Kalam Perantau

Icon

Kabinet April Fool: Pak Lah Menteri Kanan, Mahathir Menteri Mentor ?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Sekarang episod Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berundur telah berkumandang disetiap tempat. Baik parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) tidak terkecuali membincangkannya.

Malah dalam titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin  semasa membuka persidangan Parlimen pada 16hb.Februari, 2009 baru-baru ini pun tidak terkecuali memperkatakan tentang pengunduran Memanda Perdana Menteri pada hujung bulan Mac, 2009 ini.

Tetapi sekarang nampaknya Pak Lah masih membisu tentang persaraan ini. Beliau belum mengumumkan tarikh yang tepat bila peralihan kuasa ini hendak dilakukan. Adakah pada bulan Mac, sebaik sahaja perhimpunan Agung UMNO berakhir pada 26hb. Mac, 2009 dan sebelum penamaan calon PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 29hb. Mac, 2009 atau selepas tarikh penamaan calon dan pilihanraya kecil tersebut pada 7hb. April bagi membolehkan Najib menumpukan kepada pilihanraya kecil tersebut terlebih dahulu.    

Dengan perkembangan yang berlaku kebelakangan ini, agak sukar untuk Pak Lah bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga tahun 2010, hatta sehingga bulan Oktober, 2009 untuk menggenapkan tempoh pemerintahannya selama 6 tahun pun belum tentu dipersetujui oleh UMNO yang akan diketuai oleh Najib selepas pada 26hb. Mac, 2009 ini.

Sekarang ini beberapa pemimpin UMNO telah memulakan gerakan dimana mahu diletakkan Abdullah selepas ini supaya episod yang dilalui oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr. Mahathir tidak akan berulang sebagaimana yang sering disebut oleh anaknya, Mukhriz Mahathir.

Seorang Ahli Parlimen BN, Mohamad Abd Aziz ada mencadangkan agar Malaysia mencontohi negara jiran, Singapura dengan melantik Abdullah Ahamad Badawi sebagai Menteri Kanan supaya bekas Perdana Menteri itu terus dihormati dan tidak menjadi ‘back bencer’ seperti beliau, Bung Moktar dan lain-lain.

Pada saya cadangan ini wajar dipertimbangkan oleh Datuk Najib Tun Razak supaya pisang tidak berbuah dua kali. Peristiwa Tun Mahathir menyerang semula parti dan kerajaan yang ditinggalkannya tidak harus berulang jika UMNO dan BN hendak melanjutkan hayatnya di bumi Malaysia.

Malah saya merasakan Najib Tun Razak sendiri akan pergi lebih jauh lagi dengan melantik Tun Dr. Mahathir sebagai Menteri Mentor, jika formula yang dilakukan oleh Singapura dalam meraikan bekas Perdana menteri mereka digunapakai oleh UMNO dan BN.

Kerajaan Dr Zamry di Perak kelam kabut?

Perkara ini tidak mustahil dalam politik. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Dr. Zamry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak yang dipertikaikan sekarang ini telah melakukan apa yang tidak pernah dilakukan olen mana-mana Menteri Besar dan Ketua Menteri sebelum ini dengan melantik 3 orang Penasihat bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco).

Lebih menarik lagi dua orang calon yang kalah pilihanraya  sebagai exco melalui pintu belakang sesudah beliau membentuk kerajaan secara pintu belakang setelah UMNO dan BN memperguna istana secara yang tidak berpelembagaan.

Perkara ini sedang dipertikaikan oleh kerajaan pilihan rakyat Perak, yakni kerajaan Pakatan Rakyat yang mendakwa kerajaan mereka masih sah di sisi perlembagaan Perak. Isu ini sedang dibicarakan di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Zambry telah melantik Datuk Chang Ko Youn (wakil Gerakan) selaku Penasihat Hal Ehwal Kaum Cina dan Datuk S. Veerasingam (wakil MIC) sebagai Penasihat Hal Ehwal Kaum India yang bertaraf exco.

Saya juga hairan kenapa Datuk Mohd Najumuddin Elias sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam bertaraf exco. Dalam hal ini dimanakah maruah dan peranan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Harussani Zakaria yang sepatutnya menjadi tempat rujuk yang utama dalam hal-hal agama?

Dengan bahasa lain, Datuk Harussani bukan sahaja dipertikaikan oleh rakyat, malah kerajaan UMNO dan BN sendiri seolah-olah turut meragui kemampuannya. Jika kerajaan negeri Perak menghargai kredebiliti Datuk Harusani sebagai mufti kenapa tidak diberikan taraf exco tersebut kepada beliau.

Bagi saya Perdana Menteri wajar mempunyai Penasihat Agama yang bertaraf Menteri kerana tidak ada jawatan Mufti Negara yang boleh menasihatkan beliau dalam hal-hal keagamaan. Apakah justifikasi Dr. Zamri melantik Penasihat Agama bertaraf exco dengan membelakangkan Mufti Perak?

Begitu juga dalam kes Datuk Hamdi Abu Bakar. Kenapa tidak dilantik sebagai exco dan bertanggungjawab terhadap portfolio penerangan? Sebaliknya hanya dilantik sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri dan diberikan taraf exco. Satu jawatan yang tak pernah diwujudkan olen mana-mana   negeri sebelum ini.

Dalam hal ini DAP Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar yang didakwa oleh parti itu sebagai salah guna kuasa.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata pelantikan itu dibuat tanpa kelulusan exco kerajaan Perak dan juga melanggar peruntukan undang-undang tubuh negeri tetapi SPRM tidak mengambil sebarang tindakan setakat ini.

Sikap double standard Ketua Pengarah SPRM begitu ketara sekali. Aduan melibatkan Menteri Besar Perak tidak di siasat tetapi kes yang sebaliknya melibatkan Menteri Besar Selangor, SPRM kelam kabut menyiasat kes penyelenggaraan kereta persendirian Tan Sri Khalid Ibrahim yang dijadikan kereta rasmi Menteri Besar Selangor.

Begitu juga dengan kes lembu korban yang diberikan oleh agensi-agensi Kerajaan Selangor kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan yang diwakili oleh beliau.

Dalam hal ini, Lim Kit Siang, Penasihat DAP meminta Ketua Pengarah SPRM segera meletak jawatan dan digugurkan dari menjadikan SPRM atau MACC sebagai Malaysian Agency for Car and Cows).        

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah  bil:0138  (1 – 7 mac, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: