Kalam Perantau

Icon

Kerajaan Tidak bercadang membeli balik syarikat konsesi Tol?

Soalan Dewan Negara: Pembelian Balik Syarikat Konsessi Tol
Jawapan Lisan Dewan Negara YBM Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim pada 9 Disember 2009

Soalan:
YBM Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan akan membeli balik syarikat-syarikat konsesi tol dan menurun dan mengekal kadar tol sebanyak 20% yang mana cara sedemikian lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Jawapan:
Tuan Yang Dipertua,
Kerajaan ketika ini telah hampir memuktamadkan kajian bagi meneliti kaedah penyelesaian terbaik kepada isu-isu lebuhraya bertol termasuk mengkaji kadar dan kekerapan kenaikan tol serta langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kadar tol tidak membebankan pengguna lebuhraya bertol dalam situasi ekonomi semasa.

Kajian yang dilaksanakan ini adalah merupakan suatu kajian terperinci yang mencakupi aspek dan sudut seperti impak ke atas ekonomi, pembangunan negara, social dan iklim pelaburan. Kajian ini meneliti langkah-langkah yang boleh diambil dengan melihat impaknya kepada pembangunan nasional di sepanjang koridor lebuhraya, pertumbuhan ekonomi dan penyelesaian kepada kekangan infrastruktur yang dihadapi. Selain daripada itu, kajian ini juga perlu menilai tahap pendedahan kewangan kepada Kerajaan dengan izin (exposure) sama ada melalui pengambilalihan atau penstrukturan semula yang akan melibatkan implikasi undang-undang (berkait dengan perjanjian konsesi).

Berdasarkan penemuan kajian yang boleh dirumuskan setakat ini, pengambilalihan konsesi lebuhraya bukanlah penyelesaian terbaik yang boleh diambil oleh Kerajaan bagi mengangani isu-isu yang dibangkitkan terutamanya mengenai tol. Dari sudut kos, pengambilan konsesi lebuhraya akan melibatkan kos kehadapan (upfront) sebanyak RM45.2 bilion tidak termasuk tanggungan kos lain seperti kos operasi, kos kewangan dan kos modal masa hadapan yang dijangka menelan belanja tambahan sekurang-kurangnya RM186.4 bilion pada nilai nominal. Kos pengambilalihan yang tinggi ini akan menggunakan wang rakyat selaku pembayar cukai sedangkan manfaatnya akan hanya dinikmati oleh sebahagian kecil wang rakyat Malaysia iaitu 34 peratus daripada jumlah pemandu berlesen (mewakili hanya 13.8 peratus daripada jumlah penduduk negara). Secara perbandingan, kos kehadapan sebanyak RM45.2 bilion bagi pengambilalihan lebuhraya adalah bersamaan dengan jumlah peruntukan dalam Bajet 2009 bagi menyediakan:

  • 300,000 unit rumah kos rendah tiga bilik di kawasan luar Bandar (RM10 bilion);
  • Pembinaan Jalan Persekutuan sepanjang 266km dan jalan Luar Bandar sepanjang 230 km di Sabah dan Sarawak (RM6.3 bilion); dan
  • Peningkatan kemudahan perkhidmatan kesihatan termasuk pembinaan hospital klinik dan kuarters kesihatan (RM13.7 bilion);
  • Penambahan laluan sepanjang 15km bagi laluan LRT Laluan Ampang dan Kelana Jaya dan laluan baru LRT sepanjang 42km bagi laluan Kota Damansara-Cheras/Kajang (RM13.6 bilion); dan
  • Pembinaan 26 buah sekolah rendah dan 41 buah sekolah menengah (RM1.6 bilion).

Namun demikian, perkiraan yang lebih utama adalah kesan pengambilalihan lebuhraya yang dibimbangi akan menjejaskan kestabilan iklim pelauran negara dan memberi isyarat yang tidak memberangsangkan kepada pihak pelabur yang selama ini menjadi penjana serta penggerak ekonomi negara.

Berdasarkan pertimbangan tersebut, Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk mengambilalih konsesi tol seperti yang dicadangkan. Sebaliknya, cadangan penyelesaian yang lebih praktikal dan pragmatic sedang dikaji dan akan diputuskan oleh Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

Filed under: News, , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: