Kalam Perantau

Icon

Kenangan Masa di kampus awal 1980’an dan Muktamar PAS.

Oleh: Mohd Suhaimi Al-Maniri
Muktamar PAS yang pertama saya ikuti adalah Muktamar PAS muktamar PAS yang pertama dibawah kepimpinan ulamak pada tahun 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka, kalau tidak silap ingatan saya. Pada tahun tersebut ada pemilihan. Pemilihan dalam PAS masa itu tak canggih macam sekarang. Tidak ada yang buat sidang akhbar umum nak bertanding, tidak ada lagi kempen sms dan sebagainya.

Selain Tuan Haji Yusof Rawa (al-marhum) disahkan sebagai Yang Dipertua PAS (bukan lagi Presiden PAS), Ustaz Haji Fadhil Mohd Noor (almarhum) pula dipilih sebagai Timbalan Presiden. Manakala Tuan Guru Haji Abdul Hadi sudah diangkat Naib Yang Dipertua PAS sangat berpengaruh dan popular di kalangan mahasiswa Islam yang baru bangkit semula di kampus-kampus universiti.  

Pada masa itu dah muncul beberapa tokoh ulama PAS yang menjadi idola kepada mahasiswa di universiti. Di kampus-kampus univerisiti, kami yang baru menjadi pemimpin-pemimpin mahasiswa saban minggu dan bulan menjemput tokoh-tokoh PAS dan DAP ke kampus-kampus dalam program yang dinamakan debat, forum dan sebagainya untuk berdepan dengan UMNO dihadapan mahasiswa.

Malah kalau di Universiti Malaya ketika itu, Debat Agung diadakan beberapa hari dengan bergilir-gilir tokoh pembangkang dan kerajaan datng berdebat. Sesekali kita menyelitkan tokoh-tokoh ABIM dan PSRM. JIM dan PKR tidak ada lagi pada masa tersebut.

Anwar sendiri pada masa tersebut adalah Pemuda UMNO, tetapi jarang hendak menerima jemputan berdebat di kampus, apatah lagi kalau kita regukan beliau dengan Ustaz Fadhil Nor dan Ustaz Abdul Hadi Hadi Awang. Selalunya yang menjadi pengganti kepada wakil UMNO adalah Ikhwan Nasir (almarhum).

Sekarang suasana tersebut dah pupus di kampus-kampus. Walaupun kami tidak dapat menyelami secara langsung aktivisme tahun 1970’an, tapi pada era 1980’an tersebut, gegaran kebangkitan mahasiswa Islam begitu terasa di kampus-kampus. Masa itu memerintah universiti seolah-olah sudah memerintah negeri.

Itu keadaan di kampus pada tahun 1980’an. Selepas lebih dua dekad, politikus-politikus kampus pada masa tersebut sekarang ini menjadi pelakon-pelakon utama politik negara sama ada dalam pembangkang atau kerajaan. Di university Malaya, nama-nama seperti Husam Musa, Takiyuddin Hassan, Ahmad Shabery Cheek dan lain-lain tidak asing kepada masyarakat kampus ketika itu. Di UKM pula ada nama-nama seperti Wan ismail Wan Jusoh, Idris Ahmad, Mustafa Kamil Ayub, Abd Rahman Bakar dan lain-lain lagi. Dari UPM, Saifuddin Nasution Ismail dan dari UTM pula paling menonjol Ahmad Lutfi Othman tidak menceburi politik sebaliknya menjadi Ketua Pengarang Harakah dan pengulas politik terkemuka tanahair. Sebelum itu ada Annuar Musa dan Affendi Mohamad yang pernah menjadi Ahli PAS Parlimen Jeli.

PAS yang bukan sahaja sebagai parti politik tetapi kesinambungan gerakan Islam dan perjuangan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Musuh PAS banyak. Semua musuh ini yang bermaksud menjahanamkan PAS sebagai satu kesinambungan gerakan mengislahkan masyarakat dan dunia ini mesti dibanteras. Musuh luaran barangkali mudah dikenalpasti. Namun musuh dalaman mungkin agak sukar disedari. Ada yang menjadi musang berbulu ayam. Mungkin kumpulan begini ada dalam parti, tidak mustahil.

Muktamar Tahunan PAS ke 55 akan menyaksikan pertandingan dan pemilihan mesti memastikan ia bersih dari gejala buruk yang boleh merosakkan ukhwah ulamak-professional dan masa depan PAS itu sendiri yang telah dibina dengan baik dibawah kepimpinan ulamak.

Paling baik kekalkan tradisi kepimpinan ulamak yang telah memacu perjuangan PAS selema lebih 25 tahun ini. Banyak kejayaan yang telah dikecapi. Berjaya memerintah Kelantan sejak tahun 1990 lagi hingga sekarang di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di Terengganu sempat memerintah selama satu penggal (1999-2004) juga di bawah kepimpinan ulamak. Di Kedah, Ustaz Azizan Abd Razak sempat juga memerintah (Mac, 2008 hingga sekarang ini).

Selain, faktor-faktor yang kita Nampak secara kasar, factor keberkatan ulamak pewaris nabi itu perlu diambil kira dalam memilih pemimpin. Jika dimuhasabah, antara faktor kerajaan campuran PAS pimpinan professional berjaya ditumbangkan di Perak dalam masa yang singkat tak sampai setahun berbanding dengan kerajaan PAS yang dipimpinan ulamak walaupun dikatakan kurang tahu memerintah adalah berkait rapat dengan factor keberkatan tadi.

Contoh yang nyata adalah yang ada dihadapan kita adalah, semua pendokong PAS cemas pada masa kerajaan PAS Kelantan lebih tiga kerusi sahaja berbnading dengan UMNO selepas pilihanraya umum 2004. Keadaan itu hamper sama yang dialami oleh Perak, dimana parti-parti Pakatan Rakyat hanya lebih 3 kerusi sahaja berbanding dengan UMNO/BN.

Tambah cemas, bila PAS tewas pula dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada tahun 2005, menyebabkan PAS tinggal satu kerusi sahaja melebihi UMNO dalam Dewan Undangan Negeri. Satu kerusi itu pula dengan majoriti dua undi sahaja.  Ikut logik akal kita, UMNO boleh ambil alih kerajaan Kelantan bila-bila masa sahaja jika seorang sahaja berpaling tadah.

Berbalik semula kepada pemilihan pemimpin PAS dalam muktamar PAS kali ini. Saya tidak ingin meramalkan siapa memang, siapa kalah. Walau siapa pun yang menang Timbalan Presiden dan lain-lain jawatan dia diatas nama dan kapasiti peribadinya tidak dapat melakukan apa-apa perubahan kerana PAS ini lain dari parti-parti politik yang lain.  

Sebab itu, PAS mesti mengelak dilihat sama dengan UMNO. Kelainan dari UMNO sebenarnya menjadi tarikan kepada PAS. Secara peribadi, saya tidak merasakan mana-mana pemimpin PAS hendak membawa PAS masuk UMNO walaupun Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri berulangkali menyebut sekiranya UMNO buat Islam, kita PAS akan bubar dan semua masuk UMNO. Pada saya tak semudah itu ahli-ahli PAS nak bubar parti dan masuk UMNO.

Sebagai peringatan kepada pemimpin PAS yang menang dan juga Presiden PAS yang telah tidak ditandingi diharap dapat menjadi factor penyatu selepas pertandingan kali ini yang membezakan kita dengan gerakan yang lain. Beberapa budaya dan amalan UMNO perlu ditinggalkan. Umpamanya, dalam politik UMNO dan parti-parti sekular lainnya, kemenangan dan terpilihnya menjadi pemimpin parti bukan sahaja menjadi peluang memperkasa diri sendiri, tetapi yang lebih jahat ialah peluang mencantas mereka yang kalah bertanding. 
 
Kecanggihan Muktamar PAS ke-55

Mengikut laporan media, persiapan PAS untuk menjadikan muktamar PAS kali ini paling canggih dalam sejarah PAS. Ada yang mengatakannya bertaraf world class sebagaimana kata pemimpin-pemimpin PAS Selangor yang ditugaskan mengendalikan perjalanan muktamar kali ini.Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar ketika merasmikan laman web Muktamar 55 ini menyatakan gerbang muktamar yang dilancarkan itu berobjektifkan saluran maklumat kepada seluruh rakyat termasuk untuk masyarakat antarabangsa yang kini sudah mengenali dan kagum dengan PAS sebagai parti politik yang berjaya di negara ini. 

Mengikut laporan harakahdaily, laman khas yang diperkenalkan, iaitu Muktamar 55, http://muktamar55.pas.org.my bakal memuatkan beberapa bahan berita dan video, selain membolehkan orang ramai mengikuti persidangan empat hari PAS secara langsung dengan lebih mudah lagi. Kesemua ucapan dasar, perbahasan dan sebagainya bakal di sajikan kepada orang ramai secara telus dan terbuka melalui laman tersebut. Ruangan yang terbatas dalam beberapa media utama tanah air termasuk laporan yang tidak adil menjadikan PAS menggunakan teknologi internet sebaiknya untuk menyampaikan ucapan dasar mereka kepada orang ramai.

Bahan-bahan yang akan mengisi gerbang maklumat itu antaranya siaran langsung terus menerus sidang muktamar bermula dengan muktamar dewan hinggalah muktamar penuh, katanya.”Kita akan menyiarkan secara telus dan terbuka maklumat ucapan dasar, ucapan-ucapan perbahasan, maklumat keputusan pemilihan termasuk pemilihan di peringkat kawasan, negeri dan seterusnya yang sedang berlansung sejak beberapa minggu ini,” katanya.

Laman web ini ujar Kamarudin diselia oleh Jabatan IT PAS Pusat dan sila layari muktamar55.pas.org.my untuk menyaksikan muktamar secara langsung

Artikel ini diterbitka untuk akhbar Siasah Bil 0152 (7-13 Jun 2009)

Filed under: Siasah, ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: