Kalam Perantau

Icon

Lagu Apo Kono Eh Jang tak menjadi kat Bagan Pinang ?

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Seawal jam 2 petang pada 11hb. Oktober, 2009 lepas, telefon saya sentiasa berdering dan sms masuk bertalu-talu bertanyakan keadaan pengundian di Bagan Pinang. Berbagai spekulasi yang dihantar melalui sms dan cakap-cakap di tempat-tempat awam di Port Dickson.

Seorang kenalan dari Terengganu yang saya temui di hotel berbumbung minangkabau yang telah saya lupa namanya memberitahu bersetuju dengan pandangan saya dalam Siasah pada minggu tersebut, apa perlunya, PD dijadikan Bandar Tentera Darat.

Dengan hujah-hujah tertentu, beliau meminta saya tulis pandangannya supaya Port Dickson ini bukan sahaja kekal sebagai Bandar Pelancongan, malah beliau turut mencadangkan agar namanya turut ditukar menjadi Pengkalan Damai, singkatannya masih PD supaya kita tidak mengagung-agung nama yang bercirikan kebaratan.

Walaupun dia ni UMNO, katanya dia bersetuju dengan tindakan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan menukarkan nama Pantai Cinta Berahi (PCB) kepada pantai Cahaya Bulan, juga singkatannya masih PCB.

Beliau berharap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hassan berani melakukan perubahan menukarkan PD kepada Pengkalan Damai. Secara berjenaka, saya cuba memprovoknya supaya susah-susah sangat namakan sahaja Pangkalan Dacing sebab UMNO dan BN kuat di sini dengan undi tentera.

Beliau yang turut risau melihatkan kekuatan PAS dan PR mencabar UMNO dan BN di sini bertanyakan pandangan saya. Secara jujurnya saya mengatakan Isa Samad akan menang di sini, tetapi saya tidaklah pulang menjangkakan undi majoritinya melebihi dari pilihanraya umum ke-12 yang lepas.  

Tetapi apa yang berlaku adalah suatu kejutan bukan sahaja kepada PAS dan PR, tetapi kepada UMNO dan BN itu sendiri. Selepas keputusan majority 5435 diumumkan, nama Isa Samad bekas Nasib Presiden UMNO dan Menteri Besar Negeri Sembilan melonjak kembali dalam persada politik UMNO bukan sahaja setakat Negeri Sembilan malah keseluruh tanahair.

Kebetulan pula UMNO mengadakan perhimpunan Agung Khas mulai 14 hingga 16hb. Oktober, 2009 untuk meminda perlembagaan.

Ternyata ahli-ahli UMNO sudah melupai rayuan bekas Presidennya Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya tidak memberikan peluang kedua kepada Tan Sri Isa Samad. Pandangan veteran UMNO, Tengku razaleigh Hamzah yang selari dengan Tun Dr. Mahathir juga tidak diendahkan.

Malah krisis kepimpinan MCA antara kumpulan Ong Tee Keat bdan Chua Soi Lek juga tidak menjejaskan sokongan Cina kepada BN. Begitu juga pengundi-pengundi India mula membuat jejambat baru kembali semula kepada BN, Parti Makkal Sakti .

Tsunami politik yang berterusan dalam beberapa siri pilihanraya kecil di Semenanjong  sejak selepas pilihanraya umum ke-12 bermula dengan Permatang Pauh, tiba-tiba berhenti di Bagan Pinang. Saya tidak pasti akan berlaku lagi atau tidak pilihanraya kecil selepas ini walaupun ada beberapa kerusi panas yang dijangka akan diadakan pilihanraya kecil.  

Belum Masanya Zulkefli menjadi YB?

Pada saya kemenangan PAS di DUN Paroi dalam pilihanraya yang lepas adalah satu kejutan. Jika PAS turut menang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang tempohari, sudah pasti orang-orang PAS tidak menoleh kebelakang lagi.

Malah kalau tidak silap saya, Dr. Zulkifli Ahmad yang bertindak sebagai Pengarah Operasi Jentera Pilihanraya Kecil N31 – Bagan Pinang telah menyatakan PAS bukan setakat hendak memenangi pilihanrayan kecil ini, tetapi sedang mencari calon Menteri Besar.  

Sebuah lagu dalam loghat minang  nyanyian Ally Nor & Mastura telah digubah semula senikatanya oleh penggubah-penggubah lagu amatur ketika kempen rancak berjalan. Bila saya diperdengarkan dengan lagu ni, memang kuat kerja orang-orang PAS Negeri Sembilan menjadikan Pesuruhjaya mereka sebagai YB.

Kalau tak silap pendengaran saya, bunyi lirik lagu tersebut lebih kurang begini;

Jang oh Jang
Mano pulak poi eh budak bertuah ni
Sonyap yo…
Siaplah jang oooi…
Mengundi dah doket dah ni…
Batu ompek tompek mandi
Gulai kotam sopiuk
Cubo omak fikir dalam hati
BN ket sini sudah lamo

Apo kono eh jang kau monong ajo
Orang ke BULAN ekau di mano
Rakyatnya susah BN tak raso
jangan dibiar sampai merano
 
Poilah ajar  kawan mengundi
Jangan temonung menunggu hari

Pangkahlah kito si Zulkefly
Apo dikonang BN tu lai

Nampaknya lagu jang oh jang tidak menjadi di Bagan Pinang. Pada saya, mungkin belum masanya Zulkefli Mohamad bin Omar menjadi YB. Jika ada lagi pilihanraya kecil di Negeri Sembilan selepas ini, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan boleh cuba lagi. Mana tau ada rezeki, boleh berkhidmat untuk parti. 

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah 

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: