Kalam Perantau

Icon

’Mengurus Persepsi – siri 2…nasaruddin Tantawi

’Mengurus Persepsi . vol 2
 
Iktibar dari Sirah

1. Saya setuju betapa sebahagian persepsi mesti diambil kira , terutama apabila dilihat kepada kesan atau implikasi yang mengundang mudharat lebih umum .

2. Nabi kita Muhammad saw pernah menghalang Saidina Umar rha membunuh Abdullah bin Ubai [ sang munafiq ] kerana bimbang timbul satu persepsi bahawa Muhammad membunuh ummatnya sendiri ekoran Abdullah bin Ubai mengaku muslim malah solat di belakang Nabi saw.

3. Nabi saw tidak bertindak biarpun Abdullah bin Ubai layak dibunuh kerana menjadi musuh dalam selimut dan sering melancarkan gerakan sabotaj terhadap perjuangan baginda saw. Ini satu dari bentuk pengurusan persepsi yang telah dipraktis oleh Rasulullah saw untuk mengelak fitnah yang lebih mudharat berbanding membiarkan sang munafiq itu terus hidup .

4. Hidupnya sang munafiq itu satu mudharat besar kepada perjuangan Rasulullah tetapi persepsi yang bakal tercetus bahawa Muhammad membunuhnya ummatnya [ jika Abdullah bin Ubai dibunuh ] adalah fitnah yang bakal merentasi berpuluh generasi bahkan mungkin sampai kiamat persepsi negatif ini akan dimainkan oleh musuh – musuh Islam .

5. Saidina Umar rha juga pernah memarahi sepasang suami isteri yang berdua – duaan ditempat sunyi bimbang timbulnya persepsi negatif [ fitnah ] terhadap mereka sedang fitnah itu adalah suatu yang sungguh dahsyat akibatnya .

 الفتنة أشد من القتل

6. Peristiwa seperti ini menjadi contoh bagaimana sebahagian persepsi wajib diambil kira oleh kita , terutama apabila kesan dari persepsi itu mengundang mudharat yang lebih besar [ dan mungkin kekal ] berbanding mudharat yang terhasil dari perkara atau isu yang sedang dihadapi .

7. Namun dalam keadaan tertentu , persepsi diabaikan begitu sahaja terutama apabila persepsi itu negatif terhadap suatu yang bersifat prinsipal [ yang tiada tolak ansur ] . Sebagai contoh apabila Nabi saw pulang dari Isra’ dan Mikraj , Baginda telah dinasihatkan oleh Ummu Hani [ sepupu baginda saw ] agar tidak menceritakan pengalaman baginda melalui Isra’ dan Mikraj . Ummu Hani bimbang timbul satu persepsi negatif bahawa Muhammad saw adalah gila dan pembohong jika diceritakan kisah luar biasa itu .

8. Namun prinsip Rasulullah saw ialah tabligh [ menyampaikan ] , tidak mungkin Baginda saw menyembunyikan apa yang telah menjadi wahyu Allah untuk disampaikan kepada ummah . Peristiwa sepanjang Isra’ dan Mikraj sebahagian dari wahyu Allah swt untuk mendidik manusia agar taat dan tunduk kepada Allah swt . Nabi saw akhirnya tidak memperdulikan apakah persepsi yang bakal terbentuk dikalangan masyarakat arab pada waktu itu lalu terus bertemu masyarakat dan menceritakan segala – galanya .

9. Ternyata persepsi buruk tercetus malah fitnah melanda ummat Islam pada waktu itu yang mula terpengaruh dengan persepsi yang dibentuk oleh Abu Jahal kononnya Muhammad adalah pembohong dan gila . Ianya bermula apabila Nabi saw menceritakan bahawa baginda naik ke langit dan pulang semula ke Makkah dalam tempoh satu malam . Nabi saw adalah pesuruh Allah dan mustahil nabi bersikap bodoh untuk sengaja menceritakan perkara luar biasa yang pastinya mengundang persepsi buruk masyarakat terhadap baginda saw. Tetapi ini prinsip ! biarpun bakal berdepan dengan persepsi yang negatif , Nabi saw tetap menjalankan tugasnya sebagai seorang rasul iaitu menyampaikan wahyu Allah swt .

10. Mungkin sebahagian ahli politik hari ini tidak akan bertindak sebagaimana tindakan Nabi saw sekalipun ia berkait dengan prinsip kerana bimbangkan persepsi . Persepsi telah menjadi senjata yang paling tajam untuk membunuh . Membunuh sebuah perjuangan . Persepsilah yang melumpuhkan perjuangan Islam diseluruh dunia mutaakhir ini apabila pejuang – pejuangnya dilabelkan Taliban , al Qaedah , KMM , ekstrim , terorrist dan lainnya .

11. Sebagaimana Rasulullah saw yang sangat dipercayai oleh Kaum Quraisy sehingga digelar al Amin , tiba – tiba menerima persepsi yang sangat buruk yang akhirnya baginda digelar tukang sihir , gila dan pemecah belah masyarakat semata – mata kerana baginda saw konsisten menentang jahiliyyah dan memerangi kebathilan .

12. Malah hari pertama baginda membawa ajaran tauhid ini kepada masyarakat quraisy di atas bukit safa , baginda telah di ancam :

يا محمد هذا الأمر تكرهه الملوك و تحاربك العرب و العجم

Wahai Muhammad , apa yang kamu bawa ini adalah suatu yang sangat dibenci oleh para pembesar dan kelak kamu akan diperangi oleh orang – orang Arab dan bukan arab .

13. Biarpun persepsi masyarakat telah berubah terhadap baginda , namun demi prinsip perjuangan Islam ini , Nabi saw terus istiqamah dan thabat [ konsisten ] memacunya sehingga Nabi saw pernah bersabda kepada bapa saudaranya Abu Talib :

يا عمي و الله لو وضعوا الشمس في يميني و القمر في يساري على أن أترك هذا الأمر ما تركته أو أهلك دونه

Wahai bapa saudaraku , Demi Allah jika sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan perjuangan ini , nescaya tidak akan ku tinggalkan [ sehingga Islam ini menang ] atau aku binasa kerananya [ syahid ] .

14. Ertinya Nabi saw tidak pragmatik untuk menukar haluan perjuangan atau memperlahankan rentak perjuangan semata – mata kerana mengambil kira persepsi masyarakat jahiliyyah pada waktu itu . Sebaliknya Nabi saw tegas dan berani mengambil risiko demi membawa misi menyelamatkan aqidah ummah .

15. Demikian persepsi diurus oleh nabi saw apabila berdepan prinsip perjuangan . Bukan sahaja Nabi saw mengabaikan persepsi tersebut tetapi Baginda saw tidak langsung terkesan dengan apa yang orang lain nak kata , apa yang penting ialah dasar dan prinsip perjuangan diteruskan malah digerakkan dengan lebih aktif.

Filed under: News, , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: