Kalam Perantau

Icon

Terengganu Darul Runtoh : Politik Terengganu masih bergelora?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sudah agak lama saya tidak membicarakan perkembangan politik Terengganu. Disebabkan saya baru pulang ke Terengganu hujung minggu baru-baru ini dan dapat bersembang dikedai kopi beberapa perkembangan politik yang agak menarik untuk dikongsi bersama.

Selepas UMNO berjaya menguasai kerajaan negeri Terengganu pada pilihanraya 21hb. Mac, 2004, keharmonian pegawai-pegawai kerajaan semasa kerajaan PAS (Nov, 1999 – Mac, 2004) telah menjadi tidak tenteram.

Tindakan pegawai-pegawai kerajaan ‘menikam’ PAS dan memberi kekuasaan kepada UMNO ternyata memakan diri mereka sendiri. Selagi kerajaan UMNO memerintah Terengganu, nasib pegawai-pegawai kerajaan sentiasa berada dalam ketakutan terkena ‘pancungan politik’ pada bila-bila masa.

Jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri telah menjadi kerusi panas kerana campurtangan politik yang keterlaluan.Khabar yang sampai kepengetahuan Siasah, jawatan SUK yang sekarang disandang oleh Datuk Mokhtar Nong akan bertukar lagi.

Sekali lagi SUK di’paksa’ bersara awal, sebagaimana penyandang sebelum ini, Datuk Muhatar Abdullah. Saya diberitahu, tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar, Ahmad Said sekarang adalah tindakan pembetulan semula hiraki kekanan pegawai-pegawai Kerajaan Terengganu. Nama yang disebut-sebut berpeluang menyandang jawatan tersebut adalah Datuk Mazlan Ngah, Pegawai Kewangan sekarang.

Ramai yang bersungut Ahmad Said lambat bertindak. Tidak banyak projek-projek baru yang dilaksanakan dibawah pemerintahannya. Malah ada yang membandingkannya dengan zaman pemerintahan PAS jauh lebih baik dari sekarang.

Apa yang rakyat nampak adalah keruntuhan bangunan-bangunan yang dibina semasa kerajaan Terengganu dibawah pemerintahan Menteri Besar terdahulu, Datuk Idris Jusoh. Malah ada suara-suara nakal, menggelar Terengganu Darul Runtoh.  

Bersediakah PAS kembali berkuasa?

Seorang pegawai kerajaan bertanya satu soalan cepumas kepada saya baru-baru ini, bersediakah PAS kembali memerintah Terengganu? Dalam keadaan saya berfikir apakah jawapan yang hendak diberikan, beliau terus berkata, pada pandangannya PAS Terengganu tidak menampakkan kesungguhan untuk memerintah semula.

Dia tidak nampak gerakkerja yang dilakukan oleh PAS untuk menawan semula Terengganu sebagaimana UMNO begitu bersungguh-sungguh untuk menawan semula kerajaan Terengganu ketika dibawah pemerintahan PAS selama satu penggal (1999-2004) dahulu.

Program “gelombang biru” berjaya mengharu biru pentadbiran kerajaan PAS ketika itu. Sekarang ini PAS tidak mengugat kerajaan negeri walaupun banyak kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO sekarang ini, tegas beliau yang merupakan keluarga terdekat kepada seorang pimpinan kanan UMNO Terengganu sebelum ini.

Dia meminta saya sampaikan kepada pimpinan PAS Terengganu. Disebabkan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Harun Taib, ADUN Manir tidak sihat dan sedang berehat di hospital, saya tidak sempat untuk memaklumkan kepadanya secara lisan.

Semoga sedikit coretan ini menjadi renungan dan muhasabah pimpinan PAS Terengganu. Apakah kelemahan PAS dalam dua pilihanraya yang terakhir (2004 dan 2008) telah ditangani sebaik mungkin dan diselesaikan sebelum rakyat membuat perhitungan baru dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Mengikut laporan media, PAS Kawasan Besut mengambil keputusan untuk memperkukuhkan organisasi parti melalui penyusunan semula beberapa jawatan penting sebagai persiapan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Mesyuarat AJK PAS Kawasan Besut kali ke 10 pada 10 Januari 2010 telah memutuskan untuk melantik Saudara Mohd Nassir Awang sebagai Setiausaha PAS Kawasan yang baru.

Mohd Nasir Awang ini pernah menulis satu artikel, Besut Pintu Tawan Terengganu. Jika beliau berjaya menggerakkan jentera PAS Besut untuk merealisasikan apa yang pernah ditulisnya lebih satu dekad lalu maka harapan PAS untuk kembali memerintah Terengganu bukanlah impian kosong kerana pada tahun 1999 telah terbukti PAS berjaya menawan kerusi Parlimen Besut dan kesemua DUN yang dibawahnya.

Dengan perubahan lebih kurang 50 peratus muka baru dalam pilihanraya umum ke-12 yang lepas, rakyat Terengganu masih belum dapat menerima perubahan yang dilakukan PAS dalam menawan semula pengundi-pengundi Terengganu secara keseluruhannya.

Cabaran yang dihadapi PAS Terengganu dibawah kepimpinan Harun Taib yang sedang di’remaja’kan bagi menghadapi saingan dengan calon-calon muda UMNO sekarang ini belum lagi teruji.

Mampukah PAS berhadapan dengan kelicikan UMNO dibawah Ahmad Said yang jauh berbeza dengan Idris Jusoh? Dengan beberapa pemimpin pelapis yang telah mula membarisi kepimpinan PAS Terengganu disamping beberapa veteran PAS yang telah teruji perjuangannya dalam menghadapi UMNO, mampukah mereka menang dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang?.

Persoalan ini yang sedang bermain dalam minda pemerhati-perhati politik Terengganu sekarang ini. Kita tunggu perkembangan selanjutnya terutama persempadanan semula kawasan pilihanraya yang secara tradisi memberikan kelebihan kepada UMNO dan BN.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: