Kalam Perantau

Icon

UMNO dan BN sudah tidak terdaya melawan Pakatan Rakyat ?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir pada 25hb. Ogos, 2009 memperlihatkan BN mengekalkan rekod kekalahannya dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia, selepas PRU ke-12 menjadikan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1. Setakat ini, BN hanya mampu menang pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dan tidak bertanding untuk pilihan raya kecil Penanti, Pulau Pinang, 31 Mei 2009.

PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir apabila calonnya, Ustaz Mohd Salleh Man menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Salleh berjaya memperolehi 9,618 undi manakala Rohaizat pula meraih 5,067 undi, selain undi rosak sebanyak 83 undi. 

Undi majoriti berkurang sebanyak 882 sahaja, berbanding dengan majoriti 5433 yang diperolehi oleh Datuk Hamdan Abdul Rahman pada Mac, 2008 dengan  penurunan peratusan pengundian kepada 73.1%, berbanding 82.57% pada tahun lalu.

Pada pilihan raya kecil kali ini, seramai 14,832 atau 73.1 peratus pengundi daripada 20,290 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing. Berbanding 16,803 pengundi yang keluar pada pilihan raya umum DUN Permatang Pasir dalam pilihan raya umum Mac 2008.

Kekalahan BN di Permatang Pasir seakan-akan sudah dijangka. Namun kalah dengan undi majoriti 4551 diluar jangkaan termasuk dari pemimpin PAS sendiri. Malah Pengarah pilihanraya PAS, Datuk Mahfuz Omar hanya mahukan kemenangan PAS sahaja walaupun dengan 1 undi.

Kajian lapangan yang dibuat oleh sebuah firma kajiselidik mendapati, 64 peratus penduduk Permatang Pasir menjangka PAS akan menang dalam pilihanraya ini. Hanya 20 peratus sahaja yang tidak bersetuju dan masih meletakkan harapan kepada Barisan Nasional, manakala 16 peratus lagi tidak dapat menjangkakan parti mana yang akan menang.

Berikut adalah sebab-sebab yang dikatakan punca UMNO tewas di Permatang Pasir;

  1. Kawasan kubu kuat Anwar Ibrahim ini masih utuh sejak dia menceburi politik. Kalau semasa Anwar dalam BN dahulupun, PAS dan DAP gagal menggugatnya. Bila Anwar berpaling kepada pembangkang dan isterinya bertanding di situ pun, UMNO dan BN turut gagal merampas kerusi kawasan berkenaan.
  2. BN dan UMNO gagal mengaitkan isu peribadi Anwar Ibrahim. Pakatan Rakyat berjaya mengambil rakan kongsi Rohaizat, iaitu Yusri untuk memburukkannya walaupun saat akhir Yusri membuat kenyataan yang bertentangan dengan membela Rohaizat tetapi pengundi sudah tidak yakin dengan kredebiliti calon berkenaan.
  3. Isu yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berjaya memikat hati pengundi dan penduduk kampung. Pembangunan yang cuba dibawa oleh BN melalui Projek Anak Emas di Permatang Pasir seolah-olah ‘tidak ada pembangunan tak apa’ kerana ianya belum pasti berlaku hanya sekadar modal politik murahan sahaja.
  4. Persepakatan antara Pakatan lebih kelihatan berbanding UMNO dengan MCA, MIC dan Gerakan. Isu PKFZ yang dihadapi MCA masih gagal ditangani oleh BN. Pengundi Cina lebih gemar kepada PKR dan DAP berbanding Gerakan dan MCA.
  5. Peranan media perdana masih gagal mempengaruhi penduduk pinggir bandar seperti Permatang Pasir untuk terus menyokong BN

Dalam keputusan penuh, UMNO dan BN tewas pada semua peti undi. Keadaan ini sungguh menakjubkan setelah UMNO memperolehi suntikan semangat dari Manek Urai baru-baru ini sehingga PAS hanya menang tipis dengan 65 undi majoriti di kubu sendiri.

Satu analisa yang dilakukan di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN. Dikawasan bukan Melayu, seperti Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.

Dalam analisa yang dilakukan, PR kekal menguasai sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru, Pakatan Rakyat  dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat. Manakala kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi majoriti Melayu.

Jelas di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN “berjaya merapatkan jurang”, golongan pengundi muda tetap bersama PR.  Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.

Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.

Kemana Politik Kedah dan Terengganu selepas ini?

Dalam masa pertarungan sengit UMNO dan PAS untuk merebut kerusi Permatang Pasir, tiba-tiba muncul dua berita yang menggemparkan dalam politik Kedah dan Terengganu selain krisis politik Selangor yang terus panas antara komponen-komponen Pakatan Rakyat.

Dua hari menjelang pengundian DUN Permatang Pasir,  Adun Lunas (PKR), yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat & Tenaga Manusia), Mohd Radzi Salleh  mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi Adun Bebas. 

Tetapi keadaan masih terkawal kerana Sultan Kedah memperkenankan ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lalu, digugurkan daripada jawatan exco Kedah, berkuatkuasa semalam dan digantikan oleh ADUN Kulim ( PKR), Lim Soo Nee.

Keadaan belum reda kerana sebelum itu, kemungkinan akan berlaku satu lagi pilihanraya kecil DUN Kota Seputeh dalam masa terdekat berikutan tindakan Datuk Abu Hassan Sarif wakil rakyat DUN tersebut dari Umno-BN  tidak hadir sidang dua kali, pada pada 19 April dan 9 Ogos lalu, tanpa sebarang kebenaran Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail.

Mengikut Perkara 51 Undang-undang tubuh Kerajaan negeri Kedah,kerusi mana-mana ADUN dikira kosong jika tidak hadir persidangannya dua kali berturut turut tanpa kebenaran Speaker. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan  menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya dalam jangka masa terdekat.

Jika SPR memutuskan kerusi itu kosong, ini bermakna negara bakal menghadapi pilihanraya kecil yang ke 8 selepas Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu dan yang ke dua bagi negeri Kedah selepas Bukit Selambau.

Pada saya adalah wajar UMNO membiarkan SPR mengadakan pilihanraya di DUN Kota Seputeh ini kerana inilah peluang untuk UMNO dan BN membuktikan partinya masih berpengaruh di Semenanjong Malaysia disamping mengurangkan jurang kekalahan dengan Pakatan Rakyat. 

Pada pilihan raya umum lalu, Abu Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat selepas menewaskan calon PAS, Ismail Wan Teh dengan majoriti 1,573 undi.

Manakala di Terengganu lain pula ceritanya. Sebuah akhbar dalam talian melaporkan Lebih 10 ADUN UMNO/BN dikatakan berura-ura untuk melompat kepada PKR bagi membentuk kerajaan yang baru. Walaugaimanapun ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid, menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau dan lapan lagi ADUN bercadang meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.

Sementara itu, Ustaz Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Terengganu  yang juga ADUN Manir, berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai sembilan ADUN Umno akan menyertai PKR bagi membolehkan mereka bergabung dengan lapan ADUN PAS untuk membentuk kerajaan baru di negeri ini.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah edisi cetak

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: