Kalam Perantau

Icon

Kerajaan Poligami di Perak

Oleh Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Nizar dan Zamri berkongsi Menteri Besar, Sivakumar dan Ganesan berkongsi Speaker 

Ketika UMNO bergembira menyambut ulangtahun ke-63 pada 11hb. Mei, 2009,  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Ir.Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sah Perak setelah dinafikan haknya dari melaksanakan tugas  jawatan menteri Besar sejak awal Februari lalu apabila Sultan Perak menganggap jawatan tersebut kosong dan melantik seorang Menteri Besar ke-2, Datuk  Zambry Abdul Kadir.

Dato’ Seri  Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin  adalah masih menjadi Menteri Besar yang sah kerana Sultan Perak, Sultan Azlan Shah  tidak pernah memecatnya ataupun Dewan Undangan Negeri Perak pun tidak pernah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada beliau di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan di Sarawak.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN. Disebabkan perkara ini tidak berlaku, Mahkamah Tinggi memutuskan Ir. Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah juga memutuskan Menteri Besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka  di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Datuk Dr. Zambry akur dengan perintah Mahkamah Tinggi supaya mengosongkan pejabatnya bagi membolehkan Ir. Nizar berkhidmat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Belum pun sempat Ir. Nizar dan barisan exconya memanaskan kerusi masing-masing dibangunan kerajaan Perak, Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan Dr. Zambry Abdul kadir untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengistiharkan Ir. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Berikutan itu,  Dr. Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuannya diputuskan mahkamah. Dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada jam 1.30 tegahari semalam, Mohammad Nizar dan semua exconya terpaksa mengosongkan pejabat masing-masing di bangunan Perak Darul Redzuan pada jam 2.30 petang 12hb. Mei, 2009 .

Dalam tempoh menerajui semula kerajaan Perak selama 19 jam, kerajaan Pakatan Rakyat sempat memutuskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7hb. Mei lalu tidak sah dan perlantikan R.Ganesan sebagai Speaker menggantikan V.Sivakumar secara tidak berperlembagaan. Selain itu semua 817 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan kampung dan 318 ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang dipilih pakatan rakyat dikembalikan ke jawatan masing-masing serta menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan penasihat Undang-undang Negeri Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Dengan perlantikan R. Ganesan sebagai Speaker, lengkaplah Perak mempunyai 2 kerajaan. Satu kerajaan yang sah tetapi tidak dibenarkan berkuasa, dan satu lagi kerajaan haram yang dibenarkan berkuasa dengan campurtangan Penasihat Undang-undang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. 

Kes ini boleh diumpamakan dengan seorang suami yang sah dan tidak pernah menceraikan isterinya yang sah. Dalam waktu yang sama, si suami tidak pernah menjatuhkan sebarang talak sekalipun di’fasakh’kan dan dalam masa yang sama si isteri pula tidak pernah menjalani tempoh edahnya, tiba sibapa mengahwinkan anaknya yang masih bersuami itu dengan seorang yang lain sebagai suami kedua.

Seorang wartawan ternama, Mohd Sayuti Omar menyebut, “apa yang berlaku di Perak ini juga menjadikan anak-anak sekolah keliru bila bercakap mengenai sejarah Perak di masa depan. Tentu generasi akan datang juga bingung kenapa negeri Perak bertukar kerajaan dalam tempoh yang singkat dan menteri besarnya seakan-akan jadi pengamal poligami, bergilir-gilir masuk ke bilik MB”.

DUN Perak akan dibubarkan segera ?

Ahli Parlimen BN (Gua Musang), Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, dalam keadaan krisis politik yang berlaku di Perak ketika ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibubarkan bagi mengelak masalah terus berpanjangan.

Sementara Gerakan Pulau Pinang turut mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya segera memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuka jalan mengadakan pilihan raya negeri.

Pengerusinya, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata langkah membubarkan DUN akan membolehkan rakyat Perak memutuskan parti mana yang sepatutnya memimpin urusan pentadbiran negeri itu. Dengan mengembalikan kuasa memilih kerajaan baru kepada rakyat yang semestinya mahu bersuara dalam perkara ini, maka Barisan Nasional (BN) sekali lagi menunjukkan ianya mendukung prinsip demokrasi serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Mengikut pandangan pemerhati politik, apa yang berlaku di Perak amat memalukan bukan sahaja kerajaan negeri malah Sultan Perak sendiri kerana beliau bukan sahaja seorang sultan tetapi mempunyai reputasi sebagai mantan Ketua Hakim Negara yang cukup dihormati sebelum ini.

Tidak banyak pilihan yang ada kepada Sultan Perak dalam memulihkan semula reputasinya. Baginda bukan sahaja sepatutnya  bertindak segera membubarkan DUN selepas ada permohonan dari Menteri Besar yang sah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi bagi membolehkan pilihanraya diadakan segera.

Malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga berpendapat krisis politik di Perak mungkin tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa itu diberikan semula kepada rakyat kerana tindakan dimahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak.

Artikel ini diterbitkan untuk Akhbar Siasah Bil 0149 (17 – 23hb. Mei, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: