Kalam Perantau

Icon

Kecewa dengan Kerajaan Terengganu

Kalam Perantau berharap Menteri Besar Ahmad Said dapat mengkaji semula ketidakadilan yang berlaku sebelum ini dan menyelesaikan isu-isu begini supaya kerajaannya dapat pembelaan rakyat marhaen…
 
“Saya merasakan telah dizalimi oleh kerajaan pada Mac 2004 setelah jawatan kerja ditarik balik menyebabkan saya hilang sumber pendapatan. Baru-baru ini saya menggagahkan diri bertanya kepada kerajaan perihal penarikan jawatan kerja itu namun hingga kini belum mendapat jawapan atau pampasan. Apakah kerajaan ini hanya berani menghantar surat memecat kakitangan, tetapi bacul untuk membalas surat menjelaskan sebab-musababnya. Di sini saya sertakan salinan surat saya kepada kerajaan:

Wan Mohammad Shukri B. Wan Chik @ Wan Din
No.K/P: 750412-11-5115
No.9, SS18/1C
47500 Subang Jaya
Selangor Darul Ehsan
Tel: 014-2207892 Emel: wmshukri@hotmail.com

Tarikh: 20 April 2009

Y.B. Dato’ Haji Mokhtar bin Nong
Setiausaha Kerajaan Terengganu
Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu
Tingkat 15 Wisma Darul Iman
20503 Kuala Terengganu
TERENGGANU DARUL IMAN

Y.B. Dato’,

TAWARAN JAWATAN PEGAWAI TADBIR NEGERI GRED N41

Adalah saya dengan hormatnya merujuk kepada surat SUK.TR.800/310/161-(4) bertarikh 24 Mac 2004 yang memaklumkan bahawa surat SUK.TR.800/310/161-(2) bertarikh 9 Mac 2004 berkaitan perkara di atas dibatalkan dan ditarik balik. Setelah meneliti surat berkenaan, saya mendapati tidak ada sebarang sebab dinyatakan berkaitan pembatalan dan penarikan balik perkara itu. Juga tidak kedapatan sebarang tawaran bayaran ganti rugi atau pampasan terhadap segala usaha yang telah saya ambil sebagai langkah menerima tawaran pada surat SUK.TR.800/310/161-(2) serta kepayahan hidup selepas penarikan balik melalui surat SUK.TR.800/310/161-(4) tersebut yang menyebabkan saya hilang sumber pendapatan. Saya amat kesal dan amat tertekan dengan hal tersebut.

2. Dengan demikian, saya mengharapkan Y.B. Dato’ dapat menyatakan jawapan yang telus dan munasabah terhadap beberapa persoalan berikut:

2.1. Adakah sah penarikan balik dan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2) itu sedangkan tawaran jawatan Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 itu adalah bertaraf jawatan tetap dan bukannya bertaraf jawatan politik?

2.2. Apakah Setiausaha Kerajaan Terengganu ketika itu berhak menarik balik dan membatalkan surat SUK.TR.800/310/161-(2) itu sedangkan proses perlantikan bermula dari pengiklanan, pengeluaran borang, peperiksaan bertulis dan temuduga dijalankan oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri?

2.3. Apakah sebenarnya sebab-musabab penarikan balik dan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2) itu yang sekaligus menyebabkan saya hilang pekerjaan dan sumber pendapatan secara serta-merta?

2.4. Menerusi tindakan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2) yang menyebabkan saya hilang pekerjaan secara serta-merta, apakah Kerajaan Terengganu pernah mengambil kira perihal sara hidup dan kesusahan yang bakal dialami oleh saya sebagai seorang rakyat Terengganu yang sewajarnya mendapat pembelaan dan perlindungan daripada sebuah kerajaan yang bestari dan berintegriti?

2.5. Setelah penarikan balik dan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2) yang saya rasakan sebagai satu bentuk penganiayaan dan kezaliman, mengapakah tidak disusuli dengan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi, pampasan atau ex-gratia?

2.6. Adakah dengan penarikan balik dan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2) itu menandakan segala usaha Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu untuk melantik kakitangan kerajaan negeri dianggap tidak sah dan sia-sia?

2.7. Adakah juga dengan penarikan balik dan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2) bertujuan mempermain dan menyusahkan saya?

2.8. Bagaimanakah pula status surat SUK.TR.800/310/161-(3) bertarikh 9 Mac 2004 yang dikeluarkan kepada Pegawai Perubatan, Unit Pesakit Luar, Hospital Kuala Terengganu yang berada di bawah Kementerian Kesihatan, Kerajaan Persekutuan juga ditarik balik dan dibatalkan sedangkan surat tersebut juga telah memaklumi perihal lantikan ke jawatan Pegawai Tadbir Negeri GredN41?

2.9. Apakah tindakan penarikan balik dan pembatalan itu melalui surat SUK.TR.800/310/161-(4) dibuat setelah mengambil kira soal nilai murni, sifat perikemanusiaan dan aspek keadilan kepada saya kerana saya dapati surat itu bertarikh 24 Mac 2004 iaitu hanya tiga hari selepas Pilihanraya Umum ke 11 pada 21 Mac 2004 seolah-olah terlalu tergesa-gesa?

3. Untuk makluman Y.B. Dato’, saya telah berusaha untuk mendapat jawatan Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 bermula dari mendapatkan dan mengisi borang permohonan, mendapatkan buku-buku rujukan, mengulangkaji dan menghadiri peperiksaan bertulis yang dijalankan di Dewan Besar, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu pada 29 dan 30 September 2003 dan menghadiri temuduga yang dijalankan pada 8 Februari 2004 di Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu, Wisma Negeri, Kuala Terengganu. Seterusnya mengahadiri Program Kursus Kepimpinan Terengganu Akademi Pembinaan Insan, Kem Teluk Kalong, Kemaman.

4. Setelah menerima surat SUK.TR.800/310/161-(2) bertarikh 9 Mac 2004 yang menawarkan jawatan Pegawai Tadbir Negeri Gred N41, saya telah mengambil beberapa langkah untuk menerima tawaran tersebut dengan segera iaitu meletakkan jawatan saya dengan serta-merta ketika itu sebagai Pengurus Kolej Teras Timur, Dungun, berpindah dari Kediaman Pengurus Kolej Teras Timur, Dungun ke Kuala Terengganu dengan kos sendiri, mengisi Surat Penerimaan Jawatan (16204-JPN.,Tr.), Akuan Sumpah Bukan Penagih Dadah (16304-JPN.,Tr.) beserta Surat Akuan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Lampiran A (Pengkalan Data Peribadi), Surat Akuan Diri (16979-JPN.,Tr.), menjalani Pemeriksaan Doktor Untuk Perlantikan Ke Perkhidmatan Kerajaan (Perintah Am 23(a) Bab ‘A’ 1973) pada 21 Mac 2004 dan laporannya siap pada 28 Mac 2004.

5. Sejurus itu, saya terus ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan Sumber Manusia), Tingkat 8, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu untuk menyerahkan borang-borang yang telah diisi sekaligus melaporkan diri untuk menerima tawaran jawatan dan bertugas. Saya amat terkejut ketika itu apabila kakitangan di bahagian berkenaan meminta saya balik ke rumah dahulu dan akan dihubungi kemudian jika ada maklumat lanjut. Namun saya tetap juga menyerahkan semua borang-borang yang telah lengkap diisi kepada kakitangan di situ dengan penuh harapan positif.

6. Sewaktu perjalanan saya untuk keluar daripada bangunan Wisma Darul Iman, saya terserempak dengan salah seorang majikan saya sewaktu saya bekerja di Institut Kemahiran Safa, Kuala Terengganu. Beliau pada masa itu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setelah menang di dalam Pilihanraya Umum ke 11 pada 21 Mac 2004 dan turut mendapat jawatan Exco Mesyuarat Kerajaan Negeri. Setelah mengucap tahniah di atas kemenangan beliau dan bertegur sapa, saya memaklumkan tentang perihal saya disuruh pulang semasa hendak melapor diri di tingkat 8 itu. Beliau menyatakan bahawa beliau tidak dapat berbuat apa-apa tentang hal itu kerana itu adalah atas kehendak Y.A.B. Menteri Besar pada masa itu sendiri.

7. Selepas beberapa hari, saya menerima surat SUK.TR.800/310/161-(4) yang menyatakan penarikan balik dan pembatalan surat SUK.TR.800/310/161-(2). Saya merasa amat bingung dan sangat berdukacita pada waktu itu. Saya baru setahun melangsungkan perkahwinan dan tidak mempunyai simpanan kewangan yang kukuh lagi pada masa itu, setelah hilang pekerjaan pula menyebabkan hidup saya amat tertekan. Saya bingung dengan apa yang berlaku dan persoalan mengapakah sebegini dilakukan kepada saya oleh Kerajaan Negeri amat menekan jiwa. Saya menjadi antara orang pertama yang menganggur setelah Terengganu bertukar kerajaan. Saya teringat kepada kata-kata Dato’ Sri Idris Jusoh sebelum beliau menjadi Menteri Besar yang menyatakan sudah serik berada di bawah pentadbiran kerajaan parti pembangkang semasa lawatan Y.A.B. Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai sebelum beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003. Harapan-harapan baru yang diberikan kepada rakyat Terengganu sungguh menarik sehingga merasakan apabila Barisan Nasional menang kembali di Terengganu, semua rakyat akan hidup senang. Saya juga pernah mengikuti Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teras Timur ke mesyuarat Gelombang Biru yang diadakan di Motel Desa, Kuala Terengganu sebelum Pilihanraya Umum ke 11 dan nada harapannya juga sama.

8. Saya bukanlah ahli kepada mana-mana parti politik kerana bagi saya politik bukan bidang saya. Tetapi ketika itu keadaan saya yang bekerja dangan beberapa tokoh atau keluarga tokoh penting UMNO sedikit sebanyak memberi saya peluang untuk mendekati serta mengenali UMNO. Saya berasa seronok ketika bekerja dan mengenali mereka. Namun, amat memeranjatkan sekali tindakan kerajaan Barisan Nasional selepas Pilihanraya Umum ke 11 itu. Saya merasakan seolah-olah UMNO sangat baik umpama rakan karib kepada saya semasa mereka kalah di dalam pilihanraya, tetapi sebaliknya seperti sudah tidak kenal saya lagi setelah menang dan memerintah semula.

9. Sewaktu awal pentadbiran Y.A.B. Menteri Besar, Dato’ Sri Idris Jusoh ketika itu, tertubuhnya satu unit baru di dalam pentadbiran beliau yang dinamakan Unit Bestari. Seorang kenalan saya iaitu seorang guru agama yang aktif di dalam UMNO cuba menolong saya untuk mendapat pekerjaan di dalam Unit Bestari tersebut. Beliau membawa saya bertemu dengan Pengarah unit tersebut pada masa itu untuk maksud mengisi kekosongan jawatan dalam unit itu. Selang beberapa hari saya dibawa lagi oleh beliau berjumpa dengan Pengarah unit itu dan saya dimaklumkan adanya halangan terhadap saya untuk berkhidmat di bawah unit tersebut oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Kenalan saya itu telah menghubungi dan berbincang panjang dengan ADUN tersebut dan dukacita dimaklumkan kepada saya bahawa ADUN itu tidak dapat menerima saya di atas alasan saya pernah dibuang oleh kerajaan negeri iaitu kes surat SUK.TR.800/310/161-(4).

10. Kemudian saya memulakan usaha baru untuk mencari pekerjaan dengan menghantar banyak permohonan kerja. Banyak juga panggilan temuduga yang saya perolehi. Proses temuduga berjalan lancar sehingga panel penemuduga bertanyakan perihal pengalaman kerja, iaitulah berkenaan apakah pekerjaan yang saya lakukan selepas saya meletakkan jawatan sebagai Pengurus Kolej Teras Timur pada 18 Mac 2004. Oleh itu, saya pun menceritakan perihal surat SUK.TR.800/310/161-(4) yang menyebabkan saya hilang pekerjaan secara serta-merta. Setelah diceritakan perihal itu, saya dapati wajah penemuduga berubah, dan ada penemuduga di sebuah badan kerajaan yang menyatakan seolah-olah saya aktif dalam parti pembangkang pula sehingga menyebabkan timbulnya surat SUK.TR.800/310/161-(4). Saya amat tidak faham dan bingung dengan apa yang berlaku kerana saya tidak pernah pun menjadi ahli parti pembangkang. Saya merasakan seolah-olah saya telah disenarai hitamkan berikutan kes surat SUK.TR.800/310/161-(4) itu, sekali gus menghalang saya mendapat pekerjaan terutama dari agensi atau badan-badan kerajaan.

11. Pernah pada satu waktu saya berjumpa dengan seorang kakitangan Kolej Teras Timur pada satu seminar di Kuala Terengganu dan beliau bertanyakan saya akan kebenaran satu khabar angin yang kononnya dari seorang tokoh UMNO negeri yang menyatakan bahawa saya mempunyai hubungan yang kuat dengan parti pembangkang sehingga saya mendapat tawaran jawatan Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 itu. Saya amat kesal dengan khabar angin sebegitu kerana bagi saya, sekiranya saya ada hubungan yang kuat dengan parti pembangkang, sudah tentunya mereka tidak akan membiarkan saya hidup melarat sehinggakan saya pernah terpaksa mengumpul besi buruk dan botol plastik untuk dijual bagi mendapatkan wang belanja. Parti pembangkang pun tidak pernah melawat saya bertanya khabar apatah lagi memberikan bantuan atau menawarkan saya bekerja dengan mereka.

12. Kini setelah difikir dan direnung semula, saya merasakan semasa parti pembangkang menjadi Kerajaan Terengganu, mereka membiarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu melakukan proses pemilihan kakitangan dengan bebas tanpa diskriminasi walaupun pada waktu itu mereka mungkin menyelidiki atau mengetahui bahawa saya bekerja di institusi kemahiran dan kolej swasta kepunyaan tokoh-tokoh penting UMNO namun mereka tidak pun menyisihkan saya. Ini membuatkan saya terfikir bahawa mereka lebih telus dan tidak pilih bulu semasa memerintah. Sedangkan setelah saya menerima surat SUK.TR.800/310/161-(4), saya digambarkan seolah-olah seorang ahli parti pembangkang dan seolah-olah disenarai hitam dari mendapat pekerjaan.

13. Berikutan itu, saya mengalami kesusahan hidup, tekanan dan kemurungan yang berpanjangan, perasaan rendah diri yang amat mendalam dan hilang keyakinan diri, perasaan amat malu kepada keluarga, kaum kerabat, keluarga mertua, sahabat handai, rakan-rakan sekuliah dan sekerja dahulu, orang kampung dan masyarakat. Saya selaku seorang yang baru tamat alam pengajian beberapa tahun dahulu dan dalam proses menimba pengalaman bekerja untuk menjadi lebih matang dan menjadi orang berguna kepada masyarakat dengan penuh semangat dan keceriaan, tiba-tiba diperlakukan sebegitu rupa hasil surat SUK.TR.800/310/161-(4). Saya benar-benar merasakan diri ini begitu teruk dihinakan oleh sebuah kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat, yang sepatutnya melindungi dan membela rakyat. Seolah-olah perjalanan hidup saya yang masih muda ini dicantas dan membiarkan saya tercicir lalu mereput menuju kehidupan tua. Kesihatan saya juga kini terjejas dengan beberapa masalah kesihatan seperti kolestrol, stres dan telah disahkan menghidapi penyakit diabetis. Harapan pada UMNO dan Barisan Nasional seakan-akan sudah hancur luluh. Yang tinggal hanya kesengsaraan berpanjangan yang membuahkan kemarahan dalam kebingungan.

14. Baru hari ini, saya mempunyai sedikit kekuatan untuk menulis surat ini dan ingin mengetahui sebab-musabab yang telus dan jujur atas tindakan Kerajaan Negeri Terengganu berkaitan surat SUK.TR.800/310/161-(4) itu. Di dalam keadaan kegawatan ekonomi yang mula melanda kini, saya turut berasa bimbang jika hidup saya yang ala kadar ini akan menjadi lebih teruk lagi. Apakah Kerajaan Negeri Terengganu pernah terfikirkan hal yang menimpa saya ini selaku seorang rakyat biasa? Apakah yang boleh Kerajaan Negeri Terengganu sumbangkan kepada saya yang dizalimi ini bagi membantu dari segi kewangan, gantirugi, emosi, semangat diri mahu pun pembersihan nama?

15. Adalah diharapkan dengan penjelasan yang telus dan bertanggung jawab dari Kerajaan Negeri Terengganu nanti akan membolehkan saya simpulkan untuk menerangkan permasalahan ini kepada kaum keluarga saya samada yang berbangsa Melayu dari sebelah bapa, keluarga yang berbangsa Cina dari sebelah ibu, keluarga dan kaum kerabat sebelah mertua dan sahabat serta kenalan jua.

Saya memohon agar saya tidak dijadikan warga yang dicicirkan, semoga rakyat terus diutamakan. Sekian, terima kasih.

Saya yang benar,
 

(WAN MOHAMMAD SHUKRI B. WAN CHIK @ WAN DIN)
No.K/P: 750412-11-5115

Lampiran 1: Salinan surat SUK.TR.800/310/161-(4)

S/K:
1. DYMM Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Sultan Negeri Terengganu
D/A: Pejabat Setiausaha KeBawah DYMM Sultan Terengganu,
Jalan Sultan Mahmud,
20400 Kuala Terengganu,
TERENGGANU.

2. Y.A.B. Dato’ Sri Haji Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia,
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

3. Y.A.B. Dato’ Ahmad Bin Said
Menteri Besar Terengganu,
Pejabat Menteri Besar,
Tingkat 16, Wisma Darul Iman,
20503 Kuala Terengganu,
TERENGGANU.

4. Y.A.Bhg. Tuan Haji Isa @ Ghazali Bin Endut
Pengerusi,
Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu,
Tingkat 7, Wisma Negeri,
20200 Kuala Terengganu,
TERENGGANU.

5. Y.A.Bhg. Tuan Haji Omar Bin Haji Osman
Presiden,
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),
Ibu Pejabat Cuepacs, Wisma Cuepacs,
No. 34A, Jalan Gajah Off Jalan Yew,
Pudu 55100 KUALA LUMPUR.

6. Y.Bhg. Dato’ Ismail Bin Haji Abdul Rahim
Ketua Pengarah,
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia,
Kementerian Sumber Manusia,
Aras 5, Blok D3, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 PUTRAJAYA.

7. Y.Bhg. Datuk Michael Chong Ten Soo
Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA,
8th Floor, Wisma MCA,
163, Jalan Ampang,
50450 KUALA LUMPUR

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: