Kalam Perantau

Icon

Pembangkang berebut kerusi menjelang pilihan raya Sarawak ?

Komen : Kalam Perantau tidak nampak rasional PAS bertanding 28 kerusi di DUN Sarawak.  PAS perlu realistik dan ukur  baju di badan sendiri. Persoalannya, mampukah PAS bertanding 28 dari 71 kerusi di DUN sarawak?


Oleh Dr Jeniri Amir

Tanda-tanda bahawa pilihan raya negeri ke-10 kian dekat, semakin terasa. Suhunya semakin membahang apabila Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menasihati para pemimpin Barisan Nasional (BN) agar lebih kerap turun ke akar umbi bagi mendekati dan memahami masalah dan aspirasi rakyat, ketika berucap merasmikan Regata Batang Rajang 13 Mac lalu.

Kekerapan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sarawak, dengan langkah terbaharu menghulurkan peruntukan pembangunan luar bandar sebanyak RM3.4 bilion beberapa minggu lalu membayangkan bahawa ‘gendang perang’ sudah mulai dipalu. Beberapa buah parti dan bakal calon juga menyatakan kesediaan untuk bertanding di sesuatu kawasan jika diberi peluang, mengesahkan lagi bahawa pilihan raya kian menjelang.

Ketika pilihan raya hangat dibincangkan di kedai kopi dan akhbar, parti komponen Pakatan Rakyat yang akan memetrai pembentukannya di peringkat negeri secara rasmi menjelang Jun depan, sudah memperkatakan soal agihan kerusi. Gabungan Pakatan Rakyat bakal terdiri daripada empat buah parti, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Jika ada isu kontroversi dan rumit yang bakal dihadapi Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya negeri, isu itu adalah berkaitan dengan pengagihan kerusi.

Masing-masing parti berusaha untuk mendapat sebanyak mungkin kerusi. Masing-masing cuba meyakinkan rakan komponen bahawa parti mereka mempunyai pengaruh yang kuat dan berpotensi memenanginya. Jika tidak ditangani dengan bijak dan betul, isu ini akan menjadi bom jangka yang bakal meledakkan nasib dan impian Pakatan Rakyat untuk menambah jumlah kerusi dalam pilihan raya nanti.

PAS yang mula melebarkan sayapnya ke negeri ini sejak 1996 memasang angan-angan untuk bertanding di 26 kawasan Melayu-Melanau. Parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia itu bernafsu besar untuk memenangi semua kerusi yang bakal ditandinginya.

Sama ada itu keyakinan yang berasas atau keyakinan palsu, mereka yang faham bagaimana pengaruh dan juga imej PAS di Sarawak, menganggap bahawa kenyataan pemimpin terbabit tidak lebih daripada sekadar angan-angan besar.

Perhitungan PAS mudah difahami. Sesiapa yang hendak turun berperang, perlu yakin bahawa dia akan pulang dengan kemenangan besar. Mengangkat bendera putih sebelum turun ke gelanggang pertarungan menandakan kebaculan dan boleh melemahkan pengikut. Inilah strategi dan pendekatan yang cuba diambil oleh PAS.

Terus terang, untuk beberapa pilihan raya lagi, PAS boleh berangan-angan untuk menguasai kerusi di kawasan Melayu-Melanau, yang menjadi benteng kuat Parti Pesaka Bumiputera (PBB) pimpinan Taib Mahmud.

Ketika PAS kelihatan sukar mengawal nafsu dan imaginasinya, DAP pula bercadang untuk mencuba nasib di 25 kawasan, meskipun mengakui berpuas hati jika diberi peluang bertanding di 20 kerusi majoriti Cina atau campuran Cina. Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berhasrat untuk bertanding di lebih 25 kerusi, terutama di kawasan Melayu-Melanau dan Iban.

Bayangkan jika semua pihak dalam Pakatan Rakyat berkeras untuk bertanding mengikut kemahuan masing-masing? Akhirnya, mereka akan bertembung sesama sendiri, termasuk di kalangan individu yang kecewa tidak diberi peluang oleh parti. Mereka inilah yang akan bertanding sebagai calon Bebas kerana memenuhi agenda peribadi yang sempit.

Dalam satu kenyataan akhir Februari lepas, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution membayangkan hasrat Pakatan Rakyat untuk bersemuka dengan calon BN secara langsung di semua kerusi. Pertandingan lebih daripada dua penjuru akan cuba dielakkan bagi menjamin kemenangan di pihak Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum 2008, strategi itulah yang digunakan oleh Pakatan Rakyat di Semenanjung Malaysia bagi menjamin kemenangan. BN terpukul teruk apabila gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Dari segi realiti, pasti akan berlaku pertandingan pelbagai penjuru, kerana Parti Cinta Malaysia (PCM) akan menentang calon BN dan Pakatan Rakyat, selain kehadiran banyak calon Bebas yang bertanding atas pelbagai motif dan tujuan. Bagi Pakatan Rakyat, PCM boleh dianggap sebagai pengacau yang merosakkan hasratnya itu. Kehadiran calon PCM bakal menguntungkan BN kerana undi untuk pembangkang akan berpecah.

Dalam pilihan raya 2006, BN menguasai 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pilihan raya itu menyaksikan parti tulang belakang, PBB memenangi semua 35 kerusi yang ditandingi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 11 daripada 19 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan daripada sembilan kerusi, dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) memenangi kesemua lapan kerusi.

Keputusan itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan keputusan 2001 apabila BN membolot 61 daripada 62 kerusi, sebelum jumlah kerusi ditambah menjadi 71 ekoran proses persempadanan semula oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sembilan orang calon pembangkang bernasib baik daripada 87 orang yang mencuba nasib. Enam kerusi dimenangi DAP daripada 12 yang ditandingi, manakala calon PKR satu daripada 25 kerusi, SNAP satu daripada 28 yang ditandingi dan calon Bebas hanya memenangi satu kerusi masing-masingnya. PAS tewas di satu-satunya kerusi yang ditandinginya. PCM baru bertapak di Sarawak beberapa bulan lalu apabila wakil Bebas kemudiannya menerajui parti itu, sesudah keluar dari PKR.

Dalam pilihan raya akan datang, SUPP yang pada pilihan raya lalu dibelenggu masalah pergolakan dalaman dan kepemimpinan, yakin untuk merampas kembali empat kerusi daripada DAP. SUPP yakin memenangi kerusi itu kerana percaya bahawa rakyat sudah meragui keupayaan DAP memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina.

Benarkan SUPP di bawah teraju Tan Sri Dr George Chan dapat mengaum pada Tahun Harimau? Atau ia tidak lebih daripada harimau tua yang sudah hilang gigi?

SUPP berazam dan yakin dapat merampas kembali empat kerusi di Kuching yang kini dikuasai DAP, iaitu Padungan, Pending, Batu Lintang, dan Kota Sentosa. Namun ada pemerhati yang meramalkan jika tersalah perhitungan, SUPP bukan sahaja akan gagal merampas kerusi terabit, malah akan menyaksikan satu atau dua lagi kerusinya terlepas ke tangan DAP yang telah bertapak di Sarawak sejak 32 tahun lalu?

Dalam pilihan raya lalu, sokongan komuniti dan pengundi Cina terhadap SUPP merosot tajam. Dalam 15 kawasan majoriti Cina yang ditandinginya, undi yang diraihnya merosot daripada 66.2 peratus pada 2001 kepada 49.2 peratus pada pilihan raya 2006. Manakala di lapan kawasan yang dimenanginya, undi yang dimenangi turut merosot, kecuali di Bengoh, kawasan 65 peratus pengundi Bidayuh.

Satu lagi persoalan yang dijangka menarik perhatian menjelang pilihan raya akan datang ialah, bagaimana dengan kerusi yang kini digenggam empat wakil rakyat SPDP, yang bertindak keluar psrti dan seterusnya ingin menyertai PRS gara-gara kecewa dengan kepemimpinan Datuk Seri William Mawan Ikom? Adakah Mawan yang kini tertekan dengan jumlah kerusi yang dikuasainya kini, bersedia melepaskan kerusi terbabit untuk ditandingi wakil rakyat berkenaan? Atau beliau akan berkeras untuk memastikan kerusi terbabit ditandingi calon baru SPDP?

Masalah dan isu peruntukan kerusi tidak mudah diselesaikan. Isu itu pasti akan membelit Pakatan Rakyat dan dijangka mencetuskan kontroversi. Itulah sebabnya pemimpin kanannya menasihati agar isu dan masalah parti tidak dibincangkan secara terbuka, termasuk melalui media agar tidak dieksploitasi oleh pihak lawan.

Lagi cepat isu itu diselesaikan, lagi baik untuk Pakatan Rakyat. Bagi kerusi membabitkan SPDP, satu jalan keluar mungkin dengan membenarkan calon bertanding atas lambang BN, sesuatu yang pernah terjadi sebelum ini apabila krisis tercetus antara SNAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Kerusi pasti akan terus menjadi rebutan, kerana kerusi melambangkan kuasa dan pengaruh. Mereka yang menguasainya cuba dengan apa-apa cara untuk mempertahankannya, manakala yang belum mendudukinya, memasang angan-angan untuk merampas daripada pihak yang menguasainya. Perebutan kerusi akan terus sengit dalam pilihan raya yang dijangka seawal Jun dan selewat-lewatnya April tahun depan.

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: