Kalam Perantau

Icon

Tok Guru Nik Aziz terus kebal?

Nik Aziz terus kebal depani krisis: Pensyarah 

Oleh Jimadie Shah Othman
 
Walaupun diasak hebat dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan nepotisme, PAS Kelantan dan menteri besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat masih menikmati tanggapan positif rakyat, kata dua penganalisis politik.

“Biar dalam PAS sendiri berpecah, tetapi imej kerajaan Kelantan tidak terjejas. Rakyat (negeri itu) takut bahawa ini semua mainan media.

“Rakyat tidak berasa beliau (Nik Aziz) bersalah,” kata Prof Dr Mohd Agus Yusoff, seorang pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, yang berasal dari negeri itu.

“Ia tidak memberikan kesan besar jika hendak dibandingkan dengan penyelewengan lain (dalam negara) yang lebih besar.

“Dakwaan seperti Nik Aziz menerima kek bernilai RM500 ini akhirnya jadi bahan lawak sahaja.”

Ahli akademik Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar kanan) pula berkata, asakan demi asakan terhadap kerajaan Kelantan tidak menggugat kepercayaan politik orang ramai kepada Nik Aziz apabila beliau masih meraih populariti berbanding pemimpin PAS lain.

Pensyarah kajian media itu juga berkata, data terkini menunjukkan bahawa sokongan terhadap Kelantan meningkat sebanyak 8 hingga 12 peratus (kepada 73.6 peratus) pada November lalu berbanding 63 peratus pada pilihan raya umum 2008.

“Sesetengah media tidak mempunyai data ini dan menunjukkan bahawa sokongan terhadap kerajaan Kelantan merosot,” katanya.

“Mereka lupa, krisis adalah bisnes, bisnes adalah tentang tumpuan (masyarakat). Dalam dunia sekarang, perkara ini (tumpuan) mampu mengangkat reputasi dan mampu memberikan kekuatan.”

Dr Abu Hassan, yang menjalankan tanggapan politik melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies, membuat kesimpulan tersebut berdasarkan tinjauan berterusan berhubung kepercayaan politik tokoh-tokoh politik yang dijalankan sejak pilihan raya lalu.

Kesimpulan tersebut, tambahnya, berdasarkan data-data terkumpul setakat November tahun lalu, berdasarkan maklum balas lebih 2,000 responden di seluruh.

Fasa kedua kajian tersebut akan bermula bulan depan, katanya.

Dr Mohd Agus dan Dr Abu Hassan diminta mengulas asakan konsisten terhadap kepemimpinan Nik Aziz, terbaru apabila beliau didakwa menerima hadiah kek bernilai RM500 daripada menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi Abdul Ariffahmi berhubung dakwaan terbaru terhadapnya masih belum berhasil.

Sejak beberapa pertengahan November lalu, Nik Aziz dihimpit dengan pelbagai isu, antaranya melibatkan isu tajaan hajinya daripada seorang ahli perniagaan, pengaruh ahli keluarganya dalam pertadbiran kerajaan negeri dan desakan agar beliau menyediakan pelan peralihan jawatannya.

Isu-isu tersebut, terutamanya berhubung isu Abdul Ariffahmi dan peranan ahli keluarganya – sering disebut ‘kabinet dapur’ Nik Aziz – turut dipersoalkan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Spekulasi berhubung pengganti Nik Aziz juga hangat dibincangkan di media susulan cadangan exco negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendesak menteri besar menamakan penggantinya.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Dr Abu Hassan bersetuju dengan pendapat Dr Mohd Agus bahawa, sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, Nik Aziz dan PAS dapat mengekalkan penguasaan mereka di negeri yang telah ditadbir selama 20 tahun itu.

“Kalau buat pilihan raya sekarang pun PAS menang lagi. Sukar untuk Umno menang biarpun Nik Aziz dibebani dengan pelbagai isu.

“Semua ini akhirnya akan mati sendiri. Tunggu masa sahaja,” kata Dr Mohd Agus.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno negeri Datuk Md Alwi Che Ahmad berpendapat sebaliknya.

“Dunia akademik ini macam fekah juga. Ada kata harus, ada kata sunat, ada kata wajib ada kata makruh (pelbagai tafsiran agama).

“Tetapi yang jelasnya, Kelantan mengalami masalah. Dalam pilihan raya kecil Manek Urai dulu, dah terbukti (PAS lemah), mereka menang dengan majoriti yang amat tipis,” katanya.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat hampir-hampir menewaskan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah apabila tewas dengan majoriti tipis 65 undi.

Filed under: News, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: