Kalam Perantau

Icon

Permatang Pauh masuk ‘Guiness Book of Record’, Pengkalan Pasir Benteng Terakhir PAS Pulau Pinang?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Pilihanraya kecil datang lagi silih berganti. Memang wajar tahun ini diisytiharkan oleh SPR sebagai tahun pilihanraya. Dalam setahun, setakat ini telah ada 6 pilihanraya kecil. Pilihanraya kecil ini adalah yang ke-7 diadakan sejak lepas pilihanraya umum ke-12 bermula dengan Permatang Pauh.

Sekarang pilihanraya kecil sekali lagi diadakan di kawasan parlimen Permatang Pauh. Sekarang Permatang Pauh boleh dimasukkan ke dalam ‘Guiness Book of Record’. Ada yang tanya kenapa?

Dengan adanya pilihanraya DUN Permatang Pasir ini, bermakna pengundi-pengundi di sini telah menyaksi 3 pilihanraya kecil  diadakan dalam tempoh setahun, iaitu kerusi Permatang Pauh (Ogos, 2008), DUN Penanti (Mei, 2009) dan DUN Permatang Pasir (Ogos, 2009). Hanya DUN Seberang Jaya sahja belum diadakan Pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum ke-12 lalu.

Satu yang istimewa dan tak mungkin berlaku lagi selepas ini adalah di sini telah menyaksikan 3 siri pilihanraya kecil dalam setahun dalam satu kawasan parlimen bagi 3 kerusi daripada 4 kerusi (1 parlimen, 3 DUN)  yang ada di sini. Dua daripadanya diadakan kerana pertukaran wakil rakyat  PKR dan satu lagi disebabkan kematian wakil rakyat PAS.

Pilihanraya kecil pertama terpaksa diadakan bagi pertukaran kerusi Ketua Pembangkang dari Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk tujuan ini, PKR  mempertaruhkan kerusi parlimen Permatang Pauh.

Sementara bagi pertukaran kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pula, PKR mempertaruhkan kerusi DUN Penanti  dengan  penyandangnya  Mohd Fairus Khairuddin meletakkan jawatan untuk diadakan satu pilihanraya kecil bagi digantikan oleh Dr. Mansor Othman.

Sekarang takdir Allah, satu lagi pilihanraya kecil perlu diadakan di Permatang Pasir melibatkan PAS pula setelah parti tersebut menang ‘nyawa-nyawa ikan’ di Manek Urai dengan kelebihan 65 undi. Permatang Pasir ini adalah satu-satunya kerusi yang dimenangi oleh PAS di Pulau Pinang.

Jika PAS tidak bertanding di sini kerana PKR juga menuntut untuk bertanding di sini, bermakna PAS telah hilang batu tanda atau benteng terakhir kewujudan PAS dalam DUN Pulau Pinang. Pada saya kemungkinan PAS tidak bertanding di sini adalah kecil kerana sebagai penyandang keusi berkenaan, PAS kena mempertahankan kerusi tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan berlangsung pada awal bulan Ramadhan, , hari mengundi adalah pada 25 Ogos  jika ada pertandingan dengan penamaan calon ditetapkan pada 17 Ogos ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu akibat sakit jantung.

Persoalannya, adakah PAS berjaya mempertahankan satu-satunya benteng terakhir  PAS di Pulau Pinang ini? Kerusi DUN Permatang Pasir ini begitu istimewa kepada PAS Pulau Pinang.  Permatang Pasir ini adalah satu daripada tiga kerusi DUN dalam parlimen Permatang Pauh merupakan kubu kuat PAS. Selama tiga penggal berturut-turut sejak Pilihanraya Umum (PRU)  ke-10 tahun  1999, PRU ke-11 tahun 2004 dan PRU ke-12 tahun 2008  diwakili satu-satunya ADUN PAS di negeri tersebut, Datuk Hamdan Abdul Rahman.

DUN ini mempunyai 20,290 pemimilih berdaftar yang terdiri daripada 20,289 pemilih biasa dan seorang pemilih pos  dengan lapan pusat mengundi disediakan melibatkan 39 saluran. Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan (PAS) memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Siapa calon UMNO dan PAS di Permatang Pasir?

Sejak minggu lepas lagi, ramai kawan-kawan bertanya disamping membuat spekulasi siapa calon PAS dan UMNO yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir pada Selasa 25hb. Ogos, 2009 nanti. Sukar untuk dipastikan siapakah calon yang akan diturunkan oleh UMNO dan PAS dalam pilihanraya kecil kali ini.

Kedua-dua parti tersebut menyerahkan kepada Presiden masing-masing menentukan calon mereka dalam pilihanraya kecil kali ini. Dalam keadaan kedua-dua parti masih berteka teki siapakah calon yang akan dipertaruhkan, akhbar online malaysiakini melaporkan seorang calon bebas Kamarul Ramizu, 42 (kiri), berkata beliau bersedia untuk bertanding dalam pilihanraya kecil  Permatang pasir dengan membeli borang pencalonan dari Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri, Jumaat ini.

Selepas bertanding sebagai calon bebas  dan hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti sebelum ini, Kamarul Ramizu Idris, seorang pakar motivasi menyuarakan hasratnya untuk mencuba nasib sekali lagi di DUN Permatang Pasir kerana saya telah memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi kempen pilihan raya kecil itu.     .

Difahamkan UMNO dijangka akan isytiharkan calon mereka juga disaat akhir. Khabarnya Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menyenarai pendek lima  nama  untuk dipilih bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.  Manakala calon PAS yang akan bertanding diumumkan pada 14hb. Ogos ini.

PAS dipercayai akan mempertaruhkan salah seorang dari dua tokoh yang disebut-sebut akan bertanding dalam pilihanraya kecil ini. Nama yang sentiasa disebut-sebut pemerhati politik adalah tokoh popular PAS, Mohd Sabu.

Tetapi memandangkan kerusi ini adalah kerusi DUN bukan kerusi Parlimen, dilaporkan oleh media bahawa Mohd Sabu kurang berminat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil ini walaupun namanya turut disenarai pendek.

Seorang blogger yang juga bekas aktivis PAS Pulau Pinang turut menyebut nama  Mujahid Yusof Rawa. Memandang Mujahid Yusof Rawa telah menjadi Ahli Parlimen, Parit Buntar (Perak) adalah tidak wajar beliau turut dibebankan dengan satu lagi tanggungjawab menjadi ADUN Permatang Pasir (Pulau Pinang) dalam dua negeri yang berlainan.        

Seorang lagi calon yang dikatakan sesuai dan diyakini boleh berada sepanjang masa di sini untuk memberikan perkhidmatan kepada pengundi DUN Permatang Pasir adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sendiri, Ustaz Salleh Man.

Saya tidak pasti sama ada Ustaz Salleh Man ini merupakan calon terbaik PAS untuk bertanding dalam pilihanraya kecil ini, tetapi itulah calon yang dilihat sesuai untuk diketengahkan dalam pilihanraya kecil ini. Hanya inilah calon pilihan yang ada pada PAS untuk dipertaruhkan dalam pilihanraya kecil ini jika Mohd Sabu keberatan untuk bertanding kerusi DUN.

Bagi kerusi parlimen, Mohd Sabu boleh diletak dimana-mana. Kemungkinan, beliau sedang menunggu kekosongan mana-mana kerusi parlimen yang akan ditandingi PAS selepas ini?  

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: