Kalam Perantau

Icon

Takziah Adun PAS Permatang Pasir meninggal dunia – Al Fatihah

Petikan harakahdaily: Sabri Said dan Wan Nordin Wan Yaacob

 DatukKUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh)- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Dato’ Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man ketika memberitahu, jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu.

Menurutnya, allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, ” jelasnya.

Baru-baru ini allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’ sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71.

Harakhadaily dimaklumkan, jenazah allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini.

Bagaimanapun tempat dan waktu pengkebumianya belum dipastikan cuma berkemungkinan petang ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar dalam smsnya kepada Harakahdaily memaklumkan sedang dalam perjalanan ke IJN bagi menziarahi allahyarham, beberapa pimpinan dijangka akan menziarahi jenazah dalam masa terdekat.

AJK PAS Pusat, Dato’ Kamarudin Jaffar menyifatkan pemergian allahyarham merupakan kehilangan besar kepada PAS.

“Allahyarham adalah seorang pemimpin PAS yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting,” ujarnya.

Filed under: News, , , ,

‘Saya tidak berniat hina kaum Iban’ – Abdul Hadi

KEPALA BATAS 27 Julai – Bukannya hendak meminta maaf selepas didakwa membuat kenyataan yang menyinggung kaum Iban, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh pula pemimpin Barisan Nasional (BN) memperbodohkan rakyat apabila mendedahkan kenyataannya itu.

Presiden Pas itu berkata, beliau tidak berniat menghina masyarakat kaum Iban di Sarawak melalui ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.

Abdul Hadi menegaskan, kenyataannya dalam ceramah tersebut telah disilap tafsir dan pemimpin BN khususnya di Sarawak sengaja membesar-besarkan isu tersebut.

”Saya tak berniat untuk menghina dengan mengatakan mereka (masyarakat Iban) bodoh. Saya simpati kerana pemimpin BN yang membodoh-bodohkan rakyat.

”Mereka bodohkan rakyat sehingga rakyat di sana (Sarawak) tidak boleh membuat keputusan berani untuk menyokong kita (pakatan pembangkang),” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada sesi Ceramah Khas Sempena Hari Pekerja anjuran parti itu di Kompleks Sukan Bertam, di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Pas, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man.

Abdul Hadi dalam ceramahnya semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan baru-baru ini menyifatkan rakyat Batang Air tidak tahu mengundi kerana mereka masih pakai cawat lagi.

Dalam ceramah itu, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata: ”Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Air sahaja, kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina, tetapi tempat yang pakai molek, undi Pas.”

Kenyataan Hadi itu dilaporkan menyinggung perasaan masyarakat Iban di negeri tersebut kerana dilihat ‘merendah-rendahkan’ mereka khususnya di Lubok Antu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang baru-baru ini mendesak Abdul Hadi meminta maaf atas kenyataannya itu yang dibuat berdasarkan fakta yang tidak benar.

Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ceramah tersebut mempelawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyertai pakatan pembangkang untuk bersama mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

”Saya fikir kalau Pak Lah (Abdullah) serius hendak mansuh ISA, kita jemput beliau keluar UMNO dan sertai Pakatan Rakyat,” katanya

Filed under: News, , , , ,

Satu Pagi Di hari Jumaat, di perkarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu

Filed under: News, , , , ,

Impian Menjadi Realiti – TIA lenyap menjadi 1MDB, Bukan Lagi Milik Terengganu

KUALA TERENGGANU – Terengganu Investment Authority (TIA) bukan lagi sebuah badan pelaburan milik kerajaan Terengganu apabila ianya diputusakan menjadi sebuah entiti persekutuan dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Akhbar the Star pada 22 Julai lalu telah memetik kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang berkata selepas berbincang dengan Putera Mahkota Abu Dhabi General Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, yang juga Pengerusi al-Mudabala Development.

Selepas lawatan peribadinya sehari ke Abu Dhabi, Najib berkata syarikat pelaburan tersebut bersetuju untuk melabur sebanyak USD 1 bilion dalam bidang hartanah dan perkhidmatan di Malaysia.

”Untuk membolehkan pelaburan ini berjaya, kerajaan telah memutuskan TIA akan di kembangkan menjadi sebuah  Dana Kekayaan Diraja (sovereign wealth fund) yang akan dikenali sebagai 1Malaysia Development Bhd,”kata Najib dalam satu kenyataan

Pada asalnya TIA dicadangkan atas kepentingan menjamin kekayaan minyak Terengganu dikekalkan untuk masa depan sekiranya Terengganu tidak lagi menjadi pengeluar minyak.

Ia dijangka mengumpulkan RM6 bilion dana hasil tawaran bon yang mencagarkan ‘bayaran royalti kerajaan negeri Terengganu’ yang belum diterima.

Dengan pengumuman itu juga,  TIA, yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Terengganu akan di letakkan dibawah Kementerian Kewangan dan dilapotrkan terus kepada Perdana Menteri Malaysia

Filed under: News, , ,

Tahniah! Ketua Dewan Pemuda PAS dah masuk marhalah ke3

Oleh Ketua Pemuda PAS Pusat

1. [ Kelmarin ] Seharian Exco Dewan Pemuda PAS Pusat bersama Pengarah – pengarah jabatan dan Ketua – Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri memerah idea serta mencetus pandangan merangka satu plan tindakan strategik bagi semua lajnah dan jabatan Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ].

2. Hampir sebulan yang lalu , DPPP telah mengadakan retreat selama 2 hari 2 malam untuk merangka hala tujunya buat musim ini .

3. Alhamdulillah , selesai DPPP mendokumenkan hala tuju dan plan tindakan strategik .

4. Kini DPPP memasuki marhalah ke tiga [ pertama : pembentukan jawatankuasa dan kabinet 2009/11 . Kedua : dokumen hala tuju dan plan tindakan strategik ] . Saya kira inilah marhalah sebenar bagi seluruh pemegang amanah DPPP yang terdiri daripada Exco , Ketua – ketua Jabatan dan Ketua – ketua DPP Negeri untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalas .

5. Semoga Allah swt tidak membiarkan kami bersendirian memikul beban amanah ini melainkan kami sangat mengharapkan kekuatan dan petunjuk daripada Allah Tuhan rabbul Izzati .

6. Menunaikan amanah , melunaskan tanggungjawab , mendepani cabaran dan menyerap tekanan bukanlah suatu yang mudah dan ringan . Ia memerlukan seluruh pemegangnya bekerja kuat dan gigih serta ikhlas kepada Allah swt disamping tidak lekang dari munajat dan ibadah yang membawa kita aqrab kepada Allah swt .

7. Kekuatan spiritual , fikrah dan syakhsiyah menjadi asas keupayaan untuk kita semua menggalas beban amanah yang berat dan mencabar ini . Apa yang cukup menakutkan ialah bagaimana kelak kita akan dipersoalkan oleh Allah swt di akhirat kelak . Sabda Rasulullah saw :

كلكم راع و كلكم مسؤول عن رعيته

Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan akan kepimpinan kamu .

8. KPI kita kelak bukan sahaja akan dinilai oleh sekreteriat DPPP tetapi ianya akan dinilai oleh Allah swt. Kita bertanggungjawab langsung kepada Allah swt dan Allah swt senantiasa melihat bagaimana performance kita . Apakah kita benar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab atau kita hanya bijak berkata – kata dan pandai bermain alasan ?

9. Ayuh ! segera kita melakukannya . Kita laksanakan segala plan tindakan yang telah kita gariskan bersama untuk mencapai hala tuju yang telah kita jua persetujui bersama . Kerah segala keupayaan untuk menjayakannya sebagaimana kita telah berjaya mengerahkan idea dan buah fikir kita untuk menetapkan hala tuju dan plan tindakan yang strategik .

10. Saya juga sangat mengharapkan input yang bernas dan bernilai dari semua pihak dalam dan luar DPPP . Segala pandangan sangat kami alu – alukan dan kami dahulukan dengan Jazakumullah Khairan Jaza’ . Jika benar tindakan kami , bantulah ! jika salah tindakan kami tegur lah ! Kami bersikap terbuka dan sedia melakukan apa yang terbaik .

Filed under: News, ,

Pertambahan kerusi pilihanraya, Terengganu tidak akan dipinggirkan lagi?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Ramai rakan-rakan dari Terengganu yang saya temui semasa pilihanraya kecil Manek Urai baru-baru begitu bersemangat memberitahu sebuah kerajaan baru Terengganu akan ditubuhkan dalam jangkamasa terdekat. Seorang penyokong kuat Parti Keadilan Rakyat menyebut, kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said sekarang ini memerlukan talian hayat dari Istana untuk terus mentadbir kerajaan.

Malah rasa tidak puashati dikalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap pimpinan kerajaan negeri semakin terserlah dengan tindakan 10 ADUN memboikot persidangan DUN yang lepas ekoran SMS ugutan bunuh 3 ADUN UMNO/BN. Untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Ahmad Said pun mereka tidak yakin dapat menumbangkan kerajaan  sedia ada kerana 8 ADUN PAS akan menjadi penentu. Namun tuntutan sekumpulan ADUN yang memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menggantikan Menteri Besar yang ada sekarang dengan ADUN lain masih tidak diperkenankan.

Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Ahmad Said sebagai Menteri Besar sekarang. Jika beliau mampu mengembalikan semula bayaran royalty petroleum kedalam kantung kerajaan negeri, itu merupakan satu kejayaan besar selepas hamper satu dekad dinafikan haknya untuk diuruskan secara langsung oleh kerajaan negeri yang memerintah. Sepatutnya, Ahmad Said boleh mengambil pendekatan politik baru dalam menangani masalah rakyat dan penduduk Terengganu yang terkenal dengan jolokan ‘negeri kaya, rakyat miskin’.

Terengganu akan dapat tambahan kerusi pilihanraya?

Sebagai mengulas kenyataan Ketua UMNO Marang, Yahya Mohamad Khatib menjangkakan parlimen Marang akan bertambah satu atau dua kerusi sekiranya persempadanan semula kawasan pilihanraya dilakukan nanti.  Sementara Ketua kawasan PAS Marang, Haji Yahaya Ali yang juga Setiausaha PAS Terengganu turut bersetuju dengan pertambahan kerusi Parlimen dan DUN sekiranya persempadanan semula kawasan pilihanraaya dapat direalisasikan.  

Kali terakhir persempadanan semula kerusi pilihanraya dilakukan adalah pada tahun 2002 dan sepatutnya persempadanan baru diadakan pada tahun 2010, yakni selepas 8 tahun. Tidak dapat dipastikan sama ada persempadanan baru yang akan diadakan oleh SPR akan diterima ataupun tidak kerana  kerajaan tidak menguasai majority 2/3 untuk meminda perlembagaan yang melibatkan pertambahan kerusi.

Bagi negeri Terengganu, persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2002 tersebut tidak melibatkan pertambahan kerusi. Kerusi parlimen kekal 8 dan begitu juga kerusi DUN kekal 32.  Kalau tidak silap ingatan saya, kerusi pilihanraya Terengganu telah tidak bertambah sejak lebih 20 tahun kerana pada semakan persempadanan sebelumnya pada pertengahan 1980’an  juga tiada pertambahan sebarang kerusi sama ada DUN ataupun parlimen.

Berdasarkan kepada senarai pemilih dalam pilihanraya umum (PRU) ke-12 lalu, jumlah pengundi Parlimen Kuala Terengganu (80,325), Kemaman (75,006), Marang (74,813), Dungun (64,851), Kuala Nerus (61,214), Besut (58,353), Setiu (54,520) dan Hulu Terengganu (52,515) dengan setiap parlimen mempunyai 4 kerrusi DUN.

Dengan jumlah pengundi keseluruhan lebih 520,000 pada pilihanraya umum ke-12 dan mungkin meningkat dengan mudah kepada 550,000 pada tahun 2010 ketika persempadanan pilihanraya diadakan. Tanpa mengambil unjuran pengundi mencecah keangka hampir 600,000 menjelang pilihanraya umum ke-13 pada tahun 2012, maka adalah wajar persempadanan semula pilihanraya pada kali ini memberikan tambahan tidak kurang dari 3 kerusi  kerusi parlimen.

Kenapa saya katakan tidak kurang dari 3 kerusi parlimen perlu ditambah kerana mengambil kira  dua kali persempadanan semula pilihanraya diadakan sebelum ini, sepatutnya telah ditambah 2 kerusi parlimen tetapi tidak dilakukan menyebabkan pengundi menjadi terlalu ramai sehinggakan parlimen Kuala Terengganu (80,325), Kemaman (75,006), Marang (74,813), Dungun (64,851) dan Kuala Nerus (64,851) jauh melebihi 50,000 pengundi yang sesuai untuk kerusi parlimen di kawasan-kawasan membangun.

Setelah saya melihat secara kasar taburan pengundi-pengundi yang sedia ada, maka satu kerusi parlimen tambahan di wujudkan bagi daerah Kemaman dan Dungun kerana jumlah pengundi bagi kedua-dua kawasan parlimen sedia ada mencecah 140,000 pengundi dan boleh mencapai 150,000 pengundi pada bila-bila masa.

Kemaman mempunyai 4 kerusi DUN, iaitu Chukai, Air Putih Kijal dan Kemasik. Manaka Dungun pula mempunyai 4 DUN, iaitu Paka, Sura, Rantau Abang dan Bukit Besi. Jika melihat kepada sempadan sedia ada, adalah wajar kerusi parlimen baru diadakan dengan meliputi sebahagian besar kawasan Ketengah sebagai satu lagi pusat pertumbuhan baru berpusatkan di Bukit Besi.

Satu parlimen baru dinamakan Parlimen Bukit Besi boleh diwujudkan menggabungkan kerusi DUN Kemasek, DUN Paka dan DUN Bukit Besi  (boleh dijenamakan semula sebagai DUN Jerangau) sebagai asas kepada persempadanan semula kawasan parlimen yang baru ini.

Kawasan parlimen Marang dan Kuala Terengganu mempunyai kepadatan pengundi yang terlalu tinggi melebihi 150,000 pengundi sudah wajar dipecahkan kepada 3 kawasan parlimen. Kalau kita melihat kepada kawasan geographical daerah, sebahagian parlimen Marang termasuk dalam daerah Kuala Terengganu, khususnya DUN Bukit Payong dan DUN Alor Limbat.

Jika sebahagian dari dua DUN yang termasuk dalam daerah Kuala Terengganu dikeluarkan dari parlimen Marang menjadikan parlimen Marang akan tinggal hanya dua DUN sahaja, iaitu DUN Rhu Rhendang dan DUN Pengkalan Berangan. Secara logiknya DUN Pengkalan Berangan perlu dipecahkan dua kerana terlalu luas dari pantai hingga ke darat. Satu DUN Merchang perlu diwujudkan semula disebelah pantai dan pecahan disebelah darat boleh digabungkan beberapa peti undi lain untuk mewujudkan DUN wakaf Tapai.

Kerusi parlimen kedua adalah dengan menggabungkan 2 keruasi DUN dari parlimen Marang, iaitu DUN Bukit Payong dan Alor Limbat yang sebahagian peti undinya berada dalam daerah Kuala Terengganu  dengan DUN Batu Burok (sekarang ini dalam parlimen  Kuala Terengganu) menjadi sebuah parlimen baru. Parlimen ini boleh dinamakan Parlimen Batu BUrok, sementara kerusi DUN batu Burok ini boleh dinamakan sebagai DUN Kuala Ibai.

Sekarang kita dah dapat dua kerusi parlimen baru. Dimana satu lagi kerusi parlimen boleh diwujudkan. Setelah melihat kepada taburan pengundi baki 4 kerusi parlimen Kuala Nerus (61,214), Besut (58,353), Setiu (54,520) dan Hulu Terengganu (52,515). Dengan jumlah pengundi sebanyak hampir 220,000 satu kerusi parlimen wajar diwujudkan dengan menyusun semula kerusi-kerusi DUN yang sedia ada sebagai asasnya.

Kawasan parlimen Kuala Nerus dan Besut merupakan kawasan yang paling padat pengundi diantara yang tinggal sekarang ini. Satu kerusi yang sesuai dan berpotensi untuk diwujudkan adalah dengan menggabungkan semula kerusi DUN yang berada dalam kawasan Kuala Terengganu Utara untuk membentuk dua kerusi parlimen di sini.

Jika DUN Batu Rakit dikeluarkan dari Setiu dan DUN Manir dikeluarkan dari Hulu Terengganu kerana pada asasnya kedua-dua DUN ini sebahagaian besarnya berada dalam kawasan Kuala Terengganu Utara dan digabungkan dengan kerusi-kerusi DUN sedia ada dalam Parlimen Kuala Nerus, satu lagi tambahan kerusi parlimen wajar dibentuk.

Katalah kerusi parlimen Kuala Nerus yang baru dianjak sedikit ke utara dengan menggabungkan DUN Batu Rakit bersaama dengan Tepuh dan DUN Seberang Takir , maka satu lagi kerusi parlimen yang baru boleh dibentuk dengan menggabungkan DUN Bukit Tunggal, Telok Pasu dan Manir. Kerusi parlimen yang baru ini boleh dinamakan kerusi parlimen Manir dengan menamakan kerusi DUN Manir sebagai DUN Telok Menara, yang berdekatan  dengan pecan tersebut.

Jadi ada yang bertanya, hanya kerusi parlimen sahajakah yang perlu ditambah. Sekiranya kerusi parlimen bertambah setelah lebih dua puluh tahun tidak bertambah, maka secara logiknya kerusi DUN pun ikut bertambah jugaklah.

Berapa hendak ditambah terpulanglah kepada SPR dan Kerajaan Negeri Terengganu. Seorang penganalisis politik memberitahu saya sekurang-kurangnya 7 kerusi DUN perlu ditambah menjadikannya 39 kerusi supaya ganjil.    

Artikel ini diterbitkan untuk Akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , ,

Ketua Dewan Ulamak : Saya kata secara umum, dia yang tafsir, sepatutnya Nizar tak pergi

KUALA NERUS – Ketua Dewan Ulama’ PAS, Dato’ Ustaz Harun Taib, menafikan kenyataan beliau berkaitan memasang lilin ditujukan kepada sesuatu peristiwa khusus atau kepada seseorang.

Katanya, beliau memberikan panduan secara umum sebagaimana menurut ajaran Islam berdasarkan hadis RasuluLlah SAW.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Dailog di Kampung Bukit Tunggal, dekat sini, petang tadi.

”Islam tidak membuat hukum untuk satu-satu orang, Islam membuat garis panduan untuk semua orang, kita ada dua (pilihan) sebagaimana dalam hadis Rasulullah,

”ada (keadaan) yang ragu ada yang subahat, orang yang membersihkan dari subahat dia membersihkan imannya, agamanya dan maruahnya, orang yang subahat ini umpama langkah sempadan,

”saya tak tujukan kepada dia (Nizar), tapi kaedah umum, ada subahat, ada tak subahat, saya kata secara umum, dia (media tersebut) yang tafsir, sepatutnya Nizar tak pergi,”katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar media perdana hari ini berkaitan perkara tersebut

Filed under: News, , ,

Kerajaan Pakatan Pulau Pinang goyah?

Oleh: CheGuBard

Sekali lagi Pulau Pinang menjadi perhatian kerana kononya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang goyah dan tidak punya persefahaman.

Bermula dari episod Amizuddin Ahmat, seorang ahli Majlis yang juga seorang Ketua Angkatan Muda Keadilan Kepala Batas pada sekitar bulan Febuari lalu telah membuat satu sidang media mendedahkan mengenai beliau ada maklumat ‘korupsi’ kerajaan Pulau Pinang.

Beliau yang lebih senang dikenali sebagai Din Binjai membuat pendedahan awal tersebut dalam ucapannya yang terakhir sebagai ahli Majlis MPSP sebelum beliau digugurkan. Ramai terkejut dengan tindakan susulan Din Binjai yang terus dilihat menyerang ‘watak tertentu’ dalam isu korupsi dalam kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Sebenarnya isu yang dibangkitkan oleh Din Binjai telah sampai ke pengetahuan cheGuBard selaku MPT sekitar bulan Disember 2008 lagi. Ia berkenaan dengan penyelewengan yang melibatkan pegawai kerajaan yang diwariskan oleh rejim BN dahulu kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Dan oleh kerana kecekapan pegawai kerajaan yang diwariskan oleh rejim ini bertindak menjadi sumpah – sumpah maka ia amat susah dikesan. Lebih lagi ada pula yang terpedaya kononya pegawai – pegawai inilah yang sama menyokong sehingga dibela dengan perbagai alasan mengarut seperti telah kenal lama dan kawan sekolah.

Sebaliknya pegawai tersebut bersama beberapa anasir yang baru bersalin kulit (dari Umno ke keADILan) telah membuat ‘counter attack’ ke atas Din Binjai setelah sedar dia mula mengumpul bukti dan menghantar laporan ke banyak pihak. Masih ingat lagi ketika bertemu Din Binjai sekitar Januari 2009 di mana dia menyerahkan beberapa laporan penyelewengan. Dia mengatakan “kalau saya ikut sahaja saya akan selamat sebagai ahli Majlis tetapi nampaknya kalau saya lawan saya akan dipandang serong melawan kerajaan Pakatan Rakyat, namun bukankah kita di didik lawan tetap lawan…maka saya akan terus dedahkan hilang jawatan ahli majlis bukan benda besar pun…” itu kata Din pada saya.

Saya janji akan bantu dia dedahkan penyelewengan tersebut. Dia telah jumpa pimpinan tertinggi parti, dia telah jumpa pimpinan tertinggi kerajaan negeri juga berkenaan dengan isu ini.

Namun oleh kerana prosedur gangguan kerajaan pusat seperti kewujudan pegawai lantikan kerajaan pusat dan seumpamanya terus menyusahkan proses pembersihan.

Menjelang Febuari, Din mula diserang dengan perbagai tohmahan, sah dia tidak akan disambung sebagai ahli Majlis dan dia nekad menggunakan peluang terkahir berucap sebagai ahli majlis untuk menyerang ‘kemungkaran yang wujud’…akhirnya serangan melalui ucapan dalam dewan itu telah diambil perhatian besar oleh media regim….

Ramai pula terkeliru dengan serangan Din Binjai dengan serangan terhadap prestasi bekas wakil rakyat Penanti.  Din menyerang isu kuari, yang melibatkan pegawai kerajaan yang dipaksa diwarisi dari rejim BN. Namun jika ada yang terasa pedas sudah tentu ada yang termakan cilinya.

Akhirnya kerana ‘pemberontakan Din Binjai’ hasilnya secara peribadi dia hilang jawatan, dia disalah ertikan menjadi agen Bn menyerang kerajaan Pakatan Rakyat namun tidak ramai yang tahu. Pemberontakan Din Binjai telah mengembalikan pendapatan kerajaan negeri yang dihilangkan sebanyak RM 6.7 juta.

Mungkin pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai imbuhan tunai terhadap pendedahan rasuah dalam Pulau Pinang boleh menjadi milik Din Binjai.

Kali kedua Pulau Pinang diberikan perhatian ialah kerana perletakan jawatan Fairus. Che’GuBard tidak mahu mengulas panjang bab Fairus kerana ia lebih kepada masalah prestasi peribadi beliau. Dan apa salahnya jika kerajaan menggugurkan seorang wakil yang dikenalpasti tidak kompitent untuk menjamin kelansungan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan.

Episod terbaru yang bermula minggu lepas sekali lagi membawa Kerajaan Pulau Pinang dalam perhatian tinggi rakyat. Isunya kali ini ialah perlantikan YDP MPSP. 8 orang ahli Majlis yang dilantik melalui kuota Parti Keadilan Rakyat telah bertindak memboikot Majlis Angkat Sumpah YDP yang baru. Namun ada satu ahli majlis lantikan kuota Parti keadilan terus duduk dan bersam majlis angkat sumpah.

Isunya ialah kuota YDP itu telah dipersetujui awal sebagai kuota keAdilan. Maka Johari Kassim tidak berpuas hati dengan lantikan yang bukan dari Keadilan.

Johari yang telah menggunakan media menyatakan sikap mengugut mahu meletakkan jawatan. Kemudian menggunakan media juga pimpinan DAP telah membelasah Johari kassim dan kuncunya yang lain dengan mendesak untuk dipecat. Namun Johari yang mengugut untuk meletak jawatan tidak jadi meletakkan jawatan dan mengambil sikap pertahan jawatan setelah diugut akan dipecat.

Seperti episod drama ‘keanak–anakan’ . Pertama kenapa perlu pergi ke media ? Baik di pihak Johari Kassim ataupun segelintir pemimpin DAP? Pertikaian dalam kerajaan seharusnya diselesaikan dengan cara pakatan. Semuanya terlalu emosi?

Bagi cheGuBard ini semua membuktikan bahawa kehancuran yang berpunca dari kelewatan membawa kuasa demokrasi kepada rakyat. Dalam bab lantikan ahli Majlis ini sememangnya negeri Pakatan Rakyat jauh lebih baik dari rejim BN kerana sekurang-kurangnya lantikan agak rencam – ada juga wakil pertubuhan bukan kerajaan, orang kurang upaya yang bukan mewakili parti.

Namun itu bukan jawapannya. Ia tidak cukup. Masalah yang wujud ini diwarisi dari regim dan perlu ditamatkan. Kita seharusnya segera mengembalikan proses pilihanraya kerajaan tempatan. Baik segelintir pemimpin DAP mahupun Johari Kassim nada perebutan dan debatnya perlu matang dan tinggi, bukan emosi.

DAP pertahankan YDP baru kakitangan kerajaan, benar! Kakitangan kerajaan hampir majoriti menolak rejim BN sekarang ini namun masih ada sosok kakitangan pegawai yang diwariskan rejim BN itulah punca kekacauan (sila klik sinii untuk baca lanjut) , lupakah kita dengan Perak. Hujah Johari juga dangkal apakah perlu kuota parti. Bukan seharusnya dibicarakan hak rakyat. Kembalikan kepada rakyat pilihan raya kerajaan tempatan.

Hujah Johari sebenarnya merosakkan dirinya. Kini timbul pula cerita bahawa kononya Johari marah kerana dia yang mengidamkan kerusi YDP tersebut.

Ingat kita menang bukan semata kekuatan parti kita menang ialah kerana rakyat bosan dengan BN dan rakyat menaruhkan bukan sedikit kepercayaan kepada Pakatan PAS – KEADILAN dan KEADILAN – DAP (Ingat semasa PRU 12 lalu DAP dan PAS tidak ada pakatan rasmi, Anwar Ibrahim telah menjadi orang tengah menggabungkan dan mengembeling kekuatan sehingga menjadi gelombang rakyat menolak BN). Apa yang kita ada ialah kepercayaan rakyat. Maka Keadilan juga tidak boleh sombong, PAS tidak boleh angkuh dan DAP tidak boleh dabik dada.
_____________________________________________________
Chegu Bard atau Badrul Hisham Shaharin ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Keadilan Rakyat.  Aktif dalam memperjuangkan rakyat marhaen dan merupakan peminat nombor satu perjuangan yang memperjuangkan rakyat.  Untuk mengikuti lain-lain tulisan olehnya, boleh ke http://chegubard.blogspot.com/

Filed under: News, , , ,

Najib dicabar bubar Dun Perak jika benar BN kembali dapat sokongan rakyat

Oleh Mohd Nur Amin

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak jika benar dengan perubahan yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Manik Urai adalah kerana ia menunjukkan usaha-usaha yang dilakukannya sepanjang 104 hari beliau menjadi Perdana Menteri mulai diterima rakyat, terutamanya pengundi Melayu.

DPPN Pk mengingatkan bahawa Datuk Seri Najib adalah orang yang bertanggungjawab di atas rampasan kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan kemelut politik yang telah berlaku di Perak yang mengakibatkan suasana tidak harmoni dan kegawatan politik yang menjejaskan keseluruhan ekonomi rakyat negeri Perak.

Jika benar rakyat terutamanya di negeri Perak yang sudah lupa kezaliman yang telah dilakukan oleh Umno / Barisan Nasional (BN) dan juga orang melayu khasnya, DPPN Pk mencabar Datuk Seri Najib untuk membubarkan DUN Perak. DPPN Pk amat yakin seluruh rakyat akan pasti menolak Umno / BN jika Pilihan Raya Negeri (PRN) jika akan diadakan.

DPPN Pk tidak yakin dengan kenyataan Datuk Seri Najib tersebut yang menilai keputusan PRK Manik Urai sebagai satu signal sokongan orang melayu terhadap beliau. DPPN Pk menunggu kejantanan Datuk Seri Najib untuk menafikan kekotoran tangan beliau di atas apa yang telah berlaku di negeri Perak ini.
MOHD NUR AMIN
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Filed under: News, , , ,

TAHNIAH! EKONOMI KEDAH MELONJAK:KILANG PENAPIS MINYAK KEDUA TERBESAR DI MALAYSIA

Kedah : Ekonomi negeri Kedah melonjak apabila The Merapoh oil refinery, atau Kilang Penapis minyak di Merapoh Yan Kedah dengan kapasiti penapisan sebanyak 350,000 tong sehari hampir sama dengan jumlah yang di proses di Melaka

Kilang yang akan di bina oleh Meropoh Resorsos Corp dan juga pelabur Antarabangsa ini akan memproses bahan mentah berasaskan minyak yang diimport dari Timur Tengah .Ianya akan di proses di Kedah dan akan di eksport ke China.

Syarikat minyak Nasional China bersetuju untuk mengimport 200,000 tong sehari selama 20 tahun.

Menurut YB kedah Ustaz Azizan Razak, kerajaan negeri berharap akan dapat pelaburan sebanyak RM80 Billion hasil dari pelaburan ini.

Filed under: News, , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories