Kalam Perantau

Icon

Demo: Bukan soal berapa lama, tetapi bagaimana? – Aziz Bari

Demonstrasi oleh para penyokong UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan dan Pulau Pinang minggu lalu saya fikir menarik untuk dibicarakan. Dari sudut perlembagaan ada beberapa sisi yang boleh diperkatakan. Yang pertama ialah soal hak bercakap dan berkumpul secara aman yang dijamin oleh Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Semua warganegara berhak untuk berbuat demikian.

Tetapi dalam konteks negara ini perlembagaan membuat peruntukan yang membolehkan Parlimen membuat undang-undang untuk membatas atau menyekat hak-hak tersebut. Atas asas inilah kita ada peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengawal selia, termasuk tidak membenarkan perhimpunan awam.
Dalam kedua-dua insiden itu pasukan polis dikecam kerana mengambil sikap tidak kisah; yang jelas berbeza dengan garang yang mereka tunjukkan dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat. Kecaman itu, pada saya, wajar dan patut diizinkan dalam negara demokrasi seperti Malaysia. Umumnya saya berpendapat bahawa Perlembagaan dan undang-undang perlu selaras dengan demokrasi dan atas dasar ini saya fikir polis masih belum begitu berjaya meyakinkan rakyat tentang integriti dan keadilan mereka. Bandingkan sahaja cara polis bertindak memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti berucap di Johor beberapa minggu yang lalu.

Sisi lain yang saya hendak sentuh ialah perkara yang hendak ditangani oleh kedua-dua demonstrasi itu. Di Pulau Pinang para penyokong Barisan mendakwa bahawa mereka turun ke jalan kerana Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng gagal melaksanakan janji-janji mereka. Di Kelantan pula para penyokong UMNO itu mahu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.

Dari sudut Perlembagaan demonstrasi bukanlah cara yang betul untuk meminta Lim Guan Eng atau Nik Aziz meletakkan jawatan. Cara yang disediakan oleh Perlembagaan ialah melalui undi tidak percaya di dalam dewan. Dengan kata lain kalau UMNO benar-benar komited dengan Perlembagaan dan mempunyai sokongan yang diperlukan mereka perlu menggunakan cara itu. Menjerit-jerit dan membakar gambar di jalan raya bukan caranya.

Saya fikir polis boleh memaksa penyokong Barisan bersurai kerana dalam Perlembagaan jelas ada cara yang lebih betul untuk melaksanakan kehendak mereka. Sebab itu saya katakan di atas tadi polis gagal melaksanakan tugas mereka. Apalagi setelah mereka menafikan hak Anwar untuk berucap di Johor itu. Apakah di Pulau Pinang dan Kelantan tidak timbul soal kesesakan lalu lintas atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yang mereka jadikan alasan di Johor dan beberapa demonstrasi Pakatan yang lain?

Selain itu saya tidak fikir penyokong Barisan di Pulau Pinang itu mengundi parti-parti Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Jadi apa hak mereka untuk mengatakan bahawa kerajaan pimpinan Lim Guan Eng gagal mengotakan janjinya. Saya fikir yang lebih layak untuk menuntut itu semua ialah mereka yang mengundi Pakatan.
Isu-isu di atas sememangnya komplikated dan sepatutnya diselesaikan oleh mahkamah. Tetapi dalam keadaan yang ada sekarang tidak banyak yang boleh kita harapkan dari hakim-hakim kita. Malah sekitar 15 tahun yang lalu seorang hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hak di bawah Perlembagaan itu boleh disekat oleh apa sahaja undang-undang yang dibuat oleh Parlimen! Hakim ini jelas tidak faham Perlembagaan; khususnya prinsip ketertinggian Perlembagaan dan peranan polis dalam negara demokrasi.

Hak bersuara dan berbeza pendapat ini memang mengelirukan jika kita tidak faham kerangka Perlembagaan. Ini pernah ditimbulkan oleh mereka yang menyokong gelagat Datuk Dr Hassan Ali di Selangor. Saya katakan pada mereka yang Hassan tidak boleh menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) kerana beliau adalah anggota pentadbiran. Ada peruntukan lain yang mengatasi peruntukan umum itu; yakni Perkara 43(3) yang menuntut beliau patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama sebagai anggota Kabinet. Kalau Hassan hendak menggunakan hak di bawah Perkara 10(1) tadi maka perlulah beliau meletakkan jawatan Exconya.

Tentang Nik Aziz pula media UMNO begitu gemar menyebut betapa beliau terlalu lama memegang jawatan. Soalnya apakah tempoh yang baru masuk tahun ke 20 itu lebih lama dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun? Atau Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menduduki kerusi menteri besar di Terengganu sebelum tersungkur dalam Pilihan Raya Umum 1999. Di Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah memegang jawatan Ketua Menteri selama 28 tahun.

Pada faham saya apa yang penting, kalau kita melihat isu ini dari sudut Perlembagaan dan demokrasi ialah cara bagaimana seseorang itu mendapat dan memegang jawatan. Bukan soal berapa lama seseorang itu memegang jawatan berkenaan. Minggu lalu, di Singapura, seorang bekas wartawan membuat dakwaan yang mengejutkan tentang jumlah wang yang lesap dalam tempoh 1981-2003. Sehingga ini orang yang selalunya cukup pantas membuat reaksi itu masih menikus. Kita juga sering mendengar betapa tempoh itu dikaitkan dengan pengembirian begitu banyak institusi awam dan pelanggaran hak asasi di negara ini. Bagi mereka yang prihatin dengan demokrasi tempoh 22 tahun itu dilihat sinonim dengan zaman gelap.

Pada saya itu menunjukkan bahawa apa yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu jawatan itu dimenangi dan bagaimana kuasa yang dikaitkan dengan jawatan itu digunakan. Bukan soal berapa lama. Kita boleh pegang jawatan itu selama yang mungkin asalkan caranya demokratik. Tetapi memanglah bahawa logiknya sukar untuk mengekalkan jawatan kerana cabarannya banyak dan kuat pula. Sebab itu bekas Perdana Menteri Britain Harold Wilson (1964-1970 dan 1974-1976) pernah berkata bahawa seminggu dalam politik sudah cukup lama. Pengucapan itu tentunya perlu dilihat dalam konteks demokrasi mereka yang begitu terbuka, telus dan tidak ada cara untuk membawa lari tiang gol seperti di sini!

Presiden Amerika Syarikat, Frank D Roosevelt memegang jawatan itu selama empat penggal (1933-1945). Tetapi zaman kepresidenannya ditandai oleh sokongan dan pengaruh yang kuat. Beliau berada di situ atas dasar demokrasi yang kalau dibandingkan dengan Malaysia atau negara-negara primitif lain jauh bezanya. Memang selepas beliau Perlembagaan Amerika Syarikat dipinda dan seorang hanya boleh memegang jawatan presiden selema dua penggal berturut-turut. Tetapi itu dilakukan secara terbuka dan demokratik. Dengan kata lain itu adalah kehendak rakyat.
Para penyokong Barisan yang turut ke jalanan itu sepatutnya ingat hakikat itu. Mereka perlu buktikan bahawa Lim Guan Eng dan Nik Aziz sudah kehilangan sokongan. Tetapi ia perlu dilakukan di dalam dewan. Bukan di luar. Ketua Polis Kelantan dan Pulau Pinang pun kena tahu hakikat ini. Undang-undang ini terpakai kepada kedua-dua pihak, Barisan dan Pakatan. S/H

*Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: