Kalam Perantau

Icon

TOK GURU NIK AZIZ LETAK JAWATAN JIKA PAS KALAH DI MANEK URAI?

Dua minggu lepas, saya singgah di Machang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Terengganu untuk jumpa seorang rakan atas urusan perniagaan. Rakan yang saya kenal masa dia menjadi pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Lembah Kelang. Sekarang sudah lebih setahun balik ke kampong halaman. 

Bila saya tanya tentang politik Kelantan, secara spontan dia mengatakan Klate tok seperti dulu. Dengan nada sedikit kesal, dia berkata politik kelantan yang aman dan damai sebelum ini sudah mula berkocak. Bukan setakat PAS dengan UMNO. Malah sesama PAS pun turut berkocak hebat, seolah-olah seperti politik UMNO jugak.  

Katanya, sekarang musim pilihanraya kecil. Manek Urai menjadi pertaruhan kedua-dua belah pihak untuk melihat sokongan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan. Saya pun segera mencelah, mana mungkin PAS kalah di Manek Urai? Bukankah Manek Urai kubu kuat PAS sejak dulu lagi?

Saya pun berhujah, bukankah PAS hanya kalah dua kali dari 10 kali pilihanraya sejak DUN Manek Urai diwujudkan? Malah ketika PAS dalam saat getir akibat perpecahan dalaman yang teruk pada tahun 1978 pun, PAS masih menang kerusi tersebut. PAS hanya kalah pada tahun 1982 dan 2004 sahaja.

Dengan selamba dia menjawab. Betulkah PAS kuat di Manek Urai? Atau PAS hanya tumpang pengaruh peribadi Pak Su Weil, nama mesra panggilan ADUN Manek Urai dikalangan rakyat tempatan di sini? Katanya, tanpa Pak Su Weil, belum tentu PAS akan menang di sini.  Beliau seterusnya berkata, kalau PAS kalah di Manek Urai terbukti pengaruh Pak Su Weil lebih hebat dari Tok Guru Nik Aziz kerana sana sini, hampir setiap pelusuk penjuru, PAS dok pasang gambar Menteri Besar Kelantan sahaja.

PRK Manek Urai, peluang Tok Pa buktikan kehebatan ?

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 24hb. Julai nanti merupakan pilihanraya kecil yang ke-7 diadakan selepas pilihanraya umum ke-12 pada 8hb. Mac, 2008. Pakatan Rakyat menang 5 daripada 6 yang telah diadakan. BN hanya menng di DUN Batang Ai, Sarawak. Lain-lain kerusi Permatang Pauh (PKR), Kuala Terengganu (PAS), Bukit Gantang (PAS), Bukit Selambau (PKR) dan Penanti (PKR)  telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Dalam sejarah politik Malaysia, inilah jangkamasa yang paling kerap berlakunya pilihanraya kecil. Diatas kertasnya, PAS sukar dikalahkan di Manek Urai. Sungguhpun begitu, tidak mustahil UMNO mampu menang di Manek Urai.

Sejak Allahyarham Haji Ismail Yaakob menang kerusi tersebut pada tahun 1986, beliau terus berjaya menyumbangkan kerusi berkenaan kepada PAS pada tahun 1990, 1995 dan 1999. PAS hanya kalah tipis, 53 undi sahaja kepada UMNO apabila beliau tidak bertanding pada tahun 2004. Tetapi kerusi berkenaan dimenangi semula oleh PAS bila beliau diletakkan bertanding di situ pada tahun 2008.  

Kejayaan Dato’ Mustapha Mohamad (Tok Pa) menerajui UMNO Kelantan berhadapan dengan PAS dalam pilihanraya umum 2004 sedang didendangkan semula oleh penyokong-penyokongnya. Dalam pilihanraya tersebut, UMNO hampir berjaya membentuk kerajaan kerana tertinggal dengan perbezaan 3 kerusi sahaja (UMNO 21; PAS 24). Setelah UMNO menang dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada tahun 2005, kedudukan PAS yang memerintah negeri Kelantan semakin cemas kerana mempunyai majoriti satu kerusi sahaja (PAS 23; UMNO 22). 

Kemenangan UMNO/BN dalam dua pilihanraya kecil terakhir di Kelantan, iaitu DUN Semerak (1997) dan Pengkalan Pasir (2005) telah menaikkan semangat mereka untuk menang dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai kali ini. Berikut adalah keputusan dua pilihanraya kecil tersebut sebagai renungan kepada pimpinan PAS terutamanya di kelantan dimana kerusi PAS boleh beralih kepada BN;

Kes pertama berlaku di DUN semerak pada Ogos, 1997; Calon Barisan Nasional, Haji Kamaruddin Mohd. Noor, 50, meraih 5,370 undi bagi mendapat majoriti 778 undi mengalahkan calon PAS, Wan Fauzi Wan Hussain yang mendapat 4592 undi. Calon dari parti Akim hilang wang pertaruhan. Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan dengan kematian ADUN dari PAS, Haji Sulaiman Ahmad.  Pada pilihan raya umum tahun 1995, Haji Sulaiman menang dengan majoriti 248 undi. Pilihan raya ini memperlihatkan jumlah keluar mengundi terbesar di dalam sejarah pilihan raya di negara ini, iaitu 82.42 peratus daripada 12,342 orang pengundi.

Kes kedua pula berlaku di DUN Pengkalan Pasir pada Disember, 2005;  Calon Barisan Nasional Hanafi Mamat, 51 menang dengan majoriti 129 undi setelah mendapat 7,419 undi mengatasi calon PAS Hanifa Ahmad, 50 tahun yang mendapat 7,290 undi. Sementara calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali hanya mendapat 414 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan. Peratus keluar mengundi dalam pilihanraya kecil ini adalah 83.04 peratus. Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan kematian  ADUN PAS Allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaafar yang menang dalam pilahanraya umum 2004 lalu dengan majoriti 56 undi sahaja

Kalau dikaji secara sepintas lslu, tiada sebab PAS boleh kalah di kedua-dua kerusi tersebut kerana selain daripada kerusi tersebut milik PAS, kerajaan kelantan juga dikuasai oleh PAS. Pengaruh Menteri Besar Kelantan juga berada ditahap kemuncak kerjayanya dalam politik.

Ketika saya bertemu dengan seorang penganalisis  politik terkenal, Haji Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif yang sekarang menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) beliau berkata, “apa yang perlu difahami ialah, sungguhpun rakyat (pengundi) Kelantan secara luarannya nampak sederhana, namun mereka memiliki kebijaksanaan politik yang tinggi. Hujah-hujah politik yang dikemukakan oleh seorang pengundi biasa Kelantan di kedai-kedai kopi, besar kemungkinan dapat mengalahkan hujjah-hujjah seorang professor Sains Politik yang berada di menara gading”.  

Berbalik kepada pilihanraya kecil DUN Manek Urai yang penamaan calonnya akan diadakan pada 6hb. Julai ini mungkin akan melibatkan pertandingan sengit dua penjuru sahaja antara PAS dengan UMNO. Kehadiran parti AKIM yang berpangkalan di Kelantan sekadar menanggok di air keruh terhadap undi-undi protes sahaja. Tidak dapat dipastikan sama ada calon bebas akan turut bertanding atau tidak. 

PAS nampaknya tidak menurunkan calon professional ataupun ulamak pada pilihanraya kecil kali ini, sebaliknya mencalonkan seorang aktivis parti, Mohd Fauzi Abdullah seorang usahawan yang merupakan pemborong ikan di pasar Kuala Krai. Beliau juga merupakan Bendahari PAS Kawasan Kuala Kerai dikatakan mempunyai perwatakan yang hampir menyerupai Pak Su Weil sebagai penerus kepada khidmat  bakti Pak Su Weil di Manek Urai.

Bagi saya strategi PAS adalah bijak kerana dalam pilihanraya kecil ini mereka bukan berhasrat untuk mencari pemimpin yang akan menerajui negeri ataupun seseorang yang akan dilantik sebagai exco kerajaan negeri tetapi sebaliknya hanya sekadar mencari pengganti yang boleh meneruskan kerja-kerja Allahyarham Paksu Weil di Manek Urai sebagai ADUN.

Manakala UMNO pula mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai,Tuan Aziz Tuan Mat,39 akan menjadi calon Barisan Nasional untuk berentap dengan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.  

Dalam memenangi hati pengundi Manek Urai, rakyat menjadi keliru kenapa Menteri yang tak pernah jijak tempat mereka sebelum ini sanggup menjadi rakyat biasa tidur di rumah orang kampong, sembahyang bersama di surau-surau. Pendekatan ini digunakan oleh Tok Pa dalam memenangi hati rakyat terutama di kawasannya di Jeli. Malah Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan sanggup menorah getah di Manek Urai. 

Sekiranya PAS Kelantan tidak over confient dan angkuh kerana Tok Guru Nik Aziz dapat bertahan selama 5 penggal menerajui Kelantan, tiada sebab untuk mereka kalah di Manek Urai. Cukuplah pengalaman Semerak dan Pengkalan Pasir menjadi pengajaran kepada PAS Kelantan. Sekiranya PAS kalah lagi dalam pilihanraya kecil ini, tiada maaf bagi mu kerana semua pilihanraya kecil di Sememanjung dimenangi Pakatan Rakyat, hatta di kawasan BN pun dimenangi oleh PAS di Kuala Terengganu.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah Edisi cetak

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: