Kalam Perantau

Icon

ZAID YANG SAYA KENALI…

Oleh ROZAID A. RAHMAN

NAMPAKNYA PKR telah membulatkan hati memilih tokoh kontroversi Mohd Zaid Ibrahim sebagai calon untuk bertanding atas tiket Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Penulis pernah berkhidmat sepenuh masa hampir tiga tahun dengan Zaid Ibrahim iaitu dari tahun 2002 hingga 2004 sebagai perunding komunikasi di Zaid Ibrahim & Co atau lebih dikenali sebagai ZICO.

Firma guaman ZICO adalah merupakan firma guaman terbesar di Malaysia. Begitu besar firma ini sehinggakan pemiliknya Zaid Ibrahim sendiri tidak mengenali setiap seorang peguam yang berkhidmat di firmanya itu.

Walaupun pada hakikatnya beliau pemegang saham utama di firma berkenaan (sekarang tidak lagi), tetapi agak menakjubkan juga beliau hanya mempunyai ruang pejabat yang boleh ditafsirkan sebagai kecil dan tidak kelihatan gah atau hebat malah rak buku rujukan undang-undang pun tidak ada dalam biliknya – tidak sepertimana firma guaman yang kita semua kenali.

Zaid adalah seorang yang sangat restless iaitu tidak tahu duduk diam juga seorang yang mempunyai iltizam yang kuat. Walaupun di dalam kerja beliau seorang yang tidak penyabar tetapi sebagai ahli politik, tahap kesabaran beliau sangat tinggi. Beliau juga seorang yang tidak dengan mudah menjatuhkan hukuman atau persepsi ke atas seseorang.

Beliau mencintai kuda dan mempunyai hati seperti seekor kuda. Beliau juga seorang yang sangat komited dengan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) yang beliau sendiri pelopori. Setiap tahun yayasan ini akan menganjurkan program larian di Kota Bharu untuk mengutip dana bagi tabungnya.

Ketika Zaid di dalam Umno, kami semua bekerja keras dan akan turun ke Kota Bharu saban minggu untuk memastikan Umno merampas kembali kerusi Parlimen Kota Bharu yang sudah hampir 14 tahun di bawah bendera Pas dan kemudiannya Keadilan.

Pengorbanan tersebut berbaloi. Pada pilihan raya umum 2004, Zaid yang pada mulanya hendak diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri dalam parlimen Kota Bharu tetapi kemudiannya ditukarkan semula ke kerusi Parlimen setelah ramai orang Umno memprotes keputusan tersebut bertanding untuk pertama kalinya dan menang.

Malah beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu atas tiket Umno dengan kesemua tiga DUN di dalam parlimen berkenaan jatuh ke tangan PAS. Tetapi senario tersebut tidaklah luar biasa bagi Kota Bharu kerana sejarah telah membuktikan Tengku Ahmad Rithauddeen pernah menang dalam situasi yang sama di tahun-tahun 1980-an.

Namun apa pun, Zaid tetap catat sejarah. Selepas berbelas tahun Kota Bharu di tangan Pas dan kemudian PKR, Zaid boleh menang. Di sebalik sikapnya yang liberal dan urban itu dia diterima oleh orang Kota Bharu tanpa sebarang masalah.

Sebabnya kerana Zaid dilihat sebagai anak tempatan dari keluarga yang miskin tetapi berjaya dalam hidup atas daya usahanya sendiri. Dia juga membawa lambang anak Kelantan yang boleh diteladani dalam kejayaan hidup dan kerjaya juga atas kerja-kerja kebajikan yang diusahakannya.

Pada masa yang sama seorang lagi peguam yang turut berkhidmat di firma Zaid iaitu Datuk Seri Azalina Osman Said juga bertanding di Penggerang, Johor turut menang. Ini bermakna ZICO berjaya melahirkan dua orang ahli Parlimen serentak.

Tetapi malangnya, selepas itu dalam pembentukan kabinet Pak Lah, Azalina dan bukannya Zahid yang terpilih sebagai menteri. Ini sedikit sebanyak merencatkan kemajuan politik Zaid dalam Umno.

Hendak dijadikan cerita, lebih kurang dua tahun kemudian, berlaku pergolakan dalam Umno Bahagian Kota Bharu yang akhirnya menyaksikan Zaid digantung daripada jawatannya sebagai ketua Umno Kota Bharu dan timbalannya Datuk Fatmi Che Salleh dilantik untuk memangku jawatan ketua.

Dan apabila hukuman ke atas Zaid tamat, malangnya beliau tidak dikembalikan ke jawatan lamanya itu tetapi sebaliknya Fatmi terus kekal memegang jawatan tersebut.

Kemudian pada pilihan raya umum Mac 2008, atas pergolakan yang berlaku dalam Umno Kota Bharu, Zaid tidak terpilih semula sebagai calon dan tempatnya diganti oleh Fatmi. Fatmi bertanding tetapi tewas di tangan calon Pas. Akhirnya kerusi Kota Bharu kembali ke tangan Pas hanya selepas sepenggal dirampas oleh Umno.

Walaupun Zaid tidak bertanding tetapi Pak Lah tanpa diduga membuat kejutan dengan melantik Zaid dalam barisan kabinetnya. Ironinya semasa beliau menang pada tahun 2004 beliau tidak diberi apa-apa jawatan tetapi bila tak bertanding pula diberi jawatan. Beliau dipertanggungjawabkan potfolio undang-undang – iaitu untuk membuat reform dalam sistem perundangan negara.

Sekali lagi, Zaid berhadapan dengan halangan dan cabaran. Tidak semua idea yang dilontarkannya di dalam kabinet diterima oleh jemaah menteri walaupun PakLah banyak memberi lampu hijau kepadanya untuk menjalankan reform dalam sistem perundangan negara.

Tetapi tak tahulah apa yang tidak kena, mungkin gayanya ke atau pembaharuan yang hendak dibawanya ke yang tidak sesuai dengan majoriti jemaah menteri dan orang Umno, akhirnya Zaid ‘memberontak’. Tidak sampai beberapa bulan, beliau melepaskan jawatannya dalam kabinet. Penahanan seorang wartawan dan ahli parlimen dari DAP di bawah ISA mendorong Zaid untuk melepaskan jawatan menteri. Mungkin sifat tidak sabarnya dalam bekerja telah menyebabkan beliau merasakan segala apa yang hendak diusahakannya diperlahankan oleh pelbagai halangan.

Zaid yang mempunyai pemikirannya sendiri bukanlah seorang yang mudah untuk dikawal. Tidak lama kemudian beliau muncul dalam majlis-majlis pembangkang. Umno akhirnya memecat Zaid dan PKR membuka pintu.

Dan di dalam PKR pun, beliau tidak terlepas daripada masalah dan pada waktu-waktu tertentu dilihat sebagai pembuat masalah oleh kepimpinan PKR sendiri. Walaupun Zaid diberi peranan penting iaitu untuk merangka pelan induk yang dapat menyatukan PR sebagai sebuah entiti yang lebih kukuh, tersusun dan mampu menjadi alternatif kepada BN tetapi gerakan beliau tidak disenangi oleh fraksi tertentu di dalam PKR.

Ketika penulis menemui Zaid sewaktu pelancaran bukunya “Saya Juga Melayu…” beberapa bulan lalu, Zaid dengan mimik mukanya yang tipikal menyatakan rasa kecewanya apabila Anwar Ibrahim tidak membenarkannya berkunjung ke Sabah untuk menghadiri undangan Dr Jefrey Kittingan yang sedang bermasalah dengan Naib Presiden, Azmin Ali.

Pada Zaid ternyata Anwar lebih mendengar cakap Azmin berbanding apa yang ingin dia lakukan. Dan akhirnya Zaid tidak peduli pun. Dia tempah tiket kapalterbang dan dia pergi juga ke Sabah sama ada Anwar izin ke tidak. Itulah Zaid Ibrahim. Seorang yang tidak boleh dikawal dan tidak tunduk kepada sesiapa pun melainkan dirinya sendiri.

Apakah dengan meletakkan Zaid sebagai calon di Hulu Selangor PKR cuba hendak mengambil hati Zaid semula atau pun mungkin sebagai ‘reward’ agar dia boleh menyalurkan tenaga dan suaranya itu di Parlimen daripada menyalak ke arah PKR sendiri?

Tidak salah untuk mengandaikan demikian kerana di sebalik auranya yang besar itu, Zaid bukanlah anak tempatan dan tidak dikenali pun secara peribadi dan dekat oleh pakcik dan makcik, apek dan nyonya serta aci dan appa di Batang Kali, Ulu Bernam dan Kuala Kubu Baru.

Walaupun Zaid telah membuktikan yang dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa di Kota Bharu tetapi itu Zaid balik setiap minggu, kecek dalam loghat tempatan dan ibu-bapanya orang sana, ada ramai saudara mara dan taulan serta balaci untuk bantu dan buka bilik operasi serta pondok panas. Dan dia buat kerja selama lebih dua tahun untuk menyemai benih.

Di Hulu Selangor, entah pernah atau tidak Zaid menjejakkan kaki sebelum ini tiada siapa yang tahu. Pernah pergi berkelah di Kuala Kubu, itu mungkin.

Maka ini satu pertaruhan yang besar oleh PKR dan PR tetapi apa salahnya…

Rozaid A. Rahman adalah Pengarang Bersekutu Star Melayu

Filed under: News, , , , , , , ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories

%d bloggers like this: