Kalam Perantau

Icon

Dua Tahun Kerajaan Pakatan Rakyat – Prestasi PR tidak memuaskan?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Hari ini 8hb Mac, 2010 genap 2 tahun selepas PRU ke-12. Jadi tinggal setahun sahaja  lagi pilihanraya kecil boleh dilakukan. Selepas genap 3 tahun dan baki 2 tahun terakhir sebelum pilihnraya umum ke-13 bakal diadakan, pilihanraya kecil tidak wajib lagi diadakan dalam masa 60 hari selepas sesuatu kerusi itu menjadi kosong oleh berbagai sebab.

Tidak semena-mena baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri begitu bersungguh-sungguh menafikan Pilihanraya DUNi Perak diadakan serentak dengan Pilihanraya DUN Sarawak yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa pada tahun ini.

Sekarang ini hanya DUN Sarawak sahaja lagi yang mengadakan pilihnraya negeri berasingan dengan pusat.  Ramai pemerhati politik menjangkakan Pilihanraya DUN Sarawak akan diadakan sekitar bulan Julai tahun ini, yakni  sebelum umat Islam menyambut Ramadhan. 

Kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud selepas Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputra  (PBB) Sarawak baru-baru ini, Sarawak telah bersedia mengadakan pilihanraya negeri pada bila-bila masa telah memperkukuhkan lagi tanggapan ini.

Tambahan pula parti yang dijangka menjadi pesaing utama dalam pilihanraya Sarawak kali ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang bergolak dengan beberapa Ahli Parlimen dan ADUN PKR bertindak menjadi wakil rakyat bebas.

Rumah Siap, Pahat Berbunyi

Sana sini media-media utama memberikan gambaran bahawa kerajaan Pakatan Rakyat (PR) gagal memerintah. Jurucakap utama adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri. Tetapi lain pula dengan Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya tentang prestasi 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat, beliau amat berpuas hati.  

Tidak pasti apakah ukuran yang mereka gunakan sama ada berpuashati atau gagal. Cuma saya lebih seronok dengan cara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak apabila ditanya tentang perkara ini, sama ada kerajaan pimpinannya berjaya atau tidak selepas 2 tahun memerintah. Cukup mudah jawapannya, beliau hanya buat kerja yang telah diamanahkan kepadanya sahaja biarlah orang lain menilai.      

Cuba kita lihat Perak, apakah kejayaan BN memerintah negeri tersebut sejak BN merampasnya sejak lebih setahun yang lepas. Keadaan ini menyebabkan penyelesaian kehakiman politik di mahkamah tidak memberikan apa-apa makna kepada kestabilan politik di negeri ini.   

Tak habis habis dengan perang politik yang tidak berkesudahan antara Datuk Seri Nizar (PR) dengan Datuk Seri Zambry (BN) untuk kerusi Menteri Besar. Belum lagi masuk V. Sivakumar (PR) lawan Ganesan (BN) untuk kerusi Speaker. Tidak ada satu manfaat pun kepada rakyat kerana pemimpin BN dan PR menghabiskan sebahagian besar masa mereka untuk menghadapi pesaing politik mereka.

Sudah tidak ada pilihan lain melainkan penyelesaian melalui kehakiman rakyat dalam satu pilihanraya semula yang perlu diadakan pada bila-bila masa untuk memastikan sama ada BN atau PR mendapat mandat yang jelas dari rakyat..

Untuk rekod, kedudukan BN dan PR sama kuat terikat pada 28 kerusi. Sultan membenarkan BN membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan PR sebelumnya kerana 3 orang ADUN PR yang mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas (Behrang – Jamaluddin Mohd Radzi, Changkat Jering – Othman Jailu dan Jelapang – Hee Yit Fong) menginsiharkan sokongan kepada BN.

Selain Perak yang sudah berjaya dirampas oleh BN melalui “pintu belakang” tanpa melalui proses demokrasi berpilihnraya, sekarang ini BN mensasarkan Selangor pula. Keadaan di Selangor sengaja disensaikan sebegitu rupa bagi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan PR pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bermula dengan isu gambar bogel Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjang) yang juga exco Kerajaan Selangor menyebabkan beliau diserang bertubi-tubi dan diberikan tekanan supaya meletakkan jawatan  berjaya diredakan dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim memberikan cuti khas selama sebulan.

Berakhirnya kes ini, beberapa Ahli Parlimen dan ADUN PR Selangor pula tidak berpuashati dengan Menteri Besar. Terdapat desas-desus di sana sini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan digantikan.  Berbagai usaha dilakukan sama ada oleh kelompok PR apatah lagi dalam kelompok BN.

Sebagaimana yang saya tulis minggu lepas, episod ini berakhir  dengan BN hanya berjaya mendapatkan seorang sahaja ADUN PR, Badrul Hishjam Abdullah (PKR – Pelabuhan Kelang) keluar PKR menjadi ADUN Bebas.  

Plot yang sama telah dimulakan di Kedah lebih awal dari Selangor  tetapi masih belum Berjaya juga. Di Kedah, ADUN  PKR Bukit Selambau, V Arumugam yang juga exco Kerajaan Kedah  menjadi sasaran menyebabkan beliau meletakkan jawatan exco dan ADUN untuk membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan tetapi kerusi berkenaan juga dimenangi oleh calon PKR, S Manikumar dalam satu pertandingan 15 penjuru.

Kemudiannya ADUN DAP Kota Darul Aman, Lee Guang Aik pernah mengistiharkan keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sebelum kembali semula menyokong kerajaan Pakatan rakyat Kedah ekoran camportangan DAP Pusat.   

Provokasi berterusan BN menyebabkan ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh yang juga EXCO Kerajaan Kedah keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas tetapi setakat ini belum Berjaya menggugat Kerajaan Kedah.

Sekarang ini kerusi DUN Kota Seputih yang terpaksa di kosongkan oleh BN kerana Datok Abu Hassan Sharif hilang kelayakan sebagai ADUN disebabkan tidak hadir sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa memaklumkan kepada Speaker.   

Kerusi DUN Kota Seputih  ini merupakan kerusi tradisi UMNO dan tidak pernah dimenangi oleh pembangkang hingga kini. Kerusi ini dijangka menjadi tumpuan  PAS untuk dimenangi  bagi menyelamatkan kerajaan PR   yang seperti telor di hujung tanduk.

Malah keadaan di Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP juga tidak ketinggalan digugat oleh BN. ADUN PKR juga menjadi mangsa kerana mereka gagal untuk mengumpan ADUN DAP dan PAS setakat ini. Timbakan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus kamaruddin terpaksa meletakkan jawatannya dan juga ADUN Penanti untuk membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan. Kerusi tersebut kemudiannya tetap dimenangi oleh calon PKR,  Mansor Osman yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Setahun selepas meletakkan jawatan, Mohamad Fairus Khairuddin kemudiannya menyertai UMNO kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan PKR.  Selain itu seorang demi seorang Ahli Parlimen PKR keluar parti menjadi wakil rakyat bebas. Tindakan mereka ini ibarat rumah siap, pahat masih berbunyi.      

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah 

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: