Kalam Perantau

Icon

Pilihanraya Kecil Hulu Selangor : Pertemuan buku dengan ruas ?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kekosongan kerusi parlimen Hulu Selangor telah lama dijangkakan oleh kedua-dua pihak sama ada BN ataupun Pakatan Rakyat. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang sendiri telah turun menggerakkan jentera kempen masing-masing. 

Kedua-dua pihak dilaporkan telah lama menggerakkan jentera  untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya kecil berlaku. SPR telah mengumumkan pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25hb. April, 2010 jika ada pertandingan selepas penamaan calon diadakan pada 17hb. April, 2010 ekoran kematian Ahli Parlimen, Datuk Zainal Abidin Ahmad (PKR).

Keputusan pilihanraya umum pada 8hb. Mac 2008 yang lepas di kerusi ini amat menarik untuk dianalisa oleh pengkaji-pengkaji politik. Pengundi di sini nampaknya tidak mengundi mengikuti parti yang bertanding tetapi lebih memilih kepada calon yang bertanding.

Buktinya cukup jelas. Ketiga-tiga DUN dibawah parlimen Hulu Selangor ini dimenangi oleh BN dengan majoriti undi terkumpul sebanyak 6,176 tetapi calon parlimen PKR menang dengan majoriti 198 undi. Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR) mendapat 23,177 dan Datuk G. Palanivel (MIC/BN) hanya mendapat 22,979 sahaja

Di kerusi DUN Hulu Bernam, BN menang dengan majoriti 3,549 dimana Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (UMNO/BN) mendapat 7,985 dan Sukor Ali (Pas) mendapat 4,436. Sementara di DUN Batang Kali BN menang dengan majoriti 2,179 undi bila Mohd. Isa Abu Kasim (UMNO/BN) mendapat 11,724 dan Mohd. Nashruddin Abd. Aziz (PKR) mendapat 9,545. Manakala di DUN Kuala Kubu Baru pula BN menang dengan majoriti 448 undi dimana Wong Koon Mun (MCA/BN) mendapat (6,555) dan K. A. Ramu (DAP) mendapat 6,107.

Keadaan ini menyebabkan kedua-dua parti yang bertanding berada dalam dilema dalam meletakkan calon yang terbaik bagi mewakili mereka dalam pilihanrya kecil Hulu Selangor pada 25hb. April, ini.  Kedua-dua parti mempunyai harapan yang seimbang untuk memenangi kerusi Hulu Selangor ini. Kelebihan ada pada BN tetapi tersilap percaturan mereka akan kecundang sekali lagi.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN telah memberi jaminan meletakkan calon dari parti MIC kerana secara tradisinya kerusi ini milik MIC. Sebagaimana dilaporkan secara meluas dalam media,  Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu tetap mahukan timbalan beliau, Datuk G Palanievel bertanding di situ.

Sebelum ini UMNO Hulu Selangor menuntut kerusi berkenaan kerana sejak 50 tahun lepas mereka dipinggirkan dari mewakili kerusi berkenaan walaupun pengundi Melayu melebihi 52 peratus.

Bila Datuk Seri Najib Tun Razak menegsahkan kerusi berkenaan milik MIC, UMNO Hulu Selangor (seperti dilapor Malaysiakini.com, 9 April) telah menamakan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, V. Mugilan sebagai calon mewakil BN. Mungkin Umno di Hulu Selangor telah serik dengan perkhidmatan Palanivel yang sudah empat penggal (1990-2004) mewakili mereka.

Mesej penting Umno Hulu Selangor terpampang sikap tidak bersetuju terhadap Datuk G. Palanivel sebagai calon, tetapi mereka boleh bersetuju sesiapa sahaja menjadi calon. Jelasnya, mereka mahukan perubahan yang menjurus kepada calon yang lebih muda dan kalangan pemimpin lokal.

Jika Palanivel bertanding dan menang dalam pilihanraya kecil ini sudah pasti beliau akan dilantik sebagai Menteri mewakili kouta MIC. Sekarang kouta MIC sebagai Menteri disandang oleh Datuk Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.

Persoalan yang menjadi pilihan Najib sekarang adalah sama ada Dr. Subramaniam, Naib Presiden MIC akan digugurkan dalam rombakan kabinet selepas ini untuk memberi laluan kepada G. Palanivel yang lebih kanan dalam MIC (jika dipilih sebagai calon dan menang dalam pilihanraya kecil ini).

Pemerhati politik melihat penentuan calon BN di Hulu Selangor adalah rumit dan mungkin mendatangkan masalah jika tersilap pilih. Pandangan ahli politik vateran Umno, Datuk Abdullah Ahmad (dalam kolum Sinar Harian, 11 April) boleh dipertimbangkan, “kalaulah saya berpengaruh, saya akan menggesa Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk melihat jauh ke depan: mencalonkan seorang muda yang berpotensi, muka baru yang belum ada ‘kudis’ lagi walaupun belum teruji…

Kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin yang memperakui calon BN dari kalangan anak tempatan. Ini menjadi petunjuk tidak langsung bahawa peluang G. Palanivel untuk bertanding mewakili BN pada kali ini adalah tipis melainkan MIC khususnya Datuk Seri Samy Velu bertegas menolak semua calon lain dari MIC kecuali timbalan beliau.

Zahid Calon PKR?

Sesuai dengan konvensyen PR, calon PKR akan diletakkan semula bertanding selaras dengan prinsip pematuhan kepada kuota parti bertanding yang dicapai ketika pilihan raya umum 2008 lalu. Sekiraya tiada apa-apa halangan bagi Pakatan Rakyat akan mengumumkan calonnya pada 13 April dan Barisan Nasional pula pada 15 April.

Tiga nama disenarai pendek oleh PKR untuk dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor pada kali  ini. Dua tokoh nasional dan seorang anak tempatan, iaitu; Datuk Zaid Ibrahim (gambar – kiri : bekas menteri yang meletak jawatan dan menyertai PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK) dan Dr. Halili Rahmat, seorang anak tempatan yang pernah dua kali bertanding diatas tiket KeADILan pada 1999 dan 2004 tetapi tidak menang.

Dalam PRK Hulu Selangor ini isu calon hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada faktor kemenangan. Bagi PKR dan UMNO, isu calon pasti dilihat sebagai faktor pertama untuk meraih sokongan pengundi Hulu Selangor.

Percaturan PKR kali ini rumit berbanding dengan Permatang Pauh. Di Permatang Pauh, calonnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh nasional dikalangan anak tempatan yang telah berjasa dan dikenali oleh pengundi di situ.

Beberapa poll yang dilakukan secara online oleh beberapa pihak yang berkepentingan termasuk Harakahdaily dan lain-lain nampaknya memihak kepada Zahid Ibrahim, bekas Menteri berbanding dengan Dr. Halili walaupun beliau anak tempatan.

Harakahdaily antara yang terawal melobi Zaid Ibrahim sebagai calon PKR selain beberapa laman web lain. Malah akhbar Siasah bil: 195 keluaran 11-17 April juga telah meletakkan Zaid Ibrahim calon PR di Hulu Selangor mendahului pengumuman yang akan dibuat pada 13hb. April ini.

Ramai pemerhati politik hampir bersependapat, jika Palanivel dicalonkan oleh BN, Datuk Zaid Ibrahim adalah calon yang setanding untuk dipertaruhkan oleh PKR. Jika muka baru dikalangan pemuda dipilih oleh BN, persoalannya adakah Zaib Ibrahim masih sesuai diperjudikan masa depan karier politiknya?

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: