Kalam Perantau

Icon

Oktober bukan bulan Tragedi untuk BN ?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Minggu lepas Siasah tidak diterbitkan. Jadi saya tidak berkesempatan untuk mencoretkan rakaman perjalanan 12 jam balik kampong ke Kuala Terengganu, yang biasanya sekitar enam jam sahaja sejak adanya LPT – Lebuhraya Pantai Timur. Sepatutnya disebut LTP – Lebuhraya Tengah Pahang sahaja, sebab ianya tidak melibatkan Terengganu yang belum lagi siap walaupun kerajaan BN telah masuk penggal kedua di Terengganu.

Tiada pembangunan yang dapat dilaksanakan di Terengganu sekarang ini sebab pemimpin-pemimpin BN asyik bercakaran sesama sendiri sahaja. Tambahan pula duit royalti pun belum dikembalikan lagi kepada kerajaan Terengganu seperti yang dijanjikan sebelum ini. Inilah bahananya kerana rakyat memilih kerajaan untuk kebendaan dunia semata-mata.  

Bila saya membaca akhbar akhbar utama hari ini, selesailah satu episod perebutan kuasa dalam UMNO Terengganu yang sudah tidak ada pemimpin tempatan. Pengerusinya Datuk Hishamuddin Tun Hussein di’import’ dari Johor yang merupakan negeri kubu UMNO. 

Tidak ada yang menarik dalam penyusunan biro-biro Perhubungan UMNO Terengganu. Cuma yang menjadi fokus media adalah perlantikan Datuk Seri Idris Jusoh mantan Menteri Besar Terengganu yang sekarang ini menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai Pengerusi Biro Pengundi Luar. Sebagai warga Perantau, saya tidak ketinggalan untuk ucapkan tahniah kepada beliau.

Mengikut Pengerusi Perhubungan UMNO , penubuhan biro itu penting dalam usaha memantapkan kedudukan UMNO selain keutuhan parti terus terpelihara. Tentu ada sesuatu yang istimewa yang mampu dilakukan atau pernah dilakukan menyebabkan Idris Jusoh diberikan biro tersebut berbanding dengan banyak lagi biro-biro lain yang strategik.

Ketika artikel ini ditulis, kedua-dua parti, PAS atau UMNO belum lagi mengumumkan calon mereka untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang yang dijadualkan pada 11hb. Oktober akan datang. Bagi Umno pemilihan bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjanjikan kemenangan mudah di Bagan Pinang, tetapi memberikan implikasi besar di peringkat nasional seperti yang telah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, kerana rekod salah laku ketua bahagian Umno Teluk Kemang itu.

Dari sumber-sumber yang layak dipercayai, UMNO akan meletakkan calon yang dapat diterima oleh Tan Sri Isa Samad. Calon alternatif tersebut adalah anak beliau sendiri Najib Mohd Isa, yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Telok Kemang.

Manakala PAS pula yang dijangka tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri ini pula berhadapan dengan pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam pertimbangan politik sebelum memilih calonnya. PAS diramalkan akan mempertraruh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkfli Mohamad Omar sebagai calonnya jika Isa Samad tidak bertanding.

Namun begitu pencalonan semula calon PAS dalam PRU ke-12 yang lepas, Ramli Ismail seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat di Port Dickson sehingga tahun 1990 diharap dapat membantu kempen PAS di Bagan Pinang yang kebanyakannya anggota tentera  yang mengandungi hampir 5,000 pengundi pos.  Ini dibuktikan dalam pilihanraya yang lepas, beliau berjaya mendapat 1,189 undi berbanding dengan calon BN mendapat 3,080 undi pos.

Jika UMNO dan BN tewas di Bagan Pinang ini pada 11hb. Oktober, ianya benar-benar satu tragedi berbanding dengan kekalahan mereka dalam 7 siri pilihanraya kecil yang disertai mereka sebelum ini. Andai keadaan menjadi tidak terkawal, ianya berlaku menjelang Perhimpunan Agung Khas Umno untuk meminda perlembagaannya diadakan pada 15 dan 16 Oktober.

Bulan Oktober ini cukup penting, bukan sahaja kepada UMNO yang terpaksaa berdepan dengan pilihanraya kecil bagan Pinang ini, tetapi juga kepada parti-parti komponen BN yang lain yang sedang dilanda berbagai kemelut.

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA membincangkan pertembungan Chua Soi Lek (Timbalan presiden yang digantung) dengan Ong Tee Keat, Presiden MCA diadakan pada 10 Oktober ini dan parti baru kaum India yang dikatakan alternatif kepada MIC, Makkal Sakhti; serpihan pertubuhan haram Hindraf, akan dilancarkan oleh Datuk Seri  Najib Tun Razak, Pengerusi BN pada hari sama.

BN akan terima 3 parti kaum India sebagai komponen baru?

Pengundi India yang tinggi, iatiu 20.7 peratus di DUN Bagan Pinang ini memberikan tekanan kepada BN untuk mendapat semula sokongan mereka kepada BN ketika kepimpinan MIC  berteraskan India dalam BN sentiasa bergolak.

Sebuah lagi komponen BN berteraskan masyarakat India, Parti Progresif Penduduk (PPP) juga bergolak berikutan pemecatan Ahli Majlis Tertingginya Senator T. Mugiah, Timbalan Menteri diJabatan Perdana Menteri yang turut mendakwa sebagai Presiden PPP yang baru berikutan Mesyuarat Agung LuarBiasa (EGM) yang diadakan oleh kumpulannya.

Manakala kumpulan India yang berada dalam Gerakan tidaklah begitu kuat untuk membantu BN mendapatkan semula sokongan kaum India kepada BN yang telah terlepas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-12 pada tahun  lepas. 

Kegagalan parti-parti kaum India yang lain  menyertai BN selama ini kerana ditentang kuat oleh MIC. Tetapi jika BN memikirkan masa depannya, parti-parti ini perlu diterima sebagai anggota baru BN ketika MIC semakin terpinggir dalam arus perdana masyarakat India.

Kemunculan Makkal Sakhti yang akan dirasmikan oleh Najib diharap dapat memberi kesan tersendiri kepada kaum India ketika kepemimpinan MIC menghadapi tekanan daripada kumpulan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Subramaniam yang lebih disenangi oleh kepimpinan BN termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi tewas dalam pemilihan MIC baru-baru ini.

Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan menentukan kedudukan parti-parti tertentu mewakili kaum India yang berhasrat mahu menyertai gabungan komponen parti pemerintah itu memberikan harapan baru kepada kaum India yang mahu menyerati MIC dan PPP .

Sungguhpun Najib tidak menyebut identiti parti-parti India berkenaan namun umum sedia maklum ia terdiri daripada Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF ) yang  merupakan parti serpihan MIC masih belum diterima sebagai komponen BN walaupun telah 20 tahun mengemukakan permohonan menjadi anggota baru BN serta  Makkal Sakhti, serpihan kumpulan  HINDRAF yang akan dirasmikan penubuhannya oleh Najib sendiri..

Jika BN menerima ketiga-tiga parti baru masyarakat India ini, MIC pula mungkin mengambil sikap berjuang di luar BN. Ini menjadikan BN, ditelan ‘mati emak, diluah mati bapak’. Lebih membingungkan lagi BN, jika MCA juga turut keluar BN. Sanggupkah BN dan khususnya Najib dan UMNO menerima risiko ini? Diharapkan, bulan Oktober ini bukanlah bulan tragedi untuk BN! Biarkanlah BN memerintah selama 2 tahun lagi sehingga pilihanraya umum ke-13 bagi mengikut jejak LDP di Jepun!.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: