Kalam Perantau

Icon

MENJELANG MUKTAMAR: ONE MALAYSIA ONE HADHARI, PEMILIHAN PAS SENGIT TAPI HARMONI?

Oleh MOHD SHUHAIMI AL-MANIRI

Minggu lepas dalam Siasah Bil:0150 (24-30 Mei, 2009), saya ada menulis sedikit berhubung pemerhatian terhadap pemilihan kepimpinan PAS pada tahun ini berdasarkan laporan akhbar dan media-media internet seperti laman-laman web dan blog-blog.

Ketika nama calon-calon yang akan bertanding diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato’ Mustaffa Ali, saya menghadiri satu jemputan sebuah institusi pengajian tinggi tempatan (IPTA) sebagai Ahli Panel untuk membincangkan hasil kajian Pembangunan Islam Hadhari di Malaysia : Masalah dan Cabaran di sebuah hotel terkemuka dekat Putrajaya.

Setelah gagal mendapatkan ulamak, penganjur beralih kepada professional seperti saya untuk mewakili PAS.  Rupanya penganjur gagal mendapatkan Ustaz Ahmad Awang, Naib Presiden PAS dan Ustaz Idris Ahmad, mantan Setiausaha Majlis Syura sebagai ahli panel bagi membincangkan tajuk ini.

Tiga ahli panel lain dalam program tersebut adalah Dato’ Nakhaei Ahmad, Yang Dipertua YADIM, Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin, mantan exco Agama Pemuda UMNO dan Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Timbalan Presiden ABIM.

Saya tidak bercadang untuk membincangkan secara terperinci apa yang saya sebut dalam program tersebut. Saya banyak menggunakan hujah yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2005) dalam bukunya, “Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari”.

Saya menyebut, ketika Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri pada awal April tahun ini, dengan slogan ‘One Malaysia : Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’, apa telah jadi kepada slogan dan 10 prinsip Islam Hadhari yang telah menjadi pegagan ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri beberapa tahun sebelum itu?

Untuk rekod, 10 prinsip Islam hadhari adalah; 1) Keimanan dan ketakwaan kepada Allah; 2) Kerajaan Adil dan beramanah; 3) rakyat berjiwa merdeka; 4) penguasaan ilmu pengetahuan; 5) Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif; 6) kehidupan berkualiti; 7) Pembelaan Hak kumpulan minoriti dan wanita; 8) keutuhan budaya dan moral; 9) pemuliharaan alam semula jadi; 10) Kekuatan pertahanan.    

Sebagai rakyat, kita tidak nampak perkara ini diteruskan oleh kerajaan pimpinan Najib Tun Razak lebih-lebih lagi bila Menteri Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam menyebut Islam Hadhari akan dikaji semula.

Dalam bahasa pentadbiran, kaji semula bermakna ianya tidak diteruskan lagi dan satu dasar baru akan diperkenalkan. Setelah puas mengkritik, saya turut mencadangkan apa salahnya kerajaan mengambil pendekatan ‘value add’ dengan menambah slogan tersebut menjadi, ‘One Malaysia One Hadhari, yakni satu Malaysia satu Tamaddun. Sama ada rakyat didahulukan, prestasi diutamakan atau tidak, rakyat akan nilai dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.  

Pemilihan Kepimpinan PAS Sengit
Bila waktu sembang-sembang masa makan, ramai yang berminat untuk mendapat perkembangan terbaharu pemilihan PAS dan pertembungan ulamak-profesional dalam pemilihan PAS. Mereka cukup beminat mengikuti pemilihan PAS kerana berpendapat, PAS sedang dilihat oleh rakyat sebagai ‘kerajaan menanti’ untuk menguasai pemerintahan Negara selepas pilihanraya umum ke-13. 

Mereka sedang mengikuti pertandingan kali ini dari dekat. Sejak jawatan tersebut dipertandingkan semula pada tahun 2001, jawatan tersebut tidak pernah tidak ditandingi. Pada tahun 2001, Dato’ Mustafa Ali berentap dengan Hasan Shukri. Pada tahun 2003, berlaku pertandingan 3 penjuru antara Hasan Shukri, penyandang ketika itu dicabar oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Ustaz Abdul halim Abdul Rahman menyebabkan penyandang tewas.  Pada tahun 2005 pula, Ustaz Haron Taib bersaing dengan penyandang, Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Kali ini, sekali lagi Ustaz Nasharuddin Mat Isa dicabar oleh dua orang Naib Presiden serentak, Husam Musa dan Mohd Sabu. Apakah fenomena 2003, penyandang tewas dalam pertarungan 3 penjuru akan berulang dan menyaksikan ulamak akan tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden kali ini?

Manakala dalam pertandingan Naib Presiden pula terdapat 5 calon; 2 dikategori ulamak, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan ustaz Nik Mohd Amar Nik Abdulah; 2 dikategori aktivis parti; Mahfoz Omar dan Salahuddin Ayub; dan seorang lagi dikategori professional, Dr. Mujahid Yusof Rawa. Seorang lagi professional, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin  yang dijangka menang mudah jika bertanding tidak berbuat demikian, sebaliknya hanya bertanding Ahli Jawatankuasa sahaja.  

Selain dua jawatan tersebut yang menjadi tumpuan, jawatan Ketua Dewan Muslimat juga menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara penyandang Ustazah Nuridah Salleh dengan, Dr. Asiah Ali yang juga adik kepada Datuk Mustafa Ali. Apa yang menarik dalam petandingan jawatan ketua muslimat ini penyandang sering kalah setiap kali pertandingan diadakan sejak beberapa penggal lepas. Apakah fenomena penyandang ketua muslimat kalah ini akan berterusan lagi tahun ini? Bila agaknya Dewan Muslimat hendak mengikut jejak Dewan Ulamak dan Pemuda yang mengadakan proses pemilihan secara syura?

Manakala pemilihan Dewan Pemuda Pas Pusat yang dijangka sengit tidak menjadi kenyataan bila jawatan Ketua, Timbalan dan Naib Ketua telah dimenangi tanpa bertanding oleh Ustaz Nasaruddin Hasan, Ustaz Azman Shafawi Abd Rani dan Ahmad Sabky Yusof. Begitu juga dengan Dewan Ulamak juga dimennagi tanpa bertanding oleh Ustaz Haron Taib, Ustaz Ahmad Yaakob dan Dr. Mahfodz Mohamad sebagai Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Ulamak.   

Terdapat banyak tanggapan negatif, bila portal berita Malaysiakini tidak melaporkan dengan tepat berhubung dengan ucaptama Dato’ Haron Din bertajuk “Memperkukuhkan Kepimpinan Ulamak’ yang menjadi tema program Sambutan 25tahun Kepimpinan Ulamak pada Sabtu, 23hb. Mei, 2009.

Dalam penafiannya, Ustaz Haron Din yang disiarkan dalam harakah bil: 1142 berkata, ia adalah untuk mempertahankan apa yang diputuskan pada muktamar lalu bahawa kepimpinan ulamak masih releven dan mesti diteruskan.

Malah Haji Subky Latif mengesyorkan dalam program tersebut supaya; 1) peruntukan berhubung dengan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya seorang dari 3 orang Naib Presiden mesti dikalangan ulamak diperincikan dalam perlembagaan; 2) sekiranya berlaku kekosongan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Majlis Syura Ulamak boleh menakan seorang ulamak dalam jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan Timbalan Presiden; 3) menyarankan Presiden dan Timbalan Presiden apabila tamat tempoh jawatan jangan menganggap dirinya akan dicalon semula bagi memberi kebebasan kepada majlis syura Ulamak untuk menilai prestasi kepimpinannya, sama ada mencalonkan semula atau menakan calon lain; 4) mencadangkan agar golongan non ulamak kembali kepada kepada semangat Dewan pemuda 1982 berdiri teguh dibelakang kepimpinan ulamak bagi mendaulatkan dan menjadi kepimpinan ulamak lebih berwibawa dan berkesan.   

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah bil 151 (31mei-6jun 2009)

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: