Kalam Perantau

Icon

Rombakan Kabinet selepas Pilihanraya Kecil Hulu Selangor?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sebelum ini, spekulasi rombakan Kabinet memang bertiup kencang dan ramai berpendapat Perdana Menteri akan menunggu selepas pemerintahan memasuki usia setahun dan MCA meleraikan isu kepemimpinannya sebelum membuat sebarang pengumuman rombakan kabinet 1Malaysia. 

Tulisan saya berhubung Kemelut Presiden MCA dan Rombakan Kabinet pada minggu lepas (bil: 193) mendapat perhatian. Sekarang, kemelut dalaman MCA hampir menenui jalan penyelasaiannya dan mungkin reda buat sementara waktu. Ramai membuat spekulasi rombakan Kabinet hanya akan diadakan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor berakhir. Perdana Menteri dijangka akan menunggu pula keputusan pilihanraya kecil Hulu Selangor yang secara tradisi ditandingi MIC berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk merombak kabinet kali ini.

April ini, genap setahun kabinet Najib yang ada hari ini. Dengan berbagai masalah yang melanda MCA dewasa ini sewajarnya ia dirombak semula bila dua menteri  MCA iaitu Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan)  gagal mengekalkan kerusi  Presiden MCA  dan Kong Cho Ha (Menteri  Perumahan dan Kerajaan Tempatan)  pula kecundang dalam cubaan untuk menjadi Timbalan Presiden dalam pemilihan semula MCA baru-baru ini.

Tee Keat dijangka tidak akan menunggu sehingga digugurkan daripada Kabinet untuk membuat keputusan meletak jawatan, begitu juga dengan Datuk Seri Kong Chong Ha, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri bila ditanya sama ada Datuk Seri Chua Soi Lek akan menyertai kabinet semula ekoran kemenangannya dalam pertandingan tiga penjuru  Presiden MCA pada Ahad, 28hb. Mac yang lepas hanya menjawab beliau perlu menganalisa signal yang dihantar oleh perwakilan MCA 

Beliau juga dilaporkan berkata, ”saya juga tidak akan menetapkan tempoh masa (isu rombakan Kabinet) kerana saya perlu menemui Soi Lek terlebih dahulu,”. Berhubung rombakan Kabinet Perdana Menteri berkata, beliau akan menemui Soi Lek untuk mendapatkan maklum balas mengenai pandangan serta cadangannya secra spesifik mengenai jawatan-jawatan dalam kerajaan.

MCA dipertuntukkan dengan empat (4) kerusi Menteri penuh dan beberapa kerusi Tmbalan Menteri. Empat Menteri yang mewakili MCA adalah Datuk Ong Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan, Datuk Liow Tiong Lai sebagai (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  dan Datuk Ng Yen Yen, sebagai Menteri Pelancongan.

Presiden MCA dilantik ke dalam kabinet sebagai Menteri. Secara tradisinya diberikan portfolio   Menteri Penangkutan yang kini disandang bekas Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat.  Sejak menyertai BN, satu atau dua kali sahaja Presiden MCA tidak mahu menyertai kabinet. Kalau tidak silap, Tun Tan Siew Sin dan Ong Ka Ting pernah menolak tawaran Perdana Menteri untuk dilantik sebagai Menteri untuk seketika sahaja. Itu pun bersifat sementara.

Datuk Seri Ng Yen Yen, Naib Presiden MCA yang mendapat undian tertinggi dilaporkan media massa berpendapat, soal jawatan bukan agenda penting Dr Chua, sebaliknya MCA akan membentuk pasukan untuk membantu BN menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor. Tetapi jika sesiapa mengikuti perjalanan politik Dr Chua Soi Lek, pemimpin veteran MCA ini nyata suka membuat kejutan.

Berakhirkah kemelut MCA?

Perwakilan MCA sudah pun memilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden baru parti itu secara demokrasi kelmarin, setelah mengalahkan saingannya Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat. Chua Soi Lek memperoleh 901 undi dan berjaya mengetepikan cabaran bekas pemimpin nombor satu, Tan Sri Ong Ka Ting (833 undi) dan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat (578 undi).

Kemenangan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA perlu diterima semua pihak.  Ternyata percaturan Soi Lek meletak jawatan bersama beberapa pengikutnya menjelang Perhimpunan Agung MCA  dan bersedia mengadakan pemilihan baru seperti yang dituntut oleh kumpulan Liow Tiong Lai adalah berpihak kepada mereka berdua.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menang tipis apabila majoriti yang diperolehnya hanya 65 undi sahaja. Tiong Lai berjaya memperoleh 1,171 manakala lawannya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Naib Presiden memperoleh 1,106 undi.

Manakala jawatan Naib Presiden pula, dimenangi oleh Datuk Seri Ng Yen Yen( Menteri Pelancongan), Datuk Donald Lim Siang Chai; (Timbalan Menteri Kewangan), Datuk Chor Chee Heung dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Gan Ping Sieu.

Penganalisis politik berpendapat, pemilihan Chua Soi Lek  itu turut memberi satu mesej jelas bahawa MCA tidak perlu menoleh kebelakang dengan meletakkan semula Presiden yang telah berundur (Ong Ka Ting) atau Presiden yang telah ditolak kempimpinannya oleh perwakilan (Ong Tee Keat).

Dengan keputusan tersebut, Chua Soi Lek, Presiden MCA yang baru mempunyai tugas berat dalam usaha menyatukan semula kepimpinan MCA selepas parti berkenaan melalui fasa krisis kepimpinan sejak dua tahun lalu.

Kepimpinan Soi Lek dan Tiong Lai yang kumpulan yang berbeza  diperlukan untuk mengembalikan semula kepercayaan ahli-ahli parti serta masyarakat Cina keseluruhannya kepada MCA. Lebih penting, timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, perlu mengetepikan kekecewaan dengan kekalahan regunya, Tan Sri Ong Ka Ting bagi jawatan Presiden MCA dan memulakan kerjasama dengan Dr Chua untuk mengukuhkan parti.

Ramai mengharapkan keikhlasan Dr Chua apabila berjanji akan menyatukan semua puak berpecah di dalam MCA, termasuk memberi tempat untuk bekerjasama dengan Tee Keat dan Tan Sri Ong Ka Ting. Persoalannyanya, mampukah mereka berkerjasama menyatukan semula MCA yang sudah berpecah kepada 3 kumpulan; Soi Lek-Cho Ha, Ka Ting-Tiong Lai dan Tee Keat.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: