Kalam Perantau

Icon

Referendum kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tak jadi?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Minggu ini saya terima banyak sms dari rakan-rakan yang bertanyakan berhubung dengan perkembangan yang berlaku di Perak. Pada saya apa yang berlaku di Perak adalah ulangan kepada apa yang berlaku kepada kerajaan Kelantan penggal 2004-2008 yang lepas. 

Sama ada secara kebetulan atau tidak, apa yang dialami oleh Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak hari ini telah dilalui oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dari tahun 2004 hingga 2008.     

Selepas keputusan pilihanraya umum ke-11 pada 21hb. Mac, 2004 Kerajaan PAS di Kelantan ibarat telur berada dihujung tanduk. Ketika itu PAS mendapat 24 kerusi dan UMNO pula 21 kerusi dengan majoriti 3 kerusi.   

Keadaan bertambah genting setelah calon UMNO Hanafi Mamat memenangi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada bulan Disember, 2005 menjadikan majoriti hanya dengan satu kerusi di mana PAS tinggal 23 kerusi dan UMNO pula meningkat kepada 22 kerusi. 

Selamatkan kerajaan PR di Perak

Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Perak dengan majoriti 3 kerusi sahaja pada awalnya, di mana PR hanya ada 31 kerusi (PAS – 6, PKR – 7 dan DAP – 18) berbanding dengan BN sebanyak 28 kerusi (UMNO – 27, MCA -1).  

Bila Datuk Nasaruddin Hashim, membuat kejutan menyertai PKR pada penghujung Januari lalu membuatkan UMNO/BN yang baru kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu menjadi tidak tentu arah dan hilang punca. 

Dengan penyertaan ADUN  Bota dari UMNO  ke dalam PKR menyebabkan kerajaan PR bertambah kukuh di mana PR meningkat kepada 32 dan BN tinggal 27 menjadikan majoriti sebanyak 5 kerusi.

Bagi mengelak lebih ramai wakil-wakil rakyat BN melompat menyertai PR,  tindakan drastik perlu dilakukan sebelum PR bertambah kukuh. Kerajaan PR Perak yang bagaikan telur dihujung tanduk terpaksa denganyang dengan melarikan dua orang exco PKR yang bermasalah supaya kerajaan PR terus berada dalam keadaan tidak stabil.

Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering yang juga exco Kerajaan Perak yang menghilangkan diri  sebelum menyertai UMNO bagi menggulingkan kerajaan Perak tidak berjaya kerana masih ada majoriti 1 kerusi bila Datuk Nasaruddin Hashim lebih awal menyelamatkan kerajaan Perak dengan menyertai PKR.

BN tidak berputus asa terus memperalatkan MCA pula untuk memujuk ADUN DAP untuk menyertai parti berkenaan bagi menumbangkan kerajaan PR yang dipimpin oleh Ir. Nizar. Sebelum undi tidak percaya berjaya dilakukan, Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menerima surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN Beherang dan Changkat Jering bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.

Suruhanjaya Pilihanraya kemudiannya tidak mengadakan pilihanraya kecil kerana dikatakan meragui kekosongan kerusi tersebut bila kedua-dua ADUN berkenaan menafikan meletak jawatan, keluar dari PKR dan menganggap diri mereka masih wakil rakyat dikawasan masing-masing.

Tindakan SPR menyebabkan UMNO dan BN memperhebatkan tindakan mereka membeli ADUN Pakatan Rakyat. Terbaharu ADUN Jelapang, Hee Yit Fong yang juga Timbalan Speaker DUN telah keluar dari DAP dan Nasaruddin Hashim akan berpatah balik semula kepada UMNO.

Bila pilihanraya kecil tidak dilaksanakan oleh SPR yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab setelah mendapat arahan kekosongan kerusi dari Speaker DUN Perak, rakyat Perak hilang peluang untuk menghantar referendum kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak.

Malah kalau satu kerusi di menangi PR dan satu lagi BN bermakna rakyat masih berbelah bahagi menerima kerajaan PR di Perak tetapi terus memberikan peluang kepada Ir Nizar membuktikan kemampuannya memimpin  kerajaan dan rakyat.

Jika kedua-dua kerusi tersebut dimenangi oleh BN, bermakna kerajaan Ir. Nizar tidak diterima oleh rakyat. Begitu juga sebaliknya, jika kerusi berkenaan terus di kekalkan PKR bermakna rakyat menerima kerajaan PR di Perak.

Saya tidak pasti sama ada kerajaan Ir Nizar di Perak mampu bertahan atau tidak dengan perkembangan terbaru ini sebagaimana kerajaan Tuan Guru Nik Aziz mampu bertahan dengan majoriti satu kerusi hingga habis penggal.

Bagi memulihkan reputasi kerajaannya, Ir. Nizar tidak mempunyai banyak pilihan melainkan membubarkan DUN perak berkenaan dengan segera. Sultan Perak perlu memberikan laluan kepada satu pilihanraya baru di Perak supaya tidak ada kerajaan pintu belakang di tubuhkan di negeri bekas Ketua Hakim Negara. 

Apa yang berlaku di Perak sekarang ini adalah perkara biasa yang dilakukan oleh UMNO sebelum ini. Kali terakhir tindakan UMNO membentuk kerajaan menerusi pintu belakang  dilakukan di Sabah pada tahun 1994 bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Pairin Kitingan dengan menculik ADUN PBS. 

Sebelum itu UMNO juga telah melakukan perkara yang sama di Terengganu pada tahun 1961 dimana mereka telah melakukan usul undi tidak percaya kepada kerajaan PAS di Dewan Undangan Negeri setelah mereka berjaya menculik ADUN PAS.

Sungguhpun begitu mereka gagal melakukan  tindakan yang sama pada tahun 2004 hingga 2008 di Kelantan.  Pada masa tersebut ADUN-ADUN PAS diburu dengan berbagai tawaran untuk melompat kepada UMNO bagi menamatkan riwayat kerajaan pimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi tidak berjaya kerana tidak ada yang sanggup menggadaikan perjuangan. 

Apa yang dikesalkan adalah menjelang persaraan Pak Lah demokrasi dicabuli sebegitu rupa. Apakah rakyat Malaysia mampu melihat demokrasi subur kembali dengan perginya Pak Lah.

Saya secara peribadi, berilah peluang Pak lah bersara dengan rekod yang bersih sebagai Bapa Pemulihan Demokrasi. 

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah  Bil:0135 (8-14hb Feb, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: