Kalam Perantau

Icon

Kenangan Hari Raya Korban

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Tahun ini kali kedua saya tidak balik berhariraya dikampung dalam masa hampir 20 tahun bermastautin di rantau orang. Sungguhpun begitu, saya dan beberapa orang rakan perantau sempat menyediakan lembu untuk dikorban sebagai tanda ingatan kami kepada negeri kelahiran.   

Seorang kenalan yang bergelar Datuk, mantan pegawai kanan kerajaan Terengganu yang telah bersara menghubungi saya pada hari khamis sehari sebelum Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban baru-baru ini.

Beliau memberikan beberapa komen terhadap Siasah. Saya hanya mendengar pandangan-pandangannya tentang Siasah dan meminta saya menyampaikannya kepada Ketua Pengarang.  Katanya Siasah semakin nipis dan tidak lagi menyentuh isu-isu politik semasa yang hangat diperbincangkan.

Malah Datuk berkenaan yang saban minggu mengikuti tulisan saya dalam ruangan ‘Kalam Perantau’ juga bertanya kenapa sudah lama yang tidak menyentuh persoalan politik semasa dalam tulisan-tulisan saya?

Korban Perjuangan

Menjelang hariraya korban baru-baru ini, ketenangan kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS kembali bergolak. Bermula dengan isu tajaan pemergian Tok Guru dan keluarganya mengerjakan haji yang pada mulanya disensasikan oleh media massa hingga berjangkit kepada isu kronisme dan nepotisme yang diletupkan sendiri oleh orang dalam kerajaan negeri Kelantan sendiri.

Sepanjang ingatan saya mengikuti perkembangan Kerajaan Kelantan sejak tahun 1990, saya kira peristiwa menjelang hariraya korban baru-baru ini begitu memberikan kesan yang mendalam kepada Tok Guru Nik Aziz.

Kalau cabaran-cabaran sebelum ini seperti sekumpulan ADUN-ADUN Semangat 46 yang berpaling tadah kepada UMNO secara beramai-ramai dan ketika kerajaan Kelantan memerintah dengan majoriti satu kerusi pun Tok Guru Nik Aziz masih mampu mengendalikan kerajaannya dengan berkesan.

Tetapi dalam menghadapi serangan dalaman kali ini, Tok Guru Nik Aziz tidak mempunyai pilihan melainkan beliau terpaksa “korban”kan menantunya, Ir. Arifahmi Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), sayap pelaboran kerajaaan negeri pimpinannya gara-gara serangan bertubi-tubi pihak media dan blogger.

Walaupun saya tidak mengenalinya, saya cukup bersimpati dengan Ir. Arifahmi yang terpaksa akur dengan kehendak mentuanya yang juga Menteri Besar Kelantan demi menyelamat maruah keluarga, parti dan kerajaan negeri Kelantan dari diserang hendap oleh “orang kepercayaan” kerajaan Kelantan sendiri sebelum ini.

Surat terbuka Nik Abduh dan Nik Amalina yang disiarkan dalam berbagai blog menggambarkan suasana keluarga Tok Guru yang sebelum ini aman dan tenteram berkocak sedikit dengan serangan dari dalam yang tidak dijangkakan dari awal.

Malah Tok Guru Nik Aziz sendiri menyatakan bahawa terdapat ‘Kolonel Mat’ yang sememangnya merancang untuk menjatuhkan beliau dari kerusi Menteri Besar Kelantan sejak dari dahulu lagi tetapi tidak Berjaya lagi setakat ini.

Disebabkan Tok Guru Nik Aziz, tidak menyatakan secara berterus terang, siapakah Kolonel Mat tersebut, pihak media dan ahli-ahli PAS termasuk juga UMNO mula mencari siapakah ‘Kolonel Mat’ yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Kelantan tersebut.     

Sementara disatu pihak yang lain mula sibuk membincangkan, siapakah pengganti yang sesuai kepada Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Setakat yang saya baca, yang jelas dan berterus terang tidak berminat untuk dicalonkan ke jawatan Menteri Besar Kelantan adalah Datuk Husam Musa sahaja.

Malah setakat ini, nama yang dicadangkan oleh banyak pihak adalah Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Kalau tidak silap ingatan saya, semasa Tuan Guru Nik Aziz diangkat menjadi Menteri Besar Kelantan, selain dari Pesuruhjaya adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Kedudukan Ahmad Yaakob sekarang ini hampir melayakkannya menjadi pengganti jika berlaku keadaan di luar jangka kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Tetapi perlantikan Menteri Besar Kelantan adalah hak mutlak PAS Pusat setelah namanya dicadangkan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan. Sebab itu, saya kira Tuan Guru Nik Aziz bertindak bijak dengan tidak menamakan calon pilihannya secara terbuka untuk tidak menyusahkan parti jika parti dan istana merasakan ada calon lain yang lebih sesuai dari yang dicadangkannya.

Pengalaman Terengganu baru-baru ini yang menyebabkan Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak dilantik semula menjadi Menteri Besar Terengganu walaupun UMNO menang dalam pilihanraya tersebut seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.   

Malah Penolong Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, dalam konteks negeri Kelantan pihak istana hendaklah dirunding terlebih dahulu sebelum seseorang nama Menteri Besar diumumkan oleh parti yang memenangi pilihanraya.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: