Kalam Perantau

Icon

Muktamar PAS dah berakhir, ke mana PAS selepas ini?

Oleh: Mohd Suhaimi Al-Maniri

Muktamar PAS ke55 yang diadakan dalam suasana yang agak meriah berbanding dengan sebelum ini dah berakhir pada Ahad, 7hb. June, 2009. Pertama kali sejak saya menjadi pemerhati muktamar PAS, begitu ramai wartawan yang membuat liputan. Lebih 300 orang dari dalam dan luar negara berkampung mengikuti muktamar PAS. Kehadiran petugas-petugas media ini seolah-olah mereka mengadakan muktamar mereka sendiri pulak.

Bukan sahaja kehadiran mereka untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi berbagai agenda cuba dicungkil dan diprovokasi kepada pemimpin-pemimpin PAS untuk disiarkan dalam media masing-masing. Perkara yang mendapat perhatian media adalah untuk melaga-lagakan pemimpin utama PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat sama ada dari DAP ataupun PKR daripada memberikan fokus kepada agenda Islam Menerajui Perubahan yang menjadi tema kepada ucapan dasar beliau pada tahun ini. 

Ucapan Presiden PAS sejak Muktamar tahun lepas menjadi perhatian masyarakat dan terus dibincangkan. Tema PAS untuk Semua atau PAS For All telah diterima dan berjaya membukakan pintu PAS kepada semua masyarakat sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Kehadiran lebih 20,000 keahlian Kelab Penyokong PAS sebagai bukti kejayaan pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dinamik dan progresif untuk memimpin PAS.

Kehebatan Presiden PAS telah diabadikan dalam sebuah buku setebal lebih 400 mukasurat bertajuk Abdul Hadi Awang – Murabbi, Ideolouge, Pemimpin yang ditulis oleh seorang tokoh pemuda , Haji Riduan Mohamad Nor yang mengkagumi pemimpin ini dan mengikutinya dari dekat.

Dalam tulisan ini, saya tidak bercadang untuk mengulas isi kandungan apa yang telah diucapkan oleh Presiden PAS dalam memperkukuhkan politik PAS sebagai mendokong aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya tetapi melihat beberapa aspek yang diberikan perhatian oleh perwakilan dan pemimpin PAS lain dalam muktamar kali ini.

Apa yang disarankan oleh Presiden PAS mendapat sambutan dan perhatian perwakilan. Perwakilan dari Sabah dan Sarawak mengalu-alukannya dan meminta pemimpin utama PAS lebih kerap turun ke negeri-negeri berkenaan. Apatah lagi dalam keadaan Sarawak sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihanraya negeri yang dijangkakan diadakan lebih awal.

Beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak yang saya temui di Muktamar kali ini mengharapkan pemimpin PAS mempunyai strategi tertentu dalam memperkasakan PAS Sabah dan Sarawak. Apa yang saya perhatikan, selepas pilihnraya umum ke-12 yang lepas, Timbalan Presiden PAS telah ditugaskan mengetuai jentera Pilihanraya Kecil PAS bermula di Parlimen Kuala Terengganu, kemudian diikuti Parlimen Bukit Gantang.

Nampaknya dibawah kepimpinan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden telah berjaya mencapai kemenangan yang diharapkan. Saya tak pasti sama ada pilihanraya kecil Manik Urai, Kuala Krai juga mengikut formula dan kaedah yang sama. Sebagai peringatan, jika PAS tersilap percaturan, tidak mustahil pengalaman pahit PAS gagal dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir berulang lagi di Manik Urai.

Berbalik kepada perkembangan politik Sabah dan Sarawak, ada sebahagian pemerhati politik berpendapat, adalah wajar seorang pemimpin PAS dari negeri Sabah dan Sarawak dikenalpasti untuk menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik bagi meningkatkan dan mengukuhkan kedudukan PAS di negeri-negeri berkenaan. Manakala jawatan Pesuruhjaya pula diserahkan kepada pemimpin berpengalaman dari Semenanjong untuk melakukan tranformasi politik.

Mungkin ada baiknya PAS mengikuti apa yang telah dilakukan oleh PKR sekarang ini dalam memastikan kedua-dua negeri berkenaan berada dalam pengaruh Pakaran Rakyat. PKR telah meletakkan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim sendiri untuk mengetuai jentera pilihanraya di negeri berkenaan.

Sementara PAS pula setidak-tidaknya menugaskan Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bagi mengetuai jentera PAS di kedua-dua berkenaan. Kejayaan PAS dikedua-dua negeri ini akan memberikan impak politik yang lebih besar kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Pemilihan Muktamar PAS  ke-55

Selain isu Sabah dan Sarawak, keluhan Dr. Lo’lo’ Mohamad Ghazali, peranan yang kecil diberikan kepada muslimat mungkin disebabkan kelemahan muslimat itu sendiri. Ketika Dewan Ulama dan Pemuda sudah lama menyelesaikan, isu kepimpinan mereka, Dewan Muslimat masih lagi tercari-cari ketua mereka. Sebelum ini, silih berganti ketua mereka digantikan dalam muktamar.

Cuma tahun ini Ketua Muslimat yang sebelumnya dikekalkan, walaupun ada cubaan untuk menggugatnya tetapi pergelutan dikatakan belum berakhir. Muslimat sepatutnya bersatu memperkasakan bahtera mereka, Dewan Muslimat supaya dihormati kawan dan lawan.

Setelah melihat keputusan pemilihan, saya merasakan perwakilan tidak terpengaruh dengan kempen-kempen yang dilakukan sebelum muktamar. Seorang kawan saya bernama hamdy, seorang penulis buku dan blog yang membuat pemerhatian terhadap keputusan pemilihan berpendapat; Faktor yang semua ketahui iaitu undi terpecah  antara Haji Mohd Sabu (261) dan Haji Husam Musa (281). Jumlah undi yang diterima kedua-dua mereka adalah 52%.  Manakala Ustaz Nasharuddin sepatutnya menerima sekurang-kurangnya  51 % undi perwakilan untuk mencapai kemenangan mutlak .

Media-media yang pro kepada Husam Musa lebih awal melakukan provokasi Husam telah menang Timbalan Presiden sebelum keputusan diumumkan. Bila keputusan diumumkan, hampir 75% perwakilan menolak Husam . Oleh itu ada kemungkinan   mereka yang menyokong Husam telah underestimate akan title ustaz yang ada pada ustaz  Nasharuddin. Ustaz Nasharuddin  telah menerima 480 undi, iaitu meningkat  30 undi lebih dari undi yang beliau  terima pada 2007.

Jika mengikut seorang pemerhati dan pengulas politik terkenal. Mohd Sayuti Omar (MSO), faktor berikut adalah faktor kekalahan Husam;
a. Gagasan politiknya;  liberalisme dan modenisasinya kontradik dengan gagasan parti  yang dibawa oleh  Presien. Gagasannya baik dan bernas tetapi silapnya beliau tergesa-gesa mahu  melaksanakan tanpa melihat kepada keupayaan dirinya.
b. Bentuk kempen yang agresif,  mendahului kaedah dan amalan sebelum ini dan bahan kempen yang  tidak dipantau  menyebabkan ia bersifat emosi dan menyimpang dari amalan PAS.
c. Menyerlah keghairahan yang tinggi untuk membuat perubahan ke atas parti. Sikap ini dianggap sebagai gelojoh dan kurang fatanah.
d. Kenyataan-kenyataan yang  bersifat ego dan terlalu profesional misalnya pertandingan itu sebagai mesej teguran kepada parti, ataupun meletakkan dirinya sebagai harapan masa depan parti sekaligus merendahkan pencapaian orang lain. Sikap sebegini tidak berapa disenangi oleh veteran Pas. 

Ketika menggulungkan muktamar PAS ke-55, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pemilihan PAS bukan untuk memancung mana-mana pemimpin. Secara peribadi, saya berpendapat, Presiden PAS perlu melantik Haji Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu menganggotai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dibawah ehsan Presiden PAS melalui kouta lantikan tambahan yang diberikan kepada beliau.

Walaubagaimanapun tradisi melantik calon lain yang telah bertanding diperingkat AJK yang kalah sama ada muslimin dan muslimat untuk mengambil hati dan sebagainya tidak perlu dipraktikkan kalau kehadiran mereka boleh digantikan oleh orang lain dalam membantu memperkasakan pengaruh PAS.

PAS sepatutnya fokus kepada kehadiran tokoh-tokoh baru dan muda yang akan menjadi pemimpin masa depan PAS seperti Nik Abduh Nik Mat, anak Mursyidul Am yang memenangi undi kedua tertinggi dalam pemilihan Pemuda PAS. Kehadiran Nik Abduh dalam jawatankuasa PAS Pusat mungkin boleh menjadi penghubung antara kedua-dua pemimpin utama PAS yang dilihat sering bercanggah pendapat di media.

Artikel ini disiarkan untuk Akhbar Siasah bil 0153 (14-20 jun, 2009) 

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: