Kalam Perantau

Icon

Najib ikut Mahathir, BN tanding DUN Penanti

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Hari ini 22hb. April, 2009 ramai yang menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung dengan pilihanraya kecil DUN Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri  1 Pulau Pinang.

Tindakan Fairus mengosongkan kerusi telah menyebabkan satu pilihanraya kecil perlu diadakan segera dalam tempoh 60 hari. Keadaan ini menyebab UMNO dan Barisan Nasional tertekan kerana terpaksa menghadapi satu lagi pilihanraya kecil.

Keputusan keempat-empat pilihanraya kecil di Semenanjong selepas PRU ke-12 telah dimenangi oleh parti-parti Pakatan Rakyat. Sementara BN hanya berjaya mempertahankan kerusi DUN Batang Ai, Sarawak (Mac, 2009) sahaja.   

PKR telah menang semula di kerusi parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang (Ogos, 2008) dan DUN Bukit Selambau, Kedah (Mac, 2009). Manakala PAS pula berjaya memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu (Januari, 2009) dan mempertahankan parlimen Bukit Gantang Perak (Mac, 2009).

Dengan kekalahan bertubi-tubi di pihak BN, pemimpin-pemimpin BN mula menyatakan bahawa pilihanraya kecil ini menghabiskan banyak masa, tenaga dan wang ringgit serta tidak perlu dilakukan.

Tetapi dalam masa yang sama mereka juga mendesak Exco Selangor dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong meletak jawatan.   Malah sebelum ini pun, beberapa wakil BN seperti Dato’ Shahrir Samad, Dato’ Seri Abu Hassan Omar dan beberapa ahli lain juga meletakkan jawatan bagi mengadakan pilihanraya kecil tetapi tidak pernah ‘kondisi’ ini dipertikaikan.

Menyedari keadaan ini, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba bertindak realistik dengan suasana semasa dan menyatakan bahawa UMNO dan BN berkemungkinan tidak akan menyertai pilihanraya kecil yang sengaja dipaksakan PKR supaya tidak terperangkap dengan ‘mainan politik’ pembangkang.

Sungguhpun hasrat Pengerusi BN ini mendapat reaksi positif dari pemimpin-pemimpin komponen BN, tetapi tidak direstui oleh Tun Dr. Mahathir yang menyebabkan Najib menjadi serba salah.

Pada hemat saya, BN akan bertanding di Penanti kerana sukar bagi Najib untuk menentang kemahuan Tun Dr Mahathir yang mahukan UMNO dan BN bertanding walaupun kalah bagi menjaga penyokong-penyokong parti berkenaan.

Bagi mewajarkan tindakan ini, Umno Permatang Pauh sedang mengumpul pendapat umum daripada pengundi di DUN Penanti sama ada mereka mahu BN bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dilaporkan dalam sebuah akhbar internet berkata, maklumat balas awal yang diterima daripada pungutan pendapat menerusi SMS menunjukkan 80 peratus daripada 300 pengundi yang diminta memberi pendapat  mahukan BN bertanding.

Mohd Sabu TKM Pulau Pinang ?  

Sekarang ini, Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan kurang gembira dengan tindakan perletakkan jawatan ADUN Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin  dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).  

DAP nampaknya kurang senang dengan permainan politik PKR yang membelakangkan Ketua Menteri kerana perletakkan jawatan Fairus ini hanya diketahui beliau melalui media dan lebih-lebih lagi bila Ketua Menteri diminta tutup mulut berhubung isu ini. 

Disebabkan isu ini, pergeseran kerajaan campuran DAP-PKR mula kelihatan. Gerakan cuba masuk campur dengan memperlekehkan Ketua Menteri DAP yang tidak mampu menyelesaikan perkara ini segera tanpa campurtangan PKR.

Selepas perang mulut DAP dengan PKR berhubung peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti, kini semua 115 perwakilan PAS dalam mesyuarat agung PAS Permatang Pauh  pula sebulat suara menyokong usul agar PAS bertanding di DUN tersebut.

Dengan perkembangan terbaru ini, nama Mohd Sabu telah disebut-sebut sebagai calon yang sesuai mewakili PAS di DUN Penanti dan layak untuk dipertimbangkan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bagi memperkukuhkan kerajaan campuran DAP-PKR menjadi kerajaan Pakatan Rakyat dengan penyertaan ADUN dari PAS.

Sementara Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid yang juga bekas calon DUN Penanti dalam pilihanraya umum lepas dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi PKR untuk meminta pengundi di Penanti memberikan peluang kedua kepada parti itu kerana selama ini, PKR telah mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat di Penanti.

Tindakan mencalonkan wakil PAS di kerusi DUN Penanti boleh meredakan pergolakan politik di Pulau Pinang termasuk dikalangan orang Melayu yang lebih menerima PAS mewakili mereka berbanding dengan parti berbilang kaum seperti PKR.

Sebagai ganti kepada kehilangan kerusi DUN ini, kerajaan Pulau Pinang wajar mencadangkan satu kerusi Senator di Dewan Negara kepada wakil Pulau Pinang. Manakala satu lagi kerusi senator wajar diberikan kepada Tungku Aziz, Naib Pengerusi DAP  yang menjadi ‘simbol’ orang Melayu dalam parti DAP ketika ini.

Artikel ini disiarkan untuk akhbar Siasah Bil 0146 (26 April – 2 Mei, 2009)

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Presiden PAS melawat Pesta Buku Antarabangsa

Kuala Lumpur, 20 April – Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang hari ini, telah meluangkan masa melawat Pesta Buku Antarabangsa di PWTC petang semalam. Beliau telah melawat beberapa gerai penerbit buku-buku yang berkaitan dengan Islam seperti Darussalam, Nufair Street dan PTS Publication.

Syarikat Nufair Street dan PTS telah menerbitkan beberapa buah buku tulisan beliau.

Beliau turut sempat melancarkan buku-buku terbitan nufair street, e-commerce dan website nufairshop (http://www.nufairshop.com). 

 

Presiden merasmikan website Nufairshop.com 
 
Presiden bersama Pengarah IT PAS Pusat 

memegang buku karya masing-masing
 
Presiden melawat gerai-gerai buku

Ihsan laman web PAS – www.pas.org.my

Filed under: News, , , ,

Kabinet Najib – Perantau Kesal Terengganu DiPinggirkan

Written by SM Noor

Kuala Terengganu – Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) kesal pemilihan barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Dato’  Seri Najib Tun Razak telah meminggirkan kepimpinan negeri Terengganu.

Setiausaha Perantau, Mohd Suhaimi berkata sepatutnya Najib melantik sekurang-kurangnya dua orang Timbalan Menteri dari Terengganu sebagaimana yang telah di buat oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, tindakan Najib yang mengekalkan Dato’ Ahmad Shabery Cheek, sebagai wakil tunggal dari negeri Terengganu dalam barisan kabinetnya adalah satu tragedi yang amat malang kepada rakyat Terengganu.

Beliau mempersoalkan apakah kelebihan beberapa Timbalan Menteri yang dilantik oleh Najib berbanding dengan kepimpinan yang ada di Terengganu.

“Apa lebihnya Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, sehingga Najib mengekalkannya dlam kabinet baru?, tanya shuhaimi

Filed under: News, , , ,

Kabinet Najib dipertikai, Menteri Besar Terengganu tergugat

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

ne011Hari ini 14hb. April, 2009 saya dihubungi teman-teman dari Terengganu memberi tahu politik Terengganu kembali panas. Seramai 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu hadir dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel disini ekoran ‘ugutan bunuh’ yang diterima oleh tiga ADUN, Badul Halim Jusoh (Permaisuri),  Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah (Paka) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil).

SMS ‘ugutan bunuh’ ini didakwa berpunca dari desas desus atau khabar-khabar angin yang disebarkan dikalangan ahli-ahli politik Terengganu bahawa satu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar akan dikemukakan dalam persidangan DUN kali ini.

Krisis kepemimpinan Menteri Besar Terengganu kali ini tercetus genap setahun selepas berlaku perebutan kuasa antara Idris Jusoh, Menteri Besar waktu itu (Mac, 2004 hingga Mac, 2008) dengan Ahmad Said- yang direstui oleh Istana.

Sebahagian ADUN-ADUN Barisan Nasional masih belum dapat menerima hakikat bahawa Datuk Ahmad Said, ADUN Kijal telah dilantik menjadi Menteri Besar dan memerintah Terengganu sejak selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

Sebelum itu Ahmad Said memberikan amaran keras memecat mana-mana ADUN BN yang mengemukakan usul undi tidak percaya kepadanya. Jika usul berkenaan berjaya juga dikemukakan dan diluluskan memandangankan BN menguasai 24 daripada 32 kerusi DUN, beliau akan memohon perkenan Sultan Terengganu bagi membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Sementara itu dalam beberapa laporan media, Perdana Menteri mengakui telah berhubung dengan Ahmad Said dan dimaklumkan bahawa tiada usaha menukar Menteri Besar di negeri itu. 

Dari laporan-laporan media juga, Najib menjelaskan keadaan ‘tekanan’ politik di negeri Terengganu itu “bukanlah sesuatu yang luar biasa” dan “boleh diuruskan”. Dalam menghadapi kemelut ini, UMNO dan BN setakat ini belum bersedia lagi untuk membubarkan DUN dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Bukan sahaja di Terengganu, malah di Perak yang sekarang ini menghadapi krisis perlembagaan ekoran rampasan kuasa “pintu belakang” pun, BN tidak bersedia untuk bubarkan DUN dan mendapat mandat rakyat.

Beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau semuanya tidak memihak kepada BN. Malah pilihanraya kecil Bukit Lanjan pun cuba dielakkan supaya tidak dimalukan lagi oleh pesaingnya, Pakatan Rakyat.

Kabinet Najib tidak diterima rakyat?  

Sekarang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dua kementerian dibubarkan dan fungsinya diserapkan ke kementerian lain. Dengan ini jumlah Kementerian telah dikurangkan dari 29 kemnerian kepada 27 kementerian sahaja.

Sebenarnya tidak ada Kementerian baru diwujudkan. Kementerian Tenaga, Air dan komunikasi (KTAK) sebelum ini melepaskan sektor Komunikasi untuk digabungkan dengan Kementerian Penerangan untuk mengelakkan pertindanan bidang tugas.

Kementerian ini dijenamakan semula menjadikan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelepas KTAK digantikan dengan satu segmen baru, yakni Teknologi Hijau diwujudkan bagi pembangunan mapan menggunakan teknologi hijau.

Sejak Najib mengumumkan kabinetnya pada Khamis, 9 April, 2009 yang lepas hingga sekarang masih banyak pihak yang mempertikaikan kebijaksanaan kabinet yang bertemakan, ‘Satu Malaysia – Rakyat di dahulukan, prestasi di utamakan’ dengan memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Selain itu, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) turut dimansuhkan dengan menggabungkannya ke dalam Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian.

Segmen Warisan telah ditiadakan dari nama Kementerian ini. Manakala segmen Perpaduan telah dikembalikan kepada Jabatan Perdana Menteri.  Namun Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) hilang terus identitinya.

Ramai usahawan dan peniaga bumiputera yang selama ini bernaung dibawah kementerian ini bangkit menyatakan tidak puashati terhadap pemansuhan kabinet ini. Bila mereka bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak boleh buat apa-apa dan menyerahkan beban ini kepada Perdana Menteri.

Setidak-tidaknya MECD boleh digabungkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Manakala segmen Hal Ehwal Pengguna dari KPDNHEP sebelum ini diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri seperti segmen Perpaduan dari KEKWA sebelum ini untuk menjadi sebuah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain dari kementerian, pemimpin-pemimpin politik juga tidak berpuashati dengan perlantikan menteri kabinet Najib ini. Malah MIC ternyata tidak berpuashati bila hanya mendapat Kementerian Sumber Manusia, tidak kementerian Kerjaraya seperti ketika Samy Vellu menjadi Menteri sebelum ini.

Terlalu banyak kecacatan dalam kabinet najib pada kali ini. Ternyata pengaruh Tun Dr. Mahathir dalam kabinet kali cukup ketara. Paling ketara adalah Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda tidak dilantik apa-apa jawatan sedangkan pesaingnya Mukhriz  Tun Mahathir yang kalah telah dilantik sebagai Timbalan Menteri

Begitu juga Ketua Wanita dan Ketua Puteri juga telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri. Malah menteri-menteri dari UMNO yang digugurkan adalah dari kalangan penyokong-penyokong kuat Perdana Menteri sebelum ini.

Malah Pak Lah sendiri sehingga setakat rencana ini ditulis tidak diumumkan apa-apa peranan. Setidak-tidaknya Tun Mahathir dulu dilantik juga Penasihat Petronas, Proton, LADA dan lain-lain.

Kita tunggu apa tindakan Pak Lah selepas ini.  

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah Bil:0145 (19-25 April, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Rakyat terus Tolak BN, Najib PM terakhir BN ?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan pilihanraya kecil serentak pada 7hb. April, 2009 adalah kekal status quo sebagaimana yang dijangkakan dalam tulisan saya pada minggu lepas (Siasah bil: 143, 5 – 11 April, 2009) ketika pertarungan pada 7hb. April sedang rancak berjalan.   

Sebagaimana yang dijangkakan, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kepada PAS. Beliau mendapat 21,860 undi mengatasi calon BN, Ismail Shafian (mendapat : 19,071) dan calon Bebas, Kamarul Ramizu (mendapat: 62 undi) dengan majoriti 2,789. Peningkatan undi majoriti PAS berbanding dengan Pilihanraya Umum Mac, 2008 adalah sebanyak 1,223 undi.     

Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 75 peratus bersamaan dengan 41,626 undi daripada 55,462 pengundi berdaftar. Undi majoriti tersebut dijangka lebih tinggi jika, pilihanraya kecil tersebut dibuat pada hari tidak bekerja, Sementara calon PKR, S. Manikumar menang dengan majoriti 2,403 undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menewaskan calon BN, S Ganesan dan 13 calon Bebas yang lain.

Undi yang diperolehi oleh calon PKR merosot sebanyak  563 undi berbanding yang diperolehi oleh V. Arumugam, calon Bebas yang kemudiannya menyertai PKR, V. Arumugam. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, V. Arrumugam  memperolehi 13,225 undi menewaskan calon BN, S.Krishnan yang memperolehi 10,229 undi dengan majoriti 2,362 undi. Sungguhpun begitu majoriti calon PKR, AS. Manikumar meningkat 41 undi. Semua calon Bebas hilang wang pertaruhan selepas mendapat undi tidak melebihi satu perempat daripada mereka yang keluar mengundi (70.28 peratus daripada 35,140 pengundi berdaftar).

Manakala BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air. Malcom Mussen Lamoh calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), memperoleh 3,907 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi) dengan majoriti 1,854 undi sahaja.

Sebanyak 75.32 peratus dari 8,600 pengundi telah keluar mengundi. Undi yang diperolehi calon PKR ini merosot sebanyak 446 undi berbanding calon Parti Negara Sarawak (SNAP), Nicholas Bawing Anggat yang mendapat 2,489  undi yang hanya ketinggalan sebanyak 806 undi sahaja berbanding dengan calon BN, Dublin Unting Ingkot (mendapat: 3,295 undi). 

Teori RAHMAN menjadi, Najib PM sehingga PRU ke-13
Teori RAHMAN telah selesai, sama ada secara kebetulan atau tidak. Mengikut teori RAHMAN yang tidak diketahui asal-usulnya secara jelas ini, ianya mungkin diambil dari nama Perdana Menteri yang pertama, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dengan huruf ‘R’ itu merujuk kepada namanya.

Manakala huruf ‘A’ yang kedua itu merujuk kepada nama Tun Abdul Razak Husin, Perdana Menteri kedua. Samaada secara kebetulan ataupun tidak, Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri  kepada Tun Abdul Razak tidak sempat menjadi Perdana Menteri kerana meninggal lebih awal dan diganti oleh Datuk Hussein Onn sebagain Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri ke-3 bagi memenuhi huruf ‘H’ dalam kedudukan ke-3 itu.

Begitu juga ketika Hussein Onn hendak memilih Timbalan Perdana Menteri. Beberapa nama seperti nama Tengku Razaleigh dan Tun Ghaffar Baba adalah lebih kanan daripada Tun Dr. Mahathir sendiri dari kalangan Naib-naib Presiden UMNO untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sama ada tuah atau secara kebetulan sahaja, Mahathir yang pangkal namanya dengan huruf ‘M’ yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri keempat. Dr. Mahathir menjadi PM paling lama selama 22 tahun dengan 4 orang Timbalan Perdana Menteri bermula dengan Tun Musa Hitam, kemudiannya Tun Abdul Ghaffar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun).

Anwar yang disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri tidak bernasib baik walaupun dah memenuhi kreteria dan hampir-hampir menjadi PM jika tidak disingkirkan oleh Dr. Mahathir pada September,1998.  Abdullah Ahmad Badawi bernasib baik memenuhi huruf ‘A’ keempat untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat. 

Sepatutnya Pak Lah akan terus menerajui kerajaan sehingga mandatnya tamat. Peralihan kuasa secara tergesa-gesa oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah sekadar bagi memperlengkapkan teori RAHMAN yang diperkatakan oleh banyak pihak sebelum ini.

Apa yang menarik minat pemerhati politik sekarang adalah pembentukan kabinet pertama Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mungkin sedang membuat percaturan untuk membalas jasa Pak Lah dan juga memenangi semula kepercayaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Mahathir mungkin mempertaruhkan Mukhriz untuk meneruskan lagenda keluarganya dalam politik sebagaimana Najib dan Hishamuddin  mewarisinya dari Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Bagi Pak Lah, beliau tidak ada pilihan melainkan menantunya, Khairy Jamaluddin yang sekarang sudah menjadi Ketua Pemuda. Begitu juga kabinet Najib ini sudah tentu, ramai Menteri dari kem Pak Lah yang tewas dalam pemilihan  UMNO baru-baru ini akan digugurkan.

Najib sudah tentu tidak mengikut jejak Pak Lah ketika mengambil alih kuasa dari Tun Dr. Mahathir dengan mengekalkan kesemua Menteri yang dilantik oleh Mahathir sebelum itu. Senarai kabinet baru  yang sepatutnya diumumkan pada 8hb. April, 2009.

Saya menunggu penuh minat sama ada senarai yang akan diumum itu sama atau tidak dengan senarai yang dihantar kepada saya pada malam sebelumnya oleh seorang rakan yang mempunyai makluman dalaman berhubung  nama-nama yang akan dimasukkan dan digugurkan dari kabinet Najib.

Tetapi malangnya, ianya tidak diumumkan pada hari yang telah dijadualkan kerana ada beberapa masalah dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika keputusan pilihanraya ini boleh dianggap sebagai referendum rakyat terhadap penerimaan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dengan  keputusan PR 2- BN 1, menampakkan rakyat tidak lagi berhendakkan BN.  Mereka selesa dengan keadaan yang telah ada.

Jika Najib tidak berhati-hati ketika percaturan membentuk kabinetnya kali ini, tidak mustahil beliau mungkin Perdana Menteri terakhir BN sebelum diambil alih oleh pihak lain selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Artikel ini disiarkan untuk Akhbar SIASAH bilangan 144 (12-16 April)

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Keputusan PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai kekalkan status quo?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa orang rakan dan kenalan bertanya saya tentang pertarungan 3 pilihanraya kecil serentak pada 7hb. April ini. Pakatan Rakyat (PR) meramalkan 3-0 di mana kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau bukan sahaja di kekalkan, malah mereka turut menawan kerusi DUN Batang Ai.   

Bagi saya ini ramalan optimistic. Tetapi di pihak Barisan Nasional pula, mereka merasakan akan mengekalkan kerusi Batang Ai dengan mudah tetapi terpaksa bertarung dengan sengit di Parlimen  Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.  

UMNO yang baru mendapat suntikan kepimpinan baru selepas perhimpunan Agung baru-baru ini begitu bersemangat untuk merampas semula kerusi parlimen Bukit Gantang yang telah terlepas ke tangan PAS dalam pilihanraya umum yang lepas.

Begitu juga MIC pula berhasrat merampas kembali kerusi Bukit Selambau yang telah terlepas dari tangan mereka. Manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula akan mempertahankan kerusi Batang Ai untuk Barisan Nasional (BN).   

Pertarungan Sengit pada 7hb. April  
Bila seorang rakan mengajak saya turut serta pergi meninjau suasana penamaan calon bagi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang di Taiping pada Ahad, 29hb. Mac yang lepas saya terkejut melihat suasana yang berlaku pada hari itu.  

Jauh lebih ramai  dari kehadiran dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Mengikut laporan media penyokong-penyokong BN sekitar 10,000 orang. Manakala penyokong-penyokong Pakatan Rakyat pula dianggarkan 5 kali ganda dari jumlah tersebut.

Begitu ramai sekali penyokong-penyokong Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari kalangan Melayu, Cina dan India yang mengiringi beliau bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang. Pengaruh Menteri Besar Perak pilihan rakyat itu masih kukuh bersemadi dihati rakyat walaupun BN melakukan rampasan kuasa dengan menabalkan Menteri Besar ke-2.

Apa yang saya lihat, UMNO/BN sedang memohon restu rakyat terhadap tindakan diluar perlembagaan yang menyebabkan Perak dilanda krisis perlembagaan yang memalukan Sultan Azlan, bekas Ketua Hakim Negara yang cukup dihormati suatu ketika dahulu dalam aspek–aspek perundangan.

Bagi banyak pemerhati politik, pilihanraya kecil ini adalah pertarungan kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang mendapatkan undi kepercayaan dari rakyat terhadap pemerintahannya yang digulingkan secara tidak berpelembagaan.

Penentuan nasib hidup mati politik Ir Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak selepas ini adalah ditangan 55,562 pemilih berdaftar di Parlimen Bukit Gantang termasuk 136 pengundi pos dengan pecahan 63.5 peratus pengundi Melayu, Cina (27.1 peratus), India (9.1 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

Ianya  bukan sekadar  pertarungan Ir. Nizar Jamaluddin dengan  calon BN, Ismail Safian dan calon bebas Kamarul Ramizu. Malah di sudut yang lain ianya pertanrungan antara Ir. Nizar Jamaluddin dengan Dr. Zamry Abdul Kadir, Menteri Besar ke-2 Perak.

Jika Ir Nizar Jamaluddin menang bermakna, rakyat Perak tidak bersetuju dengan Dr. Zamry Abdul kadir yang begitu gelojoh hendak berkuasa tanpa mengikut proses perlembagaan yang betul dengan mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan Ir. Nizar Jamaluddin di DUN Perak yang boleh dipanggil dengan titah Sultan pada bila-bila masa.

Sementara pilihanraya DUN Bukit Selambau pula begitu mengejutkan pemerhati politik. Tidak diketahui apa sebab yang menyebabkan begitu ramai yang berminat untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil tersebut sehingga menciptakan sejarah baru pilihanraya kecil di Malaysia.

Selain dua calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk S. Ganesan,  daripada MIC dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) S. Manikumar,  terdapat 13 calon lain bertanding atas tiket Bebas menjadikan lapan calon berbangsa India, enam calon berbangsa Melayu dan seorang calon berbangsa Cina. bertanding.

Manakala logo calon-calon Bebas adalah R. Loganathan, (kelapa Sawit) , Tan Hock Huat, (Kunci), Radzi Md Lazim, (Kerusi), Mohd Fazil Abdul Wahab, (Kepala Harimau), Abdul Rahim Abu, (Jam loceng), L.Sarala, (Basikal) dan A. Jayagopal, (Payung). S. Moganakumar, (buku), Khamis Awang, (Ayam Jantan), Husaini Yaacob, (Bas), M.Vaneson,  (Ikan), Anuar Abdul Hamid, (Telefon) dan T. Chandrarajah, (Kapal Terbang).

Tidak mustahil calon Bebas sekali lagi dipilih pengundi Bukit Selambau dan dilantik sebagai exco kerana kekosongan kerusi exco yang disandang oleh V. Arumugam belum diisi dan hanya akan diisi selepas pilihanraya kecil ini. 

Keghairahan calon-calon bebas bertanding pemenang kerusi ini kecuali calon Barisan Nasional (BN) terutama dikalangan India akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri. Ini sekaligus membayangkan mana-mana calon India yang menang dalam pilihanraya itu boleh dilantik sebagai anggota Exco

Keadaan yang berbeza berlaku dalam pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai pyang mana  akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sahaja.

BN meletakkan muka baru Malcom Mussem Lamoh, dari Parti Rakyat Sarawak (PRS). Manakala PKR pula meletakkan Jawah Gerang, bekas Anggota Parlimen Lubok Antu selama lima penggal di mana Batang Ai adalah satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Lubok Antu.

Dalam pilihanraya negeri yang lepas, Datuk Dublin Unting Ingot , Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) daripada Barisan Nasional  telah menewaskan Nicholas Bawin, yang bertanding diatas tiket Parti Negara Sarawak (SNAP).

Dalam pilihanraya kecil ini SNAP tidak bertanding semula dan Nicholas Bawin memberikan laluan kepada Jawah Gerang merampas kerusi tersebut daripada BN. Mampukah Jawah Gerang dan PKR melakukannya dalam pilihanraya kecil Batang Ai kali ini? 8,600 pengundi berdaftar di sini akan menentukannya pada 7hb. April ini…

Artikel ini disiarkan untuk akhbar SIASAH bilangan 143 (5-11 April)

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories