Kalam Perantau

Icon

Najib ikut Mahathir, BN tanding DUN Penanti

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Hari ini 22hb. April, 2009 ramai yang menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung dengan pilihanraya kecil DUN Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri  1 Pulau Pinang.

Tindakan Fairus mengosongkan kerusi telah menyebabkan satu pilihanraya kecil perlu diadakan segera dalam tempoh 60 hari. Keadaan ini menyebab UMNO dan Barisan Nasional tertekan kerana terpaksa menghadapi satu lagi pilihanraya kecil.

Keputusan keempat-empat pilihanraya kecil di Semenanjong selepas PRU ke-12 telah dimenangi oleh parti-parti Pakatan Rakyat. Sementara BN hanya berjaya mempertahankan kerusi DUN Batang Ai, Sarawak (Mac, 2009) sahaja.   

PKR telah menang semula di kerusi parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang (Ogos, 2008) dan DUN Bukit Selambau, Kedah (Mac, 2009). Manakala PAS pula berjaya memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu (Januari, 2009) dan mempertahankan parlimen Bukit Gantang Perak (Mac, 2009).

Dengan kekalahan bertubi-tubi di pihak BN, pemimpin-pemimpin BN mula menyatakan bahawa pilihanraya kecil ini menghabiskan banyak masa, tenaga dan wang ringgit serta tidak perlu dilakukan.

Tetapi dalam masa yang sama mereka juga mendesak Exco Selangor dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong meletak jawatan.   Malah sebelum ini pun, beberapa wakil BN seperti Dato’ Shahrir Samad, Dato’ Seri Abu Hassan Omar dan beberapa ahli lain juga meletakkan jawatan bagi mengadakan pilihanraya kecil tetapi tidak pernah ‘kondisi’ ini dipertikaikan.

Menyedari keadaan ini, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba bertindak realistik dengan suasana semasa dan menyatakan bahawa UMNO dan BN berkemungkinan tidak akan menyertai pilihanraya kecil yang sengaja dipaksakan PKR supaya tidak terperangkap dengan ‘mainan politik’ pembangkang.

Sungguhpun hasrat Pengerusi BN ini mendapat reaksi positif dari pemimpin-pemimpin komponen BN, tetapi tidak direstui oleh Tun Dr. Mahathir yang menyebabkan Najib menjadi serba salah.

Pada hemat saya, BN akan bertanding di Penanti kerana sukar bagi Najib untuk menentang kemahuan Tun Dr Mahathir yang mahukan UMNO dan BN bertanding walaupun kalah bagi menjaga penyokong-penyokong parti berkenaan.

Bagi mewajarkan tindakan ini, Umno Permatang Pauh sedang mengumpul pendapat umum daripada pengundi di DUN Penanti sama ada mereka mahu BN bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dilaporkan dalam sebuah akhbar internet berkata, maklumat balas awal yang diterima daripada pungutan pendapat menerusi SMS menunjukkan 80 peratus daripada 300 pengundi yang diminta memberi pendapat  mahukan BN bertanding.

Mohd Sabu TKM Pulau Pinang ?  

Sekarang ini, Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan kurang gembira dengan tindakan perletakkan jawatan ADUN Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin  dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).  

DAP nampaknya kurang senang dengan permainan politik PKR yang membelakangkan Ketua Menteri kerana perletakkan jawatan Fairus ini hanya diketahui beliau melalui media dan lebih-lebih lagi bila Ketua Menteri diminta tutup mulut berhubung isu ini. 

Disebabkan isu ini, pergeseran kerajaan campuran DAP-PKR mula kelihatan. Gerakan cuba masuk campur dengan memperlekehkan Ketua Menteri DAP yang tidak mampu menyelesaikan perkara ini segera tanpa campurtangan PKR.

Selepas perang mulut DAP dengan PKR berhubung peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti, kini semua 115 perwakilan PAS dalam mesyuarat agung PAS Permatang Pauh  pula sebulat suara menyokong usul agar PAS bertanding di DUN tersebut.

Dengan perkembangan terbaru ini, nama Mohd Sabu telah disebut-sebut sebagai calon yang sesuai mewakili PAS di DUN Penanti dan layak untuk dipertimbangkan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bagi memperkukuhkan kerajaan campuran DAP-PKR menjadi kerajaan Pakatan Rakyat dengan penyertaan ADUN dari PAS.

Sementara Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid yang juga bekas calon DUN Penanti dalam pilihanraya umum lepas dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi PKR untuk meminta pengundi di Penanti memberikan peluang kedua kepada parti itu kerana selama ini, PKR telah mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat di Penanti.

Tindakan mencalonkan wakil PAS di kerusi DUN Penanti boleh meredakan pergolakan politik di Pulau Pinang termasuk dikalangan orang Melayu yang lebih menerima PAS mewakili mereka berbanding dengan parti berbilang kaum seperti PKR.

Sebagai ganti kepada kehilangan kerusi DUN ini, kerajaan Pulau Pinang wajar mencadangkan satu kerusi Senator di Dewan Negara kepada wakil Pulau Pinang. Manakala satu lagi kerusi senator wajar diberikan kepada Tungku Aziz, Naib Pengerusi DAP  yang menjadi ‘simbol’ orang Melayu dalam parti DAP ketika ini.

Artikel ini disiarkan untuk akhbar Siasah Bil 0146 (26 April – 2 Mei, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: