Kalam Perantau

Icon

Khalid Samad digantung, Hasan Ali hanya amaran

KUALA LUMPUR, Jan 29 — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad digantung daripada jawatannya manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pula diberikan amaran sahaja.
 
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,  Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib berkata Hasan juga diberikan amaran daripada membuat sebarang kenyataan berkatan Pakatan Rakyat ketika
mengumumkan keputusan jawatankuasa tatatertib..
 
Selain itu Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dilarang daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan dengan parti.
 
Khalid yang merupakan anggota Lajnah Politik PAS tidak hjadir kerana berada di luar negara .

Filed under: News, , , , , ,

WAN NIK WAN YUSSOF: Sokong Royalti Tolak Ehsan

Oleh Wan Nik Wan Yussof

Sepanjang minggu lepas, Negeri Kelantan tetap sarat dengan perkembangan isu semasa. Antara isu semasa yang berhawa panas dan mendapat liputan meluas media ialah tuntutan royalti  minyak lawan bayaran wang ehsan, hubungan antara agama dan pendakwaan SPRM ke atas salah seorang bekas pegawai kanan Kerajaan Negeri. (Gambar Tok Guru Nik Aziz memimpin solat hajat Isu royalti Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV)

Walau bagaimananpun, dari segi perbincangan umum dan terbuka nampaknya isu royalti minyak masih mendapat ranking tertinggi. Ia berikutan isu itu disentuh dan diulas oleh dua pemain utama – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

Namun, permulaan sentuhan yang mula memanaskan hawa adalah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menafikan hak Kerajaan Negeri di dalam pemberian wang ehsan mahupun royalti minyak. Penafian itu turut menyentuh soal integriti pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan apabila melahirkan kebimbangan wang itu tidak sampai kepada rakyat.

Begitu juga, penafian hak royali itu turut dinyatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Atas sikap itu, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menganggap Mustapa  sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu royalti minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Idris itu mungkin berasaskan kenyataan Mustapa yang menganggap tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang beroperasi sejak 1984 sebagai tidak berasas. Di samping, sebelumnya beliau juga menafikan hak Kerajaan Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan-kawasan bertindih atau dikenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia–Thailand.

Berikutan itu, pihak media telah mendapatkan reaksi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa lawatan di Kolej YIK Kok Lanas. Menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, kenyataan dari pemimpin UMNO (merujuk kepada Dr Awang Adek ) adalah membayangkan Kerajaan Negeri Kelantan tidak pandai mentadbir dan dijadikan alasan untuk tidak menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Negeri. 

Hakikatnya, menurut Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa pemimpin yang mentadbir negeri hari ini adalah yang diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun lalu terbukti lebih ‘pandai’ mengurus harta rakyat berbanding Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kelantan jauh berwibawa berbanding pimpinan mereka (BN) yang terbukti telah mengamalkan dasar rasuah, berbanding pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang sentiasa bersikap telus. 

Tuan Guru mengemukakan contoh; beberapa bangunan yang dibuat oleh kerajaan BN khususnya di Terengganu (merujuk kepada stadium) dan Perak (jambatan gantung Kuala Dipang) didapati runtuh.

Jambatan, masjid dan sebagainya terjadi sampai runtuh adalah akibat tidak pandai mengurus di samping boleh jadi berlakunya amalan rasuah.

Contoh khusus, seperti mana perbelanjaan projek sebuah jambatan dibina oleh pihak BN di Kampung Beris Jambu yang panjang ‘sejengkal’ bernilai RM12 juta melebihi harga sepatutnya.

Jika dibandingkan dengan harga jambatan yang dibina oleh Kerajaan PAS di Kelantan di Panchor berdekatan rumah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar, labih pajang dan jauh lebih rendah hanya RM9 juta sahaja.

Sehubungan itu, realiti fakta pentadbiran pincang kerajaan BN dapat dipamerkan dengan beberapa contoh lagi; betapa kes dihadapi kerajaan Kelantan sekarang berhubung dengan keputusan mahkamah dalam kes tuntutan Timbermine berjumlah RM800 juta juga adalah warisan pentadbiran pincang kerajaan BN ketika itu yang tidak pandai mengurus krisis, menyebabkan Negeri Kelantan menanggung beban. 

Demikian pula jika diimbau kepada permulaan Kepimpinan Ulamak menerajui pentadbrian negeri pada 1990 dulu, banyak beban tertanggung akibat tidak pandai mengurustadbir atau governance yang lemah kerajaan BN sebelumnya.

Antaranya beban hutang dengan kerajaan Pusat mencecah RM760 juta, kemudahan asas yang terabai, ketirisan dalam amalan tender balak, kegagalan pelaburan pembangunan tanah di Lojing dan masalah penerokaan haram tanah dan pembalakan haram secara meluas. 

Dalam konteks Kelantan, demikianlah rekod prestasi pentadbiran kerajaan BN. Jika dibuat penelitian kepada rekod pentadbiran BN di negeri-negeri lain pula, boleh jadi lebih banyak kepincangan yang boleh dipaparkan.

Misalnya, di Pahang sahaja berlaku beberapa pendedahan berhubung salah urus sumber alam hutan dan tanah tinggi. Antaranya, pendedahan aktiviti pembalakan haram di sekitar Rompin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pernah merekodkan lebih 200 kesalahan perhutanan dalam satu tahun, pernah berlaku saman pihak pembalak kepada kerajaan negeri, dan pencemaran serta penggondolan di Cameron Highland. Belum lagi dinilai dari segi keberkesanan pembangunan pelbagai agensi pelaksana.

Apapun penilaian dan persepsi yang cuba dibina di sebalik perkembangan isu di Kelantan, pihak pemimpin BN dilihat mengutamakan motif politik. Oleh itu, setiap tindakannya adalah cuba untuk memenangi hati rakyat dengan apa cara sekalipun.

Maka, dalam kes royalti lawan ehsan, rakyat dijadikan alasan untuk tidak melayani tuntutan Negeri Kelantan. Namun, pihak BN di Kelantan sekarang ini dilihat terdesak untuk menegakkan fakta yang songsang sehingga terpaksa menyeleweng maksud perjanjian antara Petronas dengan Negeri Kelantan yang membenarkan Kerajaan Negeri dibayar wang tunai sejumlah lima peratus daripada hasil minyak. 

Rakyat Kelantan sudah cekap membaca nilai wang ehsan yang akan diterima rakyat jika pihak pemimpin BN menguruskan perbelanjaan. Sudah ramai mula bercakap, ”jika wang ehsan diberi kepada JPP, hakikatnya orang Umno yang akan dapat”.

Malah ada pula yang menterjemahkan, ”di sebalik projek akan berlaku agihan wang politik”. Misalnya, peruntukan kepada seorang ahli parlimen BN berjumlah RM1 juta, maka boleh difahami hanya RM500 ribu yang sampai kepada rakyat, RM500 ribu lagi adalah terlekat dalam poket pemimpin Umno.

Walaupun pemimpin Umno menafikan, tetapi itulah persepsi awam dan gambar yang terpampang di mata rakyat. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, ”Umno bertuhankan wang, maka matlamatnya adalah wang.” Mungkin rakyat Kelantan cukup memahami firasat tersirat daripada ungkapan itu. 

Justeru itu, secara simboliknya perhimpunan solat hajat (28 Januari) menghimpunkan puluhan ribu rakyat adalah jawapan secara objektif hakikat sokongan rakyat yang menolak tindakan mempolitikkan wang hasil minyak. Dan hasrat rakyat mahukan royalti bukannya ehsan.

Maka, tindakan dan usaha serta perjuangan kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedang bergerak dilandasan yang betul. Sebaliknya pula, gerakan politik songsang Datuk Seri Mustapa sudah tergelincir daripada kehendak dan aspirasi rakyat.  

Wan Nik Wan Yussof adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Filed under: Recommended, , , , , , , ,

Ku Li: Kelantan berhak dapat royalti minyak

Oleh M Faqih   

KOTA BHARU, 28 Jan: Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam. Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li. Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Orang ramai juga dihidangkan dengan tayang klip video oleh Gegar pada sesi pertama anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan. Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Filed under: News, , , , , , ,

Berakhirnya satu episod…Ariffahmi serah tugas CEO PMBK

KalamPerantau: mengucapkan takziah kepada Ir Arifahmi kerana terpaksa meninggalkan PMBK dalam suasana kontroversi yang dicipta sedemikian rupa dan mengucapkan selamat bertugas kepada Ir Mustafa.
 

Oleh Mohd Nor Yahya   

KOTA BHARU, 28 Jan: Isu membabitkan Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akhirnya berpenghujung apabila kedudukannya di agensi itu berakhir 31 Januari ini. Petang tadi, berlangsung majlis perpisahan dan serah tugas yang disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tempat Ariffahmi diganti bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Ir Mustafa Salleh.Sebelum ini, menantu menteri besar itu menghantar notis meletak jawatan yang akan berakhir pada 23 Mac hadapan.   Bagaimanapun, ia dipercepatkan lagi bagi membolehkan pengurusan baru mengambil alih tanggungjawab.

Isu membabitkan Ariffahmi timbul ekoran wujud dakwaan berlaku penyelewengan sehingga Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malayasia (SPRM) membuka fail siasatan. Kesnya tersebar kepada umum ekoran sebuah blog milik bekas pegawai PMBK yang mendedahkan pelbagai isu membabitkan Ariffahmi.

Ketika ditemui beliau memberitahu telah menerajui agensi korporat milik kerajaan negeri itu sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selama lima tahun dua bulan. “Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan parti kerana memberi peluang kepada saya berada di PMBK selama ini. “Saya juga berharap Ketua Pegawai Eksekutif baru dapat meneruskan segala agenda yang telah dijalankan dan menambah baik apa yang ada sekarang,” katanya.

Pada majlis itu anak-anak syarikat PMBK menyampaikan cenderahati kepada Ariffahmi sebagai tanda ingatan.
Hadir sama Pegawai Kewangan negeri, Faudzi Che Mamat, Pegawai Sulit Khas Menteri Besar, Rosdi Abdullah dan pegurus-pengurus anak syarikat di bawah PMBK.

Ir Mustafa pula melahirkan iltizam akan meneruskan usaha yang telah dilakukan Ariffahmi sebelum ini bagi meneruskan kecemerlangan agensi tersebut. “Saya berharap mendapat kerjasama semua agensi kerajaan dan syarikat-syarikat anak bagi melancarkan lagi pentadbiran PMBK. “Terima kasih juga kepada pimpinan kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepada saya menerajui syarikat besar seperti PMBK,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul ketika berucap ringkas pada majlis tersebut turut melahirkan rasa sedih dan menghargai sumbangan Ariffahmi sepanjang berkhidmat di PMBK.

Filed under: News, , , , ,

Tahniah! Nik Aziz jadi hos 200 pemimpin agama makan tengahari

Harakahdaily   

KOTA BHARU, 28 Jan: Malaysia hari ini mencatat sejarah penting apabila pemimpin lima agama utama negara, Islam, Kristian, Buddha, Sikh dan Hindu bertemu dan makan tengahari bersama. Mereka bertemu di sebuah hotel di Kota Bharu atas inisiatif Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Majlis ini pada asalnya adalah kunjungan hormat dari para paderi Kristian kepada Menteri Besar Kelantan sempena persidangan paderi gereja se Malaysia di Kota Bharu.

Pertemuan muhibbah ini berlangsung ketika negara sedang diadu domba oleh pihak-pihak yang tidak bertangungjawab ekoran permohonan majalah Herald, sebuah majalah Katholik, yang mahu menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Melayunya bagi menggantikan perkataan ‘God’ dalam Bahasa Inggeris.

Ekoran isu ini, 11 buah gereja telah diserang termasuk dibakar. Dua hari lepas, kepala babi hutan pula diletak di dalam dua buah masjid di Petaling Jaya, Selangor.

PAS telah mengambil sikap ‘Islam tidak menghalang Kristian menggunakan nama Allah tetapi jangan sampai ia bertujuan untuk mengelirukan orang Islam’.

Namun begitu, Umno berpendirian menentang Kristian menggunakan nama Allah dan Menteri Dalam Negeri sendiri pernah berkata, pihaknya tidak boleh menyekat orang ramai untuk berdemo di masjid ekoran keputusan mahkamah menerima permohonan majalah Herald itu.

Hari ini, Jakim dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara mengadakan sessi khas di Putrajaya untuk menerangkan pendirian penggunaan nama Allah oleh Kristian ini.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali semalam mendakwa, beliau mempunyai maklumat, pihak yang telah ditangkap polis kerana disyaki terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Melawati adalah anggota Pemuda Umno.

Berdasarkan kepada kes kepala babi di dua buah masjid di Petaling Jaya pula, pakar berpendapat ia kerja orang Melayu kerana kepala babi itu adalah babi hutan dan ia diletakkan dalam plastik.

Berdasarkan latar belakang inilah, kira-kira 200 pemimpin lima agama terbesar di Malaysia berhimpun di Kota Bharu dalam masjlis makan tengahari yang dihoskan oleh Tuan Guru Nik Aziz ini.

Sebelum ini, dalam wawancara dengan Harakahdaily, Nik Aziz berharap, selepas pertemuan ini, “Saya harap akan bertambah ketenangan, keselesaan hidup masyarakat di negeri ini.”

Filed under: News, , , , , , , , , ,

PROJEK BAZAR PMBK BUKAN RUGI TAPI UNTUNG

Terpampang di akhbar minggu lepas hujah maklumat yang mengatakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menanggung rugi di sebalik projek Bazar Tok Guru. Maklumat itu dikatakan berasaskan laporan dipetik daripada blog, Jumlah rugi dikatakan mencecah RM50 juta. Ia ditohmahkan sebagai kesilapan Kerajaan Negeri yang terpaksa membayar RM23 juta kepada pemaju bagi mendapatkan lot-lot kedai di tingkat bawah bazaar tersebut.

Kepada yang membaca berita itu, sudah pasti akan menerima berita kerugian ditanggung Kerajaan Negeri itu sebagai benar. Namun, kepada pembaca yang bersikap analitikal, belum tentu mengiyakan berita itu. Pembaca analitik akan memproses berita itu kepada beberapa segmen persoalan yang mampu menilai berita tersebut:

  1. Pokok persoalan – betulkah rugi?
  2. Pokok jawapan – sebab-sebab rugi?
  3. Pokok analitik – menilai asas dakwaan rugi kerana membayar RM23 juta.
  4. Mengkaji hubungan dakwaan rugi dengan realiti projek.
  5. Poin realiti dakwaan rugi ialah setiap projek ada persetujuan dan perjanjian.
  6. Persoalannya, adakah perjanjian yang berpihak kepada pemaju atau PMBK?
  7. Siapa pula yang mendedahkan butiran fakta yang merumuskan kerugian PMBK? dan
  8. Apa hubungan pihak pendedah maklumat dengan PMBK atau individu-individu tertentu?

Simulasi daripada analitikal tersebut, poin realitinya ialah:

  1. Tanah seluas enam ekar diserah kepada pemaju, jika dinilai mungkin berharga RM6 juta sebelum projek atau selepas projek bernilai sampai RM15 juta.
  2. Bangunan yang dibina dan diserah kepada PMBK dua tingkat mungkin berharga RM40 juta.
  3. PMBK membeli paras bawah bangunan bazaar berharga RM23 juta, demi membuktikan kesediaan kerajaan Negeri untuk memberi faedah kepada pekedai yang berpindah daripada Arkeb Uda dan Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru.
  4. PMBK berhajat menjual setiap unit dengan harga pasaran (semuanya 382 unit), dan
  5. PMBK dijangka akan mendapat balik kira-kira RM23 juta.
  6. Maka, keseluruhannya PMBK membayar kepada pemaju RM23 juta campur harga tanah RM6 juta/RM15 juta, maka jumlah perbelanjaan kira-kira RM29 juta/RM38 juta.
  7. Berpandukan transaksi dan perniagaan atas projek itu, PMBK dijangka mendapat pulangan melalui aktiviti jualan di paras bawah sebanyak RM23 juta, dicampur dengan nilai bangunan yang diserah oleh pemaju di paras satu dan paras dua berharga kira-kira RM40 juta, maka jumlah kemasukan kira-kira RM63 juta.

Oleh itu, pengiraan mudah itu membuktikan PMBK layak memperolehi keuntungan kira-kira RM25 juta atau RM34 juta (RM63 tolak RM29 juta/RM38 juta). Habis, di mana asasnya dakwaan PMBK rugi RM50 juta. Justeru itu, dakwaan PMBK rugi adalah fitnah semata-mata.

WAN NIK YUSUF
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan

Filed under: News, , , , , ,

CAH KETING ATAU DOA SELAMAT

Satu persepsi yang amat negatif apabila akhbar Mingguan Malaysia (17 Januari) memutar aspek yang dilihat tersirat mengenai doa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan ketika berkuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu. Paling kontra, apabila perkataan cah keting yang dijadikan tajuk muka depan kononnya diterjemahkan daripada doa dibacakan Tuan Guru Dato’ Menteri Besar. Tiba-tiba perkataan itu dijadikan asas untuk mempertimbangkan bahawa wujudnya perangai (fe’el) cah keting di dalam PAS, parti pemerintah di Kelantan.

Pihak pembaca sepatutnya bersikap analitikal sebelum mempercayai dakwaan akhbar itu, kerana pertama ia disiar bukan bersandarkan kenyataan lisan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz, sebaliknya ia adalah ulasan dan fahaman yang dicetuskan oleh pihak media itu sendiri.

Keduanya pula, sandaran perkataan cah keting itu tidak lafaz dengan jelas di dalam doa, sebaliknya ia diulas atas anggapan doa dibaca ialah untuk menghindari (supaya tidak berlaku) perbuatan cantas-mencantas. Maka, doa adalah senjata mukmin untuk mendapat perlindungan Allah agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bukan bermakna berdoa itu atas perkara yang sudah berlaku. Logik ini tidak dipakai di dalam pemberitaan surat khabar tersebut.

Sedangkan natijah cah keting, jatuh-menjatuh adalah permainan yang biasa berlaku di dalam UMNO atau BN. Maka, media proBN telah bersikap memutar isu dalaman PAS dan mengalih fakta penyakit dalaman UMNO/BN. Sedangkan di dalam UMNO sendiri bukan sekadar cah keting, malah pernah berlaku political assassination yang melibatkan wakil rakyat, misalnya pernah berlaku di Pahang dan Negeri Sembilan wakil rakyat dibunuh demi survival tokoh politik tertentu.

Paling malang lagi, era kepimpinan “Pak Lah’ selaku Perdana Menteri telah berlaku pelan peralihan kuasa yang disetujui selama dua tahun, tetapi telah dicantas dan didesak sehingga terpaksa mengundur awal.

Mungkin pengalaman UMNO/BN begitu, maka peranan media berkenaan telah cuba dipakai ke dalam PAS dan ruang yang ada adalah mengambil peluang atas doa Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan. Sesungguhnya ia sesuatu yang tidak adil dan bersifat mengkhianati dunia pemeritaan bila mana unsur fitnah dan provokasi mengatasi kebenaran telah dijadikan teknik pemberitaan untuk melariskan jualan akhbar berkenaan.

Semuga Tuhan Yang Esa menunjuki cahaya keimanan dan membuka pemikiran rakyat negara ini agar menolak hujah pemfitnah yang merosak keharmonian Negara.

WAN NIK YUSUF
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan

Filed under: News, , , , ,

Kelantan Yang Unik…Part 2

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Rencana Kelantan Yang Unik …dalam blog https://kalamperantau.wordpress.com dikunjungi cukup ramai dan ramai pembaca setia Siasah memberikan feedback yang baik bila sekali lagi saya berkunjung ke Kota Bharu pada minggu lepas. Dalam bulan Januari ni sahaja sudah dua kali saya berkunjung ke Kelantan.

Malah saya juga diundang untuk menyaksikan Pidato Khas Royalti Petroleum pada 28hb. Januari, 2010 oleh Pengasas Petronas dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen (UMNO) Gua Musang bersama dengan Tun Salleh Abas bersama dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tun Salleh dan Ku Li adalah dua orang yang terlibat secara langsung dalam perjanjian petroleum.  Ironinya, saya kira ini kali pertama Ku Li, nama timbangan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tuan Guru Nik Aziz sekali lagi duduk sepentas setelah kira-kira 15 tahun tidak ‘bersama dalam perjuangan’.

Lebih menarik lagi, dua hari sebelum itu (pada 26hb. Januari, 2010), Datuk Mustafa Mohamad dan Awang Adek, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan yang tidak terlibat secara langsung dalam aspek petroelum juga memberikan ceramah khas berkenaan royalty petroleum bersama datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Bebas (tiket PAS) Pasir MAS.

Di sini uniknya politik Kelantan. Walaupun berbeda parti dan fahaman politik tetapi mereka masih boleh duduk sepentas dalam memperjuangkan isu-isu tertentu. Berbagai lagi propaganda dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.  Alih-alih keluar kempen baru dengan slogan UMNO Juara Rakyat. Rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya mestilah  sedar hakikat bahawa UMNO bukanlah Juara Rakyat sebenar-benarnya.

Sebelum lebih jauh rakyat diperdaya dengan slogan yang muluk-muluk seperti ini, rakyat mestilah kembali berkuasa seperti dalam pilihanraya umum ke-12 yang lepas. Ada baiknya rakyat tanpa mengira kedudukan, agama dan warna kulit bangkit memimpin kuasa rakyat dengan melancarkan kempen RAKYAT JUARA, PAKATAN PELAKSANA.

Kita bukan mahukan UMNO JUARA RAKYAT yang menyebabkan pemimpin UMNO senang tetapi rakyat susah menderita. Kita mahukan supaya rakyat yang menjadi juara, kehidupan mereka yang senang, bukannya pemimpin politik.

Saya diberitahu, sebenarnya negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lepas, kehidupan rakyat mula berubah menjadi lebih baik kerana keegoaan pemimpin-pemimpin UMNO telah menurun.

Mereka mula sedar bahawa rakyat semakin cerdik dan bijak berpolitik. Sebelum ini mereka hanya diberitahu bahawa tanpa UMNO, rakyat akan hidup menderita. Tetapi bila perubahan berlaku dinegeri-negeri maju, baru rakyat sedar bahawa mereka terpedaya dalam sebuah cerita dongeng selama lebih 50 tahun lamanya.

Pemimpin politik hanya menjadi pelaksana kepada kehendak Pakatan Rakyat. Dengan melancatrkan kempen RAKYAT JUARA, PAKATAN PELAKSANA menunjukkan rakyat yang sebenarnya berkuasa menentukan jatuh bangun seseotrang pemimpin dan sesebuah kerajaan yang memerintah.

Royalti Petroleum – hak kerajaan negeri atau pusat?

Ramai yang tidak faham dan sering bertanya, royalti petroleum ini milik siapa? Kerajaan Negeri kah? Kerajaan Pusat kah?  Persoalan ini sedang hangat dibahaskann di kedai-kedai kopi.  Ada yang menyokong ketegasan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz untuk tidak mengemis memintak hak Kelantan keatas royalti petroleum.

Disebabkan sekarang ini persoalan politik mengatasi undang-undang yang sedia ada, saya kira sudah sampai masanya Tuan Guru Nik Aziz dan ahli-ahli politik kerajaan Kelantan kembali semula kepada asas pembentukan persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia.

Soal kedaulatan wilayah (tanah), hasil bumi, hutan dan air  mestilah kekal di bawah kerajaan negeri. Jika semua ini diserahkan kepada kerajaan pusat, apa lagi erti kewujudan sesebuah kerajaan negeri yang memerintah.

Cuba kita fikirkan, apa akan jadi kepada kerajaan persekutuan, jika sesebuah negeri memilih untuk “merdeka” dari “penjajahan” tidak langsung kerajaan persekutuan sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura sedikit masa dahulu.

Cuba kita lupakan sejenak polemik royalti yang sedang dipertontonkan kepada rakyat sekarang. Cuba andaikan Kelantan menjadi sebuah wilayah berdaulat dibawah naungan Sultan seperti di Brunei sebuah lagi negara kesultanan pengeluar minyak yang berjiran dengan Sabah dan Sarawak tetapi tidak menyertai persekutuan Malaysia.

Brunei tetap membangun walaupun UMNO tidak memerintah yang mana kehidupan rakyat di sana jauh lebih baik dari rakyat di Malaysia yang diperintah oleh UMNO. Jika ini yang dilakukan, rakyat Kelantan tidak lagi perlu “mengemis” meminta haknya dari UMNO yang masih berkuasa keatas kerajaan persekutuan..

Jika ditakdirkan Kelantan menjadi sebuah negara yang berrdaulat dengan sempadan daratan dan lautannya yang tersendiri, apakah kerajaan persekutuan Malaysia masih mempuntyai hak kepada royalti minyak sebanyak 5 % tunai yang dibayarkan oleh Petronas kepadanya sebagaimana 5 % lagi yang sepatutnya dibayar kepada negeri kerana tanah (wilayah) tersebut milik mereka. 

Kelantan telah dinafikan haknya oleh Petronas sejak awal lagi dimana minyak tidak ada di bumi Kelantan. Rakyat Kelantan telah dinafikan haknya dan berkali-kali dikatakan bahawa Kelantan tiada hasil petroliam dan gas asli. Kemudian nadanya bertukar lunak sedikit, minyak yang ditemui adalah di luar kawasan wilayah Kelantan.

Tetapi saya cukup bersetuju dengan kenyataan tegas Tun Salleh Abas, sesiapa yang menafikan hak kerajaan negeri menerima royalti petroleum adalah penderhaka.    

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , ,

ADUN Triang Menitiskan Air Mata Mengenangkan kesahnya Dengan Presiden PAS

KEMAMAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Pahang dari parti DAP, Encil Leong Ngah Ngah, menitiskan air mata apabila mengenangkan kesahnya dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

”Saya menangis bila ingat kesah dengan Tok Guru Hadi Awang, waktu itu sepuluh tahun lalu, Tok Guru pergi ceramah di tempat saya di Triang, semua orang Melayu, saya satu orang Cina,”katanya memulakan ucapan pada Majlis Makan Malam bersama Masyarakat Tionghua DUN Chukai, disini Sabtu lalu, 23 Januari.

Menurutnya, pada waktu itu Umno berkempen dalam memperjuangkan ketuanan Melayu dan memburuk-burukkan orang Cina, khususnya DAP.

Katanya, Umno sedang bersiap sedia untuk membawa 10,000 orang pemudanya ke Kuala Lumpur, bagi menunjukkan kekuatan.

”Tok Guru Hadi Awang kata, dia jamin keselamatan orang Cina, dia kata kalau Umno bawa 10,000 orang pemuda untuk melakukan sesuatu kepada orang-orang Cina, beliau akan mengerahkan 10,000 pemuda PAS, melindungi orang Cina,”ujar Leong, dihadapan 150 orang Tionghua yang hadir pada malam tersebut.

Oleh itu, beliau berterima kasih kepada orang-orang PAS khususnya dalam kawasan DUN Triang.

”Orang-orang PAS banyak tolong saya, sejak mula-mula saya bertanding, orang PAS yang banyak tolong, tidak minta upah dengan saya walau satu sen pun,”terang Leong lagi.

Justeru beliau berharap Pakatan PAS dan DAP serta PKR akan kekal bersama Pakatan Rakyat, bagi masa depan Malaysia yang lebih baik.

”Pada tahun 1999, saya mula nampak satu harapan, saya kata harapan Malaysia masih ada, apabila pada tahun itu, semasa pilihanraya wanita (muslimat) PAS minta bendera DAP dan wanita DAP tidak takut pegang bendera PAS,”katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Penolong Setiausaha PAS Terngganu merangkap Pengarah DUN Chukai, Haji Hanafiah Mat, ADUN Simpang Pulai, Cahn Ming Kai dan Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Wakil Jawatankuasa: Kelantan tolak, Awang Adek dan Umno Khianat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar tindakan Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang mendakwa bahawa sebuah jawatankuasa yang turut disertai kerajaan negeri Kelantan akan ditubuhkan bagi menentukan jenis projek dan kaedah penyaluran wang ihsan.

Awang Adek cuba menunjukan bahawa Kelantan seolah-olah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa. Kenyataan putar belitnya jelas menyimpang jauh dengan pendirian Kelantan yang menolak idea Wang Ehsan bagi mengantikan Wang Royalti bagi isu minyak dinegeri itu. Menteri Besar kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan;

“Kalau dijemput untuk runding terima wang ihsan, saya tak akan pergi, kerajaan negeri seratus-peratus akan tolak. ”

“Kalau nak bagi ihsan tak payah rundinglah, kerana dia paksa dan saya tidak akan terima”

Sebagai orang Kelantan, Awang Adek sewajarnya mempunyai rasa kebersamaan dengan rakyat untuk pertahankan hak dan sumber negeri Kelantan bukannya mengkhianati rakyat.

Kempen Umno Juara Rakyat di Kelantan sudah gagal sebelum dilancarkan dek kerana isu tuntutan Royalti ini. Maka PAS mengingatkan Awang Adek yang menjadi Timbalan Menteri dari pintu belakang pejabat Perdana Menteri agar tidak memainkan wayang pacak yang enggan dilihat oleh rakyat. Tuntutan rakyat Kelantan jelas, bayar wang royalti bukan wang ehsan.

Kalau Kelantan terima wang ehsan hari ini maka sampai bila-bila pun ianya akan kekal wang ehsan sama seperti yang BN Terengganu hadapi sekarang. Maka rakyatlah yang akan rugi kerana berbilion wang royalti yang jadi hak negeri telah dirompak oleh Kerajaan Persekutuan. Ketahuilah, rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah sampai perlukan duit ehsan, rakyat Kelantan berhak dapat Royalti.

PAS berharap dengan keputusan tegas Kerajaan Negeri itu, maka wang ehsan tidak menjadi keperluan atau isu sekarang. Sekiranya wang ehsan itu masuk ke Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan maka ianya adalah wang haram dari segi semangat federalisme.

PAS yakin, Umno akan mengunakan wang itu sepenuhnya bagi menjalankan kempen Umno Juara Rakyat di kelantan dengan menaja wakil rakyat dan Umno Bahagian mengadakan program bersama rakyat. PAS juga yakin rakyat Kelantan memahami perkara ini, dan sesekali tidak akan membiarkan Kelantan menjadi seperti Terengganu yang kembali kepada BN setelah wang ehsan ditaburkan.

PAS juga mahu Jabatan Audit Negara memeriksa akaun Jabatan Pembangunan Persekutuan yang ditubuhkan oleh BN disemua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, kerana rakyat mahu tahu berapa banyak duit mereka dibazirkan oleh ‘Kerajaan haram BN’ ini.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories