Kalam Perantau

Icon

Mungkinkah wujud Blok MP Bebas ?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Bekas Setiausaha Agong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Salehuddin Hashim dilaporkan mendakwa lebih 10 wakil rakyat termasuk pemimpin mungkin akan keluar dari parti itu kerana dikatakan kecewa dengan pengurusan dan halatuju parti berkenaan.

Beliau juga telah mengesahkan telah meninggalkan parti berkenaan tetapi menafikan akan menyertai UMNO dengan mengikut jejak langkah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin.

Melihat kepada seorang demi seorang pemimpin dan wakil rakyat  meninggalkan PKR, satu ‘grand design’  sedang dilakukan untuk memusnahkan karektor kepimpinan Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di parlimen.

Dengan perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengaku beliau telah tersilap memilih calon wakil-wakil rakyat PKR.  Ekoran kesilapan tersebut, Pakatan Rakyat terpaksa membayar dengan harga yang mahal, hilangnya sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Perak.

Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Changkat Jering, Kapten (B) Osman Jailu keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas pada 4hb. Februari, 2009 telah membuka laluan kepada BN merampas kerajaan Perak dari Pakatan Rakyat.

Selain Perak, BN juga cuba menimbulkan pergolakan dalam kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menyebabkan ADUN PKR Bukit Selambau, V. Arumugam yang asalnya calon Bebas melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat dan EXCO Kerajaan Negeri Kedah berkuatkuasa serta merta pada 9hb. Februari, 2009 untuk membolehkan satu pilihnraya kecil diadakan di kawasan tersebut.

Disebabkan Kerajaan Kedah tidak tergugat dengan isu tersebut, kemudiannya ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas  pada 23hb. Ogos, 2009 tetapi masih belum Berjaya menggugat kerajaan Kedah kerana tidak ada wakil  rakyat PKR lain yang mengikut beliau.   

Sungguhpun begitu, kerajaan PR Kedah bagaikan telur dihujung tanduk kerana ADUN Kota  Darul Aman (DAP), Lee Guan Aik pernah mengisytiharkan menjadi ADUN Bebas  pada satu ketika sebelum menyertai kerajaan PR Kedah semula.  

Kerajaan Pulau Pinang juga diserang dengan strategi yang sama seperti di Perak. Sasarannya adalah Timbalan ketua Menteri 1 Pulau Pinang (PKR), Mohamad Fairus Kamaruddin dengan tuduhan rasuah. Tudahan tersebut lenyap bila Fairus meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan kemudiannya sebagai ADUN Penanti pada 16hb. April, 2009.

Begitu juga di Selangor, sasarannya adalah Elizabeth Wong (PKR – Bukit Lanjang) dan Badrul Hisham Abdullah (PKR – Pelabuhan Kelang). Elizabeth kekal menjadi exco setelah bercuti selama sebulan tetapi Badrul Hisham keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas.    

MP Bebas Bantu BN cukup 2/3?

Saya tidak pasti sama ada tahun 2010 ini pesta keluar parti akan berlaku di peringkat parlimen pula setelah satu demi satu MP PKR keluar parti   sehingga  akan wewujudkan satu blok ‘MP bebas’ di Dewan Rakyat seperti yang diramalkan oleh bekas Setiausaha Agung PKR .

Sukar untuk kita menolak kemungkinan ini kerana dalam masa sebulan ini telah 2 orang Ahli Parlimen PKR, iaitu Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) pada 12hb. Februari dan 1hb. Mac, 2010 telah mengumumkan menjadi wakil rakyat bebas.

Dengan keputusan pilihanraya umum ke-12 pada Mac, 2008 yang lepas, BN – 140, PKR – 31, DAP – 28, PAS – 23. Ini bermakna BN hanya kekurangan 5 kerusi sahaja untuk mendapat majoriti dua pertiga (2/3) yang diperlukan bagi meminda perlembagaan untuk menambah kerusi parlimen dari 222 yang sedia ada.

Beberapa perkembangan pasca PRU ke-12 dari segi kedudukan kerusi parlimen memihak kepada BN terutamanya selepas Ibrahim Ali yang bertanding diatas tiket PAS dalam PRU ke-12 mengumumkan sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Dengan pengistiharan Zahrain dan Tan Tee Beng dari PKR sebagai Ahli Parlimen Bebas, bermakna BN memerlukan dua orang sahaja lagi Ahli Parlimen Bebas untuk membolehkan BN mendapat majority 2/3 yang diperlukan dengan mengambil kira dua Ahli Parlimen SAPP, yang keluar BN dan mengisitiharkan bebas  juga akan bekerjasama “mesra” BN.

Dalam masa yang sama, beberapa ahli parlimen kerana mempunyai masalah dengan kepimpinan PKR sekarang ini. Nama pemimpin-pemimpin ini sedang dipancing oleh BN. Ada yang menafikannya, tetapi penafian ahli politik tidak boleh percayai sepenuhnya.

Beberapa nama lain sedang hangat di spekulasikan untuk berbuat demikian menjadi Ahli Parlimen Bebas dalam beberapa bulan akan datang ini terutamanya menjelang pembentangan rang pindaan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dijangkakan pada tahun ini.

Sementara Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (PKR) yang turut dihadapkan kepada Lembaga Disiplin PKR, menegaskan beliau tidak sama sekali akan keluar dari parti tersebut walaupun beliau mendakwa ada cubaan mahukan beliau dipecat dari PKR.   

Beliau dihadapkan kepada Lembaga Dispilin PKR kerana bertindak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah. Ekoran kes ini, Zulkifli yang pernah bertanding atas tiket PAS sebelum ini sukar untuk diterima semula ke dalam parti tersebut tetapi sekarang mengalihkan perhatiannya kepada DAP pula. 

Ramai yang menanti-nantikan perkembangan selanjutnya sama ada BN dan sekutunya akan cukup 2/3 atau tidak di parlimen bagi membolehkan  undang-undang yang berkaitan tambahan kerusi pilihanraya dipinda.

Jika ini berlaku, bermakna ‘blok MP Bebas’ akan menjadikan mereka kuasa ketiga dalam menentukan tawar menawar politik peringkat tinggi. Kita tunggu perkembangan selanjutnya.

Artikel ini diterbitkan untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: