Kalam Perantau

Icon

Referendum Rakyat : Takdir Allah mengatasi Kuasa SPR dan Sultan

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tiba-tiba sahaja, Allah S.W.T memanggil hambanya Roslan Shaharum, Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang secara mengejut pada Isnin, 9hb. Februari, 2009.    

Ramai rakan-rakan dan kenalan dari Perak dan lain-lain tempat merasakan cukup seronok kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mempunyai alas an untuk tidak mengadakan pilihanraya kecil ekoran kekosongan kerusi berkenaan.      

Setelah referendum kepada kerajaan Pakatan Rakyat tidak menjadi kenyataan kerana Sultan sendiri telah bertindak menidakkan kuasa Dewan Undangan Negeri memutuskan undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Tindakan Sultan Perak seolah-olah bersekongkol dengan Barisan Nasional menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat setelah terikat dengan 28 kerusi BN dan 28 kerusi PR dengan 3 ADUN PR menjadi Bebas telah menyebabkan kemelut politik berlaku dengan terbentuknya 2 kerajaan.

Beberapa pengamal undang-undang bersependapat adalah lebih adil Sultan Azlan Shah membiarkan proses undang-undang berjalan dengan membenarkan Speaker memanggil sidang DUN Perak dengan segera dan mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar. 

Jika ini dilakukan oleh Sultan Perak, krisis politik tidak akan berlaku seperti yang disaksikan pada hari ini. Dalam masa yang sama kredebiliti baginda sebagai bekas Ketua Hakim Negara yang disanjungi tidak akan dipertikaikan. 

Pilihanraya kecil ini bakal diadakan dalam tempoh 60 hari ini akan menjadi referendum rakyat bukan lagi  kepada kerajaan Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya kepada Istana Perak berhubung dengan pergolakan politik yang berlaku sekarang.   

Jika kerusi ini dikekalkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat bermakna tindakan BN dan Istana tidak diterima oleh rakyat Perak. Bukan sahaja BN patut berundur dari kerajaan Perak, malah Sultan patut menarik balik watikah perlantikan Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar. 

Nizar calon PAS di Bukit Gantang?

Banyak pihak dalam Pakatan Rakyat  mencadangkan Ir. Nizar Jamaluddin yang dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak secara tidak berpelembagaan dicalonkan oleh PAS bagi mewakili Pakatan Rakyat menentang calon BN dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang.   

Saya tidak pasti sama ada PAS akan bersetuju untuk memberikan peluang yang ada ini untuk Ir Nizar mendapat pengesahan dari rakyat memberikan peluang Pakatan Rakyat bagi  meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau mengikut pandangan Mursyidul Am PAS yang  tidak bersetuju Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Sebagaimana laporan BERNAMA, bagi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selagi Timbalan Pesuruhjaya PAS itu masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar adalah tidak sesuai dicalonkan untuk bertanding dikerusi parlimen tersebut. 

Sekiranya Ir. Nizar tidak dicalonkan di Parlimen Bukit Gantang, terdapat dua nama lain yang mungkin sesuai dipertimbangkan oleh PAS menjadi calon Pakatan Rakyat di sini.

Nama Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS yang tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia sentiasa bermain dibibir peminantnya untuk dijadikan calon bertanding dimana-mana kerusi parlimen. Untuk rekod, Mohamad Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri (sekarang Kubang Kerian) dan Kuala Kedah.

Dikalangan anak tempatan, saya diberitahu nama Ustaz Idris Ahmad, dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga mantan Setiausaha Majlis Syura Ulama dan mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak merupakan calon yang sesuai untuk  ditonjolkan  bertanding dikerusi parlimen Bukit Gantang.

Dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008 yang lepas, beliau bertanding di parlimen Jerlun, Kedah. Jika tidak salah ingatan saya, bekas Pensyarah ITM Melaka (sekarang UiTM) ini telah bertanding dalam satu pilihanraya kecil DUN Changkat Jering pada pertengahan tahun 90’an dulu tetapi tewas. Selepas itu pada pilihanraya umum 1999 beliau mencuba sekali lagi DUN berkneaan tetapi tidak bernasib baik. 

Sementara di pihak Barisan Nasional pula, nama Azim Mohd Zabidi, Bendahari UMNO Pusat belum tentu lagi diberikan peluang untuk bertanding semula di kerusi ini dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan.

Pada pilihan raya umum lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azim Mohd. Zabidi tewas kepada Roslan Shaharum, calon PAS dengan kekurangan undi sebanyak 1,566 undi. Beliau memperoleh 18,449 undi berbanding lawannya dari PAS yang meraih 20,015 undi dan calon bebas,M. Murganan dengan hanya mendapat 872 undi.

Sebelum ini kerusi parlimen Bukit Gantang ini diwakili oleh parti Gerakan. Apa pun perkiraannya, kerusi ini akan menghadapi persaingan sengit BN dan PR seperti di Kuala Terengganu kerana kerusi ini secara tradisinya diwakili oleh Barisan Nasional.   

Tidak dapat dipastikan lagi sama ada Gerakan berminat atau tidak untuk bertanding semula kerusi parlimen Bukit Gantang ini bagi menempatkan Presidennya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon untuk dilantik sebagai Menteri kerajaan Persekutuan kerana kouta Gerakan yang masih dikosongkan sehingga sekarang.

Sanggupkah UMNO membiarkan kerusi ini ditandingi oleh Gerakan semula? Sudah pasti tidak!

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah Bil: 0136 (15-21 Feb, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: