Kalam Perantau

Icon

Kelantan Yang Unik…

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Khamis, 14hb. Januari yang lepas, satu lagi sejarah baru tercipta di bumi Kelantan. Belum pernah lagi rasanya seorang Sultan atau Pemangku Raja menjadi imam sholat hajat memohon kesajahteraan sultan dan kehidupan rakyat di stadium terbuka dengan disertai oleh pembesar negeri dan rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dipetik sebagai berkata, “sepanjang usia ambo lebih 75 tahun tidak pernah melihat ada Pemangku Raja yang menjadi imam sholat. Biarlah kita mulakan usaha murni ini di Kelantan”.

Sebelum ini di Kelantan, Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat atau Tok-tok Guru pondok lain yang menjadi imam dalam sholat hajat seperti ini. Tapi kali ini memang unik bila Pemangku Raja sendiri menjadi imam dan tok-tok guru ini menjadi makmum.

Sungguhpun kerajaan Kelantan masih lagi tidak sempurna lagi menjadi sebuah kerajaan Islam sepenuhnya sebagaimana diidamkan oleh sebahagian besar pendokong-pendokongnya, pada saya, perubahan ini adalah hasil yang cukup bermakna kepada dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi motto Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1990 lagi.

Ketika Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang telah mencapai usia dua dekad usia pemerintahannya, ditakdirkan Kelantan memiliki Pemangku Sultan yang dilihat selari dengan perjuangan memartabatkan Dasar Membangun Bersama Islam dengan lebih hebat lagi bagi 2 dekad yang akan datang.

20 Tahun PAS Memerintah Kelantan

Kira-kira sebulan yang lalu saya dijemput untuk menghadiri satu seminar membincangkan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di sebuah bangunan baru, Kelantan Trade Center (gambar – kanan) yang menjadi mercu tanda baru di Kota Bharu, Kelantan.

Disebabkan cuti sekolah, saya membawa keluarga bercuti di Kelantan disamping menziarahi saudara mara yang berada di Kelantan. Tanpa prejudis, saya tetap mengatakan bahawa Kelantan dibawah pemerintahan PAS lebih maju dari Terengganu dibawah pemerintahan UMNO (kecuali selama 4 tahun 1999-2004 dibawah pemerintahan PAS).

Jika Kelantan mendapat royalti petroleum seperti Terengganu, mungkin Kelantan jauh lebih maju dari yang kita lihat hari ini jika tidak diperintah oleh UMNO.  Sebab itu rakyat Kelantan lebih selesa, negerinya diperintah oleh PAS kerana mereka mendapat nikmat berganda berbanding dengan negeri yang diperintah oleh UMNO dan BN.

Usaha UMNO dan BN menggugat Kelantan dibawah pemerintahan Tok Guru Nik Aziz  telah berlaku sepanjang masa sejak dari awal lagi. Cuma pada sesi 2004 hingga 2008 sahaja sebelum pilihanraya umum ke-12, kerajaan PAS di Kelantan tergugat kerana hanya tinggal majoriti satu kerusi DUN sahaja berbanding disaat kegemilangannya menyapu bersih semua kerusi DUN dan parlimen diawal era kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 hingga 1995 bersama dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), Berjasa dan Hamim yang sudah tiada lagi dalam dunia politik hari ini. 

Berbalik semula Seminar Sehari 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, saya teringat seorang pembentang memberitahu dia kecewa kerana kerajaan Kelantan gagal dalam memastikan Kota Bharu Bandaraya Islam menjadi sebuah bandar yang bersih dari segi lahiriah dan seterusnya menjadi model kepada sebuah bandaraya Islam moden abad ini.

Baginya tiada ciri-ciri khusus ianya sebuah bandaraya Islam yang boleh menjadi tarikan pelancongan untuk dilawati. Saya tidak pasti ada atau tidak sebuah Muzium Islam yang dibina untuk membolehkan pelancong dapat melihat sejarah perkembangan Islam di bumi Kelantan khususnya atau di Malaysia amnya.

Selain itu Kota Bharu Bandaraya Islam mestilah disinonimkan dengan sebuah Bandar berilmu dengan memperbanyakkan kuliah-kuliah ilmu dimasjid dan surau-surau disamping memertabatkan tulisan jawi. Dengan ini, semua papantanda dan penunjuk arah serta ‘billboard’ diwajibkan ada tulisan tersebut.    

Kelantan sejak dahulu adalah negeri yang mula menerbitkan bahan-bahan penerbitan-penerbitan Islam. Tidak salah kiranya kerajaan Kelantan menempatkan sebuah pusat atau bazaar penerbitan-penerbitan Islam yang khusus di Kota Bharu bandaraya Islam yang boleh menjadi tempat tumpuan bukan sahaja di nusantara ini malah ke dunia Islam seluruhnya.

Dengan mengambil warna hijau sebagai warna yang disinonimkan dengan Islam, tiada salahnya kalau bangunan-bangunan di dalam jajahan pentadbiran Kota Bharu ini dicatkan semula dengan warna tersebut sebagai satu identiti baru bagi bandar ini. Ini akan menambahkan lagi keunikan Kota Bharu Bandaraya Islam moden abad ini.  

Ini akan menjadikan Kota Bharu Bandaraya Islam dengan identiti berwarna hijau sebagai saingan kepada Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai destinasi pelancongan yang mengekalkan warna merah sebagai identiti dan warisan sejak sekian lama.

Jika ini berjaya dilakukan, inilah hasil tinggalan seorang ulamak yang termasyhur yang memerintah sebuah kerajaan Islam dibumi Kelantan selama 2 dekad  yang dapat dilihat dan dikunjungi sebagai satu tempat bersejarah yang unik. Saya tidak pasti, sama ada kerajaan PAS Kelantan mempunyai political will atau tidak untuk melaksanakan agenda menghijaukan kota bharu bandaraya Islam.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: