Kalam Perantau

Icon

Antara Monsoon Cup dan LIMA

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Tahun ini kejohanan Piala Monsum diadakan pada 2-6hb. Disember, 2009 di Kuala Terengganu. Pertandingan tahunan yang diikiraf diperingkat antarabangsa ini menelan belanja ratusan juta setiap kali diadakan. 

Jika dibandingkan satu lagi program yang diadakan setiap dua tahun sekali, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi atau LIMA yang berakhir pada 5hb. Disember, 2009 telah mencatatkan urusniaga industri pertahanan dan keselamatan yang dianggarkan bernilai RM 9.5 bilion.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa  saya membandingkan Monsoon Cup dengan Lima yang berlainan tujuan dan matlamat ianya diadakan.

Memang saya tahu hakikat ini, tetapi apa salahnya dipertingkatkan taraf Monsoon Cup yang menelan belanja yang besar ini tetapi tidak mendapat sambutan sama ada rakyat tempatan apatah lagi masyarakat antarabangsa kecuali beberapa kerat yang terlibat secara langsung dalam kejohanan tersebut.

Malah dalam satu siasatan yang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa pilihan parlimen yang diketuai oleh Datuk Wan Hashim Wan Teh beberapa tahun sebelum lalu telah mendapati program Monsoon Cup ini membazir tanpa memberikan apa-apa manfaat yang diperolehi oleh rakyat tempatan.

Tanpa menidakkan pelaburan kerajaan dalam usaha membangunkan industri pelancongan di Terengganu dengan menjadikan Monsoon Cup sebagai satu tarikan, rakyat merasakan perbelanjaan ratusan juta tanpa apa-apa pulangan kepada rakyat dan kerajaan merupakan satu pembaziran yang perlu dihentikan segera.

Jika Monsoon Cup ini hendak dikekalkan kerana ada perjanjian jangkapanjang seperti yang disebut oleh Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu sebelum ini satu pembaharuan yang drastik perlu dilakukan.

Mungkin model LIMA yang diadakan setiap dua tahun sekali boleh dilakukan oleh Kerajaan Terengganu disamping berusaha mengadakan pameran industri perkapalan dan Maritim Antarabangsa Terengganu sempena Monsoon Cup yang diadakan bagi menjana pulangan ekonomi setidak-tidaknya kepada industri perkapalan yang berpangkalan di Pulau Duyong dan sekitarnya.

Saya yakin jika program ini berjaya diusahakan oleh Kerajaan Terengganu, setidak-tidaknya manfaat akan diperolehi oleh usahawan-usahawan tempatan dalam industri perkapalan yang berpangkalan di sini seperti MSET, Kay Marine dan lain-lain mempunyai peluang berjaya meraih kontrak-kontrak pembuatan kapal dari negara-negara maju.

Selain pertandingan Monsoon Cup yang sudah jemu kepada rakyat Terengganu, pameran perkapalan dan industri Maritim Antarabangsa Terengganu menjadi satu tarikan baru kepada rakyat Malaysia dan syarikat-syarikat antrabangsa untuk melihat pameran kapal-kapal dan perahu-perahu layar yang dipamerkan dari seluruh dunia disamping yang dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan. 

Bandaraya Persisiran Air yang tiada halatuju?

Ketika saya berjumpa dengan beberapa orang kenalan ketika bercuti di Terengganu baru-baru ini, ramai kenalan-kenalan yang saya temui sekadar bersembang-sembang kosong bagi mengisi masa terluang.

Rakyat Terengganu yang sebelum ini cuba memberikan peluang dan harapan kepada Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu telah menyampaikan rungutan secara terbuka.

Rata-rata pegawai kerajaan yang saya temui menyatakan Menteri Besar Terengganu sekarang ini dua kali lima sahaja dengan yang sebelum ini.

Malah ada diantara mereka mula memperkatakan, pemerintahan di zaman kerajaan PAS adalah lebih baik walaupun terdapat beberapa masalah tertentu dan kekangan kewangan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang dirancangkan kerana royalti telah dirampas dari kantung kewangan negari.

Seorang pegawai kerajaan negeri pun mencelah, sekarang ni pun tak ada bezanya. Duit royalti masih dinafikan dari perbendaharaan negeri Terengganu. Jadi apa bezanya sama ada UMNO atau PAS yang memerintah negeri Terengganu, katanya.

Disebabkan keadaan ini, Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air tiada bezanya ketika PAS memerintah Terengganu beberapa tahun dahulu. Ia dibangunkan tanpa halatuju yang jelas, sampuk seorang rakan saya yang lain ketika kami minum petang di Syahbandar.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

Filed under: News, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: