Kalam Perantau

Icon

Anak Nik Aziz: Jangan melatah, saya tak serang

Anak Nik Aziz: Jangan melatah, saya tak serang

PETALING JAYA, Dis 24 — Anak perempuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta tiada mana-mana pihak khususnya pemimpin PAS sendiri menganggap beliau “membuka pekung” atau membuat kenyataan “menyerang” apabila mempertahankan pendiriannya secara terbuka menerusi tulisan blog.

Nik Amalina, anak perempuan keempat Nik Aziz berkata, beliau sama sekali tidak pernah terfikir untuk menjadi terkenal dengan menulis menerusi media baru blog.

“Saya yang dikatakan membuka pekung parti agak menerima asakan terbuka daripada pelbagai pihak.

“Sejauh mana sebenarnya saya membuka pekung parti? Itulah yang saya cuba nilaikan. Berpadanankah dengan asakan yang saya terima?” kata anak kesembilan daripada 10 adik-beradik ini.

Nik Amalina merupakan anak kedua Nik Aziz mempertahankan Menteri Besar itu dalam siri kontroversi yang menimpanya menerusi tulisan blog.

Isnin lalu, ketua penerangan PAS Idris Ahmad menggesa Nik Amalina tidak seharusnya “membuka pekung di dada” dengan mendedahkan isu-isu melibatkan kepentingan parti di blog peribadi anak menteri besar itu.

“Banyak perkara yang melibatkan hal dalaman tidak bolehlah diceritakan kepada semua orang sebab akan jadi seperti membuka pekung di dada,” kata Idris.

Menurut Idris tindakan Nik Amalina mempertahankan suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang didesak melepaskan jawatan di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), melalui blog “tidak sepatutnya dilakukan” kerana ia berkait dengan soal pentadbiran kerajaan negeri.

Isteri kepada Abdul Ariffahmi itu juga bertanya adakah ia adil bagi diri beliau.

“Apa pula pendirian pimpinan terhadap fitnah yang tersebar meluas? Kiranya saya, ia lebih besar aibnya kepada jamaah Islam, terutamanya kerajaan PAS Kelantan.

“Saya menulis bukan sekadar kerana saya tahu menulis. Tetapi ombak kecil kadang-kadang perlu juga untuk membawa kesedaran,” katanya.

Nik Amalina memulakan tulisan blognya awal bulan ini.

Tulisan pertama mempertahankan suaminya yang kini masih di tengah kontroversi, menyiarkan tulisannya dalam blog Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

“Asasnya, saya hanyalah mahu memberikan sedikit perjernihan ke atas isu suami saya dan tentunya keluarga saya.
“Tidak kelihatan sebarang petunjuk daripada pimpinan yang mahukan suasana itu menjadi kendur pada waktu itu, malah sehingga kini pun fitnah itu masih liar menjalar. Inilah sepatutnya diberi perhatian. Bukannya sebaris ayat dalam artikel saya,” katanya.

Nik Amalina menambah, ”tiada niat untuk saya menyerang.”

“Tapi ada benarnya jika saya mengambil sedikit rasa di jiwa ini untuk menerangkan,” kata beliau sambil menambah, jangan diulangi pendirian yang sama andai di lain masa ada pula fitnah baru tercipta.

“Ada benar sepatutnya mana-mana empunya diri yang terfitnah itu dipanggil untuk membela diri, bukan hanya mendapat maklumat yang kiranya ia masih lagi boleh dipertikaikan.

“Jangan pula dibiar bebas si penyebar fitnah, berbuatlah sesuatu agar fitnah itu tidak terus menjadi bebanan kepada jemaah Islam,” katanya.

Katanya pandangan bahawa apa yang mereka lalui hanya urusan keluarga dan biar Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan sendiri yang menyelesaikan adalah kenyataan tidak bijak.

“Ini urusan kerajaan, YB. GLC adalah Kerajaan, dan Tok Guru juga adalah Kerajaan.

“Jika ia urusan keluarga, sepatutnya bila saya ‘bangun’, jangan pula ada yang melatah. Kalau ada yang melatah, boleh kiranya saya berkata, semuanya mahukan publisiti murahan, sebagaimana yang saya dapat!

“Waktu sepatutnya buka mulut, semuanya bisu. Waktu sepatutnya bisu, apa yang anda semua telah buat? Jangan hanya pandai bercakap sepatutnya begitu, sepatutnya begini, tapi bertindaklah,” katanya.

Beliau juga memberi nasihat kurangkan bercakap dan banyakkan bertindak.

“Guna pakai semua mekanisme yang terbaik untuk buat yang lebih baik kepada parti.

“Jagalah kerajaan PAS Kelantan yang ada hari ini sebaiknya. Sayangilah sepenuh hati. Jangan melihat sebelah mata bahawa saya hanya mempertahankan suami, tapi bukalah mata seluasnya, politik itu licik, hanya yang bijak mampu merubah segalanya,” katanya

Filed under: News, , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: