Kalam Perantau

Icon

Krisis istana: Nik Aziz minta rakyat Kelantan bertenang

Oleh : M Faqih    

MACHANG, 28 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) meminta rakyat bertenang ekoran berlaku krisis membabitkan istana Kelantan sekarang.

Katanya, rakyat hendaklah bertenang dan berdoa kepada Allah Taala meminta supaya krisis yang berlaku sekarang tidak berpanjangan.

“Saya bimbang berulang kembali peristiwa lama iaitu pelantikan raja seperti di Ketereh suatu ketika dahulu, itu memalukan,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan kilang GMP Nutraseutikal di Labok, hari ini.

Kilang itu milik Kilang Biotech Corporation Sdn Bhd anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Abdul Fattah Mahmood dan Wan Ubaidah Omar.

Selain itu, anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman serta Yang Dipertua PAS Machang, Datuk Hassan Muhamad juga hadir.

Khamis lalu, krisis membabitkan istana Kelantan memuncak apabila Tengku Muhammad Faris Petra cuba dilucut jawatannya sebagai Pemangku Raja.

Kenyataan itu dibuat bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku sebagai Setiausaha Sulit Sultan.

Ekoran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) mengumumkan Pemangku Raja memecat Yang Dipertua MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan diganti dengan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

Peristiwa pelantikan raja di Ketereh berlaku pada 29 April 1993 apabila Tengku Ibrahim Petra disambut besar-besaran pemimpin Umno ketika pulang ke Kelantan.

Menteri Besar turut berdoa mudah-mudahan Pemangku Raja berada di dalam keadaan sihat walafiat dan Tuanku Sultan sihat kembali.

“Keduanya kita kena ingat memerintah negeri ini bukan satu tradisi tetapi terlibat sama dengan agama iaitu ada dosa dan pahala.

“Hendak memerintah negeri dengan sebarangan tidak boleh,” ujarnya.

Beliau juga berkata, krisis itu tidak sukar diselesaikan apabila semua pihak kembali kepada perlembagaan negeri memandangkan tuanku masih lagi gering sekarang.

“Saya telah melawat bersama anggota-anggota Exco dan melihat tuanku berada di atas kerusi roda, kena ada orang di kiri dan kanan baginda sebagai orang tengah.

“Jadi keadaan tuanku ini perlu memakan masa lagi, perlu kepada penjagaan doktor dan tuanku perlu serah kepada anakandanya, Tengku Muhammad Faris untuk mentadbir negeri.

“Insya Allah rakyat Kelantan akan berdoa semoga tuanku sihat walafiat dan anakanda Tengku Mahkota dapat memandu Kelantan secara fizikal dan rohani,” katanya.

Ditanya krisis itu berlaku kerana ada pihak enggan mematuhi undang-undang, beliau tidak mahu ganggu perkara tersebut.

“Saya bukan ahli undang-undang. Yang menjaga perlembagaan ada orangnya iaitu peguam,” ujarnya.

Mengenai cadangan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) supaya diadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) katanya, itu masalah teknikal.

Menurutnya, kalau boleh beliau tidak mahu isu berkenaan dihebohkan, dan apabila ada persidangan Dun tentunya ia menjadi heboh.

Kata beliau, istana merupakan institusi kesayangan orang Melayu, khasnya orang Kelantan.

“Dan apabila timbul sesuatu isu membabitkan istana, kita kena selesai dengan cara bil hikmah. Dan kalau tidak boleh, kita buat kena kembali kepada perlembagaan,” katanya

Filed under: News, , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: