Kalam Perantau

Icon

Rakyat terus Tolak BN, Najib PM terakhir BN ?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan pilihanraya kecil serentak pada 7hb. April, 2009 adalah kekal status quo sebagaimana yang dijangkakan dalam tulisan saya pada minggu lepas (Siasah bil: 143, 5 – 11 April, 2009) ketika pertarungan pada 7hb. April sedang rancak berjalan.   

Sebagaimana yang dijangkakan, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang kepada PAS. Beliau mendapat 21,860 undi mengatasi calon BN, Ismail Shafian (mendapat : 19,071) dan calon Bebas, Kamarul Ramizu (mendapat: 62 undi) dengan majoriti 2,789. Peningkatan undi majoriti PAS berbanding dengan Pilihanraya Umum Mac, 2008 adalah sebanyak 1,223 undi.     

Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 75 peratus bersamaan dengan 41,626 undi daripada 55,462 pengundi berdaftar. Undi majoriti tersebut dijangka lebih tinggi jika, pilihanraya kecil tersebut dibuat pada hari tidak bekerja, Sementara calon PKR, S. Manikumar menang dengan majoriti 2,403 undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menewaskan calon BN, S Ganesan dan 13 calon Bebas yang lain.

Undi yang diperolehi oleh calon PKR merosot sebanyak  563 undi berbanding yang diperolehi oleh V. Arumugam, calon Bebas yang kemudiannya menyertai PKR, V. Arumugam. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, V. Arrumugam  memperolehi 13,225 undi menewaskan calon BN, S.Krishnan yang memperolehi 10,229 undi dengan majoriti 2,362 undi. Sungguhpun begitu majoriti calon PKR, AS. Manikumar meningkat 41 undi. Semua calon Bebas hilang wang pertaruhan selepas mendapat undi tidak melebihi satu perempat daripada mereka yang keluar mengundi (70.28 peratus daripada 35,140 pengundi berdaftar).

Manakala BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air. Malcom Mussen Lamoh calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), memperoleh 3,907 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi) dengan majoriti 1,854 undi sahaja.

Sebanyak 75.32 peratus dari 8,600 pengundi telah keluar mengundi. Undi yang diperolehi calon PKR ini merosot sebanyak 446 undi berbanding calon Parti Negara Sarawak (SNAP), Nicholas Bawing Anggat yang mendapat 2,489  undi yang hanya ketinggalan sebanyak 806 undi sahaja berbanding dengan calon BN, Dublin Unting Ingkot (mendapat: 3,295 undi). 

Teori RAHMAN menjadi, Najib PM sehingga PRU ke-13
Teori RAHMAN telah selesai, sama ada secara kebetulan atau tidak. Mengikut teori RAHMAN yang tidak diketahui asal-usulnya secara jelas ini, ianya mungkin diambil dari nama Perdana Menteri yang pertama, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dengan huruf ‘R’ itu merujuk kepada namanya.

Manakala huruf ‘A’ yang kedua itu merujuk kepada nama Tun Abdul Razak Husin, Perdana Menteri kedua. Samaada secara kebetulan ataupun tidak, Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri  kepada Tun Abdul Razak tidak sempat menjadi Perdana Menteri kerana meninggal lebih awal dan diganti oleh Datuk Hussein Onn sebagain Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri ke-3 bagi memenuhi huruf ‘H’ dalam kedudukan ke-3 itu.

Begitu juga ketika Hussein Onn hendak memilih Timbalan Perdana Menteri. Beberapa nama seperti nama Tengku Razaleigh dan Tun Ghaffar Baba adalah lebih kanan daripada Tun Dr. Mahathir sendiri dari kalangan Naib-naib Presiden UMNO untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sama ada tuah atau secara kebetulan sahaja, Mahathir yang pangkal namanya dengan huruf ‘M’ yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri keempat. Dr. Mahathir menjadi PM paling lama selama 22 tahun dengan 4 orang Timbalan Perdana Menteri bermula dengan Tun Musa Hitam, kemudiannya Tun Abdul Ghaffar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun).

Anwar yang disebut-sebut untuk menjadi Perdana Menteri tidak bernasib baik walaupun dah memenuhi kreteria dan hampir-hampir menjadi PM jika tidak disingkirkan oleh Dr. Mahathir pada September,1998.  Abdullah Ahmad Badawi bernasib baik memenuhi huruf ‘A’ keempat untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat. 

Sepatutnya Pak Lah akan terus menerajui kerajaan sehingga mandatnya tamat. Peralihan kuasa secara tergesa-gesa oleh UMNO dan Barisan Nasional adalah sekadar bagi memperlengkapkan teori RAHMAN yang diperkatakan oleh banyak pihak sebelum ini.

Apa yang menarik minat pemerhati politik sekarang adalah pembentukan kabinet pertama Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mungkin sedang membuat percaturan untuk membalas jasa Pak Lah dan juga memenangi semula kepercayaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Mahathir mungkin mempertaruhkan Mukhriz untuk meneruskan lagenda keluarganya dalam politik sebagaimana Najib dan Hishamuddin  mewarisinya dari Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Bagi Pak Lah, beliau tidak ada pilihan melainkan menantunya, Khairy Jamaluddin yang sekarang sudah menjadi Ketua Pemuda. Begitu juga kabinet Najib ini sudah tentu, ramai Menteri dari kem Pak Lah yang tewas dalam pemilihan  UMNO baru-baru ini akan digugurkan.

Najib sudah tentu tidak mengikut jejak Pak Lah ketika mengambil alih kuasa dari Tun Dr. Mahathir dengan mengekalkan kesemua Menteri yang dilantik oleh Mahathir sebelum itu. Senarai kabinet baru  yang sepatutnya diumumkan pada 8hb. April, 2009.

Saya menunggu penuh minat sama ada senarai yang akan diumum itu sama atau tidak dengan senarai yang dihantar kepada saya pada malam sebelumnya oleh seorang rakan yang mempunyai makluman dalaman berhubung  nama-nama yang akan dimasukkan dan digugurkan dari kabinet Najib.

Tetapi malangnya, ianya tidak diumumkan pada hari yang telah dijadualkan kerana ada beberapa masalah dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika keputusan pilihanraya ini boleh dianggap sebagai referendum rakyat terhadap penerimaan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dengan  keputusan PR 2- BN 1, menampakkan rakyat tidak lagi berhendakkan BN.  Mereka selesa dengan keadaan yang telah ada.

Jika Najib tidak berhati-hati ketika percaturan membentuk kabinetnya kali ini, tidak mustahil beliau mungkin Perdana Menteri terakhir BN sebelum diambil alih oleh pihak lain selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Artikel ini disiarkan untuk Akhbar SIASAH bilangan 144 (12-16 April)

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: