Kalam Perantau

Icon

Hari Raya dan Pilihanraya

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil keputusan untuk mengadakan pilihanraya N31 Bagan Pinang pada Ahad, 11hb Oktober tidaklah mengejutkan sangat. Cuma apa yang menarik pada kali ini ianya tidak mengadakan hari mengundi pada hari bekerja sebagaimana beberapa pilihanraya kecil sebelum ini. 

Cuma saya tidak pasti, adakah hari pengundian diadakan pada hari cuti umum pada kali ini kerana kesan pilihanraya kecil Permatang Pasir baru-baru ini yang menyaksikan penurunan peratusan pengundian kepada 73.1%, berbanding 82.57% pada pilihanraya Mac, 2008 lalu.

Seorang pengunjung yang menamakan dirinya halwan9 menghantar 9 Perkara yang anda perlu tahu untuk PRK kali ini kepada kotak emel saya. Katanya, uniknya PRK kali ini adalah;  1) PRK ke -9 selepas PRU ke-12 pada Mac, 2008. 2) Berlakunya di N-9, 3) Kekosongannya pula dalam bulan 9,  4) kebetulan pula dalam Bulan Ramadhan, bulan ke-9 tahun hijrah, 5) Pada tahun 2009, 6)  Negeri Sembilan ada 9 Luak, 7) DUN Bagan Pinang ada 9 UPU (termasuk 1 undi Pos)  8) Calon popular UMNO, Tan Sri Isa Samad – Menteri Besar N9 yang ke-9, dan 9) Tan Sri Isa Samad lahir tahun 1949

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan pembebasan serta merta lima tahanan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terdiri daripada bekas pengikut Jemaah Islamiah (JI), iaitu Abdullah Daud, Mat Sah Mohd Satray, Ahmad Kamil Mohd Hanapiah, Mohd Nasir Ismail@Hassan dan Muhammad Amir Md hanapiah.

Dengan pembebasan ini, kini tinggal 9 lagi tahanan ISA di kamunting. Datuk Hishamuddin Hussein, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyebut, pembebasan 5 tahanan ISA tidak ada kena mengena dengan pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan.

 

Hari Raya dalam mood pilihanraya

Nampaknya sambutan hariraya tahun ini lain dari biasa kepada UMNO dan PAS yang akan bertarung sekali lagi pada 11hb. Mac, 2009. Jika PAS berjaya menumbangkan UMNO dalam pilihanraya kecil ini seperti apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada awal Januari, 2009 yang lepas bermakna sekali lagi UMNO cedera parah.  

Seperti tahun-tahun sebelum ini, anak-anak perantauan sudah mula meninggalkan kota untuk kembali semula kekampung halaman masing-masing. Saya juga tidak ketinggalan untuk kembali semula ke kampung halaman yang telah sekian lama ditingalkan. Kepulangan ke kampung seolah-olah menjadi kemestian kepada warga perantau selagi ada kemampuan.

Tinggallah penduduk asal kota bagi memakmurkan masjid dan surau yang menjadi tumpuan yang memberangsangkan pada bulan ramadhan ini. Agak menarik ditempat saya bermastautin, Bandar Baru Bangi, wakil rakyat Dr. Shafie Abu Bakar asalnya adalah perantau, tetapi telah lama menetap di situ seawal penubuhan Bandar Baru Bangi itu sendiri sejak 30 tahun yang lampau. Demi tugas dan tanggungjawab, sebagai wakil rakyat, beliau terpaksa berhariraya dengan rakyatnya di DUN Bangi.

Apa yang menarik sempena hariraya Aidil Fitri tahun ini, pertama kalinya dalam ingatan saya diadakan tol percuma untuk balik beraya dan pulang semula ke Kota pada hari Jumaat, 18hb. Oktober dan Khamis, 24hb. Oktober, 2009 pada waktu-waktu tertentu. Ini semua mungkin kerana berhariraya dalam suasana pilihanraya.   

Di Terengganu, Dewan Pemuda PAS Terengganu mengambil kesempatan pada Aidilfitri kali ini menganjurkan Ijtimak Aidilfitri Bersama Anak-Anak Terengganu di Perantauan pada hariraya ke-3 (Selasa, 22 Oktober) dari jam 9 pagi hingga ke tenghahari.

Saya menjadi cukup tertarik dan menyentuh perasaan berhubung dengan Perutusan Hari Raya Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib yang disiarkan dalam akhbar harakah terbaru dan juga Buletin Online.

Kepada anak-anak Terengganu di perantauan kami dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak banyak kain-kain rentang yang dipasang, secomel dan secantik yang dibentangkan oleh parti lawan, kerana kami tidak tahu dia dapat wang daripada mana, (sehingga) mereka dapat menyediakan kain rentang yang cantik, tetapi sekadar wang yang ada pada kami, (kami) buatlah kain rentang ”Selamat Pulang Perantau, Selamat Hari Raya Bersama Keluarga”. Di samping itu kami harap jangan lupakan kami sebagaimana kami tidak melupakan tuan-tuan dan puan-puan. Maka kunjungilah kami jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian pulang dari perantauan ke tempat sendiri untuk berhari raya. Kami adakan majlis hari raya untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada 3 Syawal tahun ini. Walau pun tempat kami tidak secantik mana dan makanan tidak selazat mana tetapi sangat mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan, saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian kerana itu sangat mengembirakan kami pada hari tersebut.

Gara-gara tarikh pilihanraya kecil ini diadakan dalam tempoh berhariraya, Rumah Terbuka PAS sempena Aidilfitri pada tahun ini yang dijadualkan pada Ahad, 11hb. Oktober terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh yang lain kerana bertembung dengan tarikh hari mengundi di Bagan Pinang.

Sesekali saya juga terfikir, alangkah menarik dan sudah pasti akan meninggalkan satu sejarah tersendiri, jika sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri dipindahkan ke Port Dickson. pada hari tersebut. Pengundi dan petugas pilihanraya sama ada PAS atau UMNO bergilir-gilir hadir memeriahkan sambutan hariraya Aidilfitri PAS. Pemimpin politik saling kunjung mengunjung dengan melupakan seketika pertarungan politik sama ada PR atau BN termasuk Muhyiddin Yasin dan Isa Samad pun boleh hadir sama,.     

Ini mungkin selari dengan perutusan Hariraya Aidilfitri, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, iaitu;

Kepada orang-orang Umno, pemimpin-pemimpin Umno dan pengikut Umno supaya mereka benar-benar balik kepada agama yang mereka anuti bernama Islam. Jangan (hanya) sahaja mereka bercakap dan mengakui (diri mereka) sebagai Islam tetapi dalam waktu yang sama mereka menentang Islam. 
Jadi, oleh sebab itu sudah sampai masanya kepada orang Umno supaya (dia) insaf , dia (berpatah) balik kepada agama dan jangan pakai lagi fahaman-fahaman dari luar yang datang daripada luar Islam dan balik semula kepada usul asal mereka sebagai orang Islam (yang) beramal dengan ajaran Islam. 
 
Akhir sekali, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca kolum perantau sama ada di akhbar cetak Siasah dan dialam siber  diblog https://kalamperantau.wordpress.com amatlah dihargai.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: