Kalam Perantau

Icon

Idris dilantik Pengerusi Biro Pengundi Luar

MARANG 28 Sept. – Badan Perhubungan UMNO Terengganu hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi-pengerusi biro yang baru termasuk Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetuai Biro Politik.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pula diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Pengurusan UMNO negeri.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Biro Pengundi Luar.

Katanya, penubuhan biro itu penting dalam usaha memantapkan kedudukan UMNO selain keutuhan parti terus terpelihara.

‘‘Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Strategi dan bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mengetuai Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

‘‘Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan kini diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, Pengerusi Biro Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih akan diketuai Exco kerajaan negeri, Yahya Khatib Mohamad manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Pengerusi Biro Perancangan dan Penerangan.

Katanya, Biro Ekonomi diketuai oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Md. Jidin Shafee manakala Biro Sekretariat Bilik Gerakan diketuai ADUN Kota Raja, Muhamad Pehimi Yusof.

Senator Fatimah Hamat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perayu Undi dan Gerak Mesra dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Saiful Bahari Baharuddin mengetuai Jawatankuasa Sasaran Pengundi Muda dan Belia.

Advertisements

Filed under: News, , , , ,

Undi Pos: Kenyataan Bersama Para Bloggers..!

Oleh:RAKYAT MARHAEN

1. Kami yang terdiri daripada penulis-penulis blog yang prihatin terhadap sistem perjalanan undi POS bersetuju bahawa sistem undi POS haruslah dikemaskini sejajar dengan kehendak demokrasi dan keadaan semasa. Objektif kami adalah untuk melihat sistem Undi POS menjadi lebih baik dari yang baik.2. Kami juga menyambut baik janji Pengurusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof meminta semua pihak yang boleh mengenal pasti kelemahan kepada proses undi pos itu agar memaklumkan kepada SPR secepat mungkinsebagaimana yang disiarkan di utusan online bertarikh 15/9/09 seperti berikut :

* ”Beritahu saya kerana saya pun nak perbetulkan kalau ada,” Pengurusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof. Atas dasar kesedaran dan semangat cintakan negara, maka kami bersetuju untuk membuat kenyataan bersama sebagai menyambut permintaan Pengurusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Kenyataan bersama kami adalah seperti berikut :

3. Adalah amat malang bagi Malaysia, walaupun sudah 52 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihanraya terutamanya undi Pos dengan lebih bebas dan adil. Ternyata sepanjang undi POS diperkenalkan masih banyak dakwaan-dakwaan tentang undi POS seperti tidak telus dan rahsia, wujudnya pengundi hantu dalam sistem undi pos, undi pos tidak relevan, kesahihan undi pos diragui dan wujudnya ugutan dalam sistem undi Pos yang penuh dengan kontroversi sehingga memberi pandangan negatif orang awam terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Kami percaya sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kestabilan negara di masa akan datang. Akhirnya memberi imej negatif bukan sahaja terhadap SPR tetapi kerajaan juga turut terpalit sama dengan kontroversi tersebut. Maka adalah sewajarnya SPR bertindak pantas dengan perbetulkan keraguan pengundi terhadap undi pos bagi meminimakan kontroversi Undi Pos itu sendiri.

Keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan membawa petanda yang buruk untuk masa depan masyarakat dan boleh memusnahkan keutuhan sistem politik negara kita. Justeru, kami mencadangkan :

1. MANSUHKAN PERATURAN BORANG 2

Borang 2 adalah satu borang “Perisytiharan Identiti” di mana pengundi pos perlu menulis namanya, nombor kad pengenalannya dan menurunkan tanda tangannya di hadapan seorang saksi. Selepas mengundi, pengundi pos akan meletakkan kertas undi yang sudah bertanda di sampul surat A dan sampul surat A tersebut kemudiannya pula hendaklah dimasukkan ke dalam Borang B bersama-sama Borang 2 tersebut. Mana-mana Borang B yang tidak disertakan dengan Borang 2 akan ditolak (lihat peraturan 15(2))Kami berpendapat peraturan borang 2 ini haruslah di mansuhkan atas sebab-sebab seperti berikut :

1. TIDAK MENJAMIN KERAHSIAAN PENGUNDI POS

Kami percaya peraturan borang 2 menyebabkan undi pos tidak mempunyai aspek kerahsiaan yang kuat. Dengan kertas undi dan Borang 2 yang mengandungi nama dan nombor kad pengenalan pengundi diletakkan di satu sampul surat yang sama (Sampul Surat B), sudah cukup mewujudkan kebimbangan para tentera dan polis tentang kerahsiaan undi mereka. Aspek kerahsian pengundian adalah “sine qua non” (ciri yang penting) di dalam pilihan raya yang adil. Sebarang persepsi daripada para pengundi bahawa undi mereka tidak rahsia sudah cukup menjejaskan pilihan raya yang adil. Ini menyebabkan aspek kerahsian pengundi Pos tidak dapat dijamin.

2. PERATURAN BORANG 2 SATU BENTUK DISKRIMINASI TERHADAP PENGUNDI POS

Kami bersetuju bahawa SPR perlu progresif dan profesional dalam melayani pengundi-pengundi Pos seluruh negara, sebagaimana layanan SPR kepada pengundi biasa. Jika pengundi biasa, tiada Borang 2 diberikan. Malah tidak ada dalam peraturan sekalipun. Namun Borang 2 diwajibkan kepada semua pengundi Pos, walhal nama-nama dan maklumat mereka sudah ada dalam daftar pengundi.Kami berpendapat, peraturan yang mewajibkan Borang 2 dilampirkan bersama kertas undi adalah satu bentuk diskriminasi terhadap pengundi Pos. Oleh itu, penulis menyarankan agar borang 2 dalam peraturan pengundian Pos hendaklah dimansuhkan agar tiada lagi diskriminasi antara pengundi Pos dan pengundi biasa. Malah kami juga beranggapan peraturan borang 2, satu bentuk tekanan halus kepada pengundi Pos dalam membuat keputusan untuk membuang undi. Sekali lagi kami, berpendapat SPR perlu mansuhkan peraturan Borang 2 bagi tujuan jaminan kebebasan pengundi Pos membuat sebarang pilihan.

3. KEWUJUDAN PERATURAN BORANG 2 BERTENTANGAN DENGAN AKTA KESALAHAN PILIHARAYA 1954

Kami bersetuju dan beranggapan peraturan borang 2 bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 sebagaimana yang kami fahami. Dibawah peruntukan Seksyen 5 Bahagian 11 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, seseorang itu dilarang mendapatkan atau mendedahkan identiti pengundi dan undi mereka, seperti nama, kad pengenalan dan nombor siri kertas undi. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan melanggar undang-undang ini, boleh didenda sehingga RM3000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali. Kami amat yakin bahawa tujuan undang-undang ini digubal adalah bertujuan untuk melindungi kerahsiaan pengundi bagi mewujudkan piliharaya yang benar-benar bebas dan adil.

Atas sebab-sebab berikut, Kami menuntut dan menggesa agar SPR TIDAK MELAKSANAKAN atau MENANGGUHKAN PERATURAN BORANG 2 semasa piliharaya kecil Bagan Pinang bagi melihat dan mengkaji secara mendalam apabila peraturan borang 2 terlebih dahulu secara mendalam.

Hasrat Kami hanya dengan satu tujuan, supaya pilihanraya negara kita menjadi semakin adil dan bersih dari yang adil dan bersih. Dengan kata lain, menjadi lebih baik dari yang baik. Perubahan ini harus dilakukan bagi meredakan nilai-nilai ketegangan disebalik kontroversi amalan undi Pos. Biarlah pengundi pos membuang undi dengan aman dan rela, selari dengan hasrat demokrasi itu sendiri. Terpulang kepada pengundi Pos hendak mengundi BARISAN NASIONAL atau PAKATAN RAKYAT.

Sekian wasalam.

Filed under: News, , , , , , ,

UMNO Parti Islam ?

1. Ketika ditanya komen Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ] oleh wartawan mengenai kenyataan Datuk Seri Najib bahawa UMNO adalah parti Islam , spontan disambut dengan ketawa kecil oleh EXCO DPPP lantas dijawab oleh Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani [ Timbalan Ketua DPPP ] : ” Sila buktikan ! ”

2. Semua orang rasa lucu apabila Najib mengumumkan bahawa UMNO adalah parti Islam .

3. Dulu Dr. Mahathir pernah isytihar Malaysia Negara Islam demikian juga Abdullah Badawi dan menantunya Khairy turut menyokong dan mengisytiharkan Malaysia adalah Negara Islam .

4. Terdahulu saya telah mencabar Khairy berdebat dalam isu Malaysia Negara Islam tetapi malang tidak bersambut . Kali ini najib pula isytihar UMNO adalah parti Islam . Tapi kali ini malas dah rasanya nak ajak mereka ni berdebat . Jawapannya sudah pasti …. akan hilang telan masa begitu sahaja .

5. Bukanlah saya takut kerana yang mengisytiharkannya kali ini ialah Perdana Menteri Najib sendiri . Andai mereka mencabar , insyaallah sebut sahaja dimana tempat dan bila tarikhnya DPPP bersedia untuk berhujjah .

6. Mudahnya hujjah bagi menjelaskan bahawa UMNO adalah parti kebangsaan bukan parti Islam . UMNO parti yang mengamalkan faham sekularisme bukan menganut faham Islam . Terlalu banyak hujjah yang boleh disenaraikan , cuma saya nak lihat 10 bukti dan hujjah dari pihak UMNO terlebih dahulu , apakah yang meletakkan UMNO tidak segan silu untuk turut mengaku sebagai sebuah parti Islam .

7. Balai disebut balai Islam apabila Balai itu berorientasikan Islam . Pusat Islam juga disandarkan kepada Islam apabila Pusat itu mengendalikan hal ehwal Islam . University Islam kerana fakulti dan kuliahnya juga berteraskan Islam . Orang Islam kerana orang itu hidup berpaksikan ajaran Islam . Maka demikianlah parti , jika mahu disandarkan kepada Islam untuk menjadi parti Islam maka mestilah dasar perjuangan parti itu berasaskan Islam .

8. Mudahnya , kalau benar dan serius UMNO mahu menjadi parti Islam , maka UMNO mesti terlebih dahulu menukar dasar dan prinsip perjuangan mereka dari kebangsaan kepada Islam . Jadikan al Quran dan Sunnah sebagai pegangan dan sumber rujuk tertinggi dalam parti itu . Amalkan gaya hidup Islam dengan mengamalkan suruhan agama dan tegakkan syiarnya seperti menutup aurat , berlaku adil , tidak rasuah , tidak zalim dan sebagainya .

9. Saya sangat mengharapkan agar UMNO menjadi sebuah parti yang mengamalkan dan memperjuangkan Islam bukan merosakkan Islam dan meruntuhkan syiarnya . Setakat mendakwa UMNO adalah parti Islam sedang kedudukan UMNO dengan Islam terlalu jauh maka ia adalah satu penipuan dan pengkhianatan terhadap ummah khasnya ahli – ahli UMNO sendiri .

10. UMNO boleh berubah apabila mereka selalu menyebut bahawa ahli mereka orang melayu dan mereka kononnya memperjuangkan melayu . Kerana kebetulannya melayu adalah beragama Islam . Tinggal lagi UMNO mesti menghentikan slogan perkauman dan perjuangan berasaskan melayu semata – mata sebaliknya membawa Islam dan prinsip perjuangannya yang tentunya tidaklah asing dengan orang melayu . Kenapa susah sangat UMNO nak menerima Islam sebagai dasar perjuangan mereka ? kalau mereka sudah bersedia untuk mendakwa dan mengisytiharkan UMNO sebagai parti islam selayaknya mereka juga mesti bersedia untuk menukar dasar dan prinsip perjuangan mereka kepada Islam …. ada berani ke ?

Sumber asal blog Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Filed under: News, , , , ,

Ayah Pin Sengaja DiGhaibkan?

Ayah Pin Sengaja DiGhaibkan? 
  
KUALA TERENGGANU – Menjelang 1 Syawal baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan Pegawai Agama Daerah Besut, Nik Zulhaiza Ismail menafikan pengamal ajaran sesat yang murtad, Ariffin Mohamad, pulang ke kampungnya di Batu 13 Hulu Besut.

Perkara yang sama pernah berlaku pada November, tahun lalu.

Ketika itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis bagaimanapun tidak dapat mengambil tindakan terhadap Ayah Pin, setelah Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu memaklumkan kepada polis untuk tidak menahannya.

“Polis mempunyai maklumat bahawa Ayah Pin yang dipercayai berada di Thailand Selatan telah pulang ke tanah air.

“Apabila dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu sama ada untuk menahannya, jabatan berkenaan mengatakan tidak perlu,” kata Musa.

Bernama melaporkan, Musa menegaskan demikian ketika menyampaikan ucap utama pada seminar Memperkasakan Pentadbiran Keadilan Di Mahkamah Syariah di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak.

Musa berkata, tindakan tidak dapat diambil Ariffin disebabkan tidak ada penyelarasan penguatkuasaan antara Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu dan polis.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau diberitahu, Ayah Pin sengaja tidak ditahan bagi mengelakkan berlakunya konflik perlembagaan antara kerajaan negeri Terengganu dan Kerajaan Pusat.

Katanya, ia adalah ekoran kejayaan PAS Terengganu menabalkan perlembagaan Islam yang terkandung hukuman hudud kepada sesiapa yang murtad dari Agama Islam.

”Kita telah berjaya meletakkan satu asas yang Barisan Nasional tidak berani buang, ada orang kata…WaLlahu’alamlah, mengapa Ayah Pin tidak ditahan?,

”Kalau Ayah Pin ditahan, dia akan dibicarakan di Mahkamah Syariah, Undang-undang Jenayah Syariah adalah undang-undang Hudud, mesti undang-undang hudud dikenakan,”katanya

Menurutnya, sekiranya itu berlaku, akan berlaku percanggahan perlembagaan dan ia akan menjadi satu isu yang besar dalam negara ini.

”Dengan sebab itu Ayah Pin di ghaibkan,”ujarnya ketika menyampaikan Ucaputama pada Majlis Ijtima’ Eidul Fitri dengan Perantau di Kuala Ibai, pada 21 September lalu

Filed under: News, , , , , , , ,

PAS Terengganu menerima ‘Padah’ Kerana Menobatkan Islam

KUALA TERENGGANU – Ukuran sifat taqwa kepada orang-orang Islam yang menunaikan puasa Ramadhan adalah sejauh mana tanggungjawab menegakkan al-Quran dilaksanakan dalam kehidupan mereka.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika merumuskan ucaputamanya di Majlis Ijtima’ EidulFitri PAS Terengganu bersama Perantau yang diadakan di Kuala Ibai disini semalam.

Menurutnya, PAS Terengganu telah berjaya menegakkan al-Quran dalam masa pemerintahannya diantara 1999 hingga 2004, dengan menabalkan Islam.

Katanya, melalui majoriti dua pertiga, PAS telah mewajibkan didalam perlembagaan undang-undang (tubuh) negeri Terengganu; al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias sebagai undang-undang tertinggi.

”Di Terengganu kita meluluskan undang-undang Islam, undang-undang Terengganu di gazetkan, Tuanku (Sultan) kita sign (tandatangan) dan digazetkan (sebagai) undang-undang, barangkali ramai orang yang tidak sedar,”jelasnya.

Katanya, oleh kerana kerajaan PAS Terengganu telah meletakkan asas Islam yang kuat, satu operasi luar biasa telah dibuat untuk menumbangkan PAS Terengganu.

Pada pilihanraya umum 2004, katanya, ada perkara yang tidak kena berlaku, dimana jumlah pengundi di Terengganu melebihi separuh jumlah keseluruhan rakyat Terengganu dan peratus keluar mengundi adalah sangat luar biasa.

”walaupun peratus undi rakyat Terengganu turun 2%, kita kalah (di Terengganu), di Kelantan (undi)  kita turun 5 – 6%  (tetapi) kita boleh bertahan,

”(jumlah) pengundi melebihi 50% (rakyat Terengganu), pengundi seramai 520,000 dan (jumlah) rakyat Terengganu 1 juta,

”dan peratus (keluar) mengundi di negeri lain antara 70 hingga 80%, pengundi (keluar mengundi) di negeri Terengganu 85 % ke atas, ada yang 89% dan ada yang 90% lebih, mengatasi (jumlah keluar mengundi) di negara-negara maju,”terangnya.

Katanya kejayaan tersebut meletakkan ’satu batu penanda’ yang sangat kuat, walaupun terpaksa PAS Terengganu terpaksa ’menerima padah’ didunia.

Justeru, katanya, perjuangan menghadapi cabaran masa depan adalah lebih besar, tanggungjawab yang perlu dipikul bukan hanya oleh pemimpin PAS, namun kepada semua orang Islam

Filed under: News, , , ,

KENYATAAN MEDIA DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI

KENYATAAN MEDIA
DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR/ PESURUHJAYA PAS SELANGOR

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa selaku ahli EXCO kerajaan negeri Selangor serta Pesuruhjaya PAS Negeri, saya menyokong penuh obejektif dan falsafah penubuhan SELCAT. Walaubagaimanapun ekoran siasatan awam yang dilakukan baru-baru ini khasnya yang melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri ternyata SELCAT perlu mengkaji semula prosedur serta teknik penyiasatan yang dilakukan.

Sesi penyiasatan yang menggunakan kaedah menghina serta menjatuhkan maruah disamping lahirnya unsur tekanan sehingga mencetuskan ketegangan jelas tidak mencerminkan objektif dan falsafah penubuhan SELCAT. Akibat kaedah ini maruah dan harga diri para pegawai kanan kerajaan telah teruk tercalar dan moral mereka menurun.

Sepatutnya siasatan SELCAT yang berkisar sekitar perbelanjaan peruntukkan ADUN-ADUN BN dalam kerajaan dahulu tidak sekadar memanggil pegawai-pegawai daerah untuk memberikan keterangan tetapi juga memanggil ADUN-ADUN yang berkenaan. Dengan cara ini SELCAT akan memperolehi maklumat yang seimbang tanpa menyalahkan satu pihak semata-mata.

Oleh itu dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar segera diadakan petemuan antara Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO dengan SELCAT bagi membincangkan segala pandangan, hujah dan dakwaan terhadap para pegawai kanan kerajaan negeri yang telah dipanggil SELCAT. Selepas itu perlu disusuli dengan rundingan tiga penjuru antara Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO serta SELCAT dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terbabit demi menjernihkan suasana.

Sesungguhnya pentadbiran negeri tidak mampu berfungsi dengan baik seandainya tidak wujud suasana harmoni antara ketiga-tiga pihak ini.

Sesuai dengan semangat Hari Raya Idul Fitri saya merasakan sangat molek diadakan satu majlis ramah mesra dalam susana yang informal untuk membolehkan ketiga-tiga pihak ini berinteraksi dan berkomunikasi dalam susana kesetiakawanan dan mahabah.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali berniat untuk menjejaskan pentadbiran kerajann negeri, sebaliknya pandangan yang diberikan adalah demi memperbaiki dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjamin kerjasama erat diantara penggubal dasar dan pihak yg melaksanakannya. Saya yakin dengan pandangan jujur dan ikhlas yang diberikan ini, insyallah kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, akan menjadi bertambah kukuh dan dihormati rakyat.

Sehubungan dengan itu saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah mencadangkan agar keanggotaan SELCAT dirombak dan dilantik dari kalangan bekas-bekas hakim, penjawat awam dan individu yang berpengaruh sebagaimana yang dilaporkan. Sebaliknya apa yang saya cadangkan adalah supaya keanggotaannya dipilih dari kalangan ahli-ahli dewan negeri Selangor yang berwibawa, dan memiliki kepakaran dan kebijaksanaan setaraf dengan keanggotaan Surhanjaya Di Raja, demi memilhara kehormatan institusi SELCAT itu sendiri.

Filed under: News, , , , , , , ,

ADUN Ladang Terkilan – Pembangunan Kampung Ladang Tidak Mengambil Kepentingan Suara Rakyat

Pembangunan Kampung Ladang Tidak Mengambil Kepentingan Suara Rakyat 
  
KUALA TERENGGANU – Slogan ’Merakyatkan Pembangunan’ yang menjadi landasan kerajaan dibawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said hanyalah sekadar ’menghiasai bibir’ dan ’papan-papan tanda’ sahaja.

Ia adalah kerana, Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar, tidak dimaklumkan berkenaan projek pembangunan Kawasan Kampung Ladang yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Beliau berkata dalam bajet negeri ada diperuntukkan sebanyak RM70 juta namun beliau tidak pasti dimana dan bila ia akan dilaksanakan (gambar – Dato’ Ku melayan para tetamu yang hadir)

”Tapi memang ada (pegawai) yang pergi membuat penilaian rumah, rakyat diberi tahu tanah dan trumah mereka akan diambil balik,

”(pelan induk) tidak ditunjuk kepada (saya) walaupun kita (saya) bercadang nak tengok tetapi (nampaknya) dia (kerajaan negeri) tidak melibatkan wakil rakyat Ladang, walaupun saya sebut dalam (Sidang) Dewan (Undangan negeri), bahawa saya ingin terlibat sama!,”katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka DUN Ladang Sempena Eidul Fitri, disini semalam.

Katanya sehingga kini pihak kerajaan negeri belum memanggil beliau, namun beliau akan mengambil inisiatif untuk berjumpa pihak-pihak yang terbabit dalam pembangunan tersebut.

Beliau yang telah dipilih oleh rakyat bagi mewakili DUN Ladang kesal kerana tidak pernah diminta sebarang pendapat dalam perancangan itu.

”Tapi mereka dah rancang, kita (saya) tidak terlibat dalam perancangan, sedangkan saya minta (harap) dalam proses perancangan itu kita dilibatkan sama supaya kita boleh beri pandangan,”katanya.

Menurutnya, beliau ada mendengar, pembangunan tersebut juga akan melibatkan Majlis Agama kerana kebanyakkan tanah yang hendak dibangunkan adalah ’Tanah Wakaf Zuriat Tok Pelam’.

Dalam perkembangan Majlis Rumah Terbuka yang diadakan di perkarangan rumahnya, Dato’ Tengku Hassan menyatakan rasa gembiranya kerana majlis tersebut dihadiri oleh rakyat dari pelbagai lapisan.

”AlhamduliLlah nampaknya ramai yang datang, nampaknya pelbagai lapisan, (saya) rasa seronok, orang-orang yang dhaif yang kita bantu baru ini pun datang, ada yang datang berpimpin (kerana sakit) bawa anak-anak, dan nampak pemuda-pemuda juga ramai yang datang, miskin, kaya, korperat, pelbagai lapisan,”ujarnya.

Sebaliknya, beliau agak dukacita kerana sehingga tengahari semalam, pemimpin dari parti lawan, UMNO, belum berkunjung ke majlis itu, walaupun mereka pernah berkunjung ke majlis yang sama yang diadakannya pada tahun lalu.

Filed under: News, , , , , , , ,

Takziah – FACEBOOK PALSU YB DS MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN

FACEBOOK PALSU YB DS MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN
Oleh:Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

Adalah dimaklumkan bahawa terdapat beberapa usaha nakal kecilan dari sesetengah kalangan pelayar yang telah memalsukan serta menyamar satu laman Facebook yang kononya dari kepunyaan saya diatas nama saya (MOHAMMAD NIZAR BIN JAMALUDDIN)

Dan menggunakan alamat email seperti berikut “nizar.mb.perak@gov.my“. Facebook ini diurus oleh pihak yang tiada kena mengena dengan saya

Dan saya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana mana individu atau institusi untuk tujuan tersebut.

Disyaki penyamar tersebut menggunakan alamat email pentadbiran kerajaan Perak DR yang memuatkan maklumat peribadi dan profile rasmi saya serta penulisan dan perakuan yang cuba untuk mengaibkan saya. Berita serta rencana yang dipos berunsur fitnah dan kesemuanya palsu. Oleh itu melalui blog rasmi saya ini saya menafikan sekeras-kerasnya paparan dari Facebook tersebut yang jelas dan terang bertentangan dengan peradaban dan budaya akhlak Islam. Ianya bukan dari sumber saya.

Saya memohon supaya yang bertanggungjawab membuat fitnah ini berhenti dan sebaliknya paparkan berita benar untuk mendapat sedikit keredhaan Ilahi dari menyebarkan kepalsuan dan kebatilan mengenai diri saya. Usaha sedang dibuat dengan pengurusan Facebook supaya memadamkan laman palsu tersebut. Ianya terang-terangan cuba mencemarkan imej serta integriti saya.

Saya sedia memaafkan angkara ini dari sesiapa saja yang menyamar dan mari kita sama mencari sedikit keredhaan Allah SWT dalam bulan Ramadzan ini serta pengampunan dari NYA.

Selamat menyambut hari lebaran Aidil Fitri, maaf zohir dan batin.

HIDUP RAKYAT!! BUBAR DUN PERAK!!!

YB DS Mohammad Nizar bin Jamaluddin
kamparinn.blogspot

Filed under: News, , , ,

Sekitar Aidil Fitri Bersama Presiden PAS

Aidil Fitri Bersama Presiden PAS
Masjid Rusila, Marang.
1 Syawal 1430H

 

 

 

 

 

 

 

 

Filed under: News, , , , , ,

Sekitar HariRaya Bersama Ustaz Saiful Bahri – TPJ PAS Terengganu

Oleh Wadib

PAKA : Pada 20hb Sept 2009 / 1 Syawal 1430 tahun ini, sebagaimana kebiasaannya, ratusan jamaah bersama-sama anak qaryah Pinang Merah membanjiri masjid Pinang Merah yang sememangnya menjadi pilihan masyarakat di Paka yang dahagakan khutbah yang mantap dan diselangi dengan kupasan isu semasa dalam negara mahupun dunia antarabangsa. Pagi 1 syawal 1430, sejurus selepas solat sunat eidilfitri, Ustaz Haji Saiful Bahri Mamat akan menyantuni masyarakat pelbagai peringkat dan dari seluruh pelusuk Paka secara khususnya di dalam Dewan Besar Darul Bayan.

 

 

 

 

 

 

 

 

(Ustaz Saiful, Timbalan Persuruhjaya PAS Terengganu membahagikan duit raya. Ustaz Saiful pernah menjadi penasihat laman TKO)

Dianggarkan tidak kurang dari 500 jamaah yang juga termasuk anak-anak Terengganu diperantauan turut membanjiri masjid tersebut. Kanak – kanak sememangnya antara yang paling gembira kerana disinilah tempat paling awal untuk mereka membuat “koleksi” duit raya bermula. Acara yang menjadi rutin tahunan ini sememangya dinantikan oleh mereka, manakala kalangan dewasa asyik menyantapi hidangan juadah hari raya. Pada kali ini, “GearBox” masak asam pedas dan mee udang ala Kuala Sepetang menjadi menu utama hidangan, namun satay tetap menjadi “buruan” utama pengunjung.

 

 

 

 

 

 

 

 

Majlis tahlil sejurus solat sunat dan khutbah eidilfitri turut mendapat sambutan jamaah. Sebelum dijemput kejamuan, para jamaah terdahulu bersama bertahlil untuk dihadiahkan kepada arwah kaum kerabat masing-masing. Tahlil tersebut turut dibawakan oleh Ustaz Saiful sendiri.

 

 

 

 

 

 

 

 

Medan pertukaran pandangan dan pengiratan silaturrahim cukup terserlah dengan masing – masing puas menjamah hidangan bersama pemimpin setempat dan dapat bertemu mata sesama anak qaryah.

Filed under: News, , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories