Kalam Perantau

Icon

Blog : Konflik PAS bawa padah di MU

Oleh Abdul Rahim Sabri

Beberapa laman web dan penulis blog yang pro-PAS tidak puas hati dengan kemenangan tipis parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai kelmarin.

Menurut mereka, kemenangan “nyawa-nyawa ikan” dengan 65 undi antaranya berpunca daripada perbalahan yang berterusan dalam PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.

Mereka juga mendakwa, ahli-ahli PAS juga tidak puas hati kerana “mereka dibiarkan gelisah dan resah dengan pelbagai soalan yang sukar dijawab”.

Dalam pilihanraya kecil kelmarin, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah menewaskan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat tetapi majoritinya merosot jauh berbanding 1,352 undi yang diperolehi Ismail Yaakob (allahyarham) dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Mohd Fauzi mendapat 5,348 undi, manakala Tuan Aziz mendapat 5,283 undi.

Satu artikel di laman web Tranungkite mendakwa berlakunya perpecahan dalaman PAS terutama petugas dari Kelantan dan Terengganu, yang menurutnya, saling sindir-menyindir antara satu sama lain.

Tulisan itu menyebut: “PAS memang menang di Manek Urai tetapi dengan kemenangan yang sangat tipis. Kemenangan yang menjawab seribu satu persoalan selama ini.”

“Secara ringkasnya PAS memang berpecah. Tanyalah petugas-petugas dari Terengganu apa ‘kata-kata sambutan’ dari PAS Kelantan.

“Tanyalah pula PAS Kelantan apa ‘agenda dan doa’ sesetengah dari PAS Terengganu.

“Kepada ahli PAS yang tidak tenggelam bersama suasana di Manek Urai, jangan sibuk menafikan ia tidak berlaku. Ada petugas Kelantan yang terang-terang menyindir ‘(penyokong) kerajaan perpaduan duduk jauh-jauh’.

“Ada pula yang dari Terengganu mengidamkan untuk melihat PAS kalah di Manek Urai.”

Idea kerajaan perpaduan dengan Umno dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Bagaimanapun ia ditentang keras oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga ke peringkat menggesa Nasharuddin melepaskan jawatan timbalan presiden dan ahli parlimen Bachok jika ingin teris menyokong saranan kontroversi itu.

Cadangan itu kemudian ditolak majlis presiden Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR.
Penulis di laman web Tranungkite juga mendakwa isu kerajaan perpaduan turut menjadi antara salah satu punca kegagalan PAS menang dengan majoriti yang besar.

“Nyatalah puak TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan puak kerajaan perpaduan masih ada dan masih teguh dengan pegangan masing masing.

“Kedua-dua puak ini dengan sendirinya menggambarkan bahawa mereka sendiri tidak wala’ (taat setia) dengan keputusan pimpinan parti,” tulisnya lagi.

“Mereka hanya taat di luar sedangkan hati mereka busuk dan penuh dendam.”

Timbul persoalan

Sementara ketua penerangan PAS Kawasan Padang Besar, Zolkharnain Abidin pula menulis di blognya bahawa walaupun PAS menang tipis dalam pilihanraya kecil itu tetapi parti itu “tewas dari beberapa sudut tertentu”.

“Apabila saya kata PAS tewas dari sudut-sudut tertentu, bukan bermakna Umno menang dari sudut yang PAS kalah itu, tidak.

“Di Manek Urai, Umno tewas di atas kertas dan tewas juga dari semua sudut. Malah, di mana-mana pun, walaupun Umno menang, mereka tetap kalah dari sudut-sudut lainnya.

Untuk menggambarkan sudut-sudut kekalahan itu, beliau mengemukakan beberapa persoalan untuk renungan ahli dan pemimpin PAS.

  • Adakah benar kita menyertai pilihanraya kecil Manek Urai dalam suasana kasih sayang dan ikatan persaudaraan berasaskan jamaah (PAS) teruji dan longgar?
  • Mengapa ada yang boleh turun dan ada yang tidak, ada poster yang boleh terpamer dan ada yang tidak?
  • Benarkah ada pihak yang mengambil kesempatan (menggunakan) gelanggang terbuka ini untuk menuding jari dan menjeling tajam kepada orang-orang tertentu?
  • Mengapa dibiarkan ahli-ahli gelisah dan resah dengan pelbagai soalan yang sukar dijawab?
  • Betulkah mereka yang berada di luar PAS, yang bersedia membantu kita, turut merasa rimas dan lemas dengan kerenah sesama kita?
  • Benarkah ada orang yang merasa dirinya bijak dan hebat sehingga menafikan kebolehan dan keupayaan orang lain?

“Kalau begitu, PAS kalah kepada siapa? Bagi saya, dalam sudut-sudut tadi PAS kalah kepada kepentingan-kepentingan, desakan-desakan, asakan-asakan dari dalam diri pendukungnya sendiri.

“Apa desakan, asakan dan kepentingan itu? Saya ada jawapannya tetapi saya tidak sampai hati untuk menyebutnya di sini.

PAS Kelantan tidak menaikkan poster Abdul Hadi lebih awal, sementara Nasharuddin dibawa berceramah selepas ketidakhadirannya dijadikan isu oleh pemimpin BN.

Sementara itu, satu tulisan dalam laman web Detikdaily pula menyenaraikan empat sebab kegagalan PAS di Manek Urai.

Satu daripadanya, ia tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun yang “mencerminkan kekurangan pengalaman kerana memberikan isyarat kepada media berkenaan kemenangan ‘lebih 2000 undi’ walaupun tidak dapat dibuktikan.”

“Ini mencerminkan perjalanan pengurusan kempen yang dibuat dengan perasaan ‘PAS sudah pasti menang’,” katanya.
Tulisan itu juga mendakwa berlakunya perbalahan yang berterusan sama ada dalaman mahupun antara komponen Pakatan Rakyat.

“Isu timbalan presiden PAS dan Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan (Datuk) Husam Musa, tidak dilupakan ‘sengketa’ antara ahli Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang, menjejaskan semangat petugas dan peraih undi.

“Ia tidak menjejaskan pengundi, tetapi rakyat kurang menerima perayu undi yang dapat dilihat semangat mereka lemah dan tidak bermaya.

“Isu Kg Buah Pala di Pulau Pinang dan boikot Hindraf sedikit sebanyak mempengaruhi,” katanya

Sumber asal : Malaysiakini.com

Filed under: News, , , , , , , , ,

One Response

  1. kalamperantau says:

    Kalam Perantau merasakan sudah sampai masanya PAS dapat menyatukan semula pasukannya dan melakukan pentarbiyahan semula ahli dan pendokongnya dengan matlamat perjuangan Islam untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Perbezaan pendekatan dan ideologi perjuangan PAS dikalangan pimpinan perlu diminimakan jika PAS mahu menjadi parti alternatif kepada orang Melayu/Islam dinegara ini

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: