pulang mereka juga turut terpengaruh untuk memberikan undi kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut atau sekarang lebih terkenal sebagai MAWE kerana auranya lebih memikat berbanding dengan calon BN.

Menjelang Pilihanraya Umum ke-13

Bebarapa orang kenalan dikalangan pegawai kerajaan yang saya temui semasa pilihanraya kecil di Kuala Terengganu baru-baru ini begitu yakin jika pilihanraya umum diadakan pada waktu ini, PAS akan kembali memerintah Terengganu semula.

Disebabkan saya kenal dia orang kuat UMNO, saya tanya bukankah UMNO sedang memerintah Terengganu sekarang ini. Dengan pantas dia menjawab, dok leh harap, lebih baik kerajaan dulu. Masa kerajaan PAS dulu, dia memang bermuka-muka apatah lagi seorang dari exco PAS dulu adalah kawan dia.

Dari risikan saya, dia marah sangat dengan kerajaan Terengganu sekarang ini. Apa tidaknya, ramai pegawai-pegawai kerajaan pro UMNO yang naik pangkat secara mendadak dengan tidak mengikut senioriti semasa pemerintahan Datuk Seri Idris Jusoh dahulu terpaksa menerima hakikat bahawa mereka kena kembali semula kepada tempat yang selayaknya untuk mereka dalam rombakan pegawai kerajaan negeri secara besar-besaran yang dilakukan baru-baru ini.

Dengan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil baru-baru ini, pegawai-pegawai kerajaan yang hardcore  UMNO mula beralih kem untuk bersama dengan Menteri Besar sekarang dan sebahagian pegawai-pegawai yang lain cuba untuk dilihat neutral.

Malah ada yang cuba untuk mendekati PAS semula kerana bimbang kerajaan UMNO/BN tumbang selepas pilihanraya umum akan dating sebagaimana negeri-negeri maju di Pantai Barat.

Seorang pegawai kerajaan negeri yang sudah lama tidak menghubungi saya, baru-baru ini berbuat demikian selepas PAS menang di Kuala Terengganu.

Secara berjenaka saya memberitahunya, kerajaan Terengganu belum berubah. Baru menang kerusi parlimen Kuala Terengganu. Tunggulah menang negeri, insyaAllah kita akan berjumpa semula.

Semasa PAS memerintah Terengganu dahulu, pegawai berkenaan agak rapat dengan saya dan kerap kali mengadu hal berhubung dengan kedudukannya minta disampaikan kepada Menteri Besar dan exco tertentu yang berkaitan.

Tetapi selepas UMNO menang semula pada tahun 2004, pegawai berkenaan cuba memujuk saya mengisi borang UMNO supaya senang untuk dia membantu saya dikekalkan jawatan syarikat milik ketika itu.

Secara bergurau saya memberitahunya, kalau saya hendak menyertai UMNO, bukan kerana jawatan ini yang tidak seberapa. Saya bersedia menyertai sesuatu parti kerana perjuangan. Sementelahan pula jawatan yang saya sandang ketika itu adalah jawatan professional, tidak ada kena mengena dengan keahlian mana-mana parti. Malah  tidak pernah disebut menjadi syarat  mesti menjadi ahli mana-mana parti bagi memegang jawatan berkenaan.

Seorang lagi pegawai kerajaan yang lain menaruh harapan yang besar supaya PAS memerintah semula Terengganu dalam pilihanraya yang ke-13 nanti. Beliau turut memberitahu sebahagian besar pegawai-pegawai kerajaan bukanlah hardcore   mana-mana parti politik, tetapi mereka mahukan jaminan periuk nasi mereka tidak terjejas.

Beliau memberitahu, pegawai kerajaan sekarang tidak selesa bekerja sebagaimana zaman PAS memerintah dahulu (1999-2004) kerana terlalu banyak campur tangan politik. Kesilapan besar zaman PAS memerintah dahulu adalah membatalkan overtime kakitangan-kakitangan rendah yang tak seberapa bila royalti ditarik balik tetapi dalam masa yang sama pegawai-pegawai kanan dan exco-exco kerajaan negeri dilihat masih lagi bermewah-mewah dengan menggunakan penerbangan kelas bisnes dan menginap di hotel-hotel lima bintang.

Secara berterus terang pegawai ini  beritahu, jika PAS berjaya capitalize aura MAWE  sekarang ini hingga pilihanraya umum ke-13 dia yakin PAS akan berjaya memerintah semula Terengganu selepas pilihanraya umum tersebut.

Secara berjenaka saya menjawab, belum pilihanraya umum ke-13 tidak mustahil PAS akan memerintah semula Terengganu.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0134  (1-7hb Februari, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories