Kalam Perantau

Icon

Mahasiswa perlu tampil lebih tegas tangani Auku

 Oleh Rozan Azen Mat Rasip

DALAM menyoroti permasalahan ketidakseimbangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran dengan kualiti graduan pengajian tinggi tempatan, AUKU dilihat antara punca mengakibatkan mahasiswa terbentuk sebagai sekadar lulusan yang tidak berketrampilan dan kurang kritis.

Belia khususnya mahasiswa perlu laju menterjemahkan idea yang lebih bernas bersifat alternatif terhadap segala persoalan semasa yang berlaku di persekitaran terutamanya dalam negara.

Ini termasuklah peka pada mobilisasi sosial yang semakin lantang, kemuncupan tidak menentu ekonomi, cabaran pembentukan jamak budaya (merujuk rakyat Malaysia yang plural), ketempangan demokrasi politik negara berperlembagaan dan kelajuan media baru yang kuat berdaya saing menyalurkan maklumat.

Ini agar segala teori pembelajaran dan latihan ilmiah sepanjang proses pembelajaran sebagai mahasiswa kampus terutama ilmu sains kemanusiaan dapat diaplikasi dan diadaptasi di ruang kerjaya.

Jika gagal disesuaikan dengan keadaan realiti kelak, semuanya akan ditanggap pesimis sebagai nota bilik kuliah tinggal retorik dan tidak relevan dengan tuntutan terjemahan pembangunan insaniah cabaran dikala perubahan kadar laju era global.

Tekanan Auku
Menyingkap sepintas sejarah AUKU, ianya merupakan buah hasil sebuah laporan jawatankuasa dipengerusikan oleh Dato’ Dr. Haji Abdul Majid Ismail. Dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat selepas Peristiwa 13 Mei 1969, MAGERAN telah menubuhkan beberapa buah jawatankuasa / panel yang antaranya adalah Panel Pelajaran pada 14 Ogos 1969. Di bawah panel ini, MAGERAN melantik sebuah jawatankuasa untuk mengkaji kehidupan pelajar kampus Universiti Malaya. Berdasarkan jawatankuasa inilah kerajaan telah bertindak menggubal AUKU 1971.

Mahasiswa secara ideal perlu tampil agresif dan berani dalam menyuarakan sebarang kemungkaran pentadbiran kuasa eksekutif negara. Adalah hakikat bahawasanya mahasiswa sentiasa dinanti dalam menyumbangkan sudut pandangan berbeza dengan pendirian rasmi pemerintah namun segar dan relevan untuk diuji.

Selepas AUKU digubal, segala kegiatan mahasiswa telah diletakkan di bawah kawalan Bahagian Hal-Ehwal Pelajar yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor. AUKU berperanan antara lain untuk menyelaraskan penubuhan dan pentadbiran universiti. Perlaksanaan AUKU memberi autoriti kepada kerajaan mengawal universiti, sebaliknya mengurangkan autonomi pentadbiran-pelajar.

Pihak universiti menentukan arah perjalanan universiti seperti urusan pentadbiran, perlaksanaan peraturan serta penggubalan dasar universiti termasuklah aktivitisme mahasiswa yang dikawal oleh kerajaan. Segala mekanisme yang dilihat bertentangan dengan interest of the government of the day akan dibatalkan. Ini merupakan pencabulan aspirasi pengajian tinggi tempatan yang meletak sasaran menghasilkan mahasiswa dinamik.

Sejak AUKU dilaksanakan mahasiswa dilihat mengalami ugutan psikologi dan tidak lagi berani cuba bersuara. AUKU menyebabkan mahasiswa tidak berkecenderungan atau jahil dalam hal-hal kepimpinan dan berpersatuan. Soft skills seperti pengurusan efektif, membuat keputusan kritikal, etika perbincangan, bekerjasama dalam latar yang berlainan dan sebagainya gagal berlaku untuk melalui proses tahan uji.

Kegiatan persatuan
Walhal penglibatan mahasiswa dalam kegiatan berpersatuan, harus diterima sebagai suatu bentuk pengkaderan paling ideal dan efektif. Ketika inilah disiplin perancangan, stamina keberanian, kecekapan tindakbalas respon membuat keputusan dan kemahiran lain yang berkait akan berkembang dan digilap. Mereka akan tahan diuji dengan segala bentuk cabaran kompleks dalam mengambil pendirian tersendiri dalam sesuatu isu yang berlaku dari masa ke semasa. Memetik sepertimana yang disebut oleh Dato Dr. Siddiq Fadzil, “kepimpinan yang benar – benar unggul adalah kepimpinan yang telah teruji (tested).”

Perkembangan terbaru AUKU adalah pindaan akta berkenaan (Febuari 2009) terutama Seksyen 15 yang penulis nilai sebagai masih beku dan tetap mengikat kebolehan sebenar mahasiswa. Pindaan masih melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau simpati terbuka kepada mana-mana pihak yang berkait dengan politik. Walhal, segala yang dipaparkan di arena politik semasa melibatkan kepentingan masyarakat yang memerlukan komentar kritis oleh pihak mahasiswa bagi pendewasaan minda.

Impak penggubalan AUKU dilihat nyata kekangan yang secara sahihnya melalui kajian soal-selidik akademia tempatan menyebabkan sejumlah besar mahasiswa lemah dalam memberi bahas mampat, ketinggalan ilmu bantu di luar kursus formal dan maklumat pengetahuan am. Ini mengakibatkan Malaysia melahirkan graduan yang tidak peka isu semasa dan hanya menyandar pada sekeping ijazah demi kerjaya semata-matanya.

Sebaliknya meneliti perbandingan keterbukaan di kalangan pemimpin di Barat, mereka tidak takut kritikan malahan menerima sebagai budaya leadership with accountability. Momentum di Malaysia harus ke arah itu atau setidaknya selari. Ini adalah cabaran bagi kerajaan BN agar membuktikan mereka bersikap terbuka dalam era demokrasi 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. BN perlu tinggalkan amalan escapism seperti sikap sering memberi jawapan perlaksanaan polisi dan penafsiran perundangan mesti mengikut acuan sendiri yang sememangnya tidak dapat diterima lagi. Mahasiswa sering dipandang lemah dan naïf dalam memberikan persepsi tidak berkepentingan kelas kedua.

Cabaran adil
Mahasiswa harus diberikan ruang dan cabaran yang seadilnya. Kebebasan seperti melontarkan idea kreatif dan saranan bebas berkepentingan, pergerakan bersama lingkungan realpolitik tidak dapat dan tidak boleh diketepikan. Demikian juga debat dan dialog terbuka seperti sudut pidato harus disuburkan semula tanpa prejudis terhadap natijah sasaran para mahasiswa. Kebijaksanaan penilaian oleh mereka juga perlu diberi kepercayaan semula. Inilah sebenarnya kewajipan dan fungsi ideal mahasiswa, ahli akademik dan institusi pengajian tinggi yang mestidipulihkan.

Memang benar penilaian hampir 20 tahun lampau oleh tokoh-tokoh akademik seperti Allahyarham Prof. Dr. Rustam A. Sani dan Prof. Dr. P. Ramasamy, AUKU telah berjaya mengekang suasana sihat dan bebas yang dulunya dikecapi mahasiswa. Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap segala taraf prestasi pemikiran dan kualiti graduan yang dihasilkan sejak AUKU wujud. Daya saing sasaran diperlukan agar graduan Malaysia mengalami anjakan paradigma yang kompeten dan marketable kerana faktor kematangan selain ilmu bantu, kemahiran teknikal dan pengalaman sahsiah. Semua ini hanya dapat dicapai jika campurtangan birokrasi seperti AUKU tiada lagi.

Walaupun begitu, satu senario baru yang positif ramai di kalangan pemimpin pelapis muda yang menerajui sesebuah sayap parti politik dan badan bukan kerajaan dijemput sebagai panel dalam rancangan berbentuk forum, bual bicara dan lain-lain semi-akademik. Juga sebagai kolumnis tetap bagi beberapa penerbitan akhbar dan majalah. Tidak terkecuali adalah pimpinan mahasiswa yang tampil menjadi voice of the majority, vox populi pelajar universiti masing-masing. Secara tidak langsung ini merupakan suatu platform efektif menyalurkan gagasan minda serta persepsi kritis terhadap isu semasa atau tema paparan.

Cabaran mahasiswa
Ternyata inilah cabaran para mahasiswa dari masa ke semasa. Halangan-halangan sedia ada seperti AUKU dan lain-lain yang berkaitan sebenarnya melemahkan daya saing dan ketajaman daya analisis. Batu penghalang yang mesti dikaji semula dan digerakkan lebih agresif dan tegas oleh mahasiswa. Jika tidak mahasiswa sejak hampir 40 tahun lampau dilihat sering tewas terhadap ugutan dan tidak diberi kepercayaan. Maka tidak menghairankan apabila rekod prestasi universiti-universiti sering di paras kritikal. Ini ditambah lagi dengan tahap budaya pembacaan dan kesedaran maklumat yang lemah.

Semua ini perlu diberi perhatian yang lebih kerana kemampuan berfikir atau thinking capacity adalah kriteria yang harus ada pada mahasiswa sebagai bakal peneraju terpelajar dikalangan masyarakat. Mahasiswa perlu dilatih sebagai peneraju saf kepimpinan negara lapisan masyarakat Malaysia dengan penuh kebebasan ilmiah dan aktivitisme progresif. Suku abad telah berlalu. Apakah tidak wajar dan tepat masanya AUKU dikaji semula lantas tuntas dimansuhkan?

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: