Kalam Perantau

Icon

Royalti, Ku Li terus dibuli

Oleh: Wan Nik Wan Yusoff

“Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mahu Petronas melakukan perkara yang betul dan jujur terhadap perjanjiannya dengan kerajaan Negeri. Demikian lapor The Edge (05 Februari, 2010).

Menurutnya, Petronas telah melakukan kesilapan serius dengan membayar wang ihsan atau “compassionante grants” yang dianggap sebagai bayaran tunai atau royalti minyak.

Paling mencetuskan persimpangan pandangan awam, apabila Ku Li sedia tampil di pentas ceramah anjuran NGO, Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Negeri Kelantan (GEGAR) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 28 Januari lalu.  

Lalu berlaku tuduhan terhadap Ku Li, bahawa beliau telah menyertai pentas kerajaan PAS Kelantan. Sedangkan, hakikatnya ia sebuah NGO yang merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin dengan isu tuntutan royalti petroleum (royalti minyak) dari Petronas. 

Tuduhan ke atas Ku Li itu adalah agenda media pro-BN apabila tajuk-tajuk akhbar dan laporan media itu awa-awal telah menghukum Ku Li. Misalnya, tajuk Berita Harian (3 Februari, 2010) menyiarkan, ”Ku Li tidak wajar guna platform PAS – Ahli Parlimen boleh bincang isu petroleum secara langsung dengan PM : Dr Mahathir” ; Utusan Malaysia (3 Februari, 2010) bawah tajuk “Pemuda, Wanita Gua Musang kecewa – Tindakan Ku Li berceramah di pentas  pembangkang berhubung royalti petroleum”; dan Utusan Malaysia (4 Februari, 2010) bawah tajuk “Disaran sertai pembangkang.”

Kesemua tajuk berita dan kandungan berita itu boleh dianggap sebagai permainan pemimpin Umno melalui media untuk membuli Ku Li secara ’torture’ atau ’mengasak’. Kesannya rakyat akan keliru dan fakta sebenar telah diselewengkan apabila ia disertai dengan kenyataan pemimpin Umno yang telah menghukum Ku Li lebih awal. Bermakna tindakan Ku Li dianggap salah.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata (Utusan, 30 Januari, 2010), Umno akan meneliti terlebih dahulu kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Ku Li mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya. Pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kenyataan yang dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sebelum menentukan adakah ia melanggar disiplin parti.

Pengumuman Ku Li mengetuai kaukus itu dibuat semasa menyertai Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata (Bernama, 2 Februari 2010) tindakan bekas Menteri Kewangan, Ku Li yang menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian berkenaan isu royalti minyak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Sepatutnya Ku Li boleh menggunakan medium lain yang lebih sesuai seperti forum untuk menyatakan sesuatu pandangan.

Mungkin pandangan Dr. Mahathir itu tidak memandang Ku Li sebagai seorang pemimpin yang prihatin terhadap hasrat rakyat. Faktanya adalah kebenaran bukannya anjakan fakta perjanjian. Oleh itu, tidak berbangkit bagi Ku Li tampil di pentas pembangkang atau tidak. Penting bagi Ku Li ialah menyatakan kebenaran atas hak rakyat negeri Kelantan.  Badan Perhubungan Umno Kelantan telah memberi reaksi kepada hasrat Ku Li, Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata (Utusan, 1 Februari 2010), dalam hal ini hanya Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mempunyai kuasa untuk mengambil apa juga tindakan ke atas mana-mana pemimpin yang terlibat dengan tindakan yang bertentangan dengan dasar parti.

Sehubungan itu kata Mustapa, Umno Kelantan tidak akan mengambil apa-apa tindakan sebaliknya membiarkan MT Umno untuk membuat keputusan yang sewajarnya.”Kita tidak ada apa-apa kuasa untuk mengambil tindakan. Terserah kepada MT Umno kalau mahu mengambil tindakan,” katanya.

Semacam menderhaka 

Pun begitu, pemimpin Umno Kelantan juga tertekan, apabila bekas ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas (Harakah, 1-4, Februari 2010) menganggap, ”ada segelintir pemimpin Umno cuba menentang hak Kelantan, dan menjadi penderhaka kepada negeri sendiri.”  Lalu Mustapa bersama-sama dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin membidas balik kenyataan Tun Salleh itu (Utusan, 2 Februari, 2010) dengan berkata, “saya tidak ‘gedebe’ mahu membuat keputusan sendiri, saya bukan penderhaka dan pengkhianat. Saya adalah anak Kelantan yang memperjuangkan Islam dan bangsa saya.” 

Persoalannya, kenapa pemimpin Umno tidak menuntut royalti mengikut kehendak perjanjian kerajaan Negeri dengan Petronas? Sebaliknya, mereka boleh bersetuju pula dengan pemberian wang ihsan yang tidak berteraskan apa-apa perjanjian. Hakikatnya wang ihsan sengaja diadakan bagi ’menyara’ Umno di Kelantan dan ia tidak sama dengan royalti. Wang ihsan tidak lebih daripada pemberian biasa kerajaan Pusat kepada Negeri sahaja. Bagi Mustapa, semua kenyataannya berhubung tuntutan royalti minyak kerajaan PAS adalah berdasarkan keputusan mesyuarat yang turut disertai oleh Petronas, Peguam Negara dan pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Persoalannya, Petronas menjalin perjanjian dengan Negeri Kelantan. Kenapa Kelantan diketepikan dalam soal berunding itu. Maka, sahlah persetujuan Petronas itu adalah semata-mata kehendak Umno yang tersasar daripada amanah perjanjian 9 Mei, 1975.

Cadangan Ku Li
Menurut Ku Li (Utusan, 29 Januari, 2010) kaukus boleh berfungsi sehingga mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia. Ahli Parlimen Gua Musang, itu turut menegaskan beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya tentang royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri.  Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau bebas untuk bersuara selagi ia tidak melanggar undang-undang dan disiplin parti walaupun berada di atas pentas pembangkang malam tadi.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya tidak pernah menjadi pak turut. Kalau orang ajak kita masuk ‘rok’ (semak), kita masuk ‘rok’ lah,” katanya. Ku Li sekali lagi menegaskan bahawa sebagai individu yang terlibat dengan penubuhan Petronas, beliau tahu kerajaan negeri mempunyai hak menerima royalti berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974. Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu mendakwa, royalti itu masih tetap milik Kelantan walaupun pada kawasan yang bertindih dengan Thailand dan ini bertentangan dengan pendirian Kerajaan Pusat yang menetapkan Kelantan hanya layak menerima wang ihsan.

Kenyataan Ku Li jelas, bahawa Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus daripada kerajaan Pusat adalah bertentangan dengan pendirian beliau lebih 10 tahun lalu.

Dulu lain, sekarang lain
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata (Utusan online, 30 Januari, 2010), pernah Ku Li antara pemimpin yang paling lantang menafikan hak Terengganu ketika pemimpin PAS di negeri itu mengemukakan tuntutan sama. Merujuk kepada laporan beberapa akhbar (antaranya Utusan, 1 November, 2000), Awang Adek berkata, Ku Li tahu setiap perjanjian berhubung pengeluaran minyak dan gas di perairan negara ini yang mana kerajaan negeri memang tidak mempunyai hak. 

Namun, bila difahami maksud kenyataan Ku Li pada tahun 2000 itu adalah atas hujah pemberian wang ihsan untuk kepentingan rakyat. Sebaliknya Ku Li tidak mengulas persoalan Perjanjian Negeri Terengganu dengan Petronas. Maka, kenyataan Awang Adek itu sebagai satu fakta pembohongan ‘atas darat.’  Ini kerana nilai keadilan di sebalik perjanjian ialah hak dan perundingan serta timbang tara. Bukannya boleh ditukar-tukar secara mudah kepada wang ihsan. 

Jika benarlah, kerajaan Negeri tiada hak menerima pembayaran wang tunai, apakah fakta pembayaran wang tunai (royalti) sepanjang hayat kerajaan BN di Terengganu sebelum 1999 adalah satu kesilapan? Ini kerana, sebaik sahaja PAS memerintah Terengganu royalti dihentikan pada tahun kedua, sedangkan pada tahun pertama perkara itu dibayar seperti biasa. Jika pendirian itu benar (tiada hak bayar royalti), maka Petronas boleh menuntut balik pembayaran itu (kerana tidak ikut lunas undang-undang).

Ku Li terus dibuli
Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin berkata (Utusan, 1 Februari, 2010), jika benar Ku Li ingin menjadi ‘jambatan’ penghubung antara kerajaan Negeri dengan Pusat berhubung isu berkenaan ia boleh dilakukan di luar pentas ceramah. Dali juga meminta Ku Li menarik balik pendiriannya untuk menyokong pembayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan kepada negeri Kelantan.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz berkata (Utusan, 2 Februari, 2010), Ku Li mungkin terlanjur kata berhubung perkara tersebut dan belum terlambat baginya untuk membetulkan semula kenyataan itu. Menurutnya, beliau kecewa terhadap perubahan nada bekas Menteri Kewangan itu kerana ia bercanggah dengan kenyataannya 10 tahun lalu (tahun 2000), sepertimana dakwaan Awang Adek.
Menurut Mohamed, ”bekas Pengerusi Petronas itu pernah menyatakan Terengganu dan Kelantan tidak berhak menerima royalti minyak kerana operasi Petronas terletak di luar kawasan dua negeri berkenaan, tetapi kini berkata sebaliknya,” katanya.

Dalam hal di atas, siapalah pemimpin-pemimpin Umno itu! Datang mereka terkemudian berbanding Ku Li. Semua mereka tidak terlibat dalam pembinaan Akta Pembangunan Petroleum 1974, dan perjanjian 1975 antara Petronas dengan negeri-negeri di Negara ini. Sabarlah Ku Li, meskipun dibuli sesama Umno, rakyat Kelantan tetap bersama Ku. Doa rakyat Kelantan adalah keramat. Kepimpinan Ulama’ tetap menyinar bersama GEGAR menuntut hak royalti.
Salam perjuangan.

Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Filed under: News, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: