Kalam Perantau

Icon

Kemana PAS selepas ini?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Tidak semena-semena Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap Menteri Besar Kelantan melemparkan bom jangka dengan meminta PAS Pusat mengadakan Muktamar Khas untuk  menggantikan pemimpin yang tidak disukainya dengan mengikut kaedah yang dilakukan oleh MCA baru-baru ini.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan dalam blognya www.bloktokguru.com supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat‘ pemimpin parti itu yang bermasalah.
 
Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya itu ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Seorang lagi Menteri Besar PAS, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berpendirian bahawa EGM tidak perlu buat masa ini, dan yang perlu diadakan hanyalah mesyuarat Jawatankuasa Pusat. Beliau juga dilaporkan berkata, proses penggantian boleh diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat sahaja seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. 

Malah tidak pernah berlaku dalam sejarah parti PAS sebelum ini, Muktamar Khas diadakan untuk memecat pemimpin parti. Kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala Ketua Dewan Ulamak, Datuk Harun Taib yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu pula berkata parti hanya akan mengadakan EGM untuk meminda perlembagaan parti dan bukan untuk ‘mengubat parti‘ yang dikatakan sedang berdepan masalah.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata soal mengadakan EGM tidak lagi berbangkit, sebaliknya dalam pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu kelmarin, Menteri Besar Kelantan itu mahu beliau mengemukakan satu isu dalam mesyuarat khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Tindakan Mursyidul Am PAS kebelakangan  ini jelas memeningkan ramai pemerhati politik dan juga ahli PAS sendiri bila beliau menganggap Muktamar Khas (EGM) dengan Mesyuarat Khas PAS Pusat itu sama sahaja, ia dapat dijadikan platform untuk menyampaikan hasratnya kepada kepimpinan parti.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam kenyataan lima perenggan dalam blognya, pula berkata mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat akan menilai sama ada wujud keperluan bagi mengadakan EGM atau sebaliknya.

“PAS amat menggalakkan perbincangan dan menghargai setiap pandangan atau kritikan. tetapi pada waktu ini setiap pimpinan diminta membincangkan perkara ini secara dalaman dan tidak menggunakan media termasuk blog dan Facebook yang boleh mendatangkan banyak persepsi negatif serta membuka ruang untuk media luar memutarbelitkan isu ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, berkata masalah dalaman parti perlu diselesaikan di peringkat dalaman, bukannya membincangkannya secara terbuka seperti mengadakan EGM. 

Katanya, perbincangan secara terbuka atau EGM bertentangan dengan prinsip parti, apatah lagi kemelut yang melanda parti bukanlah isu besar yang perlu dihebohkan sehingga boleh menimbulkan kerisauan ahli Pas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu 28hb. Oktober, 2009 akan membincangkan cadangan yang diminta oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa. Nik Aziz akan hadir sebagai Pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan beliau memberi penjelasan kepada ahli mesyuarat berhubung cadangan beliau dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.

19 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan

Sepanjang pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan selama 19 tahun di bawah kepimpinan Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berbagai kejayaan telah dicapai. Kejayaan paling besar adalah tidak ada satu pun kes yang melibatkan wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar yang disiasat kerana rasuah. Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah dalam jawapan Drs Zainudin Awang Hamat (Adun Limbungan) dalam sesi soal jawab dalam sidang Dun Kelantan baru-baru ini.

Kejayaan Nik Aziz bertahan selama 5 penggal (sejak tahun 1990 hingga sekarang) menerajui kerajaan merupakan satu rekod luar biasa bukan sahaja kepada PAS tetapi beliau sendiri berbanding dengan kerajaan PAS sebelum ini (1959-1978) selama 18 tahun sebelum ditumbangkan oleh UMNO/BN secara tidak demokratik.

Rekod dan kepimpinan kerajaan PAS Kelantan wajar menjadi ikutan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri lain dengan sentiasa mengambil berat dan mengutamakan rakyat. Ini merupakan contoh kepimpinan yang berteraskan lunas-lunas Islam yang mengutamakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat

Artikel ini diterbitkan untuk Akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: