Kalam Perantau

Icon

Kuasa Speaker Perak tidak terjejas, Sidang Dewan dibawah pokok tetap sah!

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Krisis politik dan perlembagaan di Perak belum lagi ada tanda-tanda  penyelesaian. Perebutan kuasa (kerajaan) kini sedang berlaku dan berlarutan sejak lebih sebulan lalu. Malah ianya menjadi bertambah kronik. Laporan polis dan  saman menyaman di mahkamah makin banyak.

Satu kerajaan yang juga dilantik oleh Sultan bersama barisan Exconya masih mengaku merekalah kerajaan sah di Perak. Manakala satu lagi kerajaan yang baru dibentuk selepas rampasan kuasa juga mengakui merekalah kerajaan yang sah.

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak telah mengemukakan tuntutan kesahihan kerajaan Dr. Zamry Abdul Kadir ke mahkamah.  Kes ini sedang dikendalikan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung dengan beberapa pertikaian berkaitan dengan aspek perlembagaan dan kuasa sultan.

Malah saya difahamkan, Mahkamah Tinggi Ipoh telah mencampuri urusan DUN bila menghalangnya bersidang, selepas DUN telah pun bersidang. Sidang DUN diadakan pada sebelah pagi. Mahkamah pula mengeluarkan injuksi pada sebelah petang. Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak yang dipanggil oleh Speaker V. Sivakumar terpaksa diadakan di bawah pokok pada 3hb. Mac, 2009 kerana Ahli Dewan Undangan Negeri dilarang memasuki  tempat DUN bersidang yang dikhaskan kepada mereka.  

Speaker DUN Perak telah memangil sidang khas Dewan yang antara lain; untuk mendapatkan pengesahan (endorsement) ke atas keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Terpilih mengenai penggantungan YB Datuk Dr. Zambry dan keenam-enam EXCO yang didapati telah melakukan  kesalahan kerana merampas Kerajaan Negeri Perak  melalui cara yang tidak berperlembagaan dan juga, Untuk membuat keputusan bagi dipersembah perkenan DYMM supaya Dewan negeri dibubarkan.

Menurut Wan Abdul Mutalib Embong, seorang pengamal undang-undang dalam satu kertas kerjanya berhubung dengan Krisis Politik dan krisis Perlembagaan di Negeri Perak menjangkakan akan memakan masa yang lebih panjang daripada jangkaan awal semua pihak.  Dengan perlantikan (Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak) dan pemasyhuran kerajaan baru pimpinan BN itu bererti Negeri Perak mempunyai dua Menteri Besar dan dua Kerajaan dalam satu ketika.  Siapa pun mendakwa lebih berkuasa dan sah permasalaahan itu telah sampai kepada cabang ketiga pemisahan kuasa organ pentadbiran Negara iaitu Mahkamah. 

Sekarang telah berlaku banyak tindakan mahkamah diambil yang akan melibatkan masa, kedudukan kuasa perundangan, hak-hak tersendiri tiga (3) cabang kuasa yang sepatutnya terasing iaitu:-

(1) Kuasa Dewan (Legislature),
(2) Kuasa Eksekutif, dan
(3) Kuasa Kehakiman.

Beliau yang berpengalaman menjadi  exco Kerajaan Terengganu sebelum ini menyebut, dalam ‘doktrin’ pemisahan kuasa,  Dewan memiliki kuasa yang tersendiri dalam menentukan urusan dan prosedurnya.  Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Dewan tidak boleh dipersoalkan dalam Mahkamah.  Fungsi Mahkamah ialah untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan/Parlimen dan tidak boleh menyoal kesahihan prosedur Dewan dan kewajaran hukuman yang dibuat oleh Dewan seperti penggantungan hak seseorang Ahli Dewan.

Baginya, walaupun pada ketika ini kuasa Speaker dilihat telah terhalang oleh kuasa eksekutif (Pentadbiran dan Polis) yang menghalang sidang Dewan yang dipanggil oleh Speaker, kuasa Speaker masih tidak terjejas.  Speaker hanya boleh dibatalkan perlantikan/pecat oleh Dewan yang akan bersidang.  Mahu tidak mahu Dewan diwajibkan bersidang dalam satu tempoh yang tidak melebihi enam (6) bulan dalam satu-satu masa.  Bilamana Kerajaan Kedua mahu mengadakan sidang Dewan, Speaker yang sama juga akan memanggil Dewan.  Dalam masa itu Speaker masih boleh menggunakan kuasanya dalam mengurus kendalikan kerja-kerja Dewan mengikut kuasa yang diberi kepadanya oleh Perlembagaan dan Peraturan Tetap Dewan.

Manakala Asmuni Awi seorang pengamal undang-undang di Perak memberitahu saya semasa kami makan tengahari pada minggu lepas, keadaan  yang berlaku di Perak sekarang ini cukup luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Amat jarang, malah hampir tidak pernah berlaku pihak judiciary, mencampuri urusan legislatif.  Yang banyak berlaku adalah pihak eksekutif mencampuri urusan sama ada judiciary ataupun legislatif  sebelum ini.

Malaysian Bar Council meminta  pembubaran Dewan Negeri dilakukan supaya mandat rakyat diminta semula yang akan sekaligus menyelesaikan perbalahan politik dan krisis perlembagaan di Perak sekarang ini.

Pembubaran ini turut disokong oleh 25 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dikenali Jaringan Per-muafakatan Pertubuhan Islam Negeri dengan memghantar memorandum kepada Sultan Perak untuk menzahirkan kekecewaan rakyat terhadap keputusan Sultan Azlan Shah yang dianggap tidak telus dalam pelantikan kerajaan baru..

Jika tidak, yang dibimbangkan ialah porak poranda, perbalahan kaum dan kehancuran kepada satu sistem yang selama ini telah pun diterima semua rakyat. Apa yang mendukacitakan ialah institusi istana turut terlibat secara langsung, dipertikai dan dipersendakan.  Ada pula yang mengambil kesempatan (UMNO-BN) untuk melebelkan anti perajaan, penderhakaan dan berbagai-bagai lagi desakan untuk pelaksanaan undang-undang yang akan menzalimkan sebahagian rakyat.

Artikel ini disiarkan untuk akhbar SIASAH bilangan 140 (15-21 Mac, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: