Kalam Perantau

Icon

Hak Rakyat Terengganu digadaikan?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tulisan saya minggu lepas (SIASAH:0159) berhubung dengan pertambahan kerusi pilihanraya sama ada parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menarik minat beberapa pihak. Beberapa orang yang saya kenali menghubungi bertanyakan lebih lanjut hal persempadanan semula kawasan pilihanraya ini.

Saya hanya menulis perkara tersebut secara sepintas lalu sahaja berdasarkan pandangan dan pengamatan saya sebagai seorang pemerhati politik. Jika persempadanan kali ini yang dijangkakan pada tahun 2010, tidak ada pertambahan kerusi juga bermakna Kerajaan Terengganu akan tertinggal sekali lagi.

Seorang Ahli Parlimen yang saya kenali menjangkakan, dalam persempadanan kali ini Terengganu wajar mendapat 4 atau 5 kerusi parlimen. Saya hanya menyebut sekurang-kurangnya 3 kerusi parlimen.  Ianya naik mendadak kerana telah ketinggalan lebih 2 dekad.

Persoalan sekarang, mungkinkah ianya menjadi realiti dalam keadaan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga (2/3) di parlimen. Bagaimana pindaan undang-undang hendak dilakukan? Sama ada ianya boleh dilakukan atau tidak bergantung kepada kekuatan politik parti pemerintah. Itu kerja Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan parti-parti politik terutama dipihak kerajaan.

Begitu juga dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Bagi DUN pula, saya menjangkakan perlu kepada tambahan 7 kerusi menjadikannya kepada 39 semuanya. Bagaimana kalau 10 ADUN Terengganu boikot lagi Sidang DUN? Mampukah Ahmad Said “memujuk” ADUN UMNO Terengganu untuk pindaan perlembagaan kali ini? 

TIA juga hilang setelah kehilangan KUSZA

Entah apalah nasib negeri Terengganu, beberapa institusi milik kerajaan negeri hilang satu demi satu kepada kerajaan pusat sejak UMNO/BN memerintah semula Terengganu sejak tahun 2004.

Semasa pemerintahan Datuk Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, Terengganu kehilangan institusi pendidikan yang berprestij. Satu daripadanya yang menjadi kebanggan kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini yang menjadi isu berpanjangan adalah penyerahan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Universiti Darul Iman (UDM) yang dijanjikan akan ditubuhkan oleh kerajaan Pusat jika UMNO/BN memerintah semula Terengganu dalam pilihanraya pada tahun 2004 lalu.

Seorang pemimpin PAS, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat menyebut, “PAS telah lama mengatakan, kalau nak dibuat Universiti Darul Iman, buat yang lain, kekalkan KUSZA yang bersejarah. Kita ada Sekolah Menengah Rendah Ugama (Sultan) Zainal Abidin di Ladang, ada Sekolah Menengah (Atas) (Sultan) Zainal Abidin di Batu Burok, dan ada Kolej bertahap Universiti, iaitu KUSZA, pakai nama datuk kepada Sultan Terengganu (sultan Mizan) tiba-tiba dihapuskan,”

Beliau yang pernah menjadi Ahli Majlis KUSZA ketika PAS memerintah Terengganu (1999-2004) kesal dengan tindakan yang tergopoh gapah, tanpa perancangan rapi yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh menyerahkan KUSZA kepada kerajaan Pusat.

Satu lagi perkara yang amat memalukan bila universiti yang dibuat tanpa perancangan bagi memenuhi janji politik tidak dapat membuat konvokesyen selama 3 tahun berturut-turut. Kemudian bila konvokesyen diadakan pada kali pertama pula Canselor, Sultanah Nur Zahirah pula tidak hadir.

kerajaan negeri Terengganu pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat menyelesaikan satu krisis besar yang melanda Institusi Pengajian Tinggi tersebut kerana ia merugikan kerajaan dan rakyat. Menurut berbagai pihak, akar umbi dari masalah tersebut adalah pengambilalihan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) oleh kerajaan pusat untuk dijadikan sebuah universiti.

PAS telah lama menyarankan, sepatutnya didirikan sebuah universiti lain yang baru, sekiranya kerajaan mahu menubuhkan sebuah universiti dan mengekalkan KUSZA.”Kembalikan KUSZA kepada status asal dan buat (universiti) yang lain, (di negeri) Kelantan boleh buat yang lain, di (negeri) Pahang boleh buat yang lain, kenapa Trengganu tak boleh buat yang lain,” soal Ustaz Abu Bakar ketika ditemui seorang pemberita Buletin Online selepas menutup Kursus Kewartawanan Islam 2009 yang diadakan di Maahad Tahidz Wal Tarbiyah.

Turut dipersoalkan, adakah kerajaan Terengganu pimpinan UMNO dan BN tidak mampu untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tinggi sehingga sanggup menyerahkan KUSZA kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Apalah nasib kerajaan Terengganu, satu demi satu haknya diambil alih oleh kerajaan Pusat. Perkembangan dan kemajuan yang dijanjikan oleh UMNO/BN kepada rakyat Terengganu sebelum ini adalah indah khabar dari rupa. Impian tidak menjadi realiti. Tidak dapat dipastikan apa lagi yang akan tinggal menjadi hak rakyat Terengganu kiranya pemimpin politik yang lemah terus memerintah negeri Terengganu.

Belum isu penyerahan KUSZA kepada kerajaan Pusat untuk dijadikan Universiti Darul Iman (UDM) diselesaikan, sebuah badan pelaburan milik kerajaan Terengganu, Terengganu Investment Authority (TIA) bukan lagi menjadi milik kerajaan negeri apabila ianya diputuskan menjadi sebuah entiti persekutuan dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada asalnya TIA ditubuhkan atas kepentingan menjamin kekayaan minyak Terengganu dikekalkan untuk masa depan sekiranya Terengganu tidak lagi menjadi pengeluar minyak. Ia dijangka mengumpulkan RM6 bilion dana hasil tawaran bon yang mencagarkan ‘bayaran royalti kerajaan negeri Terengganu’ yang belum diterima.

Bagaimanapun bila akhbar the Star pada 22 Julai lalu telah memetik kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang berkata untuk membolehkan pelaburan (sebanyak USD 1 bilion dalam bidang hartanah dan perkhidmatan di Malaysia) ini berjaya, kerajaan telah memutuskan TIA akan di kembangkan menjadi sebuah Dana Kekayaan Diraja (sovereign wealth fund) yang akan dikenali sebagai 1Malaysia Development Bhd selepas berbincang dengan Putera Mahkota Abu Dhabi General Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, yang juga Pengerusi al-Mudabala Development.

Dengan pengumuman itu juga,  TIA, yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Terengganu akan di letakkan dibawah Kementerian Kewangan dan dilaporkan terus kepada Perdana Menteri Malaysia.

Kita tunggu apa lagi yang akan diambil alih kerajaan Pusat dari kerajaan Terengganu selepas ini.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: