Kalam Perantau

Icon

Sempatkan PR didaftarkan sebelum PRU13?

 

Pemimpin PAS, DAP dan KeADILan berbincang, usaha Daftarkan Pakatan Rakyat bermula

KUALA LUMPUR: Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesediaan parti itu jika mahu mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah gabungan yang berdaftar.

Beliau memberi respons tersebut sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Dato’ Md Alias Kalil yang tidak lagi mensyaratkan tujuh parti atau pertubuhan perlu berada dalam gabungan seperti yang digariskan oleh jabatan itu sebelum ini.

Ekoran itu, PAS bersama Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk memulakan satu perbincangan ke arah urusan pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai satu gabungan seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, masing-masing parti dalam Pakatan Rakyat akan membincangkan perkara ini meliputi pelbagai aspek secara serius.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat, berkata terpulang kepada parti masing-masing untuk memikirkan semasak-masaknya dalam konteks kebijaksanaan dan keperluan itu.

“Masih banyak benda yang perlu dirundingkan. Selain mendapat pandangan ahli parti masing-masing sebelum satu keputusan besar dilakukan. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin parti masing-masing dalam hal ini,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata Pakatan Rakyat akan didaftarkan sebagai satu gabungan berikutan perisytiharan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), baru-baru ini.

“Pakatan Rakyat akan didaftarkan sebagai satu gabungan di bawah Akta Pertubuhan memandangkan Pendaftar Pertubuhan berkata undang-undang yang menghendaki sekurang-kurangnya tujuh parti politik perlu didaftarkan sebagai satu pertubuhan, tidak lagi terpakai,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pakatan PAS, DAP dan KeADILan akan didaftarkan sebagai satu gabungan di bawah Akta Pertubuhan 1966 berdasarkan pendirian Pendaftar Pertubuhan, Dato’ Md Alias Kalil bahawa undang-undang yang menghendaki sekurang-kurangnya tujuh parti politik didaftarkan sebagai satu pertubuhan tidak lagi terpakai.

Md Alias dalam kenyataan menegaskan, syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.

“Saya nak jelaskan di sini, syarat itu tak terpakai untuk parti politik sebab mereka sudah bertaraf nasional, tetapi kalau pertubuhan tidak berstatus kebangsaan mahu menjadi pertubuhan kebangsaan mereka perlu ada tujuh wakil dari negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Alias diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dato’ Wan Ahmad Wan Omar bahawa pakatan pembangkang boleh membentuk satu parti jika mereka benar-benar mahu berbuat demikian walaupun hanya ada tiga anggota.

Kenyataan Wan Ahmad itu rentetan dakwaan Pakatan Rakyat tidak boleh berbuat demikian kerana tidak memenuhi syarat perlu ada tujuh anggota sebelum boleh didaftarkan sebagai sebuah gabungan.

Selasa lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyarankan supaya pakatan pembangkang mendaftarkan gabungan itu dengan ROS bagi membolehkan mereka meletakkan bendera parti masing-masing sebagai tujuan kempen semasa pilihan raya diadakan.

Sebelum ini, ketiga-tiga parti tersebut telah bergabung sebagai Barisan Alternatif, tetapi gabungan yang tidak didaftarkan itu berpecah dua tahun selepas itu.

Difahamkan, majlis tertinggi Pakatan Rakyat dijadualkan akan bermesyuarat pada Disember depan bagi menyelaraskan kerjasama yang dibuat selama ini, selain untuk menyediakan logo.

Dalam hasrat untuk bersatu, ketiga-tiga parti tersebut masih berusaha menyelaraskan serta memperhalusi beberapa isu berhubung pentadbiran dan falsafah ideologi parti.

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: