Kalam Perantau

Icon

Idris Cuba Tutup Kesalahan Lalu, Ahmad Tidak Boleh Buat Kerja

KUALA NERUS – Dengan tingkah laku pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu pada hari ini, negeri Terengganu dijangka akan kembali dibawah pemerintahan PAS.

Sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar pada Mac tahun lalu, tidak ada sebarang projek pembangunan ‘untuk rakyat’ dapat dinikmati.

Manakala pembangunan yang dikatakan dilaksanakan dibawah pentadbiran bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh hanyalah sebuah retorika yang membazirkan wang rakyat.

“Pilihanraya kali ke 13 ini, InsyaAllah bukan takabbur, InsyaAllah dengan izin Allah, PAS akan kembali memerintah,

“dengan tingkah laku pemimpin-pemimpin UMNO hari ini, pembaziran yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Idris Jusoh, (cukup) dahsyat, wang yang dibelanjakan berjuta ringgit hilang entah kemana,

“tambah dengan Abang Mad (Ahmad Said) jadi ‘nanar’, nak memerintah tak boleh, duduk situ dia bubuh pepijat, bangun situ duduk ada pepijat, niaya kepada Abang Mad le ni (sekarang),”kata Ahli Jawatankuasa PAS Besut, Abdul Halim Tausah (Abang Din) dalam majlis penerangan di Mengabang Telipot dekat sini.

Beliau mencadangkan supaya Ahmad Said mengikut jejak langkahnya, yang meninggalkan UMNO dan menyertai PAS.

Beliau yang meninggalkan UMNO dan menjadi ahli PAS pada tahun 1988 berkata hidup beliau dalam PAS tenang dan selesa.

“Abang Din (saya) mula masuk PAS dulu kurus, sekarang dah gemuk,  sedap duduk, makan lalu, marilah Abang Mad (menyertai PAS),”katanya.

Antara pembaziran yang dilakukan oleh Idris katanya adalah pembelian pokok-pokok hiasan dari plastik dan pembinaan chalet yang menelan belanja RM 1 juta sebuah (gambar atas).

“Kes chalet (di) Pulau Duyong, satu chalet dua bilik (berharga) RM1 juta, 58 (buah) chalet (berharga) RM58 juta, chalet apa yang mahal sangat ?,”jelasnya.

Katanya pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sekarang menjadi kucar-kacir kerana Idris cuba menutup segala kesalahannya, manakala Ahmad Said tidak dapat melaksanakan kerja kerana terpaksa menanggung kesilapan yang telah Idris lakukan.

Sehingga kini, kata beliau, banyak projek-projek yang dilaksanakan oleh Idris  tidak siap dan terbengkalai.

“Marilah ke Jerteh kawasan Idris Jusoh kalau nak lihat projek-projek yang dilaksanakan oleh Idris sejak mula jadi Menteri Besar, sehingga hari ini tidak siap-siap,

“bila naik Ahmad Said, orang (kontraktor) nak buat tuntutan, tak boleh nak bayar, tidak ada ‘prosedur’, tidak ada ‘tender’, tidak ada rundingan, tidak ada pelan,”tegasnya.

Beliau mendedahkan pembaziran yang amat ketara yang dilakukan di bandar Jerteh adalah pembinaan empat buah gerai yang berharga RM 1.2 juta.

Katanya gerai tersebut tidak diluluskan oleh pihak Jabatan Kerja Raya kerana ia dibina atas rezab jalan, tanpa sebarang pelan bangunan dan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah.

Advertisements

Filed under: News, , , , , ,

Beberapa Exco lama akan digugurkan?

ALOR SETAR 24 Feb. – Beberapa Exco kerajaan negeri akan digugurkan dan digantikan dengan muka baru bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri diterajui Pas yang bakal memasuki tahun kedua memerintah Kedah Mac ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, rombakan tersebut bagi memberi peluang kepada muka baru untuk membuktikan kemampuan mereka menyandang tanggungjawab sebagai Exco.

“Biasalah, akan ada pertukaran portfolio, malah beberapa muka lama juga mungkin digugurkan untuk beri peluang wakil-wakil rakyat lain menyandang jawatan Exco,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Sementara itu Azizan berkata, majlis angkat sumpah barisan Exco kerajaan negeri itu akan diadakan pada 10 Mac ini.
“Sebelum itu, senarai nama- nama (Exco) yang dicadangkan akan dikemukakan kepada Tuanku Sultan Kedah (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah) untuk mendapat perkenan,” kata beliau.

Barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Menteri Besar pada masa ini dianggotai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pelantikan Exco kerajaan negeri itu dilakukan setiap tahun mengikut Perkara 37(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Filed under: News, , , ,

Dapatkan maklumat tepat dari pemimpin Pulau Pinang – Nasruddin

Ditulis oleh Harakahdaily    
 
GEORGETOWN – Dewan Pemuda PAS Pusat meminta semua pihak mendapatkan maklumat yang tepat daripada pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri berhubung apa sahaja isu yang berlaku di negeri ini sebelum membuat kesimpulan awal sendiri.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, kebanyakan isu berkaitan tindakan kerajaan Pulau Pinang pada waktu ini sebenarnya sengaja ditimbulkan dan direka oleh pihak tertentu untuk cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP negeri itu.

“Saya betul-betul mengharapkan selepas daripada ini terutamanya pihak media agar dapat memberikan laporan dan penjelasan kepada masyarakat berasaskan fakta yang benar dan tepat dengan mendengar sendiri dari pihak kerajaan Pulau Pinang,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan pakatan rakyat Pulau Pinang seharusnya diberi peluang membuktikan keupayaan memimpin negeri itu kerana mereka dipilih secara sah pada pilihan raya umum lalu dan bukannya cuba melaga-lagakan dan memecahbelahkan mereka.

Tanggungjawab membuat perubahan, jelasnya bukan kerja mudah apatah lagi setelah sekian lama dirosakkan oleh kerajaan BN yang memerintah sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam.

Terdahulu, deligasi dari 13 anggota dewan harian pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Pulau Pinang mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam bersama Lim.

Pertemuan tersebut bagi mendapat penjelasan perkara sebenar terhadap beberapa isu yang sedang diperkatakan tentang negeri ini.

“Kunjungan hormat kami hari ini bertujuan mendapat penjelasan dan maklumat ‘first hand’ dari ketua menteri selepas diasak pihak media dan pemerintah Umno BN.

“Saya kira, banyak maklumat tidak tepat dan ada orang ketiga atau pihak lain memanipulasi maklumat itu,” katanya lagi.

Dalam pertemuan itu juga, Nasruddin memklumkan beliau turut menyampaikan beberapa hasrat dan kebimbangan masyarakat Melayu negeri itu terhadap beberapa tindakan kerajaan negeri.

“Alhamdulillah jawapan diberikan ialah beliau (Lim) bersedia bertemu dengan semua NGO asalkan sahaja pertemuan itu atas maksud untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi segala salah faham dan ketidakjelasan terhadap sesuatu isu,” tambahnya.

Berhubung dakwaan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul tahun ini pula, perkara itu jelas Nasruddin sengaja ditimbulkan.

Ianya kerana sambutan tersebut sebenarnya hanya ditunda dan tetap akan diadakan pada 26 Februari ini.

“Pada tahun 2008, perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, ketua menteri berada di saf hadapan dan saya kira dia (Lim) ketua menteri bukan Islam pertama menyertai maulud dalam negara kita,” katanya.

Manakala Lim dalam responsnya menyatakan kesediaan secara terbuka untuk bertemu dan membuat penjelasan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tersebut

Filed under: News, , , , , , ,

Politik Terengganu Selepas Ahmad Said, Peluang PAS makin Sukar?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Beberapa orang kenalan dalam PAS minta pandangan saya berhubung dengan peluang PAS memerintah semula Terengganu selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.  Satu soalan cepu emas yang sukar untuk saya jawab sebenarnya. 

Saya hanya memberitahu  kenalan aktivis-aaktivis muda PAS berkenaan bahawa saya tidak ada data terkini dan maklumat yang tepat ketika ini berhubung dengan politik Terengganu dewasa ini kerana suasana politik sentiasa berubah-ubah. 

Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana  mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran maklumat ini mempengaruhi rakyat Terengganu atau mereka ini terpengaruh dengan dunia maya yang berlaku dalam internet, sama ada di laman-laman sesawang (homepage) atau media jaringan sosial yang baru seperti facebook, twitter dan sebagainya.  

Sebagai anak Terengganu, saya juga mengikuti perkembangan PAS Terengganu secara dekat dan jauh sejak kenal erti politik pertengahan dekad 1980’an yang lalu pada ketika kebangkitan semula PAS Terengganu bersama-sama dengan kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Malah pada satu ketika sebelum PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999, saya pernah meramalkan barisan kabinet bayangan kerajaan PAS di Terengganu jika PAS diberi peluang memerintah negeri berkenaan.

Tetapi saya tidak bercadang untuk menulis semula apa yang telah saya tulis dalam kabinet bayangan tersebut. Ianya bukan sahaja menjadi kenyataan tetapi saya diberitahu seorang pemimpin kanan PAS Terengganu pada ketika itu tidak begitu menyenanginya kerana namanya tidak tersenarai.

Baru-baru ini, seorang aktivis pemuda daripada mereka yang pernah membaca tulisan tersebut bertanya kepada saya, jika PAS memerintah Terengganu semula selepas ini, siapa yang akan menjadi Menteri Besar Terengganu? 

Satu lagi soalan cepu emas yang ditujukan kepada saya untuk melihat reaksi saya kerana menjelang pilihanraya yang lepas saya ada menulis sepintas lalu berhubung dengan perkara ini menyebabkan tulisan tersebut sedikit kontroversi. 

kali lagi saya minta  aktivis muda berkenaan membaca kembali tulisan berkenaan dalam akhbar ini (Siasah) di mana saya tidak menyebut siapa sepatutnya menjadi Menteri Besar seperti ramalan saya terdahulu (sebelum PRU 1999)  melainkan saya quote pandangan beberapa pihak di dalam dan di luar PAS yang saya dengar.  
 
Apa yang saya mampu mengatakan pada masa ini sejarah politik PAS menunjukkan peluang memerintah kerajaan negeri sama ada di Kelantan atau Terengganu hanya diberi sekali kepada sesuatu generasi pemimpin PAS selepas sesuatu kejatuhan kerajaan PAS. Kenapa ianya berlaku, saya akan bincangkan dalam tulisan yang lain. Jika  masih berminat untuk mengetahui ramalan saya bagi Menteri Besar dan barisan kabinet  PAS Terengganu selepas ini, saya akan melakukannya pada masa yang sesuai.

Mungkinkah PAS Tawan Terengganu PRU ke-13 nanti?

Pada saya bukan siapa yang patut menjadi Menteri Besar yang perlu dibincangkan pada saat ini tetapi mampukan PAS kembali menguasai Terengganu seperti  perkiraan mudah Haji Hanafiah Ramli, Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu.

Beliau dengan yakin menyebut PAS berupaya menambahkan 9 kerusi lagi dalam pilihanraya umum akan datang terutama yang majority dimenangi oleh UMNO begitu tipis disamping mengekalkan 8 kerusi yang telah dimenangi oleh PAS sekarang ini.

Dilapor dengan lapan kerusi sedia ada dan ditambah yang sudah dimenangi PAS kini, ia menjadi 17 kerusi dan membolehkan kerajaan majority mudah dibentuk dalam DUN Terengganu yang mempunyai 32 kerusi.

Untuk rekod, 8 kerusi DUN Terengganu yang dimenangi oleh PAS sekarang adalah Rhu Rendang (Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang), Manir (Dato’  Haji Harun Taib), Wakaf Mempelam (Haji Abdul Wahid Endut), Batu Burok (Dr. Syed Azman Syed Ahmad), Bukit Payong (Mohd Nor Hamzah), Sura (Wan Hasan Ramli), Ladang (Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar) dan Bukit Tunggal (Dr. Alias Razak) 

Sungguhpun Haji Hanapiah tidak menyatakan kerusi yang akan ditawan oleh PAS Terengganu dalam pilihnraya umum akan datang, pemerhati politik menjangkakan 8 kerusi DUN  dimana UMNO menang dibawah 1,000 undi menjadi sasaran PAS, iaitu Paka (344), Tepuh (430), Telok Pasu (462), Chukai (769), Rantau Abang  (790) Alor Limbat (799), Jabi (804) dan Pengkalan Berangan (930).

Selain 16 dari 32 kerusi DUN berkenaan, PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) juga mensasarkan beberapa kerusi lain yang mana BN menang sekitar 1,500 undi seperti Bandar (1142), Batu Rakit (1486) dan kuala Berang (1592).

Keadaan ini menjadikan UMNO cukup risau untuk menang mudah di Terengganu walaupun terdapat usaha memperlekeh dan menidak kemampuan PAS Terengganu meralisasikan hasrat tersebut.  Ketua UMNO, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disebut, “PAS sebenarnya tiada kubu kuat di negeri itu”  dalam sebuah akhbar harian Edisi Terengganu berbahasa Melayu baru-baru ini 

Dengan hujah yang agak cemas dengan situasi yang berlaku sekarang ini, istilah kubut kuat bagi beliau adalah sekiranya PAS sentiasa konsisten memenangi sesuatu kerusi dengan majoriti besar tanpa berlaku pengurangan. 

Namun berdasarkan kepada beberapa pilihanraya umum sebelum ini, keadaan ini tidak berlaku. Sebaliknya kawasan yang dimenangi oleh PAS juga menunjukkan kemerosotan majoriti undi PAS yang ketara. Beliau mengambil DUN Wakaf Mempelam sebagai contoh.

“Pada PRU 1999, di Wakaf Mempelam kita (BN) kalah dengan majoriti lebih 5,000 undi, tetapi lima tahun kemudian (2004) kita hanya kalah dengan 1,000 majoriti undi. Maknanya kalau benar ia (wakaf mempelam) kubu kuat PAS, majoriti undi tidak akan bergerak. Ia tetap berada dalam jumlah 5,000 undi sama ada berlaku tsunami, rebut, taufan, panas  atau hujan, tetapi fakta menunjukkan ada kekurangan”, katanya.     

Jika hujah Wan Farid ini dijadikan asas, PAS juga boleh mendakwa sebaliknya. Analisis terhadap keputusan pilihanraya umum 2008 mendapati majoriti BN merosot dengan teruk dibandingkan dengan apa yang diperolehi oleh BN pada OPRU 2004.

Cuma PAS Terengganu tidak bernasib baik sebagaimana rakan-rakan di negeri lain yang bergantung kepada swing pengundi-pengundi bukan Melayu yang tinggi. Sebab itu pemimpin-pemimpin UMNO  di Terengganu tidak boleh mendabik dada Terengganu dalam genggaman mereka pada setiap kali pilihnraya.

Apa yang pasti UMNO dan BN akan bergantung kepada “talian hayat” mereka iaitu persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan memihak kepada mereka. Sungguhpun sejarah pilihanraya sebelum ini (1986, 1995 dan 2004), persempadanan semula kawasan pilihanraya akan membantu UMNO terselamat di Terengganu.

Kita tunggu bagaimana rupabentuk sempadan baru pilihanraya Terengganu yang dijangka akan diadakan pada tahun ini. Apakah sekali lagi ianya akan menjadi talian hayat kepada UMNO dan BN. Jika tiada pertambahan kerusi parlimen dan DUN sekali lagi selepas 20 tahun sebagaimana persempadanan-persempadanan sebelum ini ianya adalah petanda awal kepada talian hayat UMNO dan BN di Terengganu

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , ,

Pilihan raya ke 13 sudah hampir

Oleh Zulkifli Sulong   

Selepas Kelantan dan Pulau Pinang diserang bertubi-tubi, kini giliran pimpinan PAS pula yang diserang. Serangan ini pula betul-betul permainan media kerana lain yang dikatakan oleh pimpinan PAS, lain pula yang disiarkan oleh media.

Yang menjadi sasaran nampaknya adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan terbaru Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kalau selama ini Bernama agak dilihat profesional dalam membuat laporan manakala akhbar Sinar Harian nampak sedikit adil dalam menyiarkan laporan untuk Pakatan Rakyat. Namun, kedua-duanya ada agenda tersendiri dan datang dengan nada yang sama, pecahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Berita Bernama yang melaporkan kononnya Presiden PAS, Abdul Hadi membantah campurtangan Australia dalam isu perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampak sangat cuba untuk melagakan Presiden PAS itu dengan para penyokong Anwar.

Ini kerana, kalau diperhatikan, jelas Abdul Hadi ketika ditanya oleh wartawan adakah beliau membantah campurtangan Australia, Abdul Hadi menjawab tidak.

Saya kutip balik transkrip perbualan antara wartawan dan Abdul Hadi pada 19 Februari lalu di Kuala Terengganu:-

Wartawan: “Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?”

Abdul Hadi: “Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.”

Memang menjadi sikap PAS menolak sebarang campurtangan asing ke atas negara ini sebagai sebuah negara yang berdaulat. Tetapi dalam masa yang sama, adakah kenyataan dan memorandum anggota Parlimen Australia dan ucapan pemimpin mereka meminta Malaysia mengkaji balik dakwaan ke atas Anwar itu campurtangan atau tidak.

Namun, sebagaimana dikatakan Abdul Hadi, kalau sistem keadilan kita sendiri sudah lemah, sudah tentu ada campurtangan asing.

Selepas menyiarkan Abdul Hadi membantah campurtangan Australia, akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz menyokong kenyataan para MP Australia itu. Berita muka depan bertajuk “Agenda halang Anwar” itu kelihatan positif kepada Pakatan Rakyat namun ia mempunyai racun yang berbisa.

Kenapa? Bagi saya kerana akhbar berkenaan mahu menonjolkan perbezaan pendapat dua tokoh besar PAS iaitu Abdul Hadi dengan Nik Aziz. Sebelum ini, Abdul Hadi ‘bantah’ sekarang Nik Aziz ‘sokong’. Padahal jelas, Abdul Hadi juga berkata dia tidak bantah. Yang mengatakan Abdul Hadi bantah adalah media.

Akhbar Sinar Harian mula diterbitkan di Kelantan. Apabila ia diterbitkan, para penyokong PAS di Kelantan bagaikan dituba dengannya apabila masing-masing berebut-rebut membeli dan memuji akhbar itu apabila berita-berita mereka disiarkan.

Namun, menjelang pilihan raya 2008, tiba-tiba meletup Nik Aziz membuat kenyataan “Saya haramkan akhbar ini masuk ke pejabat saya”. Ia berlaku selepas akhbar berkenaan membuat serangan yang bukan-bukan terhadapnya termasuk menyiarkan laporan apa yang belum berlaku lagi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas akhbar Sinar Harian, semalam (21 Februari) kerana menyiarkan berita yang tidak tepat terhadapnya.

Katanya, berita nasional di muka surat N7 dengan tajuk besar ‘Saya kini dalam dilema’ dan sub tajuk ‘kesal dianggap ‘tangan ghaib’ PAS, punya kuasa singkir pesaing; Tuan Ibrahim’ , sebagai tidak tepat dan tersasar.

Menurutnya, laporan akhbar berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah memasukkan kenyataan palsu yang direka-reka.

“Saya tidak menyebut perkataan sebagaimana yang disiarkan, lebih-lebih lagi kenyataan kononnya saya berada di dalam dilema, saya tidak berada di dalam dilema pun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Akhbar berkenaan menyiarkan berita kononnya beliau berada di dalam dilema kerana ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Sebelum ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia juga membuat berita yang jauh sama sekali dari konteks sebenar apa yang dicakapkan Abdul Hadi. Berita itu berbunyi “Umno mula alami perubahan yang baik – Hadi”

Akhbar Umno jelas mengambil kenyataan itu dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita itu dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan, iaitu tema yang selalu diperkenakan terhadap Abdul Hadi.

Di Pulau Pinang sebelum ini, Lim Guan Eng diserang bertubi-tubi. Sasarannya adalah memencilkan beliau dari orang Melayu yang sensitif dengan Islam khasnya pimpinan dan penyokong PAS. Ia juga bersifat ‘double edge‘ atau gergaji mata dua…tarik makan, sorong pun makan.

Apabila pimpinan PAS membela Lim Guan Eng, mereka akan menyerang PAS sebagai kuda tunggangan DAP. Apabila PAS tidak membela, Lim Guang Eng akan terasing. Namun, sebagaimana biasa para pimpinan PAS tidak memikirkan hal itu sangat, bagi mereka yang benar perlu dibela dan semangat setiakawan sangat menebal di kalangan pimpinannya. Lalu mereka berbondong-bondong membela Lim Guang Eng dan kadang-kadang dilihat sebagai berlebihan. Lalu Umno pula berkata, memang sah PAS kuda tunggangan DAP sebagaimana fitnah yang dikenakan ke atas Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Perak.

Semua ini bagi saya hanya bunga-bunga atau tanda-tanda pilihan raya sudah dekat. Jadi bersedialah menghadapi pilihan raya yang akan penuh dengan permainan media kerana bunga-bunganya sudah jelas kelihatan

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Ku Li: Iklan isu royalti kelirukan, cetus implikasi baru

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.

Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.

Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.

Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.

Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.

“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.

“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya.

Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.

“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).

“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.

“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.

Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.

“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.

“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.

Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.

“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.- The Malaysian Insider

Filed under: News, , , , , , , ,

Royalti: PAS sokong Mustapa adalah penderhaka

Oleh Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 22 Feb: PAS menyokong dakwaan rakyat Kelantan bahawa Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah pendehaka kerana enggan menyokong perjuangan rakyat menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM1 bilion.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Mustapa sepatutnya malu kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang begitu nekad menyokong perjuangan rakyat Kelantan walaupun tahu akibat perbuatan itu boleh menyebabkannya dipecat dari Umno.

“Tengku Razaleigh tahu untuk membezakan yang mana satu hak rakyat dan yang mana satu hak Kerajaan Persekutuan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS juga, katanya mengecam surat layang yang diedarkan bagi memburuk-burukkan imej ahli parlimen Gua Musang itu.

Menurutnya, adalah tidak wajar Razaleigh menjadi mangsa sedangkan seluruh rakyat berdiri di atas perjuangan yang sama dan menolak pandangan Mustapa yang jelas menyeleweng dari fakta sebenar.

Tambahnya, PAS juga kesal kerana Mustapa mengungkit dana RM9.3 juta yang digunakan bagi projek pembangunan Medan Tuan Padang, Pasar Siti Khadijah dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan, walhal itu sememangnya hak dan duit rakyat Kelantan, bukan Umno.

Menurutnya lagi, Mustapa lupa bahawa segala hasil cukai kastam, saman trafik dan pelbagai hasil lain yang dikutip di negeri Kelantan telah banyak disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Dan tidak sepatutnya menjadi isu jika Kelantan menerima semula peruntukan itu daripada Persekutuan dan kerana duit itu bukan datang dari poket Mustapa untuk diungkit-ungkit.

“Amat memalukan kenapa pemberian kecil itu diungkit semula sedangkan rakyat Kelantan kini menuntut dana yang menjadi hak mereka iaitu duit royalti minyak bernilai RM1 bilion,” ujarnya.

Baginya, hanya kerana Kelantan diperintah oleh PAS, Mustapa dan Umno mencipta pelbagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka sedangkan pada hakikatnya rakyat sedar bahawa tindakan itu dibuat atas dasar politik, sama seperti apa yang dilalui oleh Terengganu ketika diperintah PAS.

Katanya, jika di Perak, Umno merampas kuasa rakyat, di Kelantan pula Umno merampas wang rakyat.

“Begitulah Umno yang tidak pernah mengenal erti kesusahan rakyat melainkan ingin mengumpul kuasa dan kekayaan untuk kepentingan mereka sendiri.

“Penderhakaan Mustapa dan Umno ini akan terus tercatat dalam sejarah pembangunan negeri Kelantan dan generasi akan datang harus diperingatkan tentang tragedi paling zalim ini,” ujarnya lagi.

Filed under: News, , , , , , , ,

Royalti: Husam sedia dedah jika Mustapa minat

Oleh Wartawan Kita   

BACHOK, 22 Feb: Datuk Husam Musa berkata, segala dokumen mengenai istilah royalti ada dalam simpanannya dan sedia mendedahkan sekiranya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berminat.

“Saya sedia mengemukakan bukti itu kepada pemimpin Umno terbabit sekiranya berminat. Saya sedia hadir ke Kuala Lumpur sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya pada ceramah penjelasan isu royalti di Pekan Jelawat, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun Jelawat, Abdul Aziz Kadir dan Setiausaha PAS kawasan, Mohd Huzaimy Che Husin.

Katanya, bayaran tunai lima peratus yang diterima kerajaan Terengganu sejak petroleum dikeluarkan di perairan negeri tersebut dikenali sebagai royalti tetapi malangnya istilah royalti tiba-tiba ditukar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wang ihsan pada 2000 selepas PAS menguasai Terengganu.

Malam Jumaat lalu Perhubungan Umno Kelantan menganjurkan program penjelasan isu wang ihsan di perkarangan pejabat Umno.

Program seumpama itu difahamkan kali ketiga diadakan. Sebelumnya diadakan di Hotel Renaissance dan padang Sekolah Menengah Zainab.

Kehadiran yang begitu mengecewakan Umno pada dua program berkenaan menyebabkan program ketiga diadakan malam Sabtu. Sekitar 1,000 orang hadir biar pun media proUmno menggambarkan lebih 5,000 hadir.
Umno juga kepanasan dengan isu tersebut apabila terpaksa mengeluarkan iklan satu muka surat dalam semua akhbar berbahasa Melayu semalam.

Iklan tersebut disebut dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan Kebajikan negeri berkata, buat apa perjanjian yang ditandatangani pada 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas sekiranya tiada kaitan dengan royalti minyak.

“Tidakkah melalui perjanjian tersebut negeri memberi kuasa kepada pusat untuk mengeluarkan minyak dengan syarat dibayar royalti.

“Ini kerana telah ditetapkan dalam undang-undang semua perkara berkaitan dengan perlombongan termasuk galian atau minyak diletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya di hadapan ribuan orang ramai di kedai Jelawat.
Pengerusi Bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata, usaha dilakukan kerajaan pusat melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjelaskan isu tuntutan hasil petroleum melalui iklan dalam akhbar semalam sebagai usaha menegak benang basah.
“Jelas usaha yang dilakukan mereka bagi memperbodohkan rakyat Kelantan,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tindakan dilakukan Umno mengiklan isu tuntutan royalti sebagai langkah yang amat terdesak.

Katanya, mereka cuba menghalalkan cara dengan cara menafikan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan.
Malah menurut beliau penjelasan tersebut tidak menyelesaikan masalah sebaliknya telah menggelirukan rakyat kerana bertentangan dengan apa yang mereka fahami sebelum ini.

“Rakyat sudah faham dengan penjelasan yang diberi pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Mana rakyat lebih percaya orang yang bertanggungjawab menubuh Petronas dengan pemimpin baru yang tidak faham apa-apa,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Laporan Sinar Harian tidak tepat – Tuan Ibrahim

Oleh Basiron Abdul Wahab   

TEMERLOH, 22 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas akhbar Sinar Harian, semalam (21 Februari) kerana menyiarkan berita yang tidak tepat terhadapnya.

Katanya, berita nasional di muka surat N7 dengan tajuk besar ‘Saya kini dalam dilema’ dan sub tajuk ‘kesal dianggap ‘tangan ghaib’ PAS, punya kuasa singkir pesaing; Tuan Ibrahim’ , sebagai tidak tepat dan tersasar.  Menurutnya, laporan akhbar berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah memasukkan kenyataan paslu yang direka-reka.

“Saya tidak menyebut perkataan sebagaimana yang disiarkan, lebih-lebih lagi kenyataan kononnya saya berada di dalam dilema, saya tidak berada di dalam dilema pun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyurat Badan Perhubungan PAS Pahang di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Akhbar berkenaan menyiarkan berita kononnya beliau berada di dalam dilema kerana ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, menyebabkan apa sahaja keputusan Lembaga Displin dianggap berat sebelah dan mempunyai agenda tersembunyi.

Menurutnya, beliau juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan: ‘Hendak diluahkan mati mak, mahu ditelan mati bapak’.

Kenyataan itu jelasnya, hanya rekaan untuk mensensasikan berita tetapi sebenarnya ia tersasar jauh daripada apa yang saya sebut semasa dihubungi pemberita terbabit.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang telah menerima permohonan maaf daripada pemberita berkenaan melalui khidmat pesanan singkat (SMS).

Filed under: News, , ,

Kehakiman lemah punca negara luar campur tangan – Abdul Hadi

Oleh Khairul Azlam   

KUALA TERENGGANU, 20 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kelemahan proses kehakiman dan perundangan negara ini telah menyebabkan pihak luar campur tangan dan memprotes sistem kehakiman negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa bercakap kepada media selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Kawasan Kuala Terengganu (Pemikat) 2010 di sini, semalam berkata, situasi itu mesti diperbetulkan supaya proses keadilan wujud.

Begitupun, beliau bukan ‘menyelar’ tetapi tidak bersetuju terhadap campur tangan asing dalam sebuah negara berdaulat di atas kaedah secara umum, iaitu atas prinsip hubungan luar dan diplomasi antarabangsa.

Ketika ditanya wartawan “Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?” Abdul Hadi menjawab begini:-

“Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.”

Berikut ialah jawaban penuh beliau kepada soalan yang dikemukakan pihak media.

Wartawan: Dalam isu campur tangan asing, apakah pandangan PAS. Sebab, ada pihak yang membantah campur tangan tersebut?
Abdul Hadi: Pertama, PAS sebagai sebuah parti Islam dari segi dalaman PAS mahu proses kehakiman berlaku dengan adil dan baik, khususnya mengikut konsep Islam itu sendiri yang perlu diberi hak kepada orang yang dituduh, hakim dan yang menuduh. Semua pihak mempunyai perhitungan dosa dan pahala, bukan sahaja undang-undang yang lahir undang-undang Barat.

Sekiranya, masalah ini tidak selesai di atas dunia ini dengan betul, Tuhan akan selesai juga di hari kiamat. Saya beri peringatan kepada semua pihaklah. Sebab itulah, dalam Islam ini ada undang-undang hudud yang termasuk di dalamnya undang-undang qazaf, dengan saksi-saksi yang betul, yang cukup jumlahnya empat orang saksi, yang budiman, yang beriman dan berakhlak. Hakim pula mestilah orang yang beriman dan bertaqwa.

Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia mahu negara kita sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlu kepada campur tangan asing, apa lagi dari negara-negara barat, negara yang bukan Islam. Campur tangan ini mungkin kerana ada tempat-tempat yang boleh ditembusi oleh campur tangan asing. Saya merasakan sekiranya kita berlaku dengan adil mengikut konsep yang tepat, ada kehebatan kita dan pihak asing tidak berani hendak campur. Ini mungkin kerana ada kelemahan-kelemahan yang memberi ruang kepada pihak asing hendak campur tangan. Dengan sebab itu, kita perlu memperhebatkan kehakiman kita sendiri dan sistem kita sendiri supaya disegani oleh semua pihak termasuk pihak asing.

Jadi, pada pandangan Datuk Seri, campur tangan asing itu tidak bolehlah?
Campur tangan tidak boleh tetapi dari dalaman sendiri mesti perbaiki, mesti ada kehebatan. Ini kerana, apa yang berlaku hari ini timbul krisis ‘keyakinan’ terhadap sistem kehakiman. Dengan sebab itu, selesaikan krisis keyakinan ini dahulu. Barulah kita ada kehebatan. Jika tidak, hilang kehebatan kita.

Jadi, PAS sendiri melihat sistem kehakiman kita tidak berjalan lancar dan dipengaruhi?
Sistem kehakiman kita masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’. Pemisahan kuasa itu tidak berlaku, sudah jadi bercelaru dan ini yang menyebabkan hilang keyakinan. Dengan sebab itu, kita mahu pemisahan kuasa itu berlaku dan barulah kehakiman itu ada kewibawaan dan ada kehebatan.

Maksud Dauk Seri, ada campur tangan dalam ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’ dan menyebabkan krisis?
Ya, krisis, krisis keyakinan yang berlaku.

Jadi, maksudnya badan kehakiman mesti jadi badan bebas dan tidak dipengaruhi?
Ya, bebas dan pemisahan kuasa itu ada, dengan sebab itu, kehakiman patut diletak di bawah Parlimen secara langsung atau di bawah Majlis Raja-Raja Melayu, supaya yang disebut Raja Berperlembagaan itu dipraktikkan dengan cara yang tepat.

Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?
Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri, tangan, jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.

Datuk Seri, tadi kata kita rasa malu sebab ada keaiban. Apa yang dimaksudkan dengan keaiban itu?
Keaibannya ialah kita melihat tidak ada pemisahan kuasa di antara semua pihak iaitu ‘legislatif, eksekutif dan judiciary’ dan Nabi kita Muhammad s.a.w. sendiri mengajar kita pemisahan kuasa ini dalam kes yang banyak dan dalam yang mengaibkan diri Nabi sendiri. Di mana Nabi s.a.w. tidak menggunakan kuasa dia tetapi dia melantik hakim untuk menyelesaikan masalah dia sendiri. Dan hakim itu diberi hak untuk menghukum jika dia salah.

Filed under: News, , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories