Kalam Perantau

Icon

KENYATAAN IKPNT TERHADAP TULISAN PROFESOR DR AZIZ BARI

Institut Kajian Polisi PAS Negeri Terengganu (IKPNT ) tertarik untuk memberi respon terhadap satu penulisan  Profesor Dr Abdul Aziz Bari,  Pensyarah Undang-Undang UIAM, Gombak di dalam ruangan Perspektif Sinar Harian Isnin 19 Oktober 2009 di bawah tajuk “Pengajaran dari Bagan Pinang: Pas kena ambil langkah drastik lakukan reformasi kepimpinan”         

IKPNT mendapati bahawa penulisan tersebut tidak seimbang dan hujah-hujah yang digunakan tidak bertepatan, memandangkan beliau pada asalnya menyebut “sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting dari sudut  perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya”. Sepatutnya beliau banyak membicarakan kepincangan dalam PRK tersebut  dari sudut undang-undang yang penuh dengan keganasan dan penipuan yang dilindungi oleh undang-undang. Pandangan terhadap keraguan proses undi pos, salahguna jentera kerajaan, ketelusan SPR dan rasuah patut diberikan pandangan dan penjelasan oleh beliau sebagai seorang ahli undang-undang.

Tetapi, sebaliknya, beliau telah membicarakan perubahan kepimpinan yang mesti dilakukan oleh PAS secara drastik. Apakah kepimpinan PAS patut bertukar secara drastik selepas kekalahan di Bagan Pinang? Sedangkan Pas berjaya mengekalkan kemenangan dalam PRK Bukit Gantang, Manik Urai, Pengkalan Pasir dan merampas kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu. Dalam semua PRK tersebut, kepimpinan PAS adalah kepimpinan yang sama dengan PRK N.31 Bagan Pinang. Umum juga mengetahui penyertaan Pas di Bagan Pinang disedari sukar untuk dimenangi atau sebagai “underdog” sebagaimana dikatakan oleh Pengarah PRK N.31 Bagan Pinang, YB Salahudin Ayub.

Prof. Dr Aziz Bari telah berhujah secara tidak professional. Perlu difahami bahawa kepimpinan PAS adalah sebuah kepimpinan berjemaah, dan bukan hanya kepimpinan individu seperti yang disebut oleh beliau. Kepimpinan PAS adalah Kepimpinan Ulamak yang memikul tanggungjawab daripada amanah Allah S.W.T dan RasulNya, Muhammad S.A.W.

Pemimpin-pemimpin PAS bertindak berdasarkan keputusan-keputusan yang diambil di pelbagai peringkat selaras dengan prinsip Syura yang dipakainya. Prof. Dr Aziz Bari hanya melihat PAS sebuah parti politik. Sedangkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab dalam menguruskan semua polisi dan kegiatannya di bawah dasar kepimpinannya secara berjemaah.

IKPNT mengharapkan Prof. Dr Aziz Bari meneliti dengan tepat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kritikan beliau. Janganlah hanya menjeling kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan mengatakan bahawa ini betul dan ini tidak betul sedangkan beliau sendiri tidak mendapat penjelasan rasmi daripada pihak yang berautoriti dalam PAS. Inilah yang sepatutnya beliau lakukan sebagai seorang yang arif dalam bidang undang-undang.

Kenapa beliau telah membuat satu persepsi yang tidak adil terhadap kepimpinan PAS dengan membahagikan kepada dua blok: pro-UMNO dan tidak pro-UMNO? Isu ini sepatutnya tidak timbul lagi kerana telah diberikan penjelasan mengenainya oleh pemimpin-pemimpin PAS. Adalah lebih bijaksana sekiranya komentar yang dibuat berlandaskan etika profesionalisme serta kefahaman yang benar terhadap PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Pemimpin-pemimpin PAS daripada dulu sehingga sekarang telah berjaya membuat perubahan politik dalam Negara, bahkan telah terbukti di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam memartabatkan Islam dan membela umat sejagat. Kenapa Prof. Dr Aziz Bari membuat penghakiman yang begitu mudah terhadap kepimpinan PAS?

IKPNT percaya kepimpinan PAS bersikap terbuka untuk menerima teguran. Walaupun begitu, kita sepatutnya berhati-hati (hazar) agar tidak terperangkap dengan agenda musuh melemahkan Islam.

Selasa, 20 Oktober 2009.
Kuala Terengganu.

Filed under: News, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: