Kalam Perantau

Icon

Tanggungjawab membantu Presiden PAS

Oleh Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my   

Seminar Memperkasakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diadakan pada 7 November lepas telah berlalu hampir dua minggu.

Tetapi ramai yang masih tertanya-tanya apakah PAS mampu untuk melakukan perubahan sebagaimana yang diharapkan, selepas dibedah dengan sebegitu rupa oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari dan Dr Abu Hassan Hasbullah.

Sebenarnya bukan senang untuk menghadapi kritikan secara terbuka. Bukan PAS tidak boleh menerima kritikan, tetapi untuk Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengundang orang luar membedah parti yang dipimpinnya, merupakan satu langkah politik yang besar dan belum pernah dilakukan mana-mana parti politik dalam negara.

Tindakan ini diibaratkan seumpama, Ustaz Hadi ‘mengundang orang luar ke dalam rumah untuk memarahi dan menampar mukanya di hadapan anak-anaknya.’

Sepanjang sehari suntuk seminar diadakan wajah Presiden PAS itu penuh dengan ketenangan. Ternyata beliau berlapang dada dan menerima segala kritikan yang dilemparkan dengan penuh keterbukaan.

Keterbukaan Presiden PAS ini seharusnya dijadikan suatu titik tolak yang amat positif oleh semua golongan dalam PAS, sama ada seseorang itu ulama, profesional, AJK PAS Pusat, pimpinan peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Harus disedari bahawa, hakikatnya penganjuran seminar tersebut merupakan suatu perubahan dan keterbukaan PAS yang hebat dikritik sejak akhir-akhir ini, sehingga ada yang mengandaikan, pada waktu ini sokongan terhadap PAS semakin menurun berbanding Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008.

Harus difahami kebanyakan yang mengkritik PAS bukannya musuh PAS. Mereka amat menyayangi PAS. Mereka memberikan pandangan yang praktikal. Pandangan dikemukakan kerana pada mereka, hanya PAS sahaja yang mampu menggantikan Umno dipersada politik negara. Tiada parti lain.

PAS kini diakui sebagai sebuah parti yang besar. PAS mempunyai mempunyai asas disiplin kepimpinan dan ahli yang amat dinamik. Susunan kepimpinan PAS dilihat cukup matang dan mempunyai kredibiliti tersendiri.

PAS tidak lagi dilihat sebagai parti pembangkang sahaja. Sebaliknya PAS sudah diterima sebagai sebuah parti yang mampu mengurus dan mentadbir sesebuah kerajaan dengan baik. Jauh lebih baik daripada Umno.

Oleh kerana meyakini masa depan PAS, maka mereka-mereka yang mengkritik ini sebenarnya, meletakkan harapan yang besar kepada PAS. Mereka mahu melihat PAS, sebagai parti yang memartabatkan dan perlaksanaan Islam dalam negara.

Mereka mahu melihat PAS menjadi juara memperjuangan serta melindungi hak kepentingan orang Melayu dan memelihara kepentingan semua kaum dan agama dalam negara.

Mereka mahu meletakkan kepercayaan kepada PAS, sebagai sebuah parti yang bersih dari gejala rasuah jika diberi amanah menguasai kerajaan.

Segala pengharapan ini mahu disandarkan kepada PAS dan PAS bukannya hanya Ustaz Hadi seorang. PAS adalah milik semua ahli dan pemimpin PAS.

Jika Presiden PAS dipalit dengan persepsi yang menyebabkan PAS lemah, maka menjadi tanggungjawab semua kita untuk membantu memulihkan imej PAS dengan membantu Ustaz Hadi. Untuk itu imej Presiden PAS harus ‘dipolish’ kembali.

Kita tidak akan dapat membantu Ustaz Hadi, jika kita di kalangan pemimpin atau ahli bawahan terus bercakaran sesama sendiri.

Jika Ustaz Hadi dilihat cenderung melihat satu aliran pandangan, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk mengemukakan pandangan alternatif kepada beliau, untuk membuat pertimbangan dan ijtihad yang lebih adil dalam mengemudi bahtera PAS.

Hakikatnya, untuk memulihkan PAS, bukan tanggungjawab dibahu Presiden PAS seorang, ianya adalah tanggungjawab kita semua secara kolektif.

Mujur kita ‘dikejutkan dari tidur sekarang’, kerana dengan kejutan ini, kita mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan sewajarnya, menjelang PRU ke-13 nanti.

Filed under: News, , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: